Isnin, 19 Julai 2010

Habis manis sepah dibuang

Sejak akhir-akhir ini laman blog saya terus mendapat hits yang tinggi dari dalam dan luar negara. Setiap minggu, komen-komen yang diberikan melebihi 200. Ada yang tidak faham bahasa Melayu pun cuba untuk memahaminya, supaya mereka turut dapat memberikan komen dan maklum balas. Saya ucapkan terima kasih. Seperti biasa, kumpulan ultra kiasu terus menerus menyerang untuk melemahkan semangat saya agar berhenti menulis.
Paling menarik perhatian adalah pandangan yang mahukan saya menjadi jambatan, penghubung antara orang Cina dengan Islam. Bukannya merosakkan hubungan tersebut, dengan tulisan-tulisan saya didakwa merosakkan imej Islam dan dakwah, sehingga Islam dipandang rendah oleh rakan sebangsa.
Agak malang juga mereka yang memberi komen hanya melihat saya sebagainya seorang 'mualaf' semata-mata, bukan kepakaran bidang yang saya miliki iaitu politik dan kerajaan. Saya sarankan mereka yang ingin membaca pandangan saya sebagai 'mualaf' dan dakwah, supaya membeli dan membaca majalah Al-Islam setiap bulan. Di situ pembaca akan melihat bagaimana saya bertindak sebagai jambatan (bridge) antara Islam-bukan Islam.
Tetapi tidak dalam kolum Mingguan Malaysia. Kolum ini lebih menonjolkan kepakaran silang budaya politik dan peradaban yang saya miliki dan kaji selama ini. Justeru, kita perlu bezakan antara individu 'mualaf' dengan bidang kepakaran, adalah dua perkara yang berbeza. Bidang kepakaran adalah tempat untuk mengasah bakat dan ilmu yang telah ditimba sebelum ini, seperti mana kita menulis jurnal akademik, perlu berasaskan kajian dan fakta.
Bila saya menyentuh dan menyindir serba sedikit bangsa saya, itu bukan bermakna saya menghina dan merendah-rendah mereka, seolah-olah lupa asal-usul. Saya sedar siapa saya dan saya bangga dengan kurniaan itu. Sememangnya saya tidak boleh menjadi Melayu. Malah, saya berbangga peradaban bangsa saya, kerana bangsa saya tidak pernah menjajah bangsa lain, walaupun mereka boleh berbuat demikian dengan kekuatan yang ada. Buktinya hubungan China - 'kerajaan' Melayu Melaka ribuan tahun dahulu.
Inilah perkara yang saya selalu hujahkan. Berbeza dengan penjajah Inggeris, di mana ada kesempatan, di situlah mereka menjajah dan mencari peluang, berpegang kepada prinsip 3G, Gospel, Gold and Glory.
Bangsa saya tidak sedemikian sifatnya. Saya tidak mahu bangsa saya meniru kebongkakan penjajah. Biarlah kita mengikut resmi padi, makin berisi, makin merunduk. Hubungan harmonis zaman dahulu kala mesti kekalkan tanpa mengguris hati dan perasaan orang lain. Tidak ada pergaduhan dan penjajahan, yang ada hanya interaksi perdagangan sehingga berlaku asimilasi, akulturasi, akomodasi dan integrasi. Melalui proses itu, hubungan dan kefahaman mereka menjadi semakin mantap antara satu sama lain. Lihatlah perwatakan baba nyonya, berbeza sekali dengan ultra kiasu.
Inilah perkara yang mesti diwujudkan kembali, bukan menghidupkan kembali prinsip 3G penjajah yang bongkak itu. Saya tidak kata, 3G itu salah, tetapi biarlah berpada-pada. Apa yang kita mahu di bumi bertuah ini. Agama (gospel) telah pun kita dapat dan bebas diamalkan tanpa gangguan, hatta bilangan rumah penyembahannya melebihi berkali ganda daripada rumah ibadat Islam. Pun begitu masih tidak bersyukur lagi sehingga ada yang cuba berdakwah dan memurtadkan umat Islam yang ternyata bercanggah dengan Perlembagaan. Perkara inilah yang menimbulkan sensitiviti umat Islam.
Kekayaan
Begitu juga dengan kekayaan (gold). Walaupun, tidak semua yang kaya, hakikatnya bukan Islam menguasai lebih banyak melebihi dari umat Islam. Maka, sudah sampai masanya kita membantu mereka yang masih belum berjaya, bukannya membawa kekayaan itu ke seberang laut. Ketika susah dahulu, orang menolong kita, sudah sampai masanya kini kita membalas balik jasanya itu.
Kekayaan yang dimiliki ini bukan hanya dapat dilihat pada wang ringgit, tetapi kekayaan warisan pusaka nenek moyang terus dikekalkan seadanya tanpa diganggu-gugat. Masihkah kita tidak berpuas hati? Apakah belum mencukupi?
Tidakkah kita perlu berpada-pada? Supaya ada umat Islam tidak terasa didominasi kerana mereka mengambil pendekatan tidak mendominasi.
Hal yang sama juga kita dapat lihat kepada kemegahan (glory). Hari ini, ke manapun bangsa saya pergi, mereka terus berjaya kerana mereka begitu kuat berusaha. Saya amat memuji sifat ini. Inilah sifat Islam yang sepatutnya ada pada umat Islam. Tetapi jangan sampai kelihatan seperti Belanda minta tanah? Tidak pernah merasa cukup. Itu yang menjadikan orang lain terasa hati, seolah-olah dipinggirkan di bumi sendiri.
