sumber : Utusan Malaysia
BERADA di jalan raya setiap hari membuatkan saya tertanya-tanya
mengapa begitu ramai penunggang motosikal yang sanggup memperjudikan
nyawa dan anggota badan serta pertaruh nyawa dengan kematian semata-mata
tidak menghiraukan lampu isyarat ketika melintas di persimpangan
jalan.
Ia bukan hanya penunggang motosikal individu malah melibatkan
pasangan yang berumur dan kadang kala bersama anak-anak kecil yang
terselit di tengah-tengah. Saya sering terfikir sama ada mereka ini
menghargai nyawa mereka dan anak-anak.
Apa yang telah saya nyatakan adalah fakta berlakunya pada setiap
hari. Berdasarkan oleh pemantauan saya, lebih daripada 50 peratus
penunggang motosikal kita melanggar peraturan lampu isyarat ketika di
persimpangan trafik. Mengapakah mereka bersikap acuh tidak acuh dan
tidak hormat pada undang-undang?
Saya masih ingat pada satu kes, seorang penunggang motosikal wanita
menunggang tanpa memakai topi keledar. Sewaktu ditahan oleh seorang
anggota polis, wanita tersebut memanggilnya bodoh.
Mereka menunjukkan sikap tidak peduli pada undang-undang dan ia juga
mencerminkan sikap negatif di kalangan penunggang motosikal ini
terhadap keselamatan mereka sendiri.
Walaupun ada yang memakai topi keledar, tetapi jika dilihat dengan
teliti mereka tidak memakainya dengan cara yang betul. Ia sama seperti
tidak memakai topi keledar.
Mereka beranggapan bahawa peraturan trafik boleh dilanggar dan diabaikan kerana peluang untuk mereka ditangkap adalah nipis.
Bagi mereka ia tidak perlu untuk berhenti ketika lampu isyarat merah apabila ketiadaan trafik.
Atau adakah orang awam merasakan bahawa pihak berkuasa tidak memandang serius terhadap penguatkuasaan peraturan trafik.
Contohnya, mereka boleh melihat bahawa ada yang meletakkan kenderaan
di kawasan larangan letak kereta tetapi tiada tindakan penguatkuasaan
diambil terhadap pesalah ini.
Jika terdapat pegawai penguatkuasaan diletakkan di persimpangan
trafik, sudah pasti ramai yang di tangkap. Tetapi ini bukanlah perkara
yang hendak ditekankan.
Persoalannya kenapa begitu ramai penunggang motosikal tidak
menunjukkan sikap hormat terhadap undang-undang dan peraturan sehingga
ditahap membahayakan nyawa sendiri dan orang yang tersayang.
Saya juga mendapati bahawa sudah muncul satu trend di mana anak-anak muda terlibat dalam jenayah dan gejala-gejala sosial.
Nilai-nilai murni sudah tiada untuk menentukan perlakuan mereka dan
sikap hormat pada undang-undang serta arahan sudah tiada. Ada antaranya
juga tidak menunjukkan sikap hormat kepada ibu bapa mereka sendiri.
Remaja yang berusia seawal 15 tahun melibatkan diri dalam lagak ngeri
mat rempit seolah-olah untuk mengejek dan mencabar pihak polis di jalan
raya. Kejadian mat rempit yang melarikan diri daripada sekatan-jalan
serta mencederakan anggota polis semakin meningkat.
Di sebalik isu tidak menghormati peraturan, ia juga menunjukkan
kemerosotan nilai-nilai murni seperti ihsan, kesopanan, kesabaran,
merendah diri dan toleransi seperti yang diperlihatkan bagaimana rakyat
Malaysia membawa diri mereka di khalayak ramai.
Sindrom negatif seperti yang digambarkan dalam masalah aktiviti
pembuli jalan, pembuli sekolah, menggunakan kekerasan, memaparkan
kekasaran dan pembuangan sampah di tempat awam telah terbukti
menunjukkan dengan jelas bahawa kempen budi bahasa yang dilakukan masih
belum mencukupi.
Isu berkaitan tidak menunjukkan sikap hormat pada undang-undang
perlu diberi perhatian dan kita perlu mengenal pasti puncanya sebelum ia
bertambah teruk.
Adakah usaha pihak sekolah dan ibu bapa sudah mencukupi bagi memupuk sikap menghormati undang-undang di kalangan generasi muda?
Adakah benar terdapat begitu banyak tekanan negatif di kalangan rakan
sebaya yang telah membawa kepada keadaan yang tidak diingini seperti
itu?
Persoalan-persoalan ini adalah relevan dan tidak boleh diabaikan oleh
semua yang terlibat dalam pendidikan anak-anak kita yang akan menjadi
aset negara kita pada masa hadapan.
TAN SRI LEE LAM THYE ialah aktivis sosial.
Khamis, 16 Ogos 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan