Jumaat, 17 Disember 2010

Kereta elektrik Proton bakal curi tumpuan dunia

2010/12/17

Projek penyelidikan dengan UTM mampu lonjak daya saing industri automotif negara

PROTOTAIP kereta elektrik Proton atau singkatannya Proton EV Flagship adalah gimik teknologi baru ciptaan tempatan yang dijangka menjadi perhatian dunia permotoran. Kereta hasil projek penyelidikan bersama Proton dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selama 11 bulan itu dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sempena Persidangan Antarabangsa Mobiliti Hijau di Kuala Lumpur pada 1 Disember lalu.

Kata Dr Mahathir, masa depan teknologi kereta banyak bergantung kepada sumber bekalan tenaga. Dalam konteks Proton, kereta elektrik diberi keutamaan kerana lebih mudah dipasarkan disebabkan prasarana seperti kaedah pencasan yang mudah berbanding teknologi hijau lain seperti sel bahan api dan solar.
Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin, menjangka prototaip itu akan memasuki fasa berikutnya iaitu maklum balas pelbagai pihak termasuk pengguna dari segi prestasi dan pemasaran. Prototaip itu juga akan ditambahbaik sebelum dikomersialkan sepenuhnya dalam tempoh dua tahun lagi.

Langkah Proton bekerjasama dengan UTM adalah satu sinergi yang perlu dijadikan model untuk pembangunan teknologi tempatan. Selama ini, universiti tempatan menjalankan pelbagai projek penyelidikan dan inovasi menggunakan dana awam dan swasta dalam pelbagai bidang. Sebahagian projek berkenaan dimanfaatkan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk pihak swasta dalam bentuk pembangunan modal insan, peningkatan sumbangan saintifik, penjanaan kekayaan negara dan teknologi tempatan. Namun ada juga yang tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerana model pembangunan inovasi tidak lestari disebabkan pelbagai kekangan, termasuk kewangan dan pemasaran.

Sementara banyak agensi swasta menjalankan pelbagai usaha mendapatkan teknologi sama ada secara pembelian hak cipta, sistem vendor atau seumpamanya yang sudah pasti bergantung kepada kepakaran luar. Untuk lebih berdaya saing, banyak syarikat besar tempatan mula menjalankan aktiviti R&D. Biasanya dalam keadaan dana dan modal insan yang terhad.

Di sinilah rasional betapa perlu dimantapkan sinergi antara syarikat dengan universiti atau agensi penyelidikan tempatan. Syarikat tempatan bukan saja dapat menjimatkan belanja malah dapat memanfaatkan kepakaran tempatan yang semakin berkembang jumlah dan kualitinya ketika ini.

Dalam konteks UTM misalnya, pensyarah dan penyelidik digabungkan dalam sebelas kumpulan Penyelidikan Bersekutu (Research Alliance, RA), iaitu pengangkutan, tenaga, air, infokomunikasi, sibernatik, k-ekonomi, bahan serta pengeluaran, bioteknologi, nanoteknologi, pelestarian dan pembinaan.
Pengabungan ini bersifat multi-disiplin dan menjurus kepada pelbagai sektor utama pembangunan negara, tidak lagi terikat kepada disiplin ilmu atau fakulti. Dalam kumpulan RA pengangkutan misalnya mengumpulkan kepakaran dalam bidang kejuruteraan mekanikal, automotif, pengeluaran, elektrik, elektronik, teknologi solar, egronomiks, automasi, ekonomi automotif, kewangan antarabangsa, pemasaran sehinggalah statistik dan GPS.

Dengan kata lain, bagi membolehkan interaksi akademia-industri yang lebih produktif maka dunia akademik memerlukan transformasi supaya tidak lagi terkongkong dalam kepompong ‘sempadan ilmiah’ yang sebenarnya hanya sesuai untuk era industrialisasi pasca Perang Dunia Kedua. Apa saja masalah dunia ketika ini tidak boleh diselesaikan oleh seorang genius tetapi memerlukan pandangan dan input pelbagai kepakaran dari pelbagai sudut ilmu.

Itulah rasionalnya penubuhan Kursi Profesor Proton-UTM. Pemegang kursi itu ketika ini adalah staf UTM iaitu Dr Azman Zainal Abidin tetapi bertugas sepenuh masa di makmal Proton di Shah Alam. Selain menjadi penghubung antara UTM dan Proton dalam pelbagai projek penyelidikan, pemegang Kursi itu juga berperanan untuk memecahkan kebuntuan ‘sempadan ilmiah’ yang selama ini menjustifikasikan retorik bahawa akademia adalah ‘menara gading’ yang seharusnya bebas daripada ‘kegawatan dan hal remeh duniawi.’

Bagi Proton, inisiatif memaju inovasi dan penyelidikan adalah suatu percaturan demi survival industri kereta nasional. Mahu tidak mahu kita perlu turut serta memaju teknologi tempatan dengan segala ruang dan kesempatan yang ada.

Justeru, memorandum persefahaman termeterai antara Proton dengan UTM pada 25 Februari lalu adalah langkah strategik untuk melonjak teknologi automobil negara menerusi penyelidikan, pembangunan modal insan dan pertukaran kepakaran di kalangan staf.

Langkah strategik sedemikian dirangka dengan menyedari bahawa industri automotif adalah pentas pengujian teknologi terkini dalam pelbagai bidang. Automotif bukan sekadar kenderaan untuk sesuatu perjalanan dari satu tempat ke destinasinya. Malah membabitkan unsur keselesaan, keselamatan, penjenamaan, sekali gus lambang status sosial.

Selain itu banyak spesifikasi baru menjadi semakin diperlukan terutama kelestarian dan mesra alam yang tidak terhad kepada pelepasan gas, penggunaan plastik mesra alam dan penggunaan bahan api secara optimum. Memang industri automobil berada pada kedudukan sangat berdaya saing ketika ini. Justeru, inovasi lebih sinegetik diperlukan kerana tumpuan ketika ini ialah pembangunan kerangka teknologi baru, bukan lagi terhad kepada pemasaran dan pengeluaran model teknologi lama.

Pada hemat saya, dinamisme Proton ketika ini menjadi pemangkin kepada pembangunan kerangka dan teknologi baru. Proton EV Flagship itu adalah simbolisme baru bagi industri automobil tempatan.

sumber: Berita Harian

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...