Sabtu, 8 Januari 2011

Merungkai kekerapan pilihan raya kecil

Bersama Mahfar Ali

2011/01/08

Masalah kesihatan wakil rakyat

SAYA tertarik membaca tulisan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, dalam akhbar ini, Khamis lalu, yang menghuraikan soal kesihatan dari sudut pandangan Islam. Antara lain, beliau menyebut masyarakat kini semakin lupa dan jarang bersyukur dengan nikmat kesihatan serta keselamatan yang dikurniakan Allah.

Dari sini, suka saya hendak memanjangkan sedikit perbincangan mengenai isu kesihatan ini, tetapi dalam konteks politik. Kita semua maklum, satu lagi pilihan raya kecil diadakan 30 Januari ini berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang dari Barisan Nasional (BN), Datuk Sulaiman Taha, 59, akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis.

Ini adalah pilihan raya kecil ke-14 sejak Pilihan Raya Umum Mac 2008. Hampir semua pilihan raya kecil sebelum itu juga diadakan disebabkan wakil rakyatnya meninggal dunia sama ada akibat menghidap penyakit, termasuk barah, jantung dan angin ahmar atau terbabit dalam kemalangan. Kecuali di Permatang Pauh, Bukit Selambau dan Penanti, pilihan raya kecil di kawasan itu diadakan kerana wakil rakyatnya meletak jawatan.

Apakah selepas DUN Tenang, akan ada lagi pilihan raya kecil? Kita bukanlah hendak mendoakan perkara yang tidak baik, tetapi sekarang ini pun sudah ada wakil rakyat yang sering keluar masuk hospital kerana mengalami masalah kesihatan dan yang lanjut usia juga ramai. Suasana politik kebelakangan ini pula semakin mencabar dan tentunya memberi tekanan terhadap wakil rakyat, sekali gus boleh menjejaskan kesihatan mereka.

Jadi kemungkinan akan ada lagi pilihan raya kecil selepas ini tidak boleh diketepikan kerana mengikut peruntukan Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, kekosongan di luar jangka di Dewan Rakyat yang berlaku dalam tempoh kurang dua tahun dari tempoh lima tahun penggal Parlimen berakhir, perlu diisi menerusi pilihan raya kecil.

Tempoh dua tahun itu akan berakhir pada Mac ini (kecuali bagi DUN Sarawak) dan dalam tempoh itu macam-macam boleh berlaku. Barangkali sudah sampai masanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji peraturan atau sistem pilihan raya untuk mengelak senario ini berlarutan. Ini penting kerana untuk mengadakan pilihan raya kecil bukan saja membabitkan perbelanjaan besar, malah tenaga dan masa.

Persoalannya, bagaimana kita hendak mengelak berlaku pilihan raya kecil? Apakah calon yang hendak bertanding pada pilihan raya umum akan datang perlu diwajibkan lulus ujian kesihatan atau dihadkan umur pada usia tertentu? Tentunya, peraturan ini sukar dilaksanakan apatah lagi soal kesihatan dan kematian bukan boleh dijangka. Orang muda pun tidak tentu boleh hidup lama kerana penyakit tidak mengenal usia.
Dalam hubungan ini, SPR mungkin boleh melihat sistem pilihan raya di sesetengah negara. Indonesia, misalnya, tidak pernah mengadakan pilihan raya kecil kerana mengikut sistem yang diamalkan di republik itu, kerusi yang dimenangi menjadi milik parti dan bukannya calon yang mewakili parti itu. Dengan itu, apabila wakil rakyat di kawasan berkenaan meninggal dunia atau meletak jawatan, parti terbabit boleh mengisi kekosongan kerusi itu dengan calon lain tanpa perlu mengadakan pilihan raya kecil. Barangkali inilah jawapan yang boleh merungkai isu kekerapan mengadakan pilihan raya kecil akibat wakil rakyat meninggal dunia disebabkan sakit atau terbabit dalam kemalangan.

Penyakit khianati parti

Sejak Pilihan Raya Umum 2008, ramai juga Ahli Parlimen dan ADUN yang mengisytiharkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas. Ini juga satu penyakit yang berbahaya kerana boleh merosakkan amalan demokrasi.

Meskipun, semua yang terbabit sekarang daripada parti pembangkang, kita tidak boleh menolak kemungkinan penyakit ini juga boleh menjangkiti wakil rakyat daripada BN pada masa akan datang. Pernah juga ada cubaan pakatan pembangkang untuk memancing wakil rakyat BN, tetapi tidak menjadi.

Apapun sama ada perbuatan itu membabitkan wakil rakyat pembangkang atau BN, perkara ini tidak boleh dibiarkan. Wakil rakyat dipilih atas tiket parti yang diwakili. Oleh itu, kerusi yang dimenangi sepatutnya menjadi hak parti bukannya milik calon yang bertanding atas tiket parti itu. Jadi, elok jugalah jika parti diberi hak terhadap kerusi itu bagi mengekang perbuatan wakil rakyat melompat parti atau mengkhianati parti.

Penyakit tak buat kerja

Ada juga wakil rakyat yang setia, tetapi tidak buat kerja. Ini satu lagi penyakit yang dikaitkan dengan wakil rakyat. Penyakit ini lagi teruk kerana yang menanggungnya ialah rakyat. Apa tidaknya, selepas menang pilihan raya, ada juga wakil rakyat dikatakan jarang sekali atau langsung tidak menjenguk kawasan. Bila sudah dekat pilihan raya, barulah kerap menemui pengundi.

Memang sesetengah parti menetapkan KPI untuk wakil rakyat masing-masing, tetapi apakah yang masih tidak berubah boleh digugurkan? Tidak mungkin tindakan itu dapat dilakukan kerana parti terbabit tentunya tidak mahu mengambil risiko menghadapi pilihan raya kecil bagi memilih wakil rakyat baru. Mahu tak mahu, terpaksalah rakyat menunggu sehingga pilihan raya akan datang untuk menukar wakil rakyat yang tidak komited terhadap tugas.

Inilah juga permasalahan yang perlu ditangani dan tidak salah jika SPR mengkaji kemungkinan meminda peraturan pilihan raya dengan menjadikan kerusi yang dimenangi sebagai hak parti. Dengan itu, mudahlah parti mengambil tindakan, termasuk kemungkinan menggantikan wakil rakyat terbabit dengan calon yang lebih layak tanpa mengadakan pilihan raya kecil.

sumber: Berita Harian

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...