Isnin, 29 November 2010

Budak enam tahun berbekal durian panjat pokok kelapa elak ditelan tsunami

Oleh Suhana Roslan
suhanaroslan@bharian.com.my
2010/11/29



Misteri kehilangan Alex dan Darius kini tinggal sebatang kara antara kisah menyayat hati mangsa ombak besar di Kepulauan Mentawai

ANTARA perbualan hangat dibualkan penduduk di Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat, Indonesia selepas perkampungan itu dilanda bencana tsunami pada 25 Oktober lalu ialah kisah satu-satunya kanak-kanak lelaki yang terselamat di Dusun Sabue Gunggung, Desa Betumonga, Pulau Pagai UtaraKanak-kanak itu dikenali sebagai Alex berusia enam tahun. Dia dikatakan masih bernyawa kerana sempat menjamah seulas durian sebelum membawa separuh daripada buah itu ke puncak pokok kelapa dengan ketinggian 12 meter. Dia, difahamkan memanjat pokok itu buat kali pertama dalam hidupnya.
Selepas tiga hari ombak tsunami mencecah hampir 6 meter melanda dan meranapkan perkampungan itu serta mengakibatkan 446 penduduk maut termasuk ahli keluarganya, Alex turun dari pokok kelapa dalam keadaan bersahaja sambil tangan kanannya memegang kulit durian.

Alex kemudian ditemui sekumpulan petugas Agensi Mencari dan Menyelamat Negara Indonesia (Basarnas) yang ditugaskan mencari serta mengebumikan mayat penduduk pulau itu dalam satu lubang besar. Namun kanak-kanak itu tidak menghiraukan panggilan, sebaliknya berjalan terus sehingga ke pinggir pantai dalam keadaan hujan renyai-renyai.

Menyedari tindakan Alex berpakaian seluar pendek dan kemeja-T berwarna putih merah yang mungkin akan mengancam dirinya, seorang petugas Basarnas bertindak mendukung dan membawanya ke tapak perkhemahan kumpulan penyelamat terbabit.

Dalam bahasa Minang, Alex mengucapkan perkataan durian dan kelapa berulang kali. Dia juga menceritakan detik tsunami melanda dusunnya dan keajaiban menikmati durian di puncak pokok kelapa ketika air besar dan tinggi sedang ‘menelan’ perkampungannya.
Alex kemudian mengadu lapar dan diberi makan mi segera sebelum dibiarkan tidur sendirian. Sementara itu, petugas meneruskan kerja mengangkat dan mengebumikan mayat. Bagaimanapun, dalam tempoh dua jam Alex dibiarkan sendirian, kanak-kanak itu menghilangkan diri bersama kulit durian dan hingga kini dikatakan masih belum muncul.

Petugas Basarnas berusaha mencari Alex hingga ke Pulau Sikakap iaitu pekan kecil yang menyediakan hospital dan pusat rawatan sementara milik Tentera Nasional Indonesia (TNI), tetapi dia gagal dikesan.

Berminat untuk mengetahui lebih lanjut berhubung kisah itu, penulis, seorang wakil media tempatan dan jurugambar menyewa sebuah bot penambang untuk ke Dusun Sabeu Gunggung dari Pulau Sikakap yang perjalanannya mengambil masa 40 minit.

Bagaimanapun usaha itu tidak kesampaian apabila bot yang sudah dinaiki dan dibayar sewanya gagal untuk mengharungi ombak yang mencecah 6 meter menyebabkan kami perlu berpatah balik ke Pulau Sikakap.

Menurut tekong yang berpengalaman mengemudi bot itu sejak 10 tahun lalu, ombak setinggi itu jarang berlaku di kepulauan terbabit. Sekiranya diharungi juga, kami semua mungkin berdepan masalah dipukul badai.

Kekecewaan kami itu sedikit terubat apabila tekong berkenaan memberi cadangan supaya laluan ditukar ke dusun lain iaitu Pulau Muntei Baru-Baru, antara kampung yang ranap teruk dalam kejadian itu dan mengorbankan hampir keseluruhan penduduknya.

Kira-kira jam 2 petang, kami tiba di pesisir pantai pulau tetapi gagal untuk turun kerana hujan lebat secara tiba-tiba sekali gus mengundang rasa cuak di hati penulis dan rakan.

Kami terpaksa turun dari bot dengan mengharungi air mencecah paras pinggang dalam keadaan hujan lebat sejauh 2 kilometer sebelum tiba di daratan pulau berkenaan.

Dari jauh kelihatan sebuah khemah kosong terbentang sebelum kami bergegas ke tempat itu untuk berteduh. Hidung kami mula menusuk bau busuk yang sukar digambarkan. Bagaimanapun keadaan hujan lebat dan berteduh di bawah kanvas biru hanya bertahan selama lima minit apabila cuaca mendung tiba-tiba bertukar menjadi panas terik.

Tanpa memikirkan alasan pertukaran cuaca itu, penulis dan rakan bergegas ke tempat kejadian kerana diberi masa hanya satu jam untuk melaksanakan tugas di dusun berkenaan selepas tekong memaklumkan cuaca sedemikian sangat berbahaya jika perjalanan balik selepas jam 5 petang.

Satu kawasan tanah lapang yang kami pijak sebenarnya adalah tapak perumahan penduduk pulau itu sekali gus menyaksikan tiada serpihan lantai yang tinggal kecuali atap zink bersepah di sepanjang jalan.

Malah kawasan lapang itu seakan-akan seperti dasar laut yang sudah kering airnya apabila dua batu karang sebesar kereta pacuan empat roda terdampar lebih 100 meter dari pesisir pantai di samping batuan kecil yang bertaburan sekali gus membuktikan ombak tsunami berketinggian 13 meter itu benar-benar berlaku.

Ketika berpeluang menemui mangsa tsunami di kawasan itu yang hanya tinggal enam keluarga masing-masing kelihatan masih sugul dan malu untuk bertemu dengan petugas media.

Selain mempunyai masalah bahasa, mangsa juga dikatakan masih trauma dengan kejadian melanda mereka kerana ada yang kehilangan ahli keluarga di depan mata.

Semua mangsa dikuburkan dalam satu lubang yang diletakkan di tengah kepulauan itu dan dipacak dengan puluhan batang pisang menandakan jumlah kematian penduduk dusun berkenaan.

Ketika itu perasaan sayu mula menyelubungi hati penulis apabila melihat seorang kanak-kanak lelaki duduk menangis di kawasan perkuburan itu sambil tangannya memegang tiga tin sardin.

Kerana terlalu taksub untuk mengetahui cerita Alex dari Dusun Sabeu Gunggung, penulis terbawa-bawa kanak-kanak itu dengan nama Alex. Bagaimanapun kanak-kanak berusia empat tahun itu dalam bahasa Minangnya memberitahu namanya bukan Alex tetapi Darius.

Melalui seorang jurubahasa petugas media difahamkan, Darius kini hidup sebatang kara apabila ibu bapa serta dua kakaknya menjadi korban ‘dibaham’ ombak tsunami.

Rutin hariannya selama dua minggu sejak kejadian itu adalah dia akan singgah ke kubur ibunya setiap kali melalui tapak perkuburan selepas mengambil barangan makanan dari khemah Basarnas. Dia hanya inginkan tiga tin sardin.

Difahamkan, sardin adalah makanan kegemaran ahli keluarganya malah setiap kali singgah ke tapak perkuburan dia akan menceritakan keperitan hidupnya selain melahirkan rasa rindu kepada ahli keluarga sambil menangis teresak-esak.

Bagaimanapun tangisannya hanya kedengaran lima minit sebelum dia memulakan perjalanan ke tapak khemahnya sambil bernyanyi riang dan membawa tiga tin sardin.

Sebelum pulang dari Pulau Muntei Baru-Baru, pertanyaan mengenai bau busuk menusuk hidung sebentar tadi terjawab apabila diberitahu tapak khemah kosong yang kami duduki sebentar tadi untuk berteduh adalah tempat mengumpul mayat yang ditemui di celah atap zink, di atas jalan raya dan di atas pokok.

Kami meneruskan perjalanan menyusuri laut untuk ke Pulau Sikakap dalam keadaan hujan lebat dan ombak dengan ketinggian hampir 6 meter.

Masih terbayang di mata penulis bagaimana ombak hitam yang hampir menelan bot kayu yang kami naiki setiap kali menoleh ke belakang. Tetapi kepakaran tekong bot membelah ombak secara berselang-seli akhirnya memastikan pasukan kami menarik nafas lega apabila tiba di jeti Pulau Sikakap.

Masing-masing kelihatan mundar-mandir di atas jalan raya dan pulang ke rumah sewa masing-masing dengan rasa kesyukuran kerana masih bernyawa. Selain itu, di minda penulis masih melekat dengan kisah kanak-kanak bernama Alex dan Darius.

sumber: Berita Harian

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...