Sabtu, 1 Januari 2011

Kenyataan Teresa Kok berbau hasutan: PERKASA

2011/01/01

SHAH ALAM: Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) mengingatkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok supaya tidak menjadikan isu agama dan perkauman sebagai senjata untuk meruntuhkan perpaduan rakyat.

Yang Dipertua PERKASA Selangor, Abdullah Mansor, berkata kenyataan Teresa mendakwa Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan arahan supaya tiada elemen Kristian dalam majlis sambutan Krismas yang dihadiri Datuk Seri Najib Razak pada 25 Disember lalu sebagai perkara serius yang membabitkan sensitiviti agama.

“Sebagai seorang wakil rakyat dan Exco kerajaan negeri, beliau seharusnya menjaga setiap patah perkataan dan berbicara secara rasional. Dakwaan dalam keadaan emosi hanya boleh memberi kesan negatif terhadap negara.

“Saya hormati beliau sebagai ahli politik tetapi janganlah semua perkara hendak dipolitikkan sehingga menjadi ahli politik yang tidak bertanggungjawab. Apa yang dilakukannya langsung tidak mendatangkan manfaat kepada negara,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Teresa Kok yang disiarkan portal berita Malaysiakini.com mengenai wujudnya arahan Pejabat Perdana Menteri untuk membuang elemen keagamaan dalam majlis sambutan Krismas anjuran Persekutuan Kristian Malaysia (CFM), baru baru ini.

Teresa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Selangor mendakwa arahan itu turut mensyaratkan tiada lambang salib dalam majlis berkenaan yang diadakan di kediaman Ketua Biskop Gereja Katolik di ibu negara selain mendakwa turut melarang upacara sembahyang dan nyanyian lagu pemujaan.

Exco Selangor itu menyifatkan arahan terbabit sebagai satu pengkhianatan terhadap slogan 1Malaysia selain menggesa Perdana Menteri memohon maaf kepada CFM.
Abdullah berkata, pihaknya memberi amaran kepada Teresa Kok serta ahli politik lain supaya berhenti membuat kenyataan berbentuk hasutan serta mendesak pihak berkuasa menyiasat kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Seputeh itu yang jelas sengaja bermain api.

Sumber: Berita Harian

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Setuju dengan PERKASA.. bayangkan pula dalam program yang berkenaan lambang salib dan kristian ada dan di highlight maka orang PAS akan bising dan kata PM dah masuk kristian dan sebagainya... maklum la depa nie bukan kira sangat tentang nie... janji depa bleh wat isu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...