Ahad, 16 Januari 2011

Seksi jadikan diri penuh keyakinan

SIAPAKAH yang pertama anda terfikir bila perkataan 'seksi' disebutkan? Jika lelaki, apakah Megan Fox berada di kedudukan nombor satu carta peribadi anda? Kalau wanita, apakah Robert Pattinson jauh meninggalkan David Beckham?

Soalan di atas tercetus dan terdorong oleh kehebohan minggu lalu berkaitan seorang artis tempatan yang tersiar gambarnya berpakaian bikini. Apa salahnya? Pertama, dia berpakaian bikini di pantai, bukan di pejabat. Kedua, dia ada badan seksi hendak mengenakan baju bikini. Lainlah kalau badan penuh panau atau lemak berlipat-lipat di lokasi strategik. Itu bukan seksi. Itu ngeri dan sangat geli. Soal moral dan agama, dia dah jawab 'No Comment!'.

Terdapat dua kaedah untuk membicarakan definisi seksi iaitu daripada sudut pandangan Barat dan Timur. Di Barat, seksi bermakna seseorang yang memiliki daya tarikan seksual, menimbulkan berahi yang mendorong ke arah aktiviti yang sama manakala di Timur, walaupun pemahaman makna seksi adalah serupa tetapi ada 'sedikit lebih bersopan'.

Misalnya di Barat, Kim Kardashian dianggap seksi kerana bentuk badannya serta pemakaian baju sendat dan sekerat yang menjadi pakaian wajibnya dalam program realiti Keeping Up with the Kardashian. Namun di Timur, Kim disifatkan bintang porno. Ini kerana budaya Timur masih mempertahankan cara berpakaian sopan kaum wanita yang menutup dada dan longgar di pinggul.

Di Jepun misalnya, GRO terawal dalam sejarah dunia iaitu Geisha berpakaian kimono, diajar bercakap lembut, tertib menyediakan teh dan berjalan macam itik. Jika itu bukan diistilahkan seksi, mengapa ada Shogun sanggup berpedang samurai mempertahankan Geisha?

Di Malaysia pun, oleh kerana orientasi dan pegangan agama memperlihatkan wanita Melayu berpakaian menutup aurat tetapi ia tidak bermakna ia langsung melenyapkan elemen seksi.

Ia dibantu sendiri oleh pereka fesyen yang 'mengetatkan' baju kurung terutama di bahagian pinggang dan pinggul. Belum lagi dikira dengan fesyen baju kebaya. Menonton filem klasik P. Ramlee, kita tentu pantas kagum melihat fesyen seniwati Sarimah ketika itu. Atau Murni Sarawak (Cikgu Murni dalam filem Nasib Si Labu Labi) menjadi tarikan tambahan untuk menonton filem era P. Ramlee berulang-ulang kali tanpa jemu.

Khamis lalu, saya menduga isu seksi ini di kalangan rakan-rakan dalam facebook dengan soalan ''Sepantas kilas, siapakah individu yang pertama anda fikirkan bila perkataan 'seksi' disebutkan''. Yang lelaki menyebut Pamela Anderson, Fasha Sanda, Angelina Jolie, Catherine Zeta-Jones manakala yang wanita sendiri ada menyebut nama Scarlett Johansson, tidak termasuk dua wanita yang diperakui kaki bola menyebut Fernando Torres dan Abbas Saad sebagai pilihan. Saya pilih Monica Belluci.

Namun paling menarik, beberapa koresponden dengan yakin menyatakan 'diri mereka sendiri' sebagai seksi. Berdasarkan rujukan pada kajian-kajian psikologi, pernyataan sebegini adalah positif. Jangan salah sangka. Ia bukan angkat bakul atau menjaja diri umpama kupu-kupu malam.

