Ahad, 30 Mei 2010

Subsidi, pembaziran dan ketirisan

Kebetulan terjumpa Bandar Seri Putra dalam pencarian penulis untuk mendapat tempat mastautin baru.
Kedudukannya adalah antara Bangi dan Nilai. Ia berkembar dengan Bukit Mahkota sebagai kawasan perumahan yang menggunakan susur yang sama untuk memasuki lebuh raya. Maka kedudukannya adalah di hujung selatan kepada Lembah Klang. Ini kerana selepas itu, ia telah memasuki Nilai di Negeri Sembilan.
Kalau mengikut namanya, Lembah Klang bermaksud kawasan lembah yang diairi oleh Sungai Klang. Maknanya ia bermula dari Ulu Klang sampailah ke Pelabuhan Klang. Kuala Sungai Klang terletak di pelabuhan Klang tetapi tidaklah dinamakan sebagai Kuala Klang.
Tetapi pertemuan antara Sungai Klang dengan Sungai Gombak ialah Kuala Lumpur. Apa yang disebut sebagai kuala itu adalah sebenarnya kuala kepada Sungai Gombak, yang berakhir di situ sedangkan Sungai Klang terus mengalir menuju ke Selat Melaka.
Apabila sudah mengenal pasti apa yang disebut sebagai Lembah Klang dari segi tulang belakangnya iaitu Sungai Klang, maka hendak pula diketahui di manakah sayapnya.
Sayap Lembah Klang ini sentiasa melebar. Kalau dahulu mungkin apabila disebut Lembah Klang, orang akan melihatnya sebagai kawasan geografi yang kaya bijih timah, dan selanjutnya membolehkan Kuala Lumpur muncul sebagai bandar penting bagi Selangor.
Maka sayap asalnya ialah dari Gombak ke Sungai Besi yang sebelum tahun 80-an adalah kaya dengan lombong-lombong bijih timah.
Kini lombong-lombong itu sudah menjadi taman-taman perumahan saujana mata memandang. Maka apa yang disebut sebagai Lembah Klang telah melebar, dari Selayang di sebelah utara hingga ke Serdang. Tetapi pada tahun-tahun 90-an dan 2000-an, ia terus melebar. Pembangunan di utara meliputi hingga ke Rawang.
Sebelum kegawatan ekonomi 1997, dijangkakan ia boleh sampai ke Tanjung Malim dengan bandar-bandar baru di Hulu Selangor seperti Lembah Beringin, Bukit Beruntung, Bernam Jaya dan Sungai Buaya.
Di situlah Lembah Klang bertembung dengan Lembah Selangor, yang bermaksud lembah yang menuruti Sungai Selangor - dari Hulu Selangor hinggalah ke Kuala Selangor melalui Ijok dan Batang berjuntai.
Lembah Selangor inilah asas negeri Selangor. Tetapi ia dikalahkan oleh Lembah Klang. Kebangkitan yang dijangka pada tahun-tahun 1990-an musnah dengan kegawatan ekonomi. Lebih-lebih lagi apabila lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Putrajaya dan Cyberjaya semuanya diwujudkan di sebelah selatan.
Maka Lembah Klang melebar ke sebelah selatan. Tiga tempat penting itu menyebabkan pembangunan lebih menghala ke situ. Lembah Klang menyusuri Lebuh Raya Utara Selatan. Ia bersambung dari Serdang, Bandar Baru Bangi, Bandar Seri Putra dan Bukit Mahkota.
Pembangunan
Ke sebelah barat, ia merancakkan pembangunan ke Puchong, Sepang dan Dengkil. Maknanya Lembah Klang sudah bertembung dengan dengan lembah Langat, yang bermula dari Hulu Langat hingga ke Kuala Langat.
Malah pelebaran Lembah Klang ini sudah melepasi sempadan Selangor dan memasuki Negeri Sembilan. Ia akan merangkumi Nilai dan Seremban juga. Bila sampai ke situ tidaklah dapat disebut Lembah Klang lagi.
Dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor baru-baru ini dapat disaksikan betapa terbengkalainya kawasan-kawasan seperti Lembah Beringin, Bukit Beruntung dan Sungai Buaya. Cuba bandingkan dengan pembangunan di sebelah selatan yang bertambah pesat.
Bagi mereka yang membeli dan memiliki rumah di kawasan-kawasan itu tentu berasa rugi dan pedih menanggung pelaburan yang gagal. Tidak apa yang dapat dilakukan selain terus membayar bank terhadap rumah-rumah yang tidak dapat dimanfaatkan.
Tetapi siapa sangka kegawatan ekonomi 1997 boleh berlaku. Keputusan untuk membina bandar pentadbiran baru bukan di sebelah utara tetapi sebaliknya disebelah selatan mengubah untung rugi seseorang. Begitu juga keputusan untuk membina lapangan terbang di selatan dan bukannya di utara.
Apakah nadi kepada pembangunan ini semua? Jawapannya ialah pengangkutan. Keadaan pengangkutan awam di kawasan ini masih jauh daripada memuaskan. Perkhidmatan bas masih tidak lancar, kalau pun ada.
Buat masa ini keadaan kelihatan tenteram dan teratur. Ini kerana banyak orang dengan mudah menggunakan kereta peribadi. Walaupun kesesakan lalu lintas dan masalah tempat letak kereta bertambah.
Tetapi akan sampai masanya subsidi minyak sudah tiada, dan juga tol pasti naik. Apakah akan berlaku?
Pembangunan yang selama ini berlaku adalah berasaskan subsidi minyak dalam satu negara yang menggalakkan penggunaan kereta dan pembinaan lebuh raya.
Rakyat sanggup membeli rumah jauh daripada tempat kerja kerana minyak subsidi murah daripada air.
Bukan itu saja, adanya subsidi yang pelbagai menimbulkan ilusi kemewahan yang sebenarnya bukan realiti. Pembaziran dan ketirisan berlaku dengan meluas kerana disangka keadaan ini akan berkekalan.
Tetapi hakikatnya subsidi akan ditamatkan juga. Pembaziran akan dikawal. Korupsi akan dihapuskan. Ketirisan akan dibendung. Cara hidup terpaksa berubah.
Minyak pasti habis. Sedangkan sumber tenaga alternatif belum berkembang. Sementara mendapatkan sumber tenaga murah, peralihan dan penyesuaian ini pasti akan menyukarkan.
Ketika mana kos pengangkutan peribadi meningkat hingga boleh mencapai di luar kemampuan kebanyakan orang, maka tuntutan kepada pengangkutan awam semakin mendesak. Sedangkan jika melihat apa yang ada sekarang, ia sukar untuk menampung keperluan orang ramai.
Bersedia hadapi krisis pengangkutan.

 sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...