Ahad, 31 Oktober 2010

Haru-biru gara-gara gangguan talian

Oleh NORAINI ABD. RAZAK

noraini.razak@utusan.com.my

DULU-dulu telegram dan surat merupakan teknologi komunikasi paling pantas menghubungkan manusia. Tatkala berjauhan maka surat jadi pengubat rindu. Jika ada berita kecemasan dan kematian, maka telegram menjadi pilihan.

Ketika itu juga teknologi telefon diperkenalkan. Talian tetap di pejabat mahu pun rumah perlahan-lahan menjadi medium menghubungkan manusia. Semua urusan berlangsung menggunakan talian tetap. Baik urusan pejabat mahu pun urusan seharian.

Di kawasan luar bandar pada zaman 80-an, tidak banyak rumah mempunyai talian tetap. Tidak ramai yang mampu membayar sewa serta kadar panggilan yang dikenakan ketika itu. Telefon dikategorikan sebagai barangan mewah ketika itu. Justeru bagi golongan yang tidak mampu, urusan dijalankan menggunakan surat-menyurat.

Tidak ada masalah ketika itu. Jika pun ada kelemahan adalah sistem penyampaian yang agak lambat. Sebab itu ada keluhan pelajar tidak dapat masuk ke universiti kerana surat tawaran tidak diterima. Ada kekasih merajuk lantaran surat cintanya cicir entah ke mana. Menariknya, ada juga yang jatuh cinta dengan posmen gara-gara setiap hari disapa dan menyapa ketika menunggu surat yang tidak kunjung tiba.

Berurusan menggunakan talian tetap juga ada batasannya. Kebiasaannya selepas janji temu diatur, tiada lagi susulan dibuat. Langkah diatur ke tempat pertemuan. Jika janji temu bersangkutan dengan urusan kerja maka persetujuan pertama untuk bertemu di tempat yang ditetapkan terus dipatuhi. Tidak perlu menelefon di saat-saat akhir membatalkan temu janji kerana tidak ada kemudahan yang membolehkan kita berbuat demikian. Hendak telefon pejabat atau rumah tentulah tidak sesuai kerana orang yang hendak ditemui pasti telah meninggalkan premis masing-masing.

Kadang-kadang bila difikirkan semula, betapa simplenya kehidupan ketika itu. Hanya dengan talian tetap atau surat menyurat janji temu dapat dilangsungkan dengan mudah.

Kecanggihan teknologi komunikasi memperkenalkan kita kepada talian mudah alih. Kini hampir semua orang memiliki telefon bimbit hatta murid sekolah rendah sekali pun. Tampak urusan semakin mudah. Maklumlah kita boleh dihubungi di mana sahaja dan pada bila-bila masa. Apatah lagi dalam keadaan banyak kawasan mempunyai liputan. Pelbagai syarikat telekomunikasi menjanjikan yang indah-indah. 'Anda berada di wilayah ...', 'liputan paling luas dan terbaik' dan macam-macam lagi.

Semestinya apabila kita menggunakan talian mudah alih syarikat telekomunikasi A dan berada di wilayah A maka servis wajar diberi gred A. Dan selalunya jika tidak berada di wilayah A, perkhidmatan sedikit terganggu. Suara tenggelam timbul gara-gara panggilan dibuat atau diterima ketika berada di kawasan yang bukan wilayah kita.

Terbaik

Mustahil atau tidak mampu menggunakan bermacam-macam talian dalam satu masa maka kebanyakan pengguna terpaksa berpuas hati dengan perkhidmatan yang dilanggan.Biar pun tidak sentiasa memuaskan, kita terpaksa bersetuju dengan janji-janji telco - inilah perkhidmatan terbaik untuk anda. Itulah paras terbaik yang pelanggan peroleh.

Dalam memberi perkhidmatan, setiap telco sentiasa melakukan penambahbaikan dengan moto semuanya untuk kebaikan pelanggan. Apabila tiada gangguan semestinya pelanggan akan berpuas hati. Namun dalam menawarkan penambahbaikan itu, adakalanya menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pelanggan terutamanya apabila mengganggu urusan seharian. Dua kejadian terbaru melibatkan syarikat telekomunikasi yang berbeza. Walaupun syarikat mendakwa gangguan hanya 90 minit namun pengalaman pelanggan menceritakan sebaliknya. Ada janji temu yang agak terganggu pada hari tersebut gara-gara gangguan yang dialami bermula jam 11 pagi hingga 3 petang. Ada kecelaruan dan kekeliruan sepanjang tempoh gangguan. Panggilan keluar dan masuk tidak dapat dilangsungkan. Ada juga yang mahu menjerit, membaling telefon mudah alih gara-gara gangguan yang tidak dimaklumkan terlebih dahulu.

Mungkin kerana terlalu bergantung kepada telefon mudah alih, kita kadang-kadang terlupa telefon talian tetap di rumah dan juga di pejabat yang sebenarnya masih banyak fungsi serta manfaatnya. Seolah-olah apabila berlaku gangguan talian mudah alih disebabkan kerja-kerja menaik taraf kita terus hilang punca. Segala macam urusan semacam tidak dapat dilaksananakan. Sedangkan kita tahu secanggih mana pun teknologi mesti ada cacat-celanya. Mesti ada gangguan walaupun dibuatatas nama penambahbaikan. Penggantungan keterlaluan kepada telefon mudah alih kadangkala mudaratkan dari segi beban mental. Gara-gara telefon mudah alih kita semakin kehilangan privasi.

Sebab itu dalam menjunjung kemajuan teknologi adakalanya kita tidak boleh melupakan kemudahan-kemudahan yang pernah membantu memudahkan urusan seharian kita satu ketika dulu. Terfikir juga untuk mencuba hidup tanpa telefon mudah alih. Biarkan segala urusan berlangsung di talian tetap - baik di pejabat mahupun di rumah. Mungkin hidup lebih tenang

sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...