Sebaliknya, ia boleh dirumus secara umum sebagai lambang keperibadian seorang individu yang berkeyakinan penuh pada keterampilan diri sendiri. Ia berkaitan cara berpakaian dan gaya yang dipamerkan. Banyak kajian mengesahkan bahawa cara berpakaian banyak memberi kesan emosi kepada seseorang dalam memulakan agenda hariannya baik ke pejabat, ke majlis keraian atau santai bersama teman. Kemas adalah bagus, seksi sederhana pun bagus. Malah ada petua menyebut hendak ke sesi temuduga, selitkan sedikit elemen seksi boleh menambah markah. Cuma janganlah berpakaian ala-Kim Kardashian pula. Pegawai Sumber Manusia wanita tentu beri anda markah kosong.

Untuk artikel ini, saya membelek beberapa kamus. Tatkala kamus Oxford secara umumnya memberi definisi 'berasa berahi', kamus Webster pula mencatatkan ''secara am menawan hati atauff menarik" yakni berketerampilan.

Saya ikat perkataan 'menarik' di situ. Seksi harus dilihat pada konteks Timur yang tidak melulu kepada aspek 'berasa berahi' semata-mata tetapi juga berkaitan 'menarik' iaitu berketerampilan. Ramai wanita akan bersetuju bahawa seksi tidak seharusnya tertutup semata-mata pada konsep bentuk fizikal badan iaitu tampan, berbadan sasa bak Safee Sali, tetapi juga merangkumi sikap atau perwatakan yang menawan.


Untuk mencari lelaki atau wanita yang memiliki kombinasi pakej berkenaan, agak sukar hari ini. Kalau ada pun, tidak sempat menyapa, pada jarinya sudah ada cincin tunang. Apakah wanita hari ini rela berkompromi iaitu mereka bersedia menolak lelaki yang tampan dan seksi tetapi dilihat bersikap tidak menepati kriteria yang ditetapkan oleh SIRIM? Maka, wanita rela menurunkan piawaian ke tahap B + iaitu kurang tampan dan seksi tetapi bersopan-santun. Dan apakah ini juga mengapa semakin ramai lelaki botak kini diterima sebagai seksi sedangkan soal kehilangan rambut adalah prospek yang menakutkan bagi kaum lelaki secara keseluruhannya!

Seorang teman wanita yang masih belum berkahwin menggariskan definisi seksi pada seorang lelaki ialah mata dan pinggul, selain mesti pandai buat kelakar. ''Lelaki seksi ini berisiko besar untuk dimiliki sebenarnya. Tengoklah David Beckham. Ramai sangat peminatnya," kata teman tersebut. Rasanya hujah beliau sama juga untuk lelaki. Beristeri wanita cantik dan seksi, pun banyak semut datang kerumun. Susah juga sepanjang hayat terpaksa menyembur racun serangga saja kerjanya.

Justeru, seksi yang bagaimana jadi pilihan anda? Saya sarankan agar anda serapkan nilai pentingnya memiliki elemen seksi pada diri anda setiap hari. Bukan seksi yang mirip menjatuhkan maruah diri sendiri tetapi mengikut acuan definisi seksi Timur iaitu lebih kepada suatu konsep pemikiran positif dalam anda mengharungi tugasan harian.

Ia adalah bagaimana anda rasa mengenai diri anda sendiri. Bagaimana anda rasa rupa dan penampilan anda. Jika anda rasa diri anda berpakaian sempurna, maka anda rasa seksi.

Kaum lelaki perlu jauhkan sikap pembengis, merapu dan lawak Mr. Bean kerana ia tidak dikategorikan seksi oleh wanita hari ini. Kaum wanita pula perlu ingat, berseluar pendek ketat atau bersinglet di bistro tidak sesekali mendatangkan ghairah pada lelaki, melainkan rasa muak dan selekeh.

Gabungan berpakaian lawa dan perwatakan seseorang itulah yang mencetuskan elemen seksi. Ia seterusnya membentuk aspirasi pemikiran positif yang memberi anda kekuatan mental dan keyakinan diri semasa melaksanakan tugas harian.

sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...