Perkara yang selalu saya bangkitkan untuk diperhatikan dan dipertimbangkan bersama. Keadaan yang ada di negara kita tidak pernah berlaku di tempat lain. Bukankah ini syurga kepada kita? Buatlah kajian dan perbandingan untung nasib kita dengan negara lain. Kenapa setiap kali perlu dipertikaikan? Kita tidak pernah puas. Jangan bertindak seperti Yahudi di Palestin. Disebabkan hak-hak umat Islam yang telah tergadai dan dinodai di bumi sendiri, kita lihat pertikaian Palestin-Yahudi tidak ada penghujungnya sehinggalah hak umat Islam dipulangkan di bumi sendiri. Keadaan ini sudah hampir sama di sini.
Inilah peringatan demi peringatan yang selalu saya titipkan supaya kita sedar diri. Saya menjadi sebegini, sebab saya amat memahami mereka. Sejak dari kecil saya membesar bersama mereka. Kerana kesempitan hidup mereka terpaksa menggadaikan harta kesayangan mereka. Akhirnya kita juga yang menjadi kaya. Mereka juga yang miskin.
Saya yakin saya lebih memahami mereka daripada ultra kiasu, sehingga saya dituduh tidak memahami bangsa sendiri. Tidak mengapalah kalau begitu. Saya tidak kisah sama ada saya diterima atau tidak, oleh bangsa saya, kerana saya masih boleh hidup tanpa bangsa. Tetapi saya tidak boleh hidup tanpa Islam.
Dahulu umat Islam diam, hari ini mereka kembali bangkit. Mereka tidak mahu kekayaan negara ini terus dikaut orang lain. Mereka mahu ia dikongsi secara bersama kerana inilah bumi yang mereka ada, warisan nenek moyang.
Perkongsian ini mesti dilakukan sekiranya kita ingin melihat masa depan yang lebih gemilang tanpa prasangka. Jika tidak, masalah tidak akan selesai dan kita tidak akan menang. Hari ini kelihatan kita tidak mahu berkongsi, tetapi terus menentang. Kita mahu menjadi eksklusif bukan inklusif. Tidakkah inklusif lebih baik daripada eksklusif?
Artikel saya minggu lepas dicabar dengan mendedahkan perbuatan seks kalangan orang Islam dan umat Islam yang menjadi hamba seks di Bangladesh. Saya diminta oleh puak ultra kiasu ini supaya pergi ke Bangladesh membebaskan hamba seks kalangan umat Islam. Berulang kali saya telah sebut, saya tidak mahu membuka pekung di dada, sebab saya kenal dan tahu cara hidup rakan sebangsa.
Ultra kiasu tidak perlu membawa statistik hamba seks kalangan umat Islam di Bangladesh. Hamba seks di negara kita sendiri yang begitu banyak berleluasa termasuk pemerdagangan manusia bagi tujuan seks dan mengaut kekayaan, perlu dijaga dahulu. Siapakah yang melakukannya? Kita tidak kisah perbuatan tersebut haram atau tidak, yang penting boleh buat duit dan menjadi kaya raya.
Kita mengambil sikap tidak kisah isu ini. Berapa ramai wanita bukan Islam yang menjadi korban hasil nafsu buas lelaki. Hidup bersekedudukan tanpa kahwin. Saya berani mengatakan bahawa dari kalangan anak muda dan anak gadis mereka, hampir 100 peratus daripada mereka telah melakukan seks bebas sebelum berkahwin secara sah. Itupun bernasib baik jika mereka berkahwin. Jika tidak, orang lain turut menjadi mangsa kerana mendapat teman yang telah ditebuk tupai. Saya masih percaya mereka yang memberi komen dalam blog saya turut melakukan perkara yang sama. Mereka tidak kisah mendapat teman hidup yang telah ditebuk tupai, kerana selepas itu, mereka boleh menyimpan berpuluh-puluh mistress kerana bagi mereka tidak berdosa, asalkan niat baik.
Jangan
Dengan sebab itu, jangan kita keterlaluan menghina orang Melayu yang terlibat dalam gejala sosial dan seks bebas. Berpada-padalah. Kita paparkan seks bebas yang berlaku di kalangan orang Melayu. Pada saya, itu bukanlah perkara pelik sebab ramai lagi umat Islam yang tidak melakukan seks bebas berbanding kita.
Semua bukti ini dalam genggaman saya. Statistik umat Islam yang terlibat dan didedahkan dalam media bagi saya ada baiknya, sebab umat Islam amat sensitif dengan perbuatan haram ini dan mahu mencari jalan penyelesaian.
Sedangkan bukan Islam merasakan ia tidak penting. Tetapi, bila anak luar nikah tidak dapat dibinkan bapanya, kita menyalah kerajaan dan Jabatan Pendaftaran Negara. Namun, bila kerajaan bertolak ansur dengan memenuhi tuntutan dan desakan itu, kita gigit dan kutuk kerajaan habis-habisan, bukannya mahu berterima kasih. Adakah tindakan ini wajar?
Jika bilangan anak luar nikah yang menjadi tanda aras, saya fikir bilangannya anak luar nikah umat Islam tidaklah membimbangkan sangat. Berbanding dengan 'anak luar nikah' bukan Islam yang digugurkan sejak awal atau menggunakan alat pencegah hamil. Jika dibiarkan seperti mana yang dilakukan oleh anak gadis Islam, paling ramai anak luar nikah adalah orang bukan Islam.
Itupun nasib baik jika mereka bertanggungjawab. Ada yang terus ditinggalkan, habis manis sepah dibuang. Justeru, janganlah menuding jari seolah-olah orang Islam sahaja yang ketagih dan suka seks. Puak ultra kiasu boleh ambil gambar remaja melakukan perbuatan sumbang tersebut dan link ke blog saya. Saya hanya tersenyum dan ketawa kecil.

sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...