Isnin, 12 April 2010

Syarikat jenama Malaysia terus meningkat

SIAPA kata jenama Malaysia tidak bagus? Jenama Malaysia bukan sahaja bagus tetapi bernilai tinggi. Menurut Laporan Brand Finance 2010, nilai aset-aset tidak ketara menerusi syarikat-syarikat jenama Malaysia telah berjaya mengatasi syarikat-syarikat di Singapura.
Ini bermakna, sejak usaha-usaha pemulihan dilaksanakan bagi mengurangkan kesan kemelesetan ekonomi dunia pada 2007 ke atas negara, syarikat-syarikat Malaysia telah berjaya berkembang dan keluar daripada krisis ekonomi sehingga melonjakkan jenama mereka di persada dunia.
Nilai syarikat-syarikat jenama Malaysia meningkat sebanyak 12.9 peratus pada penghujung 2009. Secara keseluruhannya, nilai syarikat-syarikat jenama Malaysia berjumlah AS$358 bilion (RM1.152 trilion). Syarikat minyak negara, Petronas mendahului senarai syarikat-syarikat jenama Malaysia dengan nilai jenamanya sebanyak AS$12.2 bilion (RM39.2 bilion).

Ini diikuti oleh Genting Highlands Resort dan YTL Corporation. Manakala syarikat-syarikat lain seperti Malayan Banking Bhd., Tenaga Nasional Bhd., Maxis Communications, Sime Darby Bhd., CIMB Group Bhd., IOI Corporation, Telekom Malaysia Bhd. tergolong sebagai jenama-jenama terbaik di Malaysia.
Di peringkat global, WalMart mendahului senarai dengan nilai sebanyak AS$41.2 bilion (RM132.6 bilion), diikuti oleh enjin carian Internet, Google dengan nilai sebanyak AS$36.1 bilion (RM116.2 bilion), manakala jenama minuman bergas yang terlaris di dunia, Coca-Cola jatuh satu anak tangga ke tangga ketiga dengan nilai jenamanya sebanyak AS$34.8 bilion (RM111.9 bilion). Jenama syarikat-syarikat lain seperti IBM, Microsoft, HP, GE, HSBC, Vodafone dan Toyota pula tergolong dalam kumpulan sepuluh jenama terhebat di dunia.

Melihat kepada senarai di atas, syarikat-syarikat jenama Malaysia juga mempunyai reputasi dan berprestij cukup tinggi dengan nilai aset tidak ketara yang setanding dengan syarikat-syarikat bertaraf dunia yang lain. Syarikat-syarikat sebeginilah yang banyak membantu mempromosikan nama Malaysia agar lebih dikenali di persada dunia.

Usaha-usaha perlu dilakukan dengan lebih giat lagi agar lebih banyak lagi syarikat-syarikat tempatan dijulang jenama mereka di persada dunia. Aspek yang perlu diberi keutamaan adalah bagaimanakah untuk menjadikan syarikat-syarikat sebegini sebagai ikon syarikat dunia.

Umpamanya apabila disebut Coca-Cola, sesiapa sahaja mengetahui minuman bergas ini. Menjadi satu perkara yang cukup penting apabila jenama sesuatu barangan dikenali di seluruh dunia kerana ia mampu menghasilkan jualan yang cukup tinggi dan akhirnya menjana pendapatan syarikat tersebut dengan kadar yang amat tinggi.

Proses pengantarabangsaan syarikat-syarikat jenama Malaysia merupakan satu aspek yang cukup penting dalam Model Ekonomi Baru (MEB). Pertama, selain untuk memperkasakan sektor domestik negara, syarikat-syarikat Malaysia mestilah mempunyai reputasi jenama yang bernilai tinggi.
Barangan buatan Malaysia haruslah diketengahkan dan diutamakan untuk jualan domestik. Rakyat Malaysia sendiri mestilah mengutamakan dan membeli jenama-jenama barangan sendiri berbanding jenama negara-negara lain.

Keyakinan ini cukup penting kerana jika rakyat Malaysia sendiri tidak berkeyakinan dengan jenama barangan Malaysia, bagaimanakah jenama-jenama ini mampu memperoleh reputasi tinggi di persada dunia. Kedua, nilai syarikat-syarikat jenama Malaysia yang tinggi bukan sekadar memberi keuntungan kepada entiti itu sendiri, namun, ia mampu mengangkat pendapatan rakyat Malaysia ke tahap tertinggi.

Umpamanya, jika syarikat-syarikat jenama Malaysia berada pada tahap yang hebat, jualan barangan jenama Malaysia pastinya meningkat, maka keuntungan yang dijana dapat dipulangkan kembali kepada negara melalui dua bentuk.

Pertama melalui cukai yang dibayar kepada kerajaan dan kedua gaji pekerja rakyat Malaysia dapat dipertingkatkan lagi ke tahap yang lebih tinggi. Bukan itu sahaja, jika lebih banyak lagi syarikat-syarikat jenama Malaysia dikenali ramai di seluruh dunia, nama Malaysia juga bakal dikenali dan prospek pelancongan negara juga akan meningkat tinggi.

Tidakkah ini membawa rahmat yang cukup besar kepada industri pelancongan?
Oleh itu, pelaburan untuk meningkatkan jenama syarikat-syarikat Malaysia di persada dunia bukanlah satu bentuk pembaziran. Begitu juga, penganjuran pelbagai sukan bertaraf dunia seperti Formula 1 mampu melonjakkan jenama syarikat-syarikat Malaysia seperti Petronas.

Hasilnya kini dapat dilihat apabila Petronas cukup dikenali di persada dunia. Jika suatu ketika dahulu, nama Malaysia cukup kerdil di peringkat antarabangsa, kini dengan pelbagai usaha dilakukan di samping pengantarabangsaan barangan dan syarikat-syarikat jenama Malaysia, Malaysia kini, cukup dikenali di dunia.
Manfaatnya bukan sahaja dinikmati oleh syarikat-syarikat jenama Malaysia tetapi juga dirasai oleh seluruh warga negara Malaysia.

ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan
Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia

sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...