Ahad, 21 Mac 2010

Wikipedia bukan sumber rujukan sahih

MEREKA yang terus tidak mahu ambil tahu dan selamba sahaja memetik Wikipedia sebagai bahan rujukan dalam artikel atau tesis, akan mendapati tulisan mereka turun markah atau dalam konteks penulis, artikel mereka akan susut nilai wibawa.

Namun, ramai juga yang 'memilih untuk mengikut arus' dan menolak hakikat sinikal yang dikaitkan dengan Wikipedia ini. Bagi golongan ini, perkembangan Wikipedia adalah menyerupai ledakan Internet yang turut menyaksikan generasi sekarang intim dengan Facebook atau Twitter. Jika mengenepikan Wikipedia, maka wujud kekurangan, kata mereka. Ini betul.

Maka tidaklah mengejutkan sangat bila ada teman dalam bidang perhubungan awam menyatakan bahawa antara skop tugas mereka sekarang ialah mengemaskini fakta-fakta mengenai syarikat dan ketua pegawai eksekutifnya yang dimuatkan dalam Wikipedia. Maknanya, mereka sendiri mencipta halaman mengenai mereka sendiri di situ.

Atas faktor komersial, tidak mengapa. Malah sangat bagus. Anda mungkin perasan bila mencari sesuatu dalam enjin carian, antara paparan teratas yang muncul ialah dari laman wikipedia.com

Malah disebabkan ada tugasan khusus bagi memantau dan mengemaskini maklumat, ia secara tidak langsung menjadi laman web percuma kepada entiti terbabit dan ramai pula yang mengaksesnya.

Beza Facebook dan Twitter ialah ia berkaitan rangkaian sosial. Wikipedia pula secara langsung berkenaan isu-isu ilmiah, fakta- fakta dan bukan gosip. Oleh kerana sifatnya, sesiapa sahaja boleh menulis dan mengolah kenyataan di dalamnya, menjadikan Wikipedia sangat berguna, jika dibuat cara betul dan sangat berbahaya, jika sebaliknya.

Bahayanya ialah seseorang boleh mencipta halaman berkenaan anda, menggunakan nama sebenar anda dan gambar (mungkin diambil dari Facebook?) dan menulis bahawa anda pernah ''menjalani rawatan sakit jiwa dan didakwa atas tuduhan mencuri''. Ini semua boleh berlaku kerana tiada siapa atau diri anda sendiri tahu pun ia disiarkan atau mengesahkan fakta seumpamanya. Ia mungkin boleh dipadamkan kemudian, tetapi kerosakan sudah berlaku.

Risiko ini mendorong sebuah universiti di Vermont, Amerika Syarikat iaitu Middlebury College pada 2007 mengeluarkan larangan kepada pelajarnya daripada menjadikan Wikipedia sebagai sumber rujukan bagi tugasan akademik mereka. Dekan Jabatan Sejarahnya, Don Wyatt berkata, ''Sebagai pendidik kami dalam bidang mengurangkan pengedaran maklumat salah. Walaupun Wikipedia mungkin mempunyai nilai-nilai tertentu, terutama membantu pelajar mencari sumber-sumber sahih, ia secara sendirinya bukan sumber yang wajar untuk dipetik,'' katanya.

Keputusan itu diambil oleh jabatan tersebut setelah para profesor mengesan pelajar-pelajar memetik maklumat salah dari Wikipedia dalam tugasan akademik dan jawapan ujian mereka.

Menurutnya lagi, larangan pihaknya terhadap Wikipedia bukan kepada sifat dalam taliannya tetapi sifatnya sebagai pernyataan yang tidak diedit dan disemak dengan wibawa. Para pelajar katanya, harus dididik supaya mencari maklumat berkualiti, bukan hendak cari jalan mudah semata-mata dengan membuka Wikipedia.

Memahami

Bila direnungi kenyataan di atas, anda tentunya bersetuju bahawa kaedah mencari bahan untuk tesis atau tugasan akademik menjadi lebih afdal dan jitu bila pelajar menjejak kaki ke perpustakaan dan benar-benar membaca sebuah buku bagi memahami sesuatu teori. Sekarang, komputer memudahkan semuanya. Hinggalah kepada petikan-petikan ayat sarjana. Masalahnya, pelajar akan hanya ingat sebaris dua ayat berkenaan tanpa mendalami huraian yang lazimnya terdapat dalam sesebuah buku atau jurnal.

Wikipedia sebenarnya lahir ekoran kegagalan Nupedia yang dicipta usahawan Internet, Jimmy Wales dan ahli falsafah, Lawrence Sanger pada 2000 untuk mewujudkan ensaiklopedia dalam talian secara percuma.

Nupedia dibangunkan sebagai ensaiklopedia yang ditulis oleh pakar dan boleh dikaji sesama pakar dalam bidang-bidang tertentu. Namun, ia menghadapi masalah besar. Ia berkaitan 'kepantasan'. Dalam tempoh enam bulan pertamanya, hanya dua artikel berjaya melepasi proses penilaian.

Melihatkan isu ini, Sanger menyarankan supaya diwujudkan sebuah lagi platform menyerupai Nupedia di mana sesiapa sahaja boleh menyumbang tanpa perlu semakan editorial. Maka, Wikipedia.com lahir pada 15 Januari 2001 dan model ini segera menenggelamkan Nupedia. Pada penghujung tahun pertamanya, Wikipedia mempunyai lebih 20,000 kandungan dalam 18 bahasa. Sejak itu, laman web tersebut mencatat pertumbuhan pesat iaitu 250,000 pada 2004 dan sejuta kemudiannya pada 2006.

sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...