Ahad, 19 Jun 2011

BERSIH bermotif kotor

Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@bharian.com.my
2011/06/19


RAMAI rakyat Malaysia resah berikutan tindakan pihak tertentu, didalangi pembangkang mahu mengadakan perhimpunan haram – Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) di beberapa negeri 9 Julai ini. Nampaknya, Presiden BERSIH, Datuk S Ambiaga masih tidak berganjak untuk menganjurkan perhimpunan BERSIH 2.0 walaupun mengharapkan ia berjalan lancar.

Siapakah dia yang boleh memberi jaminan berhubung soal keselamatan negara. Jika BERSIH mahu memperjuangkan agenda masyarakat madani, mereka terlebih dulu perlu melihat diri sendiri. Tindakan yang mereka mahu lakukan itu juga adalah pemikiran lama yang tidak bertamadun. Mereka mempunyai motif yang kotor.

Pihak berkuasa keselamatan khasnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terbabit dalam perhimpunan haram itu. Ini menunjukkan penganjur bukan saja tidak takut kepada arahan polis, tetapi tidak langsung bimbang melakukan perbuatan yang melanggar undang-undang. Paling penting mereka tidak langsung mengambil kira risiko yang akan dihadapi oleh sesiapa juga yang terbabit dalam perhimpunan itu. Dalam masyarakat bertamadun, kalau seseorang mengambil barang yang tidak mendapat keizinan pemiliknya, itu mencuri namanya dan melakukan kesalahan jenayah. Begitu juga mengadakan perhimpunan yang tidak mendapat kebenaran juga bermakna melakukan kesalahan.

BERSIH mahu meneruskan perhimpunan itu kerana mereka nampak keuntungan politik yang akan diraih nanti. Tambahan pula, mereka juga mahu menggerakkan momentum pilihan raya yang dijadualkan tidak lama lagi. Untuk menghalalkan perhimpunan itu, pihak berkuasa perlu memberikan permit kepada mereka tetapi alasan PDRM pula ialah menghalalkan perhimpunan itu boleh menimbulkan masalah keselamatan – mana lebih penting? Logik akal, BERSIH tidak akan mendapat permit perhimpunan itu atas alasan keselamatan dan ketenteraman awam.

Keadaan ini akan memaksa perhimpunan itu diadakan secara haram. Jika diadakan juga, PDRM terpaksa bertindak dengan alasan mereka sudah pun mengeluarkan amaran tetapi tidak dipatuhi. Cuma, PDRM perlu konsisten bagi melarang mana-mana juga pertubuhan mahu menganjurkan perhimpunan yang boleh menimbulkan masalah keselamatan. Walaupun ada negara yang membenarkan perhimpunan, mereka juga mempunyai syarat.

Dalam kebanyakan perhimpunan atau demonstrasi politik yang pernah diadakan di negara ini, sebahagian besar yang mengambil bahagian ialah orang Melayu dan India. Daripada cara berpakaian dan perangai, mereka jelas mewakili parti politik atau badan yang ada kaitan dengan parti politik. Untuk lebih tepat, mereka mewakili parti pembangkang. Mereka akan turut serta asalkan perhimpunan itu diadakan untuk menentang kerajaan. Contohnya, jika dulu mereka sanggup berhimpun kononnya untuk menegakkan perjuangan sebuah negara Islam, hari ini orang yang sama sanggup berhimpun untuk mempertahankan pemimpin mereka yang mengatakan negara Islam tidak ada dalam al-Quran.

Realitinya, tidak ramai orang Cina mahu terbabit dalam demonstrasi di negara ini melainkan jika ia membabitkan kepentingan mereka secara langsung. Golongan ini, meskipun menyokong pembangkang, tidak akan membodohkan diri sendiri dan membuang masa. Pada mereka, biarlah orang Melayu dan India yang berdemonstrasi asalkan penyokong DAP mendapat faedahnya. Sebelum ini pun, PAS memberi banyak keistimewaan kepada DAP termasuk sanggup menukar perjuangannya semata-mata kerana mahu menjaga hati DAP.
Bagi kaum Cina yang berniaga atau yang tidak peduli mengenai politik, mereka bimbang perhimpunan haram itu boleh menjejaskan perniagaan mereka, khasnya jika ia diadakan di tempat mereka. Pada hari demonstrasi haram, orang ramai tidak akan keluar bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam kumpulan yang berarak atau dalam kesesakan lalu lintas. Peniaga terpaksa menutup kedai kerana bimbang, demonstrasi bertukar menjadi huru hara. Itulah sebabnya banyak pihak membantah perhimpunan haram itu. Perhimpunan kali ini jelas membuktikan pembangkang tidak yakin mereka mendapat sokongan rakyat sekiranya pilihan raya diadakan.

Oleh itu, mereka mengambil pendekatan mengadakan perhimpunan dan mendesak yang bukan-bukan. Mereka belajar daripada tindakan penduduk di sesetengah negara yang mengadakan perhimpunan semata-mata untuk menjatuhkan pemimpin. Mereka tidak boleh samakan keadaan di Malaysia dengan beberapa negara lain yang berbeza dari segi sistem, budaya dan undang-undang. Agak pelik pembangkang masih menganggap pilihan raya di Malaysia tidak bersih sedangkan mereka menang di lima negeri pada pilihan raya 2008 – Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Namun, Perak kembali kepada Barisan Nasional (BN).
Pembangkang juga menguasai kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan. Pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak baru-baru ini, bilangan kerusi pembangkang bertambah dan kawasan majoriti Cina dikuasai DAP. Apakah pilihan raya itu tidak telus dan adil?

Sebenarnya dalam kebanyakan tuduhan pembangkang ke atas BN, tidak ada bukti nyata. Apa yang mereka lakukan semata-mata untuk membentuk persepsi masyarakat seolah-olah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berat sebelah dan tidak adil. BN juga sebenarnya mempunyai banyak kes yang membabitkan pembangkang tetapi tidak mengetengahkannya kerana menganggapnya perkara remeh-temeh.

Disebabkan pembangkang tidak ada kuasa, apa saja tuduhan dilemparkan ke atas mereka dianggap sebagai penganiayaan tetapi jika mereka melemparkan tuduhan ke atas kerajaan BN, ia adalah untuk menegakkan kebenaran. Kerajaan terpaksa bertindak selepas mengkaji banyak perkiraan dan implikasi kerana tidak mahu dianggap zalim.

Pembangkang mengambil kesempatan atas kelembutan dan dilema kerajaan ini. Sebaliknya, jika kerajaan membiarkan perhimpunan itu, rakyat juga akan marah kerana membenarkan perhimpunan itu diadakan tanpa sebarang tindakan. Tindakan kerajaan menghalang perhimpunan itu adalah semata-mata sebagai langkah pencegahan bagi mengelak sesuatu yang buruk berlaku.

sumber: Berita Harian

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...