Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shamsul Azhar Abbas berkata, keuntungan sebelum cukai turut melonjak 34.5 peratus kepada RM90.5 bilion berbanding RM67.3 bilion tahun lalu.
Beliau berkata, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) pula sebanyak RM107.9 bilion meningkat 29.5 peratus berbanding RM83.3 bilion pada tahun kewangan 2009/2010.
“Margin Ebitda melonjak kepada 44.7 peratus walaupun kos meningkat dan kesan negatif yang terhasil daripada pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika.
“Prestasi lebih tinggi bagi semua perniagaan teras kami banyak didorong harga minyak lebih tinggi dan permintaan memberangsangkan,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan Petronas di Kuala Lumpur, semalam.
Sehubungan itu, Petronas turut mengumumkan pemberian dividen RM30 bilion kepada kerajaan yang bersamaan dengan 69 peratus keuntungan kasar berjumlah RM97.8 bilion yang dicatatkan syarikat.
“Kami mengkaji untuk menetapkan jumlah dividen yang akan dibayar kepada kerajaan pada kadar 30 peratus daripada keuntungan bersih mulai tahun kewangan 2013. Petronas sudahpun berbincang dengan kerajaan dan mencapai persefahaman mengenai perkara ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Shamsul Azhar berkata, syarikat minyak nasional itu memperuntukkan RM300 bilion bagi perbelanjaan modal (Capex) untuk tempoh lima tahun ke arah pengembangan hiliran Petronas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan