Selasa, 19 Ogos 2014

PAS buat pusingan U panaskan krisis politik Selangor

Oleh Dr Samsul Adabi Mamat

Tindakan PAS melalui mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dilihat oleh ramai pemerhati sebagai membuat 'pusingan U'. Hal ini ada kebenarannya. Namun di sini pusingan ini saya sifatkan sebagai 'pusingan roundabout' (pusingan di bulatan jalan).

Pusingan ini menyaksikan sekurang-kurangnya tiga haluan diikuti PAS, iaitu mengekalkan empat EXCO PAS, menolak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan mencadangkan dua nama, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan nama Azmin Ali serta meneruskan semangat setia kawan bersama pakatan pembangkang. Ketetapan ini menimbulkan tanggapan pelbagai mengenai pakatan pembangkang, terutama sekali persepsi umum mengenai PAS.



Sekurang-kurangnya ada empat pendekatan yang berlegar dalam pengamatan penganalisis, pendekatan berkenaan ialah PAS tidak tetap pendirian, persepsi bahawa isu Menteri Besar (MB) Selangor ini ialah sandiwara terancang pembangkang membabitkan PAS, PKR dan DAP, PAS memang takut keluar atau mungkin dikeluarkan daripada pakatan dan PAS mengambil tindakan berhalus menangani krisis ini.

Pendekatan pertama melihat PAS sebagai parti yang tidak tetap pendirian. Sokongan kepada Abdul Khalid pada peringkat awal hampir menyeluruh dan padu daripada kepemimpinan tertinggi Mursyidul Am, Timbalan Mursyidul Am, Presiden PAS sendiri, Majlis Syura dan Majlis Ulama PAS serta keras sekali daripada kumpulan AJK PAS Pusat dan Pemudanya dengan beberapa kenyataan seperti daripada Dr Zuhdi, Nasaruddin Hasan Tantawi, Nik Abduh dan lain-lain menjadikan sokongan kepada Abdul Khalid ialah berasaskan sebuah autoriti menyeluruh. Malang sekali, keputusan mesyuarat khas PAS semalam mengecewakan ramai pihak yang suka dan berminat dengan pendirian seperti ini.

Pendekatan kedua pula melihat bahawa 'pusingan U' ini adalah plot daripada strategi pembangkang yang ingin menukar Abdul Khalid kepada sama ada Wan Azizah atau Azmin Ali. Plot pertama dalam strategi ini ialah melontarkan nama Wan Azizah sebagai pengganti Abdul Khalid. Plot kedua Presiden PAS sokong Abdul Khalid dan Tok Guru sebagai Mursyidul Am sokong Presiden PAS dan lain-lain sokongan daripada Dr Mohd Zuhdi Marzuki, Nasrudin Hasan Tantawi, MB Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan lain-lainnya. Plot ketiga, DAP marah. Plot empat, dua ADUN PAS beri sokongan kepada Wan Azizah menjadikan 30 menyokong undi tidak percaya. Plot lima komen pelbagai daripada kepemimpinan DAP, PKR dan PAS sendiri dan plot enam, Mesyuarat Khas PAS pada 17 Ogos memilih Wan Azizah atau Azmin. Strategi ini sebahagiannya dikatakan boleh menyelamatkan PAS ditohmah bersetuju dengan lantikan seorang wanita menjadi ketua pentadbiran bertaraf MB kerana dalam Islam memilih calon pemimpin lelaki itu ialah prioriti. Pendekatan ini kiranya benar meletakkan pakatan pembangkang sebagai gabungan yang berstrategi tinggi. Oleh itu, pendekatan ini bagi beberapa pemerhati adalah tidak munasabah.

Pendekatan ketiga pula ialah yang menyatakan bahawa PAS tidak tahan dengan tekanan pelbagai dan takut dengan kedudukan parti kiranya tidak bersama PKR dan DAP. Hasil tekanan pelbagai ini lahir antara lainnya daripada kumpulan dalaman parti yang sering disebut sebagai 'Anwarinas', tokoh DAP dan PKR sendiri. Analisis pelbagai peringkat juga menakutkan PAS apabila membayangkan PAS akan rugi tanpa gabungan dan dengan ini hasrat dan cita-cita PAS hendak menewaskan UMNO akan berkubur. Situasi ini dikatakan membuat PAS mula berfikir dua kali dan mengubah ketetapan awal.

