Jumaat, 29 Mei 2009

Raikkonen bersemangat

LONDON - Pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen yakin pasukannya akan meraih kemenangan pertama musim ini dalam masa terdekat.
Selepas mencatat permulaan musim yang paling mengecewakan dalam tempoh 30 tahun, Raikkonen membantu pasukan dari Itali itu menghadiahkan kedudukan podium sulung apabila dia menduduki tempat ketiga pada Grand Prix (GP) Monaco, Ahad lalu.
Begitupun, Raikkonen menegaskan, dia masih belum berpuas hati kerana percaya pasukan Ferrari mampu untuk mencatat keputusan yang lebih baik.
"Saya tidak terlalu gembira dengan kedudukan tempat ketiga di Monaco," kata Raikkonen yang juga juara dunia 2007.
"Walaupun ia merupakan keputusan terbaik kami setakat ini, namun saya yakin kami sebenarnya mampu untuk memenangi perlumbaan.
"Kami juga tetap mengharapkan kemenangan walaupun sedar kedudukan kami agak jauh dengan pendahulu keseluruhan.
"Kedudukan podium pertama merupakan hadiah yang istimewa untuk seluruh pasukan selepas kami bekerja keras memperbaiki setiap kelemahan.
"Saya yakin, kami tidak akan berhenti di sini dan akan terus berusaha untuk meraih kemena- ngan."
Menurutnya lagi, tidak mustahil Ferrari akan mencatat kemenangan pertama pada GP Turki yang akan diadakan pada 7 Jun depan.
"Kami tahu kami berada di landasan yang betul tetapi masih terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan," jelas Raikkonen.
"Namun, lambat laun, kami pasti akan meraih kemenangan dan tidak mustahil juga kemenangan pertama kami akan diperoleh di Turki." - Agensi

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...