Sabtu, 10 November 2012

Melayu bangkit tolak pemikiran kelirukan Islam

sumber : Utusan Malaysia

Zulkifli Noordin (kiri) menyampaikan ucapannya pada Forum Kebebasan Bertukar Agama dari Sudut Islam dan Perlembagaan Persekutuan di Dewan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, kelmarin. Turut kelihatan (dari kiri) Ismail Mina Ahmad, Yusri Mohamad, Hasan Ali dan Mohd. Ridhuan Tee Abdullah.

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Survival orang Melayu dalam berdepan gejala pluralisme dan liberalisme bergantung kepada kekuatan dan perpaduan bangsa berkenaan untuk menolak pemikiran yang mengelirukan agama Islam.

Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Zulkifli Noordin berkata, kesucian agama Islam perlu dipertahankan kerana serangan halus yang mempersoalkan ajaran sebenar agama suci itu datang dari pelbagai sudut termasuk dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam sendiri.
Menurut beliau, pemikiran yang mahukan hak kebebasan beragama diberikan kepada bangsa Melayu bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan malah merupakan agenda halus melemahkan akidah umat Islam di negara ini.


"Kita orang Melayu tiada pilihan lain untuk kesinambungan survival, kekuatan orang Melayu bukan terletak kepada kuasa, bukan kepada ekonomi tetapi kepada akidah, selagi orang Melayu beragama Islam, selagi itu kita akan berjaya.

"Kita hendak beri peringatan, walaupun 'kamu' dapat menembusi segelintir Melayu yang melacurkan bangsa serta agama dan dalam keadaan kami dikatakan lemah dan pecah, 'kamu' kena ingat, kami akan tetap mempertahankan agama kami dan tidak akan bergerak seinci pun," katanya.

Beliau berucap dalam Forum Kebebasan Bertukar Agama dari Sudut Islam dan Perlembagaan Persekutuan di Dewan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, di sini semalam.

Zulkifli yang merupakan salah seorang daripada ahli panel forum berkenaan mendapat tepukan gemuruh daripada para hadirin yang turut berdiri dengan penuh semangat melaungkan takbir Allahuakbar.
Selain Zulkifli, forum anjuran Perkasa itu dibarisi Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali, Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad dan Presiden Institut Penyelidikan Strategik Islam (Issi), Dr. Yusri Mohamad.

Majlis perasmian forum yang dihadiri setiap peringkat usia itu disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Fuad Hassan manakala Ketua Program Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Madya Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah merupakan moderatornya.

Forum tersebut diadakan sebagai reaksi terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar yang mencetuskan kontroversi apabila berkata: Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama... mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata.

Menurut Zulkifli yang merupakan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, kenyataan Nurul Izzah itu secara tidak langsung merupakan cadangan penghapusan bangsa Melayu kerana Perlembagaan menetapkan orang Melayu adalah beragama Islam.

"Bila Nurul Izzah berkata orang Melayu diberikan hak kebebasan beragama, secara tidak langsung beliau mencadangkan penghapusan bangsa Melayu, sama ada beliau sedar atau tidak, sama ada beliau jahil atau sengaja berpolitik," katanya.

Sementara itu, Hasan dalam forum berkenaan berkata, kenyataan Nurul Izzah sama sekali tidak boleh diterima kerana menimbulkan kekeliruan kepada ajaran sebenar agama Islam yang hanya membenarkan hak kebebasan beragama kepada golongan bukan beragama Islam.

"Tiada jihad yang lagi besar daripada jihad memperjuangkan agama, tetapi kita lihat Pas hanya mendiamkan sahaja dalam perkara ini, Pas telah menjadi kaku dan beku kerana Pas bukan lagi berkata berkenaan jihad tetapi berkata berkenaan hak asasi manusia, demokrasi dan Putrajaya," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...