Ahad, 2 Ogos 2009

welcome back Schumacher

Schumacher kena cergas

FRANKFURT - Michael Schumacher berharap kecederaan leher yang dialaminya dalam kemalangan motosikal Februari lalu tidak menghalangnya ketika dia cuba untuk membuat kemunculan semula dalam Formula Satu (F1).

Sehari selepas pengumuman untuk menamatkan persaraan dan menjadi pengganti sementara pelumba Ferrari yang cedera Felipe Massa, aksi semula Schumacher dalam F1 itu hanya perlu menunggu ujian kecergasan dan lain-lain pemeriksaan kesihatan yang mengambil masa beberapa hari, kata doktor pelumba itu Johannes Peil kelmarin.

"Sekiranya Michael tidak berusaha keras, semua ini tidak akan menjadi kenyataan,'' kata Peil.

Schumacher disifatkan sebagai salah seorang pelumba paling cergas sehinggalah dia bersara pada penghujung 2006.

Peil berkata, juara dunia tujuh kali itu secara berterusan bersenam di kediamannya, khususnya untuk kecergasan otot leher.

Februari lalu, Schumacher terlibat dalam kemalangan motosikal, namun kecederaan leher yang dialami tidak diperjelaskan secara terperinci.

Otot leher amat penting bagi pelumba F1 apabila berdepan kuasa G ketika berlumba.

Ketika Schumacher, 40, berharap untuk beraksi pada perlumbaan seterusnya di Grand Prix Eropah, Valencia 23 Ogos ini, pelumba itu dan Ferrari menolak sebarang peluang untuk menambah rekod 91 kemenangan setakat ini dalam 250 perlumbaan.

''Saya harap dia meningkatkan fizikalnya dan lulus ujian terutama untuk otot leher.

''Mulai hari ini, seluruh pasukan bekerja untuk persediaan kepulangannya. Esok (hari ini) dia akan mengadakan ujian pertama di litar,'' kata presiden Ferrari, Luca di Montezemolo di Rome.

Montezemolo berkata, Schumacher kesuntukan masa untuk membiasakan diri dengan kereta Ferrari dan teknologi baru KERS, juga litar di Valencia yang telah diubah suai sejak Schumacher bersara serta sesi ujian yang digantung untuk menjimatkan kos.

''Ini semua akan menjadi masalah besar, sekurang-kurangnya pada perlumbaan pertama kerana dia mendapati dirinya berada di litar yang tidak pernah dia beraksi.

''Atau memandu kereta yang tidak pernah dipandunya serta teknologi baru yang tidak diketahuinya.

''Agak malang, tetapi inilah harga yang terpaksa kami bayar,'' kata Montezemolo.

Bekas juara dunia Niki Lauda bersetuju dengan pandangan Montezemolo.

"Dia tidak mengetahui Litar Valencia, dia tidak tahu mengenai kereta, dia tidak dibenarkan melakukan ujian memandu.

''Semua ini keadaan yang sukar berbanding cabaran daripada para pencabarnya. Ferrari juga tidak mempunyai kereta yang terbaik,'' kata Lauda.

Berkhidmat sebagai penasihat untuk Ferrari sejak bersara, Schumacher tahu betapa sukarnya untuk menghasilkan kereta yang kompetitif pada saingan tahun ini.

Selepas menang kategori pengeluar tahun lalu, pasukan Itali itu kini di tangga ketiga, 74 mata di belakang pendahulu Brawn GP.

"Tahun lalu kami bergelut untuk kejuaraan pasukan sehingga ke perlumbaan terakhir, yang mana ini menyebabkan proses pembangunan kereta sedikit sukar.

"Ia membuatkan kami terpaksa membangunkan kereta untuk musim 2008 dan pada masa yang sama, kami membangunkan kereta baru.

Keputusan Schumacher mengambil alih tempat Massa mencetuskan tumpuan media dan ia disifatkan berita yang dialu-alukan dalam F1.

Ini kerana sukan permotoran perdana itu dikejutkan dengan pelbagai isu termasuk penarikan dua pengeluar utama dalam tempoh tidak sampai setahun.

Honda menarik diri tahun lalu dan BMW mengumumkan ia menarik diri dari aksi musim depan, beberapa jam sebelum Schumacher membuat keputusan tampil semula di litar.

Pasukan-pasukan yang beraksi dalam siri perlumbaan itu juga bersengketa dengan penganjur mengenai usul had pengurusan kos dan lain-lain peraturan sejak kebelakangan ini.

Rating televisyen perlumbaan itu menurun di Jerman, iaitu salah satu pasaran utama sukan tersebut.

''Ini merupakan perkara terbaik yang boleh berlaku dalam F1 dan ia amat baik untuk siri perlumbaan ini,'' kata ketua sukan permotoran Mercedes, Norbert Haug.

Sementara itu, Massa telah diberi ingatan oleh doktor bahawa dia mungkin tidak dapat berlumba lagi namun pemandu Brazil itu masih mengharap.

"Semalam, buat kali kedua saya melawat Felipe dan saya melihat dia bertambah baik. Saya harap Felipe akan kembali tidak lama lagi.

''Dengan kehadiran Michael, saya rasa dia akan membantu sukan ini kembali popular selepas polemik yang tidak berguna dan kontroversi yang tiada kaitan dengan sukan ini.

''Ayuh kita berharap dia kembali dengan kemenangan, bersama-sama Kimi Raikkonen,'' kata Montezemolo. - AP

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...