Ahad, 17 Oktober 2010

Prinsip kewartawanan dan kepentingan politik

Oleh Ku Seman Ku Hussain
FAKTOR yang menentukan jangka hayat sesebuah akhbar adalah kumpulan pembacanya yakni rakyat. Tetapi yang menentukan hayat seseorang di kerusi pemimpin organisasi akhbar adalah parti politik yang menaungi akhbar berkenaan.

Penguasaan parti politik ke atas akhbar ditandai dengan peristiwa Mogok Utusan Melayu pada 1961 sekaligus mencatatkan sejarah penting persuratkhabaran negara ini. Mogok telah meletakkan Utusan Melayu dalam realiti baru.

Sebelum merdeka mereka dalam Utusan Melayu yang menggadai nyawa dan usia dianggap pejuang. Selepas merdeka, yang berhaluan kiri dianggap pertualang. Tetapi yang lantang walaupun terbuang tetapi mereka terus terbilang.

Selepas detik itu penguasaan parti politik ke atas akhbar-akhbar bukanlah luar biasa lagi. Tidak usahlah ada pihak yang pura-pura menafikan hakikat ini. Lagi pun bukanlah suatu yang mencemarkan maruah parti selagi prinsip kewartawanan dan kepentingan politik dapat dipisahkan.

Persoalannya apakah prinsip-prinsip kewartawanan terus dapat ditatang sedangkan adakalanya kepentingan politik bertentangan dengan prinsip kewartawanan tadi? Secara prinsipnya akhbar mesti mengutamakan rakyat dengan memperjuangkan isu-isu yang berkaitan dengan mereka. Pada zaman di mana rakyat dilimpahi dengan maklumat, akhbar tentunya tidak boleh lagi hanya menatang segelintir ahli politik dan meminggirkan kepentingan rakyat.

Akhbar yang berwibawa tidak boleh berubah menjadi “buletin” yang hanya menatang ahli politik dan tidak kritis terhadap isu-isu rakyat. Pemimpin politik harus realistik dengan tuntutan ini, kalau tidak, rakyat menolak akhbar, suara politik tidak sampai hingga ke lapis yang paling bawah.

Kerana itu permintaan dan saranan Tokoh Wartawan Negara Datuk C.C Liew wajar menjadi renungan untuk mengembalikan peranan akhbar dalam konteks pembangunan sosiobudaya dan politik negara. Petikan ucapan C.C Liew yang juga Pengarang Kumpulan Sin Chew Daily yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia Ahad lalu mewakili suara nurani wartawan seluruhnya. Beliau telah dipilih sebagai Tokoh Wartawan Negara, Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI- Petronas pada 6 Oktober lalu.

C.C Liew menyakinkan bahawa organisasi akhbar yang mapan dan wartawan yang profesional boleh mengekalkan tahap disiplin tertentu serta memastikan perdebatan tidak membawa kemudaratan kepada rakyat. Ini kerana walaupun cara komunikasi telah berubah, prinsip-prinsip wartawan tidak berubah; kebenaran, kejituan, keadilan dan keseimbangan. Prinsip ini dipegang sampai bila-bila.

“Oleh itu kami mesti dibenarkan untuk menjalankan tugas kami dalam pasaran yang dipenuhi dengan pendapat dan maklumat ini. Jika kami gagal, kami sedia menerima hakikatnya,” demikian ketegasan C.C Liew. Perkara yang diminta oleh C.C Liew bukanlah “kebebasan media” yang dipekik pihak tertentu sebaliknya ruang berkhidmat kepada rakyat dengan sempadan kewajaran yang tertentu. Ada juga media yang mendakwa sebagai “pejuang kebebasan media” tetapi hakikatnya mereka adalah orang suruhan kepada fahaman politik tertentu.

Hubungan

Walaupun akhbar pada dasarnya mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan politik tetapi bukan menurunkan martabat akhbar hingga ke tahap buletin politik. Buletin politik menulis membuta tuli tentang kehebatan dan kebaikan parti politik pemiliknya, tetapi tidak menyiarkan yang benar tentang rakyat. “Organisasi akhbar yang mapan dan wartawan yang profesional” seperti diungkapkan oleh C.C Liew bukanlah merujuk kepada buletin politik yang tidak ada rasional dalam laporan mereka. Maka soalnya adakah kalangan pemimpin dan ahli politik kita mahu menjadikan akhbar sebagai buletin politik, yang berperanan untuk kepentingan politik, bukan untuk rakyat?

Akhbar mesti diberikan ruang untuk menzahirkan keberanian memperjuangkan isu-isu rakyat. Malah diberi juga ruang untuk menegur dasar-dasar yang menyulitkan atau mendatangkan kesusahan kepada rakyat. Teguran ini untuk kepentingan kerajaan juga kerana akhbar adalah suara dan hati nurani rakyat. Kalau kerajaan tidak menghayati suara hati dan nurani rakyat, suara siapa yang harus didengar?

Organisasi akhbar beroperasi di bawah undang-undang tertentu. Sekiranya mereka melanggar seperti yang tercatat dalam undang-undang, tindakan boleh saja dikenakan. Tetapi selagi tidak melanggar undang-undang, akhbar mesti diberi ruang tanpa prasangka untuk berkhidmat kepada rakyat dalam lingkungan yang telah ditetapkan. C.C Liew menyatakan, untuk mengadili akhbar, soalan-soalan seperti kesilapan, pemalsuan dan pelanggaran undang-undang mesti ditanyakan terlebih dahulu sebelum diambil sebarang tindakan. Sekiranya perkara-perkara di atas tidak dilanggar, adalah tidak adil kepada rakyat apabila akhbar mereka dikenakan tindakan hanya demi kelestarian kepentingan politik.

Kalangan ahli politik, jangan terlalu mudah membuat kesimpulan kononnya kecenderungan akhbar tertentu menentang kepimpinan dalam kerajaan hanya kerana bersikap kritis. Mereka tidak perlu meraih kepentingan politik dengan menjaja kedangkalan pemikiran, apa lagi dalam landskap media yang dinamik pada masa kini. Akhbar yang berwibawa tidak boleh dihasilkan apabila wujud kuasa politik yang mahu mengatasi keutamaan akhbar kepada kepentingan rakyat.

Walaupun wujudnya pemilikan parti politik ke atas organisasi akhbar, kepentingan politik dan prinsip kewartawanan harus ditadbir secara berasingan. Ada kalanya prinsip kewartawanan bertentangan dengan politik dalam isu rakyat. Akhbar mesti diberi ruang untuk mengutamakan rakyat. Ini kerana kewujudan parti politik juga untuk memperjuangkan kepentingan rakyat, kecuali parti politik untuk politik semata-mata.

Selepas setengah abad merdeka, rakyat telah matang untuk mendebatkan isu-isu yang dulunya dianggap sensitif. Organisasi akhbar juga mempunyai pemimpin yang bertanggungjawab. Cuma masalahnya ada pemikiran sesetengah kalangan ahli politik yang tidak berkembang mengikut zaman. Kebimbangan mereka terhadap akhbar agak melulu seolah-olah akhbar boleh menentukan siapakah akan menjadi Perdana Menteri. Mereka ini sebenarnya yang perlu dibetulkan, bukan akhbar.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...