Isnin, 9 Januari 2012

Hasan Ali bukan liabiliti pembangkang tetapi aset Pas

DITUDUH celupar, buta hati dan terperangkap dengan hujah UMNO, itulah tohmahan yang terpaksa diterima oleh Datuk Dr.Hasan Ali apabila beliau menolak perhimpunan ‘Bebaskan Anwar 901’ yang akan diadakan di Kuala Lumpur, esok.

Kita tidak pasti apakah perasaan penyokong-penyokong Pas yang mempunyai semangat perjuangan Islam sebenar apabila pemimpin mereka dikecam sebegitu rupa oleh pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Tetapi apa yang pasti, keikhlasan Hasan memberi nasihat kepada ahli Pas supaya tidak menyertai perhimpunan berkenaan telah mendapat kecaman melampaui batas daripada pemimpin parti sekutu Pas itu.
Mereka mendesak Pas mengambil tindakan ke atas Hasan kerana dianggap telah melanggari kesepakatan bersama.

Pemimpin-pemimpin PKR marah kerana Hasan membuat satu kenyataan yang dilihat menghina pemimpin sanjungan mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun perlu difahami Hasan bukan bercakap bagi pihak dirinya sahaja, di dalam Pas sendiri biarpun Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggalakkan ahli Pas menyertai perhimpunan berkenaan tetapi di dalam Pas berlaku perbezaan pendapat.

Satu kelompok merasakan bahawa Pas patut turut serta manakala satu kelompok menganggap kenapa Pas menyusahkan diri mengerahkan penyokongnya sedangkan perhimpunan itu semata-mata bagi memperjuangkan isu peribadi Anwar.

Tidak kisah apa pun tafsiran apa yang penting diperbahaskan ialah keberanian pemimpin-pemimpin PKR menggesa Hasan dikenakan tindakan dan apakah nasib Exco Kerajaan Negeri Selangor itu selepas ini.
Hakikatnya, desakan PKR itu boleh dianggap ujian kepada Pas yang selama ini dilihat tidak mempunyai suara dalam pakatan pembangkang.

Pemimpin-pemimpin PKR berani membuat desakan dan kecaman ke atas Hasan kerana percaya Pas tidak berani melawan.
Keadaan itu seolah-olah menunjukkan bahawa PKR yang hanya ditubuhkan pada tahun 1999 berbanding Pas pada tahun 1951 cuba menjadi big brother dalam pakatan pembangkang.
Hakikatnya, tindakan PKR mengecam Hasan seolah-olah menunjukkan parti itu ingin menjadi parti utama dalam pakatan tersebut.

‘‘Mereka hendak tunjuk kuasa, kononnya mereka paling hebat dalam pakatan pembangkang tetapi hakikatnya merekalah paling bermasalah, jadi tidak payahlah hendak ajar bagaimana hendak ‘mendidik’ pemimpin kami,’’ kata seorang pemimpin Pas di sebuah kawasan di Kedah ketika dihubungi.
Sepatutnya, kalau pun Hasan hendak dikecam, biarlah ia datang daripada kalangan pemimpin Pas sendiri tetapi malangnya apa yang berlaku, PKR pula cuba menunjuk ajar Pas bagaimana hendak mengendali pemimpin-pemimpinnya.

Kemarahan yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin PKR terhadap Hasan itu boleh dipersoalkan kerana Hasan hanya menyatakan pendirian peribadinya bukan mewakili parti.
Kita juga tidak harus lupa, kalau PKR hendak marah dengan Hasan, mereka juga patut tersinggung dengan Abdul Hadi yang tidak mengeluarkan kenyataan secara arahan kepada penyokong Pas untuk menyertai perhimpunan itu.

Paksa

Sebaliknya Presiden Pas berkenaan secara berlapik menyatakan, ‘‘Kita tidak boleh paksa mereka (ahli Pas hadir perhimpunan) namun di situlah mereka boleh tunjuk semangat setiakawan dan rasa tanggungjawab kepada pakatan ini,’’.

Oleh itu di manakah salah Hasan? Kalau Presiden Pas sendiri pun menyerahkan kepada ahli Pas membuat keputusan hendak hadir atau tidak, kenapakah PKR yang melenting bila Hasan menyatakan pendiriannya?
Kenapakah PKR terlalu sibuk dengan Pas? Kenapakah PKR tidak mempertikaikan mengenai pendirian DAP yang sepatah pun tidak menyeru ahli-ahli untuk turun berhimpun menyokong Anwar esok?

Apakah PKR semakin terdesak kerana bimbang kenyataan Hasan boleh menjejaskan usaha mereka menarik penyokong Pas menghadiri perhimpunan yang dianggap tidak berfaedah itu?
PKR pun tahu, mereka tidak mempunyai keupayaan untuk mengumpul orang dalam jumlah yang ramai kerana parti itu semakin ditolak oleh rakyat, oleh itu mereka bergantung kepada Pas untuk berbuat demikian.
Tetapi jangan lupa, tidak semua penyokong Pas akan membuta-tuli mengikut arahan PKR untuk turun menyokong Anwar atas dasar kesetiakawanan dalam pakatan.

Mereka juga amat memahami siapa Anwar dalam isu-isu melibatkan kepentingan Islam, ini dinyatakan oleh seorang pemimpin Pas kepada penulis ketika dihubungi di Kuala Lumpur.
Antara lain pemimpin Pas itu menegaskan, beliau tidak mahu mengulas banyak mengenai soal perhimpunan tersebut sebaliknya berkata;

‘‘Saya hendak nasihatkan orang-orang Pas cuba fikirkan semula apa yang Anwar sudah buat kepada parti kita.
‘‘Anwar banyak melakukan tindakan menyinggung perasaan orang Pas sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam. Anwar sudah kata berkali-kali hukum hudud tidak ada tempat dalam kerajaan pakatan.

“Anwar sokong isu murtad Lina Joy atas asas hak asasi manusia, Anwar kata semua agama adalah sama (pluralisme) dan Anwar sokong program Lesbian, Biseksual, Gay dan Transgender (LGBT).
‘‘Dengan semua tindak-tanduk ini wajarkah kita berpanas, terpekik terlolong di depan mahkamah untuk membela nasib beliau. Kes liwat itu adalah isu peribadi, tiada kaitan dengan perjuangan pakatan pembangkang.’’

Justeru jelaslah tidak ada salahnya Hasan memberikan pandangan berhubung perhimpunan itu dan PKR tidak berhak mendesak Pas mengambil tindakan terhadap beliau.
Walaupun kita memahami di dalam Pas ramai pemimpinnya begitu taksub dengan Anwar, namun pucuk pimpinan parti perlu tegas mempertahankan Hasan.

Jika Pas membuat keputusan mengambil tindakan ke atas Hasan berikutan desakan PKR, percayalah parti itu sengaja menempah bahaya yang tindak balasnya bukan sahaja akan datang daripada penyokong Pas sahaja tetapi juga orang Melayu yang melihat Hasan hanya menyatakan kebenaran.
Oleh itu Pas perlu berhati-hati dalam berhadapan dengan isu Hasan ini, beliau hanya menyatakan perkara yang benar dan tidak pernah takut untuk berbuat demikian.

Bagi sebahagian orang Melayu dan umat Islam, Hasan tidak akan rugi apa-apa jika Pas tunduk dengan desakan PKR supaya beliau dikenakan tindakan, sebaliknya imej Pas yang akan rosak.
Ia kerana Hasan ingin memastikan bukan sahaja imej ‘pak turut’ yang terpalit pada Pas dapat dihapuskan tetapi lebih daripada itu beliau tidak mahu parti itu begitu mudah diperalatkan untuk kepentingan pihak lain terutamanya PKR yang kini bertungkus-lumus menyelamatkan pemimpin utama mereka.

Pas sepatutnya bersyukur kerana ada pemimpin seperti Hasan yang berani membuat teguran dan melalui cara itu parti tersebut tidak mudah ‘dibuli’ oleh parti lain terutamanya PKR.
Justeru sesungguhnya, bagi mereka yang mahu berfikir dengan matang, Hasan bukanlah satu liabiliti kepada pembangkang.

Sebaliknya, beliau ada adalah aset kepada Pas kerana ketegasan beliau untuk menyatakan yang benar itu benar, yang batil itu batil - satu sikap yang semakin berkurangan di kalangan sesetengah pemimpin Pas yang taksub kepada Anwar.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...