Akhir sekali pendekatan keempat, melihat bahawa PAS melalui keputusan yang dibuat hari ini mengambil pendekatan 'berhalus' yang membolehkan PAS terus berada dalam pakatan pembangkang, pada masa sama, prinsip tidak setuju dengan tokoh wanita sebagai MB diketahui masyarakat, pada masa sama dapat memberikan sedikit tekanan dan situasi rumit kepada pakatan pembangkang agar lebih berhati-hati dalam tindakan yang memerlukan keputusan bersama, di samping memperoleh keuntungan lain dari segi kepentingan pengekalan EXCO kalangan ADUN PAS.

Empat situasi

Kebanyakan penganalisis yang mengambil jalan popular dan tidak mahu dikritik oleh pembangkang dan PAS menyokong pendekatan keempat ini. Jangkaan apa akan berlaku terhadap kemelut pembangkang di Selangor pula boleh dilihat berdasarkan empat situasi. Pertama sekali kemelut MB Selangor selesai, kedua, sama ada Azmin (yang enggan jadi calon) atau Wan Azizah berjaya menjadi MB, Khalid melawan arus dan berterusan dengan usaha mempertahan kedudukan dan akhir sekali, pembubaran DUN Selangor.

Situasi pertama dan kedua meletakkan pembangkang menarik nafas lega apabila usul undi tidak percaya berlaku dan menidakkan kedudukan Abdul Khalid sebagai MB. Dengan ini nama dua calon baharu itu dikemukakan kepada istana untuk dapat perkenan. Kiranya mendapat perkenan, maka Selangor akan mendapat MB baharu - Wan Azizah - dan berakhirlah kemelut MB Selangor.

Situasi ketiga mungkin boleh berlaku kiranya Abdul Khalid tidak selesa dengan situasi ini dan mula melawan arus dan mencari jalan yang bersesuaian sama ada menerusi perundangan mempertikaikan cara pemecatan beliau daripada PKR atau mungkin juga mendapat desakan daripada pelbagai masyarakat dan rakyat Selangor khususnya yang menyokong beliau terus kekal sebagai MB Selangor.

Pada tahap yang bersesuaian situasi ini akan bergerak ke arah usaha pembubaran DUN Selangor dan kemungkinan besar boleh mempengaruhi istana menerima idea ini.

Biar rakyat menghukum

Sebagai kesimpulannya, dengan keputusan PAS pada mesyuarat Khas Jawatankuasa Peringkat Pusat ini secara dasarnya meletakkan kedudukan Abdul Khalid dalam situasi yang tidak selamat dan berkemungkinan besar kedudukannya sebagai MB Selangor akan berakhir. Dengan andaian 15 ADUN PAS yang akan bersama pasti menjadikan pakatan pembangkang mempunyai bilangan undi majoriti untuk menyokong usul undi tidak percaya dan membawa calon MB baharu ke istana untuk mendapat perkenan.

Namun dalam politik, situasi tidak diramal boleh sentiasa berlaku. Misalnya, dengan desakan kalangan penyokong Abdul Khalid akan memberikan sejumlah idea kepada Abdul Khalid untuk melawan arus sedia ada. Dalam keadaan ini, situasi paling munasabah boleh berlaku ialah 'pembubaran DUN Selangor' dan mengadakan pilihan raya negeri Selangor. Tindakan ini memang wajar demi memberikan kepuasan kepada semua pihak, terutama sekali rakyat Selangor yang dilihat melalui tinjauan umum berkehendakkan Abdul Khalid kekal sebagai MB Selangor.

Pilihan raya negeri Selangor ini walaupun dalam banyak ulasan pemerhati dengan pandangan agar cuba dielakkan dan akan membabitkan kos melebihi RM50 juta, namun dalam situasi yang boleh memberikan situasi menang-menang, maka sudah tiba masanya ia amat diperlukan sekarang. Pilihan raya DUN Selangor jika diadakan juga amat penting dibuat dan natijahnya nanti bakal memperlihatkan kesan sebenar kepada semua parti. Adakan PAS boleh menambah kerusinya dari 15 atau semakin berkurang kerusinya. Adakah DAP boleh mengekalkan 15 kerusi yang sebelum ini mereka kuasai atau mungkin merosot kepada tidak sampai 10.

Bagaimana pula dengan PKR adakah masih mampu mengekalkan 13 kerusi mereka dan mungkinkah UMNO boleh menambah satu dua kerusi lagi dari 13 yang diperoleh sebelum ini. Ketika itu barulah kuasa rakyat akan memperlihatkan hukumannya kepada semua parti yang terbabit dengan kemelut MB Selangor.

KEDUDUKAN Abdul Khalid kini dalam situasi tidak selamat selepas keputusan PAS pada mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat tidak memihak beliau. - Foto Roslin Mat Tahir.

sumber: Berita harian Online

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...