Ahad, 17 Oktober 2010

Apabila persepsi tentukan keputusan

MANUSIA tidak berupaya untuk mengetahui atau memahami semua perkara secara mendalam dan selengkapnya. Apa yang dapat dilakukan hanyalah mengetahui atau memahami sesuatu perkara tertentu saja yang benar-benar dialami dan ditelitinya sendiri.

Sungguhpun dengan kesedaran tentang kurangnya kemampuan untuk mengetahui semua perkara, manusia tetap mahu memegang sesuatu kepercayaan walaupun ia tidak mempunyai asas yang kuat.

Kecenderungan untuk percaya kepada sesuatu perkara yang kurang berasas mungkin didorong oleh keperluan. Dalam kehidupan seharian, pelbagai keputusan perlu dibuat sedangkan fakta tidak mampu untuk dihimpun atau dikaji kesahihannya. Maka muncullah apa yang disebut sebagai persepsi. Justeru manusia hidup dengan persepsi. Kebetulan jika persepsi lahir daripada keadaan sebenar, maka keputusan yang dibuat daripadanya adalah betul. Tetapi jika sebaliknya, maka persepsi mendatangkan hasil yang tidak tepat.

Semua orang membuat keputusan setiap hari dalam menjalani kehidupannya. Ada keputusan yang besar, dan ada yang kecil. Ada yang penting dan ada yang kurang penting. Masa untuk membuat keputusan pula ada kalanya pendek, dan ada kalanya panjang. Maka banyaklah keputusan itu dibuat atas dasar persepsi. Justeru jika persepsi itu berasaskan fakta dengan rumusan logik yang betul, maka keputusan yang dibuat juga adalah berkualiti, begitulah juga sebaliknya.

Tetapi dalam membuat keputusan untuk diri sendiri, kesannya tidaklah sebesar atau seluas melibatkan orang lebih banyak jika memutuskan sesuatu perkara bagi pihak orang ramai.

Umpamanya, sebagai ketua keluarga, seorang suami dan bapa yang membuat keputusan akan memberi kesan besar dan berjangka panjang kepada keluarganya, untuk isteri dan anak-anaknya. Jika keputusannya itu bermutu, maka bernasib baiklah keluarganya, begitulah sebaliknya. Bagi isteri dan ibu pula, keputusan yang dibuat mengenai urusan rumah tangga juga memberi kesan yang mendalam. Adakah anaknya mendapat makanan yang berzat atau tidak, adalah kesemuanya memberi kesan jangka panjang juga.

Pejabat

Maka begitu juga di tempat kerja. Ketua-ketua pejabat mempunyai tanggungjawab berat dalam membuat keputusan. Sebarang keputusannya pasti akan memberi kesan terhadap syarikatnya, dan juga kepada untung rugi yang ditanggung oleh pemegang sahamnya, dan juga terhadap pendapatan pekerja dan kakitangannya pada masa akan datang.

Hanya para ketua dan pemimpin yang menanggung beban dan mengetahui betapa beratnya tanggungjawabnya dalam membuat keputusan. Sedangkan ada kalanya keputusan yang hendak dibuatnya adalah sukar. Telan mati emak dan luah mati bapa. Sedangkan fakta dan maklumat yang mendasari sesuatu keputusan hanya diperoleh secara terhad, termasuk melalui nasihat daripada pegawai-pegawai yang bekerja di bawahnya. Adakah nasihat dan maklumat itu benar atau bermutu, itu soal lain yang hanya dapat pemimpin itu menilai menurut pengalamannya sendiri.

Justeru, ketua dan pemimpin itu juga terpaksa bergantung kepada persepsi yang diterimanya. Maka para pegawainya pasti cuba mempengaruhi persepsi itu berdasarkan persepsi mereka pula. maka apa yang berlaku adalah persepsi atas persepsi. Sama ada persepsi itu berasaskan pada kebenaran atau tidak, ia hanyalah sesuatu yang kebetulan, dan rangkaiannya terlalu kompleks yang manusia hanya dapat membuat keputusan mengikut penilaian bukan saja berasaskan logik, tetapi juga perasaannya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...