Ahad, 17 Januari 2010

Kesilapan perhitungan AS di Afghanistan

TIADA nada optimis dalam pelbagai laporan media Barat mengenai perang di Afghanistan. Ini mungkin kerana peperangan itu telah berlarutan hingga lapan tahun, iaitu hampir sama tempohnya dengan Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.

Hal ini ternyata dari laporan seperti dalam International Herald Tribune dengan ayat pertama The War in Afghanistan is not going well. Seperti dalam sebuah akhbar Australia The outside World has never won a war in Afghanistan and never will.

Seperti adanya juga dalam laporan jurnal The National Interest dengan ayat pertama In Afghanistan: War in the Wrong direction. Pengerusi Kehormat majalah itu ialah Henry Kissinger bekas Setiausaha Negara Amerika yang ulung.

Lalu dicatat antara lainnya dalam laporan demi laporan itu hal-hal berikut:

l Tentera British dua kali tewas di Afghanistan pada tahun 1839-1842 dan 1878-1880. Para pejuang bersenjata membunuh satu pasukan tentera yang cuba lari dari Kabul pada tahun 1842. Hanya seorang saja selamat dari 16,000 anggota pasukan British.

l Kira-kira 100,000 askar Soviet Union pemerintahan komunis masa dulu telah membunuh hampir satu juta orang Afghanistan, tetapi akhirnya tewas sama sekali kepada pejuang-pejuang Afghanistan. Kira-kira 20,000 askar Soviet mati dan 100,000 lagi cedera. Kekalahan mereka antara sebab leburnya pemerintahan komunis di Soviet Union. Pencerobohan Soviet bermula pada tahun 1979. Pengunduran tentera mereka berlaku mula 20 Julai 1987.

Di Amerika baru-baru ini akhbar Honolulu Advertiser menyiarkan komentar dengan pertanyaan pada ayat pertama What’s wrong with the war in Afghanistan? Antara sebab: Rakyat Amerika tidak menyokong peperangan itu. Negara-negara rakan sekutu di Eropah tidak menyokong penuh.

Jurnal The National Interest mencatat bilangan askar-askar Eropah yang menyertai peperangan di Afghanistan kini: Sepanyol 1,000 orang, Jerman 4,000, Itali 2,800 orang, Poland 2,000 orang, Belanda 1,800 orang, Kanada 2,800 orang dan Britain 9,000 orang.

Seperti dilaporkan sebelum ini enam orang askar Itali maut dalam satu peristiwa. Perdana Menteri Itali, Berlusconi lalu menyatakan niat untuk mengundurkan tenteranya dari Afghanistan.

Laporan dalam majalah Amerika itu ditulis oleh Ahmed Rashid, seorang wartawan Pakistan yang telah menulis sebuah buku berjudul America dan malapetaka di Pakistan, Afghanistan dan Asia Tengah (Penguin 2009).

kepimpinan

Lantas disebut mengenai panglima tentera Amerika yang baru di Afghanistan, General Stanley McChrystal meminta kerajaannya menghantar kira-kira 30,000 lagi tentera ke Afghanistan. Bilangan yang ada sebelum ini dianggap tidak memadai.

Perang di Afghanistan bermula semasa kepimpinan Presiden George Bush untuk memerangi pihak Taliban dan golongan al-Qaeda. Berlaku sejak lapan tahun lalu ialah pelbagai kesilapan, salah perhitungan dan kecuaian, sedemikian menurut Rashid.

Menimbulkan pelbagai masalah adalah pendirian enam jiran Afghanistan yang dekat dan jauh, termasuk Pakistan, Iran, India, Russia dan Arab Saudi.

Selama lapan tahun perang di Afghanistan Presiden Bush hanya dua kali mengadakan lawatan. Di samping itu ialah kecenderungan beberapa pemimpin negara Barat menegur Presiden Hamid Karzai walaupun ia memenangi pilihan raya kali kedua. Antara yang nyaring kritiknya ialah Perdana Menteri British, Gordon Brown.

Bertindak sebagai pelaksana dasar-dasar baru di Afghanistan ialah Richard Holbrooke, bekas pegawai kanan Jabatan Negara Amerika.

Kerap dilaporkan pelbagai kegiatan tentera Amerika. Tidak sedemikian mengenai bala tentera negara-negara Eropah. Juga aktif ialah pesawat-pesawat udara tentera NATO yang mengebom di daerah-daerah pedalaman. Timbul kritik manakala yang maut ialah orang-orang awam, bukan pejuang-pejuang Taliban.

Baru-baru ini Setiausaha Agung NATO, Anders Rasmussen mengadakan kunjungan ke Moscow dan meminta Rusia membantu dengan menghantar helikopter-helikopter ke Afghanistan. Walhal semasa Soviet Union dulu menyerang Afghanistan, negara-negara Barat, terutama Amerika memberi bantuan alat-alat tentera kepada pejuang-pejuang Afghanistan.

Menjadi tanda tanya ialah sikap Rasmussen, dulu Perdana Menteri Denmark. Dalam masa pentadbirannya seorang kartunis akhbar Jyllands-Posten telah melukis kartun-kartun yang menghina Nabi Muhammad hingga mencetus demonstrasi-demonstrasi di beberapa negara Islam dan bantahan pelbagai kerajaan.

Seperti dilaporkan pihak Rusia tidak pula melayan Rasmussen supaya menghantar helikopter-helikopter ke Afghanistan untuk membantu NATO. Bagi mereka pengalaman masa lampau menjadi pengajaran. Maka berulang pertanyaan: Berapa tahun lagi perang Afghanistan?

sumber: Utusan Malaysia Online

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...