Ahad, 25 April 2010

NATO dalam era perang siber


HILLARY (tengah) semasa menghadiri persidangan Menteri Luar NATO di Talinn, Estonia baru-baru ini


Hollywood yakni Amerika Syarikat (AS) telah lama membentuk persepsi tentang perang masa depan dalam dunia siber menerusi filem-filem keluarannya. Perang siber menjadi antara subjek popular yang mengisi imaginasi pembuat filem Hollywood.
Tetapi bagi sesetengah orang perang siber hanya imaginasi kreatif Hollywood tetapi tidak mungkin ada medan perang kelima selepas darat, laut, udara dan ruang angkasa. Bagaimanapun kini perang siber telah menghampiri kenyataan dan filem-filem tentang perang siber bukan lagi sekadar imaginasi.
Ternyata kini perang siber bukan lagi berlegar sebuah eskapisme kreatif Hollywood selepas George Lucas mencipta perang di ruang angkasa menerusi Star Wars tahun 1973. Perang menguasai angkasaraya telah lama wujud antara AS dengan musuh ketat pada era perang dingin, Kesatuan Soviet.
Kini perang menerjah kepada satu ruang yang barangkali tidak terfikir ketika tercetusnya perang dingin AS dan Kesatuan Soviet. Perang siber antara yang menjadi perdebatan serius persidangan Menteri Luar negara yang menganggotai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Talinn, Estonia baru-baru ini. Estonia adalah sebuah negara bekas Kesatuan Soviet sebelum negara blok komunis itu runtuh dua dekad lalu. Estonia juga pernah diuji dengan pencerobohan sistem Internetnya oleh Rusia.
NATO ditubuhkan pada era perang dingin adalah cetusan AS untuk menjaga kepentingannya dari segi keselamatan apabila berdepan dengan Kesatuan Soviet. Ini adalah sebuah gabungan ketenteraan untuk menangkis negara-negara di Eropah barat dan tengah dari ancaman komunis Eropah Timur.
NATO yang berusia 61 tahun seperti yang ditegaskan Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton sedang mendepani krisis "pertengahan usia". Ini kerana gagasan asalnya untuk mendepani tindakan ketenteraan Kesatuan Soviet. Tetapi selepas keruntuhan negara-negara blok komunis di Eropah Timur dan juga Kesatuan Soviet, NATO hampir hilang peranannya.
Bagaimanapun dalam mengharungi krisis "pertengahan usia", persidangan itu juga membawakan satu cabaran baru kepada NATO tentang perang zaman baru atas negara-negara anggota. AS juga sebenarnya tidak terfikir tentang imaginasi perang siber dalam filem-filemnya akan menjadi kenyataan. Buktinya semasa Rusia menyerang Georgia 2008, seluruh sistem Internet kerajaan telah diceroboh. Ini sekaligus melumpuhkan sistem komunikasi dan bank data Georgia apabila pihak musuh menguasai sistem Internet kerajaan Georgia.
Kebimbangan yang disuarakan dalam persidangan di Talinn ini sangat berasas tentang wujudnya satu medan perang baru di ruang siber. Evolusi sistem pertahanan dan keselamatan perlu berubah daripada hanya menekankan serangan fizikal atau ketenteraan kepada serangan di ruang siber. Ini kerana kebergantungan sistem pertahanan di banyak negara kepada rangkaian Internet bukan rahsia lagi.
Serangan atas sistem komunikasi Internet Georgia oleh Rusia adalah satu kajian kes yang dibentangkan pada persidangan Menteri-Menteri Luar negara-negara anggota NATO. Malah sistem Internet Estonia yang menganggotai NATO tahun 2004 pernah diceroboh yang melumpuhkan urusan pentadbiran dan perniagaan selama beberapa hari.
Rusuhan
Semua ini adalah rentetan tercetus kontroversi yang tidak menyenangkan Rusia apabila pihak berkuasa Estonia memindah memorial era Kesatuan Soviet dari pusat bandar Talinn ke perkuburan tentera. Ini mencetuskan rusuhan di Estonia apabila puak minoriti Rusia bertindak balas kerana pemindahan memorial itu.
Serentak dengan rusuhan, sistem Internet Estonia telah diceroboh dan dilumpuhkan sepenuhnya selama beberapa hari. Hasil penyiasatan pihak berkuasa Estonia mendapati serangan itu datang dari server di Rusia dan dengan pengetahuan pihak berkuasa Rusia.
Menteri Pertahanan Estonia, Jaak Aaviksoo menegaskan kepada agensi berita AFP bahawa tragedi pencerobohan sistem Internet di Georgia dan Estonia sendiri sebagai satu permulaan perang siber yang sangat jelas.
Beliau menekankan bahawa ini bukan lagi satu imaginasi malah kewujudan perang siber suatu yang realiti dan menuntut tindakan drastik sama seperti perang yang lain. Ironiknya Internet bermula sebagai alat komunikasi tentera yang kemudiannya dikembangkan sebagai rangkaian maklumat menjadikan dunia tanpa sempadan.
Dalam satu laporan baru-baru ini, pasukan penyelidik dari University of Toronto mendapati China telah mencuri beberapa dokumen rahsia daripada pihak tentera India menerusi server yang dibangunkan di China. Kemudian menceroboh pejabat Dalai Lama dan banyak laman web lain di seluruh dunia.
Pasukan penyelidik itu berjaya menjejaki rangkaian Internet yang servernya di Chengdu yang menempatkan sistem komunikasi bahagian risikan dan ketenteraan China. Ini tentunya ada kaitan dengan penglibatan pihak tentera China.
Maka persidangan NATO kali ini selain mengembalikan hala tuju badan dunia itu yang jauh tersasar hingga menjadi "penjajah" atas beberapa negara lain, ia juga membuka satu lembaran baru tentang keselamatan sesebuah negara yang sentiasa terdedah kepada ancaman musuh.
NATO sebelum ini menjadi "penjajah" apabila bersama-sama AS memerangi Afghanistan dan kemudian Iraq. Bagaimanapun dalam banyak kenyataan NATO memetik di kedua-dua negara itu NATO memperlihatkan kejayaan menstabilkan keadaan yang kacau bilau.
Kini NATO dikejutkan dengan realiti baru dalam perang apabila Rusia mengusik dua negara bekas Kesatuan Soviet dengan menceroboh sistem Internet masing-masing. Ini sebenarnya ada kaitan dengan keterampilan Rusia sebagai sebuah lagi kuasa besar tentera selepas AS. Dalam satu persidangan NATO di Munich, Jerman Febuari lalu, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov telah menyuarakan hasrat untuk menganggotai NATO. Pada masa yang sama bekas Setiausaha Negara AS, Madeleine Albright juga mengusulkan perkara yang sama tetapi tidak ada sebarang ketetapan.
Kebimbangan
Prasangka banyak negara anggota NATO terhadap Rusia yang dulunya sebahagian bekas Kesatuan Soviet juga mencetuskan kebimbangan perang siber dilancarkan oleh Rusia. Walaupun isu keanggotaan Rusia ada dibincangkan dalam persidangan kali ini tetapi banyak anggota melihat imej Rusia lebih kepada penjajah atau penakluk daripada ditakluk.
Pada masa yang sama permulaan tindakan ketenteraan dan siber atas Georgia tahun 2008 memungkinkan tindakan siber yang lebih agresif oleh Rusia terutama negara-negara bekas Kesatuan Soviet. Dengan teknologi siber yang dimiliki Rusia jauh lebih tinggi berbanding negara-negara berkenaan, potensi untuk berlaku pencerobohan dan mencuri maklumat pertahanan akan lebih tinggi.
Maka kebimbangan yang dilontarkan pada persidangan NATO mengenai kewujudan perang siber bukanlah bahan jenaka. Ia juga bukan lagi imaginasi yang hanya dipancarkan oleh filem-filem Hollywood. Mendepani perang siber tentunya jauh lebih sukar daripada menghalang bala tentera secara konvensional. Rusia telah membuktikan ujiannya mencapai kejayaan. Kesedaran tentang perang siber memberi faedah kepada banyak negara termasuklah negara ini supaya tidak berlengah untuk mendepani perang baru.
Kalau benarlah seperti yang didakwa oleh sekumpulan penyelidik Kanada mengenai aktiviti pencerobohan dari server di Chengdu, China terhadap server tentera India, semua ini bukan hanya mainan dalam filem lagi.

sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...