Ahad, 24 Mei 2009

Michael diancam kanser kulit

SEBUT saja nama Michael Jackson pasti akan wujud pelbagai persepsi tentang penyanyi yang tentunya akan dikenang sebagai antara legenda dalam dunia muzik.
Malah akan ada persepsi negatif yang dilemparkan terhadap beliau berikutan dari pelbagai kisah hidupnya dari yang pelik, lucu, dan ganjil. Selain itu sejak kebelakangan ini beliau turut dilaporkan menghadapi pelbagai masalah peribadi dan mula bersikap pelik selain dihimpit masalah kewangan yang semakin meruncing sehingga mengakibatkan rumahnya di Neverland Ranch terpaksa dijual untuk melangsaikan hutangnya.
Namun apa pun tanggapan dan persepsi yang dilemparkan terhadap beliau, populariti dan nama besarnya sebagai penghibur yang mendapat pelbagai pengiktirafan antarabangsa masih tetap utuh dan berterusan.
Konsert terbaru Michael yang akan diadakan pada Julai depan di Arena 02, London telah habis dijual. Ini membuktikan bahawa populariti beliau sebagai penghibur yang mendapat jolokan Raja Pop itu masih disanjung tinggi oleh peminat walaupun pelbagai kisah gelap mengenainya dilaporkan media silih berganti. Namun dalam perkembangan terbaru penghibur terkenal ini dilaporkan mengidap penyakit kanser kulit. Menurut satu laporan yang dikeluarkan akhbar The Sun, doktor telah menemui satu petanda penyakit kanser kulit di bahagian atas badannya dan sel awal kanser di bahagian mukanya dalam satu pemeriksaan kesihatan.
Berita ini telah menjelaskan kenapa beliau dilihat sering memakai topeng pernafasan sejak kebelakangan ini. Bagaimanapun penemuan ini tidak akan menjejaskan rancangan beliau untuk membuat kemunculan semula bersempena konsert yang akan diadakan.
Doktor yang merawat beliau memberi jaminan penyakit yang dihadapinya boleh dirawat tanpa sebarang masalah besar.
Berita tentang penyakit yang dialami oleh Michael ini telah mengejutkan banyak pihak dan ramai yang bimbang konsert yang telah dijadual berlangsung itu terpaksa dibatalkan. Namun menurut sumber yang rapat dengan Michael, beliau sendiri sangat teruja untuk melakukan kemunculan semula dan membuat peminatnya kembali teruja melalui konsert tersebut.
Michael dijadualkan akan mengadakan 50 persembahan di Arena 02 bermula 8 Julai depan dan beliau dilaporkan sedang mengadakan latihan Los Angeles pada ketika ini.
Kali terakhir beliau mengadakan konsert sebegini ialah pada tahun 1996 dan 1997.
Menurut laporan akhbar tersebut, Raja Pop itu telah dikenal pasti tentang penyakit ini pada bulan lepas dan dilaporkan mendapat rawatan di Hospital Cedars-Senai di Los Angeles yang mempunyai kepakaran yang lengkap untuk merawat penyakit tersebut. Berita tentang penyakit kanser kulit yang dialami beliau bukanlah satu berita yang mengejutkan kerana penyanyi ini sememangnya terkenal dengan kegilaan beliau melakukan pelbagai kaedah rawatan terutama di bahagian muka untuk kelihatan lebih kacak dan muda.
Kemunculan
Pada awal kemunculannya ketika zaman kanak-kanak dan remaja melalui kumpulan "The Jackson" kulit Michael menyerupai kebanyakan penduduk kulit hitam Amerika Syarikat (AS). Namun bermula pada lewat 1980-an, terutama selepas kemunculan album Thriller yang menaikkan namanya di persada dunia hiburan, kulit beliau telah mula dilihat lebih cerah berbanding sebelumnya.
Perubahan ini telah mendapat perhatian ramai terutama media massa dan pelbagai telahan dibuat mengenainya antaranya dia dengan sengaja menjalani rawatan untuk mencerahkan diri. Beliau dikatakan menjalani siri pembedahan kulit dan plastik bagi menjadi warga kulit putih.
Namun beliau kemudiannya dilaporkan dikenal pasti mengidap penyakit vitiligo yang mengakibatkan kulit beliau sensitif kepada cahaya. Proses penukaran warna kulit daripada orang kulit hitam menjadi orang kulit putih itu bukan sahaja menyebabkan beliau terpaksa berbelanja besar termasuk mandi menggunakan air mineral berkualiti tinggi dan berdandan menggunakan alat solek tetapi turut mengakibatkan wajahnya nampak lebih pelik.
Walaupun mendakwa dirinya mengidap penyakit kulit vitiligo yang mengakibatkan kulit berubah warna secara semulajadi serta alah kepada cahaya matahari, ramai menuduhnya sebagai suatu pembohongan dan tindakan memutihkan kulit dilihat seakan-akan lupa diri dan bangsa sebenar penyanyi tersebut.
Kedudukan asal mukanya juga telah berubah dan beliau didakwa telah menjalani pembedahan di bahagian hidung, bibir dan pipi untuk mencantikkan lagi penampilannya. Dia dilaporkan menjalani pembedahan plastik pada wajah secara dramatik bagi membentuk bahagian-bahagian tertentu mengikut acuan keinginan tersendiri.
Tuduhan tersebut sejajar dengan kekerapan Jacko dalam melakukan pembedahan plastik terutama ke atas bahagian bibir dan hidung agar lebih kecil dan mancung serta kulitnya bertukar menjadi putih bukan sahaja pada wajahnya malahan juga semua anggota badan yang lain termasuk alat sulit.
Beberapa pakar kesihatan telah mengeluarkan kenyataan bahawa pembedahan dan perubahan yang dilakukan Michael telah mengakibatkan ketidakstabilan kepada tubuh badannya di samping beberapa kesan psikologi.
Apa pun yang menimpa kepada bapa tiga anak hasil dua perkahwinannya yang menemui kegagalan sebelum ini, ia bukanlah sesuatu yang pelik dan baru kerana ramai antara kita yang mungkin bertindak ekstrem dalam soal penampilan dan kecantikan diri.
Mungkin kisah Michael ini boleh menjadi pengajaran kepada kita semua termasuklah mereka yang berada dan golongan artis agar tidak terlalu ghairah dalam soal kecantikan sehingga bertindak secara membabi buta tanpa menyelidik dan berfikir sebelum bertindak.
Teknologi kosmetik hari ini seperti suntikan vitamin C, pembedahan plastik, pembesaran payu dara dan botox sememangnya telah mula mendapat tempat di kalangan penduduk negara ini.
Sememangnya kecantikan itu merupakan antara anugerah tuhan yang sepatutnya dihargai dan dijaga dengan baik namun ia tidak semestinya perlu diubah seumpama tidak mensyukuri anugerah tuhan semata-mata kerana terdapat sedikit kecacatan yang sebenarnya tidak memberi sebarang kesan dalam kehidupan seharian.
Kecantikan
Lebih ditakuti hanya untuk kecantikan yang sementara kesannya akan mula dirasai apabila umur semakin meningkat tua seperti yang dialami oleh Michael.
Ketika itu mungkin sudah terlewat bagi kita untuk menyesal di atas perbuatan yang dilakukan pada usia muda akibat dari keinginan sendiri. Apa yang pasti anugerah tuhan terhadap manusia sudah mencukupi untuk dinilai dan dihayati sesama manusia tanpa perlu kita menjalani sebarang perubahan yang akhirnya merugikan akibat terlalu terburu nafsu.
Sesungguhnya kecantikan seseorang itu bukanlah terletak pada kecantikan paras rupa seseorang tetapi terletak pada hatinya.

Seperti kata-kata keramat ahli falsafah dan penyair terkenal Perancis, Voltaire bahawa "Kecantikan hanya untuk memenuhi tuntutan penglihatan namun kecantikan tingkah laku akan sentiasa memikat hati semua. - HAFIZAHRIL HAMID

- sumber Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...