Ahad, 30 Oktober 2011

Bola dan kejutan

sumber: Utusan Malaysia

Ada kejutan berkaitan sukan bola sepak yang menarik perhatian ramai peminat sukan negara ini.
Hujung minggu lalu, kekalahan 1-6 Manchester United (Man U) kepada Manchester City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menjadi perbualan ramai.

Man U yang dianggap kelab bola sepak terhebat dan mempunyai ramai penyokong di seluruh dunia termasuk Malaysia, bukan sahaja dikejutkan.

Malah pasukan itu dimalukan di gelanggang sendiri, Old Trafford, mencatatkan keputusan terburuk dalam tempoh 54 tahun.

Rata-rata peminat Man U sugul dan ada yang bagaikan tidak percaya. Tetapi bola bulat. Itulah yang selalu dikatakan betapa kejutan boleh menimpa ke atas pasukan yang lebih kuat dan favourite.


Awang bukanlah peminat Man U tetapi percaya pasukan itu mampu bangkit kerana mempunyai tradisi keunggulannya tersendiri. Kekalahan di tangan Manchester City bukan cerminan kepada keseluruhan prestasi Man U termasuk dalam EPL. Itu hanya satu perlawanan yang sekadar gagal meraih tiga mata. Tentang sejarah gemilang dan ego Man U terutama di Old Trafford yang telah dirobek oleh Manchester City, itu persoalan lain.

Belum reda peminat EPL memperkatakan tentang perlawanan Man U dan Manchester City, satu lagi kejutan berlaku.

Orang ramai terutama penyokong pasukan Terengganu dan Negeri Sembilan membantah keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menaikkan 70 peratus harga tiket bagi final Piala Malaysia.

Tindakan FAM menaikkan harga tiket daripada RM30 kepada RM50 (bagi semua tempat duduk) mengejutkan. Banyak pihak turut melahirkan kekecewaan dan kemarahan. Secara tiba-tiba imej FAM merudum. Bahkan ada yang sampai melakukan penggodaman ke atas lawan web FAM. Awang tidak setuju terhadap sebarang tindak balas berlebihan ke atas FAM, itu bukan caranya bagi menyelesaikan permasalahan. Namun FAM wajar mengambil iktibar daripada reaksi orang ramai dan pelbagai pihak. Sebarang kenaikan harga tiket perlu diteliti semasak-masaknya apatah lagi dalam keadaan sekarang. Bagi rakyat biasa, kenaikan mendadak sebanyak 70 peratus adalah tinggi. Alasan kenaikan juga tidak kukuh. Jika mahu menampung sebarang pertambahan kos, laksanakan kenaikan pada tahun depan. Buatlah pengumuman lebih awal misalnya ketika kempen Piala Malaysia bermula dan bukan seminggu sebelumnya.

Dalam pada itu, Awang ingin menyampaikan penghargaan kepada Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Shabery Chik dan bekas Naib Presiden FAM, Khairy Jamaluddin yang mahu kenaikan harga tiket itu dikaji semula. Namun usaha mereka dan banyak pihak lagi, gagal mengubah pendirian FAM. Awang boleh faham apabila tiket sudah dijual, sukar untuk mengubah keputusan. Untuk mengheret Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah dalam isu tersebut pada saat-saat akhir juga tidak adil kepada baginda. Baginda tidak terlibat dalam soal operasi dan mesyuarat peringkat jawatankuasa tiket. Isu tersebut boleh dibereskan dari awal lagi jika para pegawai kanan FAM menanganinya dengan bijaksana.

Awang sedih kerana ketika kerajaan berusaha keras membendung kenaikan kos kehidupan yang boleh membebankan orang ramai, FAM tidak membawa semangat dan aspirasi itu.

Adalah diharap pada masa akan kerajaan akan segera campur tangan jika tercetus situasi sedemikian. Selain kesan langsung bantahan dan kemarahan terhadap FAM, kerajaan turut terkena sedikit tempiasnya. Ia tidak akan berlaku begitu jika FAM lebih sensitif.

BISIK-BISIK MINGGUAN AWANG SELAMAT

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...