Isnin, 29 November 2010

Di mana rujukan filem kita?


BARU-BARU ini, seorang pembuat filem merungut kepada saya mengenai tapisan filem. Dia merujuk kepada Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) yang katanya banyak yang tidak boleh daripada boleh. Rungutnya, macam mana hendak membuat filem yang baik kalau banyak yang tidak boleh dibuat?
Saya katakan kepada dia, kalau hari ini kita tutup LPFM, apakah dia boleh memberi jaminan filem kita akan lebih baik berbanding dengan sekarang? Dia agak gusar dan tidak memberi jaminan. Seperti biasa, orang begini selalu meletakkan kelemahan dia kepada pihak lain.
Masalahnya, sesetengah pembuat filem kita mahu membuat filem dari jiwa orang lain khususnya Hollywood atau Hong Kong. Kita tidak merujuk Iran, misalnya.
Iran sebagai salah satu contoh kerana filemnya baik, industri filemnya maju dan yang penting tidak mengutip idealisme sampah sarap dari Hollywood sebagai rujukan. Ini berbeza dengan sebahagian besar daripada kita yang mengutip ‘falsafah’ sampah Hollywood mengenai budaya dan sosial.
Sepuluh tahun dulu, ketika heboh pembangunan E-Village di Dengkil, ada rombongan melawat pusat penerbitan filem India di Mumbai. Dalam sekian banyak negara lain yang mempunyai industri filem, kita memilih India.
Lawatan itu bukan sahaja bertujuan mengundang pembikin filem India menggunakan kemudahan di E-Village. Tetapi sekali gus mahu meminjam model yang digunakan untuk membangunkan filem di India. Ternyata hingga sekarang, penggerak pembangunan filem kita kurang celik di mana sewajarnya kita merujuk.
Kita boleh merujuk negara lain yang membuat filem lebih baik daripada India dan yang mempunyai persamaan nilai hidup dengan negara ini. Filem-filem Iran memang asing di negara ini. Biarpun banyak filem Iran menunjukkan taring dan pemikiran dunia Islam, kita lebih membuka diri kepada Hollywood.
Tidak ada salahnya menerima filem-filem Hollywood. Tetapi melupakan satu tamadun filem yang penting seperti di Iran tentunya suatu yang tidak wajar. Iran jauh lebih bertamadun dari Hong Kong atau Hollywood. Tetapi itulah yang menjadi menu kita membesarkan generasi anak muda Malaysia hari ini.
Pasti orang akan bertanya apa pentingnya filem-filem Iran yang mengutarakan latar budaya yang asing bagi kita? Malah ada menganggap filem Iran yang tidak berteknologi tinggi bukanlah model terbaik untuk filem tempatan yang mahu ke pentas global.
Ketika ini, kita masih teraba-raba mencari model membangunkan industri filem tempatan. Sementara birokrat pula sering bertindak secara ad hoc untuk membuat sesuatu yang memberi kesan negatif jangka panjang.
Keadaan menjadi lebih keliru lagi apabila kita mengambil langkah drastik membangunkan industri filem di bawah telunjuk teknologi. Kita memburu dan mahu membawa teknologi Hollywood dan cuba meminjam formula serta budayanya.
Iran mempunyai industri filem yang kukuh dan menjadi pembekal kepada keperluan menonton rakyatnya. Bayangkan dengan tapisan dan sekatan yang ketat, Iran mampu menerbitkan lebih 60 filem setahun.
Filem Iran juga membuktikan tanpa menggunakan kebebasan kreatif cara Hollywood yang melanggar tatasusila agama dan moral, Iran boleh berjaya membangunkan industri dengan wajah sendiri. Tidak ada salahnya meminjam budaya kerja Hollywood. Yang salahnya kita mahu menjadi Hollywood dan memperdagangkan moral anak-anak muda yang mahu menjadi bintang. Kita ‘jual’ mereka untuk wang.

sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...