Oleh Zulkiflee Bakar
PEMIMPIN, penyokong dan ahli Pas yang pro golongan ulama perlu
mengakui bahawa penguasaan mereka dalam parti itu sudah berakhir,
bersedialah untuk transformasi melalui laungan reformasi yang bakal
menyaksikan golongan itu sekadar 'penghias organisasi.'
Kegagalan golongan itu menahan arus kuat dalam menentukan pencalonan
Menteri Besar (MB) Selangor pada mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat,
kelmarin sudah menjadi isyarat awal bahawa Pas kini bukan lagi 'milik
ahli Pas'.
Sebaliknya Pas ibarat sekadar sebuah parti yang segala keputusan
harus mendapat restu dan kelulusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Tanpa izin kedua-dua parti itu segala kehendak, kemahuan dan keputusan
Pas hanyalah ibarat buih di tengah lautan, banyak tetapi tidak membawa
apa-apa manfaat.
Bayangkanlah, maruah Pas bagaikan diinjak-injak apabila keputusan
parti itu mencalonkan dua nama iaitu Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan
Ismail dan Azmin Ali ditolak mentah-mentah oleh PKR dan DAP. Sebaliknya
Pas dipaksa untuk akur dengan kehendak kedua-dua parti tersebut yang
hanya mahu Wan Azizah sahaja dicalonkan.
Perasaan hormat terhadap Pas seolah-olah tidak wujud memandangkan
cadangan Pas diketepikan tidak sampai enam jam selepas mereka membuat
keputusan dalam satu mesyuarat yang menjadi tumpuan seluruh negara.
Ketika pemimpin-pemimpin Pas daripada golongan bukan ulama mahu
penyokong serta ahli mereka menghormati keputusan parti yang dibuat
melalui mesyuarat itu, mereka sendiri seolah-olah 'mengkhianati' arahan
dibuat demi memenuhi nafsu dan kehendak politik PKR dan DAP.
Hebat betul pemimpin-pemimpin Pas tersebut menunjukkan teladan bagaimana hendak menghormati pendirian dan keputusan parti.
Sebenarnya, pusingan 'U' yang dibuat oleh Pas bukanlah satu kejutan
sebaliknya sudah dijangka oleh banyak pihak. Sebab itulah ramai yang
sinis apabila sebelum ini pemimpin-pemimpin Pas kononnya akan mengikuti
keputusan Majlis Syura Ulama mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
sebagai MB.
Memang benar, Abdul Khalid sukar dipertahankan oleh Pas memandangkan
beliau bukan lagi ahli PKR tetapi bagaimana dengan Wan Azizah? Presiden
PKR itu bermati-matian ditolak oleh Pas sehingga pada saat-saat akhir
pun pemimpin Pas dilihat bertegas dengan pendirian itu.
Tetapi ketegasan itu sebenarnya hanya membuatkan pemimpin-pemimpin
PKR dan DAP mengukir senyuman. Mereka tahu kelemahan Pas dan memahami
sejauh manakah keberanian pemimpin parti itu.
Sebab itulah, mereka tidak berasa takut untuk memberi tekanan kepada
pemimpin-pemimpin Pas supaya membuat keputusan segera berhubung
kedudukan MB Selangor.
Dan ternyata tekanan itu berjaya, pemimpin-pemimpin Pas yang sebelum
ini begitu lantang tidak mahu Wan Azizah, akhirnya kehilangan suara dan
keberanian untuk menyanggah arahan PKR dan DAP.
Keadaan itu memungkinkan Pas dilihat sekadar bernafsu untuk melakukan
itu dan ini tetapi hakikatnya sama sekali tidak berkemampuan bagi
mencapai kepuasan yang mereka inginkan dalam agenda politiknya.
Jangan disalahkan golongan ulama dan bukan juga kegagalan kepimpinan
Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden sebaliknya salahkan seluruh
pemimpin, penyokong dan ahli Pas kerana gagal menyedari bahaya menanti
apabila mereka menempatkan pemimpin yang dilihat lebih cenderung
memenuhi agenda PKR dan DAP.
Abdul Hadi sudah menunjukkan ketegasannya apabila semalam menegaskan,
Pas tetap mencalonkan dua nama dan bukan satu nama seperti mana
dikehendaki oleh sekutunya.
Akibat peranan segelintir pemimpin kumpulan bukan ulama, Pas dalam
pakatan pembangkang bukanlah 'tuan' apatah lagi pencatur perjalanan
politik gabungan itu, sebaliknya Pas hanyalah 'hamba politik' yang perlu
akur dengan apa juga kehendak dan kemahuan politik PKR dan DAP.
Kesanggupan dan kesediaan Pas untuk setia bersama pakatan pembangkang
berikutan tekanan segelintir pemimpin bukan ulama membuktikan parti itu
sudah tiada lagi jati diri, Pas tidak lagi memiliki apa-apa kekuatan
dan Pas juga hilang segala prinsip perjuangan.
Jati diri Pas sudah dirosakkan dengan agenda politik PKR dan DAP,
kekuatan Pas sudah dineutralkan oleh nafsu politik PKR dan DAP manakala
prinsip perjuangan sudah digadaikan kepada kedua-dua parti itu demi
matlamat mengejar kekuasaan.
Jangan mengharapkan apa-apa lagi daripada Pas, usah berbicara soal
untuk mengajak Pas mempertahankan hak Melayu dan usaha dipelawa Pas
memartabatkan Islam kerana Pas tidak mempunyai kemampuan untuk itu
semua, Pas hanya ada nafsu politik, nafsu mahu berkongsi kuasa
bersama-sama PKR dan DAP serta nafsu mahu menumbangkan Barisan Nasional
(BN) semata-mata.
Mungkin seperti biasa hujah-hujah seumpama ini akan dianggap sebagai
usaha untuk memecah belahkan pakatan pembangkang, tidak mengapa kalau
itulah yang hendak ditafsirkan oleh pemimpin dan ahli Pas yang masih
belum lagi membuka mata, hati dan fikiran mereka bahawa parti itu hanya
sekadar `pak turut' dan `lebai malang' dalam pakatan pembangkang.
Kepada ahli-ahli Pas terus beristiqamah dalam perjuangan parti itu
kerana ia amat penting bagi memenuhi segala kehendak PKR dan DAP.
Janganlah membuat tindakan dan janganlah membuat desakan mahupun
bantahan terhadap kedua-dua parti berkenaan kerana ia ibarat
menghabiskan air liur sahaja.
Lebih baik jika selepas ini apa pun mereka hendak cakap, apapun
mereka hendak lakukan, tanyalah dahulu 'tuan sebenar' politik mereka
iaitu PKR dan DAP. Pemimpin-pemimpin Pas khususnya daripada golongan
ulama sudah tiada apa-apa lagi kekuatan, Majlis Syura Ulama bagaikan
'pelengkap organisasi'.
Ini memandangkan bukan Pas yang menentukan nasib mereka, bukan majlis
syura yang berhak memastikan Pas tidak tergelincir daripada landasan
perjuangan tetapi segala-gala ada di tangan Majlis Presiden Pakatan
Rakyat.
Buatlah apa pun keputusan, nyatakan apa pun pendirian, akhirnya
majlis tersebut akan mempunyai kuasa veto untuk memastikan Pas akur
dengan apa yang diatur oleh PKR dan DAP.
Dan selepas ini teruslah bersedia untuk membantu kedua-dua parti
habis-habisan dalam pilihan raya kerana kemenangan mereka amat penting
bagi membuktikan betapa setianya Pas dalam pakatan pembangkang.
Malang sekali bagi Pas, sebuah parti yang cukup hebat dari segi
perjalanan politik, begitu 'gah' kerana sejarah penubuhannya dicetuskan
oleh sekumpulan ulama kini sekadar 'pak turut' dalam pakatan
pembangkang.
Tahniah kepada Pas khususnya segelintir pemimpin daripada golongan
bukan ulama dalam parti itu kerana berjaya melaksanakan misi 'Pas untuk
semua' dengan begitu hebat sekali. Ini memandang sudah terbukti Pas
mampu melaksanakan misi 'untuk semua' kemahuan politik PKR dan DAP.
Hebat!
Selasa, 19 Ogos 2014
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan