Ahad, 16 Januari 2011

Saya tidak mahu popular: Khusrin

SUK Selangor hanya ingin beri tumpuan kepada tanggungjawab, kerja diamanahkan

KETIKA menjawat jawatan sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebelum ini, Datuk Mohd Khusrin Munawi akan datang bertugas seawal jam 7 pagi lagi, sedangkan ramai kakitangan hanya keluar rumah pada jam 7.30 pagi.

Tetapi apabila beliau masuk pejabat seawal jam 6.45 pagi pada hari pertama bertugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) di Bangunan SUK baru-baru ini, Mohd Khusrin disindir kononnya datang awal kerana bimbang dihalang masuk oleh kakitangan.


Malah, selepas seminggu bergelar SUK, pelantikan Mohd Khusrin, 54, terus dipertikaikan Menteri Besar dan barisan Exconya.

Tangan yang dihulur Mohd Khusrin untuk bersalam dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sebelum mengangkat sumpah taat setia jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) di Balai Singgahsana, Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Khamis lalu, menunjukkan beliau begitu merendah diri.

Meskipun salamnya berbalas dengan senyuman, ramai mempunyai tafsiran sendiri terhadap tahap keikhlasan pemimpin pakatan pembangkang yang disalamnya itu berikutan polemik yang belum selesai berkisar isu SUK.

Apatah lagi di luar balai berkenaan, kenyataan yang diedarkan kepada wartawan menyebut kerajaan Selangor tetap dengan pendirian bahawa isu pelantikan Mohd Khusrin belum muktamad dan perlu penyelesaian.

“Kehadiran kami tidak bermakna kami rela dengan tindakan arbitrasi SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) terhadap pentadbiran ini (Selangor),” kata Abdul Khalid menerusi kenyataan itu.
Walau apapun di dalam Balai Singgahsana, Mohd Khusrin dengan langkah teratur beredar dari tempat duduk berselang satu kerusi dengan Menteri Besar, untuk menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ketika Mohd Khusrin, 54, melafazkan ikrar sumpah taat setianya, Abdul Khalid yang duduk berhampiran dilihat tidak lagi mampu tersenyum.

Bagaimanapun, Mohd Khusrin tetap tersenyum dan ‘cool’ selepas itu. Seperti ditegaskan pada hari pertama memasuki pejabat barunya di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS), beliau hanya mahu melaksanakan tugas diamanahkan.

Pelbagai alasan ditimbulkan. Pelbagai pihak dipersalahkan berikutan pelantikan itu meskipun sudah diperkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah. Kebolehan Mohd Khusrin berbahasa Inggeris dipersoalkan. Malah, beliau turut dituduh bersikap perkauman.

Timbul persoalan, apakah selepas 24 tahun mencurah bakti di Selangor, Mohd Khusrin masih tidak layak memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan Selangor?

Ketika isu ini timbul, penulis sedang menghabiskan cuti tahunan dan sempat sekilas menjeling pada ruang sembang telefon pintar BlackBerry yang menyuarakan pendapat mengenai pengumuman Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan melantik Mohd Khusrin sebagai SUK.

Penulis masih ingat komen pertama penulis apabila mengetahui Mohd Khusrin akan menerajui pentadbiran, “Kalau Khusrin baguslah. Beliau rajin jawab call (panggilan wartawan)”.

Sebagai wartawan, nombor telefon bimbit individu yang memegang tampuk pentadbiran memang sentiasa disimpan dalam memori telefon bimbit kerana pada bila-bila masa apabila berlaku isu, pegawai tertinggi ini perlu mudah dihubungi untuk mendapatkan ulasan segera.

Lima tahun lalu, ketika Mohd Khusrin memulakan tugas sebagai Pengarah JAIS, penulis teringat perbualan dengan seorang kakitangannya mengenai ‘bos’ baru.

Katanya, mereka perlu datang awal kerana ‘bos’ datang seawal jam 7 pagi untuk masuk kerja.

Disiplin datang awal yang diamalkan Mohd Khusrin sejak di JAIS itu sepatutnya dijadikan teladan oleh semua penjawat awam tetapi ia berlaku sebaliknya. Ia dijadikan jenaka dan cemuhan orang yang taksub politik, sekali gus menggambarkan seolah-olah Mohd Khusrin terlalu berkehendakkan jawatan.

Jika difikirkan, sebagai manusia biasa, wajar untuk Mohd Khusrin melenting dan marah ketika diasak dengan pelbagai tohmahan dan dakwaan, terutama jika ia hanya mengaibkan dan menjatuhkan air mukanya kepada kakitangannya.

Pun begitu, Mohd Khusrin bertindak profesional dan mengadakan satu sidang media yang terkawal tanpa menuding jari ke arah sesiapa.

“Banyak isu negatif dilemparkan kepada saya yang menggambarkan saya seolah-olah pegawai bermasalah, tidak patuh kepada arahan, membelakangkan kerajaan negeri dan ada agenda politik tertentu.

“Perlu ditegaskan apa yang saya buat selama bertugas di JAIS dan Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) selama lima tahun enam bulan, adalah mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada. Saya tidak membuat sesuatu yang di luar peruntukan undang-undang,” katanya.

Beliau yang menyedari dirinya diserang secara peribadi, seterusnya menyebut beberapa kes yang ditangani sepanjang menerajui JAIS termasuk sesuatu yang dianggap paling berani iaitu penahanan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada 1 November 2009 kerana disyaki memberi kuliah agama tanpa tauliah dan penarikan tauliah berceramah daripada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Mohd Khusrin bagaimanapun masih cuba menyembunyikan perasaan terkilannya terhadap serangan peribadi yang dihadapinya. Apabila penulis meminta izin untuk menemuramahnya bagi memberi peluang beliau menjelaskan siapa dirinya yang sebenar, pandangan peribadinya dan cara kerjanya, beliau menolak dengan sopan.

“Tidak mengapalah. Saya tidak mahu popular. Saya tak mahu ada yang marah nanti. Mungkin orang tidak mengenali saya, mereka ingat saya garang,” katanya.

Apabila dipujuk lagi, Mohd Khusrin hanya mengatakan ‘tidak mengapa’ kerana beliau mahu memberi tumpuan kepada tanggungjawab dan kerjanya sebagai SUK dan bukan mencari populariti.

Diharapkan kemelut yang dihadapi Mohd Khusrin segera menemui noktah. Biarkanlah beliau melaksanakan tugasnya dengan lancar sekali gus membuktikan kepada mereka yang mencemuh, orang yang pernah memperkasa JAIS juga mampu memberikan yang terbaik kepada Selangor.

sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...