Selasa, 19 Ogos 2014

Di sebalik pusingan U Pas

Oleh Zulkiflee Bakar


 Sidang akhbar Ahli Majlis Tertinggi Pas selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pusat semalam turut dihadiri Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Sabu (duduk, tiga dari kiri). Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang turut menghadiri mesyuarat tersebut bagaimanapun tidak menyertai sidang akhbar berkenaan. - BERNAMA
WALAUPUN dianggap melakukan pusingan U apabila memutuskan untuk mencalonkan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bagi jawatan Menteri Besar (MB) Selangor namun hakikatnya Pas memberi isyarat penolakan secara halus terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu apabila turut mencalonkan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali bagi kerusi tersebut.

Tindakan Pas itu umpama satu tamparan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang amat mengharapkan dengan terdapat hampir 12 orang yang dianggap 'penyokong setia' beliau dalam mesyuarat AJK Pas pusat, parti itu akan membuat pendirian mencalonkan isterinya sahaja.

Tetapi Pas telah membuat percaturan politik yang meletakkan PKR kini dalam keadaan serba salah sama ada hendak menolak secara total cadangan Pas atau menerimanya.



Ia memandangkan jika kepemimpinan PKR khususnya Anwar menolak pencalonan Azmin, ia sudah tentulah menimbulkan persoalan apakah kesalahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa tersebut? Dan apakah dari segi kelayakan dan kemampuan, Wan Azizah jauh lebih baik daripada Azmin?
Kalau dibandingkan dari segi pengalaman berpolitik, Azmin jauh lebih matang berbanding Wan Azizah yang terjun ke dalam dunia itu bagi menggantikan suaminya. Malah Wan Azizah juga menjadi Presiden kerana Anwar dan tidak pernah dicabar dalam pemilihan juga kerana Anwar.

"Jadi, kita hendak lihat apa yang PKR nak buat, Pas bukannya menolak Wan Azizah tetapi hanya mencalonkan satu lagi nama dan calon itu juga bukannya daripada parti lain tetapi daripada PKR serta bukan calang-calang individu sebaliknya timbalan presiden parti tersebut,'' kata satu sumber Pas kepada penulis ketika dihubungi.

Bagaimanapun seperti diduga, pencalonan Azmin oleh Pas ternyata tidak begitu disenangi oleh sesetengah pemimpin PKR yang menganggap langkah itu tidak perlu kerana mendakwa Wan Azizah sudahpun mempunyai sokongan majoriti DUN.

"Terpulanglah sama ada mereka hendak menerima atau tidak, tetapi Pas membuat keputusan ini berdasarkan kepada beberapa faktor termasuklah kemungkinan nama Wan Azizah tidak diperkenankan oleh istana.
"Soal beliau mendapat sokongan majoriti ADUN, itu soal lain kerana akhirnya yang akan memutuskan siapa MB Selangor ialah Sultan Selangor,'' kata seorang pemimpin Pas.

Ketika ini, ramai ternanti-nanti apakah pendirian Anwar berikutan pencalonan Pas tersebut kerana ia melibatkan dua individu yang dianggap orang paling rapat dengan beliau.

Jika Anwar benar-benar pentingkan kesejahteraan rakyat Selangor, beliau perlu menerima secara terbuka pencalonan Azmin kerana beliau pasti sedar bekas Setiausaha Politiknya itu lebih berkemampuan berbanding isterinya.

"Namun kita percaya Anwar akan memberi alasan bahawa Wan Azizah mendapat sokongan majoriti ADUN termasuk Azmin untuk menggantikan Abdul Khalid dan kemungkinan akan memastikan ADUN DAP serta PKR tidak melontar sokongan kepada Azmin.

"Kalau itu dilakukan, ia menampakkan bahawa Anwar mempunyai agenda tertentu kerana terlalu memihak kepada Wan Azizah,'' kata seorang pemimpin Pas.

Begitu juga jika Azmin membuat keputusan menolak pencalonan daripada Pas, ia akan memberi persepsi bahawa pakatan pembangkang tidak sepakat dalam menentukan calon dan ini sekali gus akan menyebabkan tiada cara lain bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku selain mengembalikan mandat kepada rakyat melalui pilihan raya.

Walaupun itu alasan yang diberikan namun ia masih belum mampu untuk menyelamatkan Pas daripada kecaman kerana dilihat melakukan pusingan U apabila tetap mengekalkan Wan Azizah sebagai salah seorang calon MB.

Ia memandangkan keputusan yang dibuat hari ini sedikit sebanyak menunjukkan Pas terpaksa tunduk dengan tekanan PKR dan DAP supaya menolak Abdul Khalid.

"Pas tidak sedar bahawa tindakan mereka menyebabkan timbulnya persepsi bahawa parti itu tidak berani membuat keputusan sendiri dan terlalu bergantung kepada PKR dan DAP.

"Jadi tanggungjawab kepemimpinan Pas sekarang adalah untuk memberi penjelasan kepada pemimpin dan ahli akar umbi kerana mahu tidak mahu apa yang terhasil dalam mesyuarat hari ini dilihat satu kemenangan kepada golongan pemimpin parti itu yang dilihat cenderung menyokong Anwar,'' kata seorang pemimpin Pas dari Kedah ketika dihubungi.

Pemimpin itu juga berpendapat, jika langkah Pas tersebut bertujuan membuka laluan kepada pilihan raya negeri memandangkan Abdul Khalid mungkin akan mengemukakan cadangan berkenaan, parti itu mestilah benar-benar bersedia.

"Hal ini kerana PKR dan DAP sudah pasti tidak akan memberi laluan mudah kepada Pas untuk mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya tersebut selepas Pas bersedia menyokong Abdul Khalid dengan sokongan empat Exco daripada Pas.

"Justeru Pas perlu memastikan, perhitungan politik yang dilakukan benar-benar memberikan keuntungan politik jangka panjang dan bukannya ibarat yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran,'' kata pemimpin itu lagi yang ternyata tidak bersetuju dengan tindakan Pas turut mencalonkan Wan Azizah.

Turut perlu dilakukan oleh Pas ialah untuk membuktikan sejauh mana benar dakwaan bahawa keputusan itu menunjukkan parti tersebut benar-benar bermain politik dan bukannya memikirkan soal kepentingan orang Melayu dan Islam.

Satu ketika PKR dan DAP agak bimbang dengan pendirian tegas Pas mempertahankan Abdul Khalid serta keputusan awal parti itu yang dilihat bermati-matian menolak Wan Azizah.

Malah Pas dilihat mula menunjukkan belang untuk menjadi sebuah parti yang berani berkata 'tidak' kepada kemahuan politik PKR dan DAP, tetapi belang itu akhirnya pudar.

"Sekurang-kurangnya dari satu segi, orang melihat kedua-dua parti itu berjaya menghalang kemahuan politik Pas apabila membuat keputusan tidak lagi menyokong Abdul Khalid.

"Sekarang terpulang kepada Pas bagaimana hendak menjelaskan kepada ahli-ahlinya dan juga orang Melayu, kenapa pendirian itu dibuat sedangkan mereka melihat betapa buruknya layanan pemimpin PKR dan DAP terhadap Pas sepanjang krisis MB Selangor,'' kata penganalisis politik, Ahmad Masrizal Muhammad.

Apa pun, segala keputusan muktamad kini terletak di tangan Sultan Selangor yang akan pulang ke tanah air pada 27 Ogos ini.

Yang pastinya, biarpun keputusan itu dilihat meresahkan PKR tetapi dalam masa sama, ia turut sedikit sebanyak mencalar imej Pas dan akhirnya yang tersenyum girang ialah DAP!

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...