Ahad, 19 Disember 2010

Diplomasi era 'WikiLeaks'

BANYAK isu kebelakangan ini berkisar tentang sedemikian banyak pendedahan WikiLeaks di dalam internet dan media alternatif. Walaupun pada awalnya ramai yang memuji WikiLeaks kerana begitu berani mendedahkan banyak perkara negatif yang dilakukan oleh tentera Amerika Syarikat di Iraq.
Video 'Collateral Murder adalah antara pendedahan awal WikiLeaks yang mendedahkan bagaimana 'keji dan kejamnya' tindakan tentera Amerika yang menembak sesuka hati sekumpulan lelaki; termasuk dua orang wartawan yang membawa kamera.

Pendedahan WikiLeaks sebenarnya sudah membuka 'pekung' yang selama ini amat dirahsiakan oleh tentera dan kerajaan Amerika. Ini sekali gus memberi makna - WikiLeaks mempunyai pengaruh dan kesan yang positif kepada mekanisme diplomasi di peringkat antarabangsa. Sudah tidak banyak perkara yang boleh dirahsiakan sampai bila-bila.

Oleh kerana kita sudah tidak punya banyak 'rahsia'; maka istilah dan omong kosong 'transparency', keterbukaan dan sebagainya sudah diterjemah dalam bentuknya yang paling ekstrem. Sehinggakan, negara yang begitu berhati-hati dengan 'rahsia kerajaan' akhirnya terpaksa menerima hakikat - semua rahsia itu bakal menjadi 'rahsia yang terbuka'.

Sayangnya, WikiLeaks tidak akan hanya mendedahkan perkara-perkara yang menjurus kepada soal hak asasi dan keganasan perang. Beberapa hari kebelakangan ini, WikiLeaks sudah menjengah menjadi 'medan gosip dan umpat tahap tinggi'.

Ia melibatkan nota, perbualan para diplomat dalam pertemuan mereka dengan rakan-rakan sejawatan yang lain. Sudah banyak rahsia yang semakin terbongkar dan terlerai. Jiran, sahabat yang selama ini dirasakan 'jujur' sudah terbukti mempunyai niat yang sebaliknya.

Memang benar, kita tidak perlu mengambil sikap yang terlalu 'terasa hati' dengan apa yang diperkatakan. Ia mungkin pandangan peribadi. Namun, jika ia menjurus kepada soal mempertikai kewibawaan dan kepimpinan; ia sudah menjadi perkara yang tidak wajar dipandang sepi dan sebelah mata.

Kita perlu menerima kehadiran WikiLeaks sebagai 'sempadan baru' diplomasi. Mungkin ia memperkatakan perkara-perkara yang sudah berlaku atau cerita lama - namun itu tidak sepatutnya membuatkan kita cepat berasa senang hati. Kalau dahulu segala-galanya berlaku dalam suasana yang sangat tinggi kerahsiaan; WikiLeaks sebenarnya sudah membuka 'ruang demokrasi' kepada amalan diplomasi yang kadangkala menjadi senjata utama negara kuasa dunia. Hari ini, masyarakat umum dapat melihat 'hipokrasi' diplomasi dunia dalam bentuknya yang paling terbuka.

Collateral Murder sebenarnya sudah menceritakan segala-galanya tentang amalan diplomasi dan hubungan antarabangsa kuasa dunia. Dalam pada mereka bercakap mengenai amalan demokrasi, keterbukaan, transparensi dan sebagainya; mereka jugalah yang mengamalkan kekejaman pada tahapnya yang paling tinggi. Entah berapa jumlah keseluruhan manusia yang mati dengan amalan double-standard diplomasi yang diamalkan oleh kuasa dunia.

Hari ini, Amerika sendiri semakin cemas dan gelisah dengan pendedahan demi pendedahan WikiLeaks. Banyak lagi video dan bukti yang masih tersimpan. Bradley Manning, seorang perisik tentera Amerika dikatakan mempunyai 260,000 kabel diplomatik dan hampir 90,000 nota risikan telah pun menyerahkan segalanya kepada WikiLeaks.

Amerika nampak semakin cemas kerana ini dengan sendirinya mendedahkan banyak hipokrasi diplomasi yang dilakukan selama ini.

Segala macam undang-undang dicari bagi memastikan Julian Assange dapat dihadapkan ke mahkamah menggunakan kes jenayah. Undang-undang seperti Espionage Act 1917 dan Computer Fraud and Abuse 1986. Undang-undang tahun 1917 pun mahu diguna pakai terhadap Assange!

Namun jika usaha yang sama digunakan oleh orang lain - ia akan dituduh sebagai 'tidak terbuka, undang-undang kolot dan tidak berperikemanusiaan'. Hipokrasi lagi?
Dengan tidak semena-mena, WikiLeaks sudah menjadi 'masalah negara' kepada sebuah kerajaan yang menggila dengan takrif demokrasi, keterbukaan dan kebebasan memberi pandangan. Apakah Assange sudah kehilangan kebebasannya sebagai manusia sejagat?

Apakah Assange sudah menjadi sekujur tubuh yang tidak perlu lagi diperjuangkan dalam konteks hak asasi manusia?

Dalam konteks yang lebih terkini, penulis menginginkan semua pembaca membuka lembaran Foreign Affairs (November/December 2010). Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Rodham Clinton menulis artikel yang sangat menarik, bertajuk - Leading Through Civilian Power: Redefining American Diplomacy and Development - sekali gus memperteguh pandangan bahawa Amerika bukan sahaja mengamalkan transformational diplomacy malahan meletakkan amalan diplomasi sebagai smart power' dalam memperkembang ideologi yang diinginkan.

Diplomasi bentuk baru Amerika bukan lagi terlalu bergantung kepada hubungan diplomatik 'formal'; malahan akan diterjemah dalam bentuk yang lebih luas.
Ini termasuklah 'bantuan langsung' yang diberikan pelbagai agensi Amerika Syarikat kepada NGO dan persatuan yang dirasakan boleh membawa bersama 'ideologi' dan 'keterbukaan politik' yang dihajati selama ini. Dengan menggunakan platform 'National Endowment of Democracy'; dana yang diberikan kepada NGO setempat yang membawa ideologi 'demokrasi' mencecah ratusan ribu ringgit.

Jika kita rajin, taip sahaja 'NED + Malaysia'; maka akan keluarlah nama International Republican Institute, Mkini Dotcom Sdn Bhd, National Democratic Institute of International Affairs dan Suara Inisiatif Sdn Bhd (SUARAM). Ini bukan fakta rahsia. Terpampang di dalam laman sesawang.
Apakah ini smart power yang dimaksudkan Hillary? Yang pasti, ia tidak sahaja dilaksanakan di Malaysia - malahan seluruh dunia! Apakah jaminan bahawa tidak ada 'sumbangan' berasaskan 'kuasa bijak' yang cuba menyusun sesuatu.
Apa yang didedahkan oleh WikiLeaks, jangkaan penulis hanyalah sedikit berbanding banyak lagi 'strategi diplomasi' yang diguna pakai oleh kuasa dunia. Sebagai negara kecil, kita mesti juga mengamalkan prinsip hati-hati dan senantiasa berwaspada dengan 'permainan diplomasi' yang boleh dijelmakan dalam pelbagai bentuk.
Tidak mustahil, bahawa instrumen politik juga diguna pakai dalam memastikan matlamat mereka dapat dicapai dengan jayanya.

Justeru, penulis merasakan - cakap-cakap kosong, umpat 'tahap tinggi' anggota kerajaan dan diplomatik negara jiran perlu juga kita santuni dan jadikan iktibar. Dalam senyum, mungkin ada niat yang tidak baik. Orang tua-tua mengingatkan kita, 'telunjuk mungkin lurus; namun kelingking mungkin berkait' bukanlah sesuatu yang kosong dan tidak punya makna.

Wibawa atau tidaknya kepimpinan di Malaysia bukan 'diplomat kiasu' yang perlu menilainya. Rakyat Malaysia sendirilah yang perlu menjadi juri dan meletakkan 'amanah' mereka kepada kerajaan yang mereka mahukan. Oleh yang demikian, mereka sendiri perlu lebih melihat wibawa kepimpinan yang selama ini menjadi 'fobia' dengan keterbukaan dan menutup suara yang bersifat bertentangan.
Tidak ada apa yang perlu kepimpinan Malaysia terlalu risaukan dengan 'permainan bahasa kiasu' seorang dua diplomat dan pemimpin sub-standard negara jiran. Fokus dan tumpuan mesti diarahkan kepada usaha kita membina negara yang lebih makmur buat sekalian rakyat.

Secara keseluruhannya, WikiLeaks sememangnya pendedahan yang membuka mata. WikiLeaks juga mempamerkan sifat 'hipokrasi' kalangan mereka yang kononnya menjadi pejuang dan pelopor demokrasi. Mereka sendiri tidak gentar menggunakan undang-undang keras; bagi memastikan 'permainan' mereka tidak terus didedahkan secara terbuka - dan akhirnya menanggalkan hormat umat dunia.
WikiLeaks sudah secara tidak sengaja - menyusun semula 'jalur diplomasi' yang ada di sekitar kita pada hari ini. Dengan istilah 'dunia tanpa sempadan', WikiLeaks juga sudah merobohkan sempadan rahsia dengan caranya tersendiri.

KHAIRUDDIN MOHD. ZAIN
Penulis Bebas

sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...