Jumaat, 28 Ogos 2009

15Malaysia - pabila KJ, Tok Guru jadi pelakon...

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


KHAIRY (kiri) menjadi pemandu teksi dalam filem Teksi Driver.

Projek 15Malaysia hasil usaha Pete Teo boleh disaksikan di YouTube

MEREKA berbeza dari segi fahaman politik, ada yang dari kerajaan dan ada juga dari barisan pembangkang, namun atas dasar semangat 1Malaysia mereka sanggup mengenepikan kekangan itu apabila bersetuju untuk muncul dalam sebuah projek 15Malaysia yang berteraskan slogan yang dilaung-laungkan kerajaan ketika ini.

Bayangkan projek yang menampilkan 15 filem pendek itu bukan saja memaparkan konsep yang ada kaitan dengan semangat muhibah tetapi juga mengetengahkan ahli politik untuk turut serta mempamerkan bakat tersembunyi mereka sebagai pelakon.


Bayangkan bagaimana keadaannya apabila Ketua Pemuda Umno dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bertukar profesion menjadi seorang pemandu teksi. Bukan saja Khairy, tetapi projek yang diusahakan pelakon, penyanyi, penerbit dan komposer terkenal Pete Teo ini turut mengetengahkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan ahli Parlimen Batu, Tian Chua sebagai pelakon dalam filem itu.

Walaupun mereka tidak dipertemukan di dalam sebuah filem namun kesudian mereka untuk berlakon sudah cukup membuktikan apa yang mereka laungkan sebelum ini bukanlah sekadar omong kosong semata-mata.

"Saya rasa sangat teruja kerana mereka sudi menyahut tawaran untuk berlakon di dalam filem di bawah projek 15Malaysia ini. Sikap terbuka mereka membuatkan kami yang terbabit dalam projek ini begitu berbangga sekali. Walaupun mereka mempunyai fahaman politik yang berbeza namun itu bukanlah halangan untuk mereka turut serta dalam projek ini.

"Sememangnya projek ini bukanlah satu pergerakan politik dan sebagainya, tetapi lebih kepada untuk menerapkan semangat 1Malaysia dan mahu penonton memahami dan mengenali apakah itu Malaysia dengan erti kata yang sebenar," ujar Pete.

Setiap filem cuma memakan masa antara tiga hingga enam minit. Ia menggunakan pelbagai bahasa yang selalu digunakan di negara ini.

Bercerita lanjut mengenai projek sulