Ahad, 21 Mac 2010

Anwar licik perguna nama pemimpin BN kecewa

Oleh Ahmad Naim Tahir
ahmadnaim@bharian.com.my
2010/03/21

    ZAHRAIN (kiri) bersama tiga   wakil rakyat Bebas   (dua dari kiri),    Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu,  Zulkifli Noordin;  Ahli Parlimen Bagan Serai,   Mohsin Fadzli Samsuri dan Ahli Parlimen Pasir Mas,   Ibrahim Ali duduk bersama pada      hari ketiga  Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-12,   di Bangunan Parlimen.
ZAHRAIN (kiri) bersama tiga wakil rakyat Bebas (dua dari kiri), Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin; Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali duduk bersama pada hari ketiga Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-12, di Bangunan Parlimen.

Pendedahan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru bukti penipuan, taktik kotor penasihat PKR


ISNIN lalu, ketika Dewan Rakyat kembali bersidang untuk Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-12, semua mata bertumpu kepada empat bekas Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertukar status mereka sebagai wakil rakyat Bebas.

Setiap seorang mempunyai kisah tersendiri di sebalik pertukaran status itu, tiga membuat keputusan keluar parti dan seorang lagi dipecat, tetapi perubahan status tidak menghalang mereka daripada duduk selesa di kerusi masing-masing di Blok F.

Dua hari selepas itu, tiba giliran wakil pertama kumpulan Ahli Parlimen Bebas untuk membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, lalu kelihatan sesusuk tubuh besar bangun bersiap untuk memulakan perbahasannya. Kelibat lelaki bercermin mata dan bersuara garau itu memang ditunggu-tunggu kerana beliau ialah Datuk Seri Mohamed Zahrain Hashim, Ahli Parlimen Bayan Baru merangkap orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meninggalkan PKR kerana kecewa dengan apa yang berlaku dalam parti itu.

Suasana dalam Dewan Rakyat yang dingin menjadi ‘panas’ apabila Zahrain mula membicarakan perangai bekas ‘bosnya’, satu demi satu ‘peluru’ dilepaskan sehinggakan Anwar membuat keputusan meninggalkan Dewan.

Jika ramai menganggap pendedahan Zahrain mengenai Rancangan 16 September 2008 – pelan tidak menjadi yang dirancang Penasihat PKR untuk menawan Putrajaya – sebagai menggemparkan, sebenarnya ada kisah lebih gempar didedahkan Ahli Parlimen Bayan Baru itu keesokannya.

Lapan nama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) disebutnya diumpan pembangkang bagi menjayakan rancangan 16 September itu, menggemparkan kerana beberapa nama penting turut berada dalam senarai itu seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Dr Mohd Puad Zarkashi dan Datuk Seri Anifah Aman.

"Dengan tegas dan tanpa ada riak getar pada suaranya, Zahrain menegaskan nama Ahli Parlimen BN yang didedahkan itu sebenarnya datang daripada mulut Anwar sendiri yang memaklumkan demikian kepada beliau dan pemimpin PKR lain”

Turut disenaraikannya ialah Datuk Bung Moktar Radin (Kinabatangan); Datuk Seri Abdul Ghafur Salleh (Kalabakan), Datuk Seri Tengku Azlan Abu Bakar (Jerantut), Datuk Chua Sooi Bui (Tawau) dan Datuk Eric Majimbun (Sepanggar) yang menjadi wakil rakyat Bebas selepas Parti Maju Sabah (SAPP) keluar BN pada 17 September 2008.

Tumpuan kemudian beralih kepada lapan individu itu, apa reaksi mereka terhadap pendedahan yang dibuat Zahrain. Ada yang menjawab, ada juga membisu dan ada yang memberi tarikh tertentu untuk menceritakan apa sebenarnya yang berlaku.

Mohd Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran dipujuk menandatangani surat menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri yang kononnya bakal dipersembahkan kepada Tuanku Mizan.

Sambil mengakui itu bukan kali pertama beliau dipujuk, Ahli Parlimen Batu Pahat itu bersyukur kerana diberikan hidayah Allah untuk memilih keputusan terbaik selepas melakukan solat sunat Istikharah.

Namun, Tengku Razaleigh menyifatkan senarai Anwar itu adalah cerita dongeng atau gosip politik semata-mata – atau dalam erti lain, penipuan.

Zahrain mempertahankan tindakannya, malah berani bersumpah dan mencabar pemimpin PKR lain supaya membuat kenyataan bahawa pendedahannya berhubung rancangan ‘16 September’ itu adalah satu pembohongan.

Dengan tegas dan tanpa ada riak getar pada suaranya, beliau menegaskan nama Ahli Parlimen BN yang didedahkan itu sebenarnya datang daripada mulut Anwar sendiri yang memaklumkan demikian kepada beliau dan pemimpin PKR lain.

“Saya hanya mendedahkan apa yang diberitahu Anwar,” katanya.

Mohd Puad yakin Zahrain tidak berbohong kerana perbualannya dengan Anwar juga diketahui oleh Ahli Parlimen Bayan Baru itu dan percaya ia didedahkan oleh Penasihat PKR itu.

Sambil mengakui terkejut namanya disebut kerana tidak pernah memaklumkan kepada mana-mana pihak berhubung tawaran diterimanya, Ketua Umno Bahagian Batu Pahat itu berkata, pendedahan Zahrain sewajarnya dibalas dengan ucapan terima kasih.

“Dia berjaya membongkar rahsia penting mengenai penipuan dan taktik kotor Anwar yang bukan saja menipu rakyat, tetapi juga pemimpin PKR sehingga menyebabkan empat Ahli Parlimen parti itu bertindak keluar parti.

“Zahrain tidak berbohong, sebaliknya yang berbohong adalah Anwar yang licik meyakinkan pemimpin lain bahawa beliau mampu menumbangkan kerajaan BN dan menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau juga yakin Anwar turut mengambil kesempatan menggunakan nama Tengku Razaleigh kerana pemimpin itu pernah mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen BN yang tidak berpuas hati dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Nama Anifah pula digunakan kerana semata-mata Menteri Luar itu tidak puas hati dengan layanan kerajaan terhadap Ahli Parlimen BN di Sabah dan Sarawak, manakala Ghapur kerana pemimpin itu menolak jawatan Timbalan Menteri.

sumber: Berita Harian

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...