Isnin, 2 Januari 2012

Kawan lama dan balas budi

Oleh Mior Kamarul Shahid
2012/01/01

sumber: Berita Harian

MENJELANG penghujung 2011 ini, tiba-tiba saya ditemukan semula dengan seorang rakan paling akrab sewaktu di sekolah menengah di Ipoh, Perak, lebih 45 tahun lalu. Akrab kerana kami bukan saja pergi ke sekolah berbasikal bersama walaupun bukan sekampung, tetapi ke mana saja, tidak pernah renggang. Siapa yang sampai dulu di satu simpang di hujung kampung, akan menunggu seorang lagi, sebelum berbasikal bersama ke sekolah sejauh kira-kira 15 kilometer.

Ini adalah pertemuan kedua kami sejak meninggalkan alam persekolahan pada 1970. Pertemuan pertama saya dan Md Isa Yatim ialah pada 1986 sewaktu saya menjadi Ketua Biro Utara Berita Harian di Prai, Pulau Pinang dan beliau pula bertugas di Parit Buntar, Perak.
Selepas itu kami terus terputus hubungan hinggalah malam kelmarin. Kami membawa haluan masing-masing meneruskan hidup. Md Isa yang masih menetap di Parit Buntar sering datang ke Kuala Lumpur kerana lima daripada tujuh anaknya menetap di ibu kota ini. Seorang daripada anaknya bertugas di Indonesia, manakala anak bongsunya masih menuntut di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM). Perbualan hingga lewat pagi tertumpu kepada kisah silam sewaktu di alam persekolahan, selain menceritakan hal masing-masing.
Md Isa, yang mengambil pencen awal sebagai kakitangan kerajaan, bersyukur kerana semua anaknya mendapat pendidikan sempurna. Dari sekolah rendah hinggalah ke universiti, semuanya di sekolah kerajaan dan universiti awam. Tak perlu bayar wang yang besar untuk mendidik anak.

Sekarang anak-anaknya sudah pun bekerja dengan sektor swasta dan ada yang membuka perniagaan sendiri. Mereka sudah mampu memiliki rumah sendiri di sekitar Kuala Lumpur. Tiga anaknya sudah berumah tangga dan sekarang mempunyai 11 cucu. Inilah baiknya berkahwin awal. Md Isa berkahwin pada usia 20 tahun.

Sebenarnya majoriti rakyat Malaysia mempunyai persamaan pengalaman khasnya dalam mendidik anak seperti keluarga Md Isa. Cuma, ada yang lebih bernasib baik kerana anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke luar negara dan ada yang kurang tetapi mereka tetap hidup sempurna.

Bilangan anak-anak Malaysia yang berjaya dalam pendidikan dan seterusnya di alam pekerjaan tidak terkira ramainya. Walaupun hidup sederhana, Md Isa beberapa kali menyatakan kesyukuran kerana dapat membesarkan anak-anak dalam suasana yang sempurna.
Memang dia sering menasihatkan anak-anaknya, jika mahu hidup senang, belajarlah bersung-guh. Walaupun beliau sendiri hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), impiannya untuk melihat anak-anaknya berjaya dalam kehidupan sudah tercapai, malah jauh lebih baik daripada dirinya sendiri. Sebagai bapa, beliau tumpang gembira dengan kejayaan anak-anak.

Semua ini dicapai hasil keamanan dan kemajuan negara. Jika kerajaan negara ini ditadbir oleh kerajaan yang tidak bertanggungjawab, sudah tentulah beliau tidak dapat menikmati kehidupan seperti sekarang dan anak-anaknya tidak akan dapat belajar hingga ke universiti.

Mengambil latar belakang persekitaran 1969 hingga 2011 seperti dilalui keluarga Md Isa, Malaysia menempuh pelbagai pergolakan ekonomi dan politik. Setiap rakyat yang menjalani kehidupan dalam tempoh itu, khasnya sejak pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), adalah satu tempoh yang sangat mencabar.

DEB mengambil masa yang panjang untuk sebati dalam fikiran dan jiwa rakyat kerana dasar yang bermatlamat untuk membasmi kemiskinan serta menyusun semula masyarakat itu, sering dijadikan modal politik pembangkang untuk memburuk-burukkan kerajaan.

Sejak peristiwa berdarah 13 Mei 1969 hinggalah ke hari ini, dengan sekurang-kurangnya lapan pilihan raya umum, pembangkang tidak pernah berhenti mencari kelemahan kerajaan Perikatan dan selepas itu Barisan Nasional (BN) sedangkan rakyat tetap menjalani hidup seperti biasa.

Jika kerajaan melakukan kesilapan besar, sudah tentulah keluarga Md Isa dan jutaan rakyat lain, hidup merana.

Sudah tentulah anak-anaknya tidak boleh maju dalam pelajaran dan pekerjaan. Sepanjang tempoh berkenaan juga, kerajaan memperkenalkan pelbagai dasar yang mengambil kira kehendak dan keperluan semasa dan akan datang. Bagi pembangkang, sukar mereka menerima dasar kerajaan, walaupun baik. Bagi mereka, bangkang tetap bangkang.

Dasar pendidikan umpamanya, berubah dari satu dasar ke dasar yang lain. Ia juga tidak lekang dijadikan modal politik yang diburukkan dengan elemen negatif polarisasi kaum.

Pembangkang memburuk-burukkan sistem dan dasar pendidikan sedangkan anak-anak mereka turut dihantar menuntut di sekolah-sekolah kerajaan dan universiti awam.

Rakyat cuba dipengaruhi dengan andaian-andaian negatif kononnya dasar pendidikan negara akan menyebabkan negara mundur ke belakang. Tetapi, mereka tidak pula menyoal berapa ramai anak yang melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading.

Untuk menjamin setiap rakyat mempunyai pekerjaan, kerajaan juga meluaskan setiap sektor pekerjaan selain melaksanakan dasar perindustrian negara. Kerajaan juga melakukan transformasi ekonomi negara dengan beralih daripada ekonomi berasaskan pertanian kepada ekonomi berasaskan perindustrian.

Namun, sektor pertanian tetap diberi perhatian. Apakah sumbangan pembangkang dalam menyediakan pendidikan dan pekerjaan untuk rakyat? Tentulah, dengan 28 juta penduduk hari ini, tidak semua rakyat hidup senang.

Pasti ada di kalangan rakyat yang hidup miskin dan memerlukan pembelaan. Ini dilakukan dari semasa ke semasa. Dengan pendekatan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mendahulukan kepentingan rakyat, bilangan miskin tegar kian berkurangan dan akan terhapus dalam jangka masa terdekat.

Hari ini anak-anak yang dididik seperti generasi Md Isa sudah menetap di bandar. Di sebahagian besar bandar, ia dikuasai oleh pembangkang kerana sebahagian besar penduduknya dipengaruhi ideologi DAP.

Bagi orang Melayu pula PAS menggunakan sentimen agama Islam manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) bergantung harap kepada DAP dan PAS kerana ia parti yang tidak mempunyai ideologi. Anak-anak dari kampung inilah yang boleh menenggelamkan pengaruh pembangkang di bandar-bandar dengan syarat mereka insaf bagaimana mereka menempa kejayaan bermula dalam bidang pendidikan.

Punca ramai yang terpengaruh dengan dakyah pembangkang ialah kerana mereka tidak menghargai fakta. Hakikatnya, tidak ada siapa boleh menafikan yang mereka tidak pernah menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Itu adalah fakta. Tetapi, akibat hasutan dan andaian-andaian yang mengelirukan, mereka membenci kerajaan.

Bagi anak-anak yang berjaya dan menetap di bandar-bandar, sudah sampai masanya mereka membalas budi atas segala kemudahan yang diberikan kerajaan kepada bapa dan diri mereka sendiri.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...