Ahad, 21 Mac 2010

Siapa sebenarnya JihadJane


RUMAH asal LaRose di Pennsylvania yang dikatakan menjadi tempat dia berhubung dengan rakan-rakan dalam kegiatan pengganas.


TIBA-tiba nama JihadJane menggegarkan dunia. Dari segi beritanya seolah-olah digambarkan wanita yang nama asalnya Colleen LaRose ini terlalu bahaya sehingga mampu mengancam nyawa.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) pada 9 Mac lepas telah telah mengeluarkan satu pertuduhan mendakwa wanita berusia 46 tahun itu terlibat dalam merekrut anggota militan menerusi Internet dan bersubahat untuk membunuh seorang kartunis di Sweden Lars Vilks.

LaRose ditangkap pada Oktober 2009, beberapa jam selepas polis Ireland menangkap tujuh suspek yang dituduh berkomplot untuk membunuh Vilks kerana menghina Nabi Muhammad SAW dengan melukis karikatur beliau dengan badan seekor anjing.

Wanita yang dilahirkan di Michigan dan kemudian menetap di Pennsylvania sering menggunakan nama-nama samaran seperti ‘Fatima LaRose’ dan ‘JihadJane’ turut berhadapan tuduhan bersubahat untuk memberi bantuan penting kepada pengganas, bersubahat untuk melakukan pembunuhan di sebuah negara asing, membuat kenyataan palsu kepada pegawai kerajaan, dan cuba mencuri identiti orang lain.

LaRose juga didakwa menggunakan Internet untuk merekrut lelaki di Asia Selatan, Eropah dan AS untuk melancarkan serangan dalam masa setahun selain merekrut wanita yang memiliki pasport dan keupayaan untuk bergerak di seluruh Eropah bagi membantu gerakan jihad.

Dia dikatakan memulakan tindakan merekrut ahli pada Jun 2008. Melalui laman sosial YouTube dan beberapa laman sosial lain dengan nama samaran Jihad Jane dan Fatima LaRose, dia pernah menyatakan dirinya “sudah bersedia untuk membantu orang Muslim”.

Dia juga dikatakan pernah bertukar-tukar e-mel dengan pihak yang merancang kegiatan pengganas di Asia Tenggara dan Eropah serta memberitahu sanggup berkorban nyawa demi Islam. LaRose juga dikatakan pernah melanggan dan memasuki laman sesawang berkaitan kegiatan militan seperti RevolutionMuslim.com

Dia juga dikatakan sedang bersiap sedia untuk berpindah ke Eropah dan bersedia untuk terlibat secara aktif dalam melancarkan serangan sebelum ditangkap.

Berdasarkan pertuduhan yang dikeluarkan, LaRose dikatakan bersetuju untuk pergi ke Eropah untuk membunuh Vilks di atas arahan pihak yang mempunyai kaitan dengan kegiatan pengganas yang masih belum tidak diketahui. Malah LaRose dikatakan bersetuju untuk berkahwin dengan anggota kumpulan pengganas berkenaan bagi memudahkan operasi berkenaan.

Sehingga kini masih belum dinyatakan kumpulan pengganas mana yang dikaitkan dengan LaRose namun pihak perisikan AS tetap mengaitkan dia sebagai tali barut kumpulan pengganas.

Tindakan

Bagaimanapun bekas kekasihnya, Kurt Gorman, ketika diwawancara oleh CNN menyatakan dia tidak percaya LaRose melakukan tindakan tersebut. Menurutnya, selama mereka tinggal serumah, LaRose lebih banyak menghabiskan waktunya di rumah dan bermain permainan komputer dan bukannya melayari laman sesawang atau laman sosial lain.

Selain LaRose seorang lagi wanita AS Jamie Paulin-Ramirez, 31, turut ditahan kerana dikatakan mempunyai pertalian dalam perancangan tersebut. Ramirez adalah antara tujuh orang yang ditahan di Ireland kerana disyaki terlibat dalam komplot pengganas antarabangsa.

Polis Ireland berkata antara suspek yang ditahan di Ireland ialah seorang lelaki Algeria yang menjadi orang utama dihubungi oleh LaRose selain dua warga Algeria, seorang rakyat Croatia, seorang dari Palestin dan seorang warga Libya.

Ramirez telah mengumumkan dia memeluk agama Islam pada 11 September tahun lepas sebelum meninggalkan rumahnya di pekan Leadville, Colorado untuk mengahwini seorang lelaki Islam di New York yang dikenali melalui laman web.

Akhbar Wall Street Journal (WSJ) yang menemu bual ibu Ramirez, Christine Holcomb di Colorado melaporkan ibunya benar-benar terkejut dengan penglibatan anaknya itu.

“Saya marah dengan dia sekarang, saya rasa macam hendak mencekik dia. Namun saya juga risau mengenai dirinya, saya sayang dengan anak saya,” kata Holcomb.

Melihat kepada peristiwa ini pastinya ramai yang akan berpandangan bahawa pihak pengganas semakin bijak mengeksploitasi wanita Barat untuk tujuan keganasan. Dengan kelebihan wanita sebegini yang berambut perang, berwarna biru dan paling penting berasal dari Barat, mereka pasti dilihat memudahkan urusan yang sebelum ini terhalang seperti membekal bahan letupan mahupun membawa dokumen penting. Pastinya pergerakan mereka lebih bebas dan tidak terbatas seperti orang Islam lain yang kini berdepan dengan pelbagai halangan terutama ketika pemeriksaan di lapangan terbang.

Namun ia juga dilihat sebagai satu lagi usaha untuk memburuk-burukkan Islam apatah lagi di kalangan wanita Barat semakin ramai mereka mula tertarik dengan Islam. Jika benar JihadJane terlibat dalam komplot merancang keganasan pastinya ia satu kesilapan akibat dari dakyah songsang oleh mereka yang menyeleweng dari ajaran Islam. Ini kerana Islam tidak pernah mengajar dan menyuruh umatnya bertindak ganas. Tapi dalam soal lukisan kartun yang menghina Nabi Muhammad SAW oleh kartunis Sweden, pastinya provokasi sebegini mampu meningkatkan kemarahan di kalangan kita.

Peristiwa ini pastinya membuatkan kita semakin mual dengan tindak-tanduk Barat terhadap Islam. Apa saja mengenai Islam pastinya penilaian yang diberikan oleh Barat adalah sangat negatif. Itulah gambaran Barat terhadap Islam sejak sekian lama dan ia semakin memburuk selepas peristiwa 11 September 2001.

Apa sahaja yang berkaitan dengan Islam akan dikategorikan sebagai salah dan buruk. Mereka akan sentiasa melabel Islam sebagai agama yang radikal dan ketinggalan zaman hanya kerana kita tidak mahu mengikut kehendak perubahan dan kemajuan yang ditaja mereka.

Mengambil contoh pengharaman pemakaian purdah bagi wanita Islam oleh kerajaan Perancis ia akhirnya akan dilabel sebagai bertentangan dengan hak asasi manusia walaupun hakikatnya ia adalah hak bagi wanita berkenaan untuk memakainya.

Nampak sangat hak asasi yang diuar-uarkan Barat hanya umpama senjata kepada Barat untuk melarang sesuatu yang bertentangan dengan kehendak mereka. Tapi jika wanita itu mahu berpakaian menjolok mata atau pun sehingga ke tahap berbogel sekalipun semua itu dibenar malah akan dipertahankan semata-mata kerana ia selari dengan hak asasi manusia. Itulah double standart yang diamalkan oleh Barat setiap kali ia melibatkan Islam. Sampai bila perkara ini akan berterusan hanya mereka yang boleh menentukan itupun jika mereka mahu berubah. Namun ini tidak bermaksud kita perlu terpengaruh dengan provokasi mereka yang akhirnya jika terlalu terikut-ikut hanya akan memudaratkan dan merendahkan martabat diri.

sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...