Ahad, 11 April 2010

Bendung gejala seks bebas

GEJALA seks bebas merupakan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan masalah buang bayi kebelakangan ini sehingga mendorong kepada pelancaran kempen Kami Prihatin yang dirasmikan Khamis lalu.
Selain itu, tanggapan bahawa cinta kepada kekasih perlu dibuktikan melalui hubungan seks juga menyebabkan si gadis hamil luar nikah manakala lelaki yang terlibat mengambil sikap lepas tangan atau menghilangkan diri.
Akibat tidak sanggup untuk menanggung perasaan malu dan takut untuk berhadapan dengan keluarga si gadis yang ditinggalkan seorang diri atau pasangan yang terlanjur itu akhirnya mengambil jalan singkat dengan membuang atau membunuh bayi yang baru dilahirkan.
Dalam meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat supaya menghargai dan menyayangi bayi dan kanak-kanak, punca gejala buang bayi iaitu masalah seks bebas perlu dibendung dengan sebaik-baik mungkin.
Golongan remaja perlu diberikan kesedaran dan penerangan mengenai kepentingan untuk mengutamakan nilai-nilai moral serta kesan buruk seks bebas yang boleh membawa banyak kemudaratan seperti masalah buang bayi dan pelbagai penyakit.
Ketua Unit Kaunseling Bahagian Pembangunan Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr. Khamsiah Ismail berkata, keluarga perlu menerapkan nilai-nilai murni berteraskan agama dan adat timur dari rumah di peringkat kanak-kanak lagi.
''Secara tidak formal kanak-kanak perlu diingatkan bahawa budaya bergaul bebas ditegah agama selain bukan budaya timur. Kanak-kanak perempuan perlu dididik tentang cara-cara menjaga kehormatan diri dan kanak-kanak lelaki juga perlu diajar supaya menjadi pelindung kepada perempuan dan bukannya mengambil kesempatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Dr. Khamsiah, pendidikan kesihatan reproduksi juga perlu diperkenalkan di peringkat sekolah rendah lagi mengikut tahap kematangan para pelajar.
''Apabila meningkat umur remaja dan akil baligh, remaja perempuan perlu diajar tentang perkara yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan setelah mereka mengalami haid. Apa yang akan berlaku jika mereka mengadakan hubungan seks setelah mengalami haid umpamanya perlu diterangkan.
''Sesetengah remaja yang terjebak dalam seks bebas tanpa menyedari risiko bahawa mereka boleh mengandung. Ini berlaku kerana salah faham dan sebagainya. Ada yang beranggapan hanya pasangan yang berkahwin sahaja yang mampu mengandung dan bukannya remaja seperti mereka," jelasnya.
Tambah beliau, remaja perempuan juga perlu dimaklumkan mengenai hukuman yang bakal dihadapi mengikut Kanun Keseksaan jika mereka membuang bayi atau membunuh bayi dan sebagainya.
Sementara remaja lelaki, tambah Dr. Khamsiah, perlu didedahkan bahawa melakukan hubungan seks dengan remaja bawah umur adalah satu kesalahan dan mereka boleh menghadapi tindakan undang-undang seperti dipenjarakan dan sebagainya.
''Remaja lelaki dan perempuan perlu diingatkan bahawa kegiatan seks bebas boleh memusnahkan masa depan mereka dan harus dijauhi.
''Usaha membendung seks bebas bukanlah satu langkah yang mudah dan ia memerlukan pendekatan menyeluruh di semua peringkat termasuklah di rumah, sekolah dan masyarakat," katanya.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, golongan remaja hanya akan mampu mengawal diri daripada terjebak dalam gejala negatif seperti seks bebas jika diberikan bimbingan, panduan, kesedaran dan tunjuk ajar daripada pelbagai pihak.
''Gejala seks bebas sehingga mengakibatkan hamil luar nikah sebenarnya boleh dibendung jika semua pihak memainkan peranan masing-masing dengan berkesan.
''Ibu bapa, guru-guru, masyarakat dan para pemimpin misalnya mesti melihat semula sejauh manakah mereka telah melaksanakan peranan untuk dijadikan benteng kepada remaja daripada terlibat dalam gejala negatif ini," katanya ketika dihubungi.
Tambah Rosnah, golongan agama pula mesti mendekati para remaja dan bukannya mengasingkan diri atau menyisihkan kelompok berkenaan.
''Kekuatan remaja untuk berhadapan dengan gejala negatif ini hanya boleh menjadi kenyataan dengan adanya sokongan semua pihak," katanya.

sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...