Ahad, 9 Oktober 2011

Hakikat kehidupan sebenar ialah bermalas-malasan

SUDAH tiga minggu ruangan Kucing Jantan tidak tersiar. Memang dasar Mat Comot seekor kucing malas. Itulah tuduhan yang dilemparkan oleh seorang pembaca kepada Mat Comot melalui sepucuk e-surat.
Sementara seorang lagi pembaca yang lebih mesra pula bertanya, adakah Kucing-kucing Jantan ini tidak sihat sampai tidak ada ruangan ini. Ada seorang pembaca lain pula bertanya, adakah Kucing-kucing Jantan pergi menunaikan haji? Mereka ingat Kucing Jantan ini alim-alim kucing.

Sebenarnya, Kucing-kucing Jantan ini sihat semuanya. Bro Tompok, Si Belang dan Mat Comot sihat belaka. Tidaklah ada antara kami ini yang pergi menunaikan haji tahun ini.
Malas? Hmmm... susah hendak kata.

Tetapi hakikatnya ialah ruangan dalam akhbar Mingguan Malaysia ini memang tidak cukup untuk menempatkan semua tu lisan yang ingin disiarkan.
Ruangan tetap seperti Untung Sabut kadangkala terpaksa tidak menjadi tetap kerana ada tulisan terpaksa disiarkan dahulu dan mengorbankan yang lain. Termasuklah ruangan Kucing Jantan ini.
Walaupun ia tetap, ia menjadi tidak tetap kerana tentulah Kucing Jantan terpaksa mengalah kepada manusia.
Apalah yang ada pada Kucing Jantan, hanya cerita-cerita ringan mengenai orang perempuan dan lelaki serta hubungan antara kedua-duanya.

Jadi mestilah diutamakan manusia. Seperti mana dalam rumah. Tentulah manusia lebih diutamakan daripada kucing.
Yakah? Manusia tuan atau kucing yang jadi tuan.

Tengoklah kucing-kucing di sekeliling anda, terutama yang dipelihara. Makanan mereka disediakan. Tempat tinggal amat selesa. Apa yang mereka perlu lakukan?
Jilat bulu sendiri. Bermain-main jika masih anak kucing. Amalan paling biasa ialah tidur.
Hidup macam mereka raja. Manusia seperti khadam untuk kucing. Mereka cuma bermalas-malasan.
Mungkinkah kehidupan sebenar adalah bermalas-malasan. Inilah falsafah kucing.
Tidak mungkinkah manusia juga mereka berkeinginan untuk hidup seperti kucing, bermalas-malasan sepanjang hayat.

Tetapi tidakkah itu impian semua manusia? Bermalas-malasan. Hanya orang yang bernasib baik, yang kaya, atau berkuasa dapat bermalas-malasan. Yang lain kenalah bertungkus-lumus untuk hidup.
Manusia, itu pun hanya sebahagiannya yang dapat menikmati bermalas-malasan pada hari Ahad. Itu pun belum tentu.

Ada saja pekerjaan yang perlu dilaku kan. urusan hal keluarga dan masyarakat. Seperti menghadiri undangan majlis perkahwinan.
Atau berjalan-jalan di pusat membeli- belah.
Inilah yang kadangkala orang perempuan tidak faham. Setelah penat seminggu, sang suami hendaklah duduk di rumah bermalas-malasan. Tetapi si isteri pula yang tidak izinkan.

Seperti kucing juga. Dilihat dari zahir nya, manusia adalah tuan sementara kucing adalah hanya haiwan peliharaan, ber khidmat untuk kepentingan pemiliknya.
Tetapi apabila dilihat dari sudut lain pula, yang jadi tuan ialah kucing. Manusia yang berkhidmat untuknya. Kucing yang menjadi pemilik.

Begitu juga dalam hubungan lelak dengan perempuan. Secara zahirnya lelaki yang menjadi ketua dan pemimpin. Isteri dan anak-anaknya adalah miliknya.
Tetapi daripada sudut lain pula, si isteri yang memiliki suami. Menjadi tuan dan penentu perjalanan kehidupan seseorang lelaki.

Inilah yang menyebabkan sukarnya seseorang lelaki hendak bermalas-malasan dan menikmati hidup.
Bermalas-malasan maknanya ialah buat apa saja yang dirasakan enak dilakukan. Kalau rasa hendak bangun, bangunlah. Kalau hendak duduk di depan televisyen, duduklah.
Kalau rasa hendak baring, maka baringlah. Tetapi itulah nikmat yang sering diganggu oleh para isteri.
Disuruhnya kita panjat tangga dan cuci kipas anginlah. Disuruhnya kita vakum karpetlah. Malaslah hendak buat perkara- perkara itu.

Bukanlah tidak bertanggungjawab. Hari Sabtu buatlah apa yang tergendala. Betulkan paip. Baiki pintu atau buang sampah. Jadi bila semua dibaiki, hari Ahad bolehlah rehat.
Bagi mereka yang masih bujang, nikmatlah kehidupan Ahad tanpa sebarang gangguan. Berlengkar sepanjang hari Ahad dan tidak ada siapa yang akan ganggu

Oh kucing. Kamu memang bertuah. Boleh bermalas-malasan, bukan saja pada hari Ahad. Juga hari Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat dan Sabtu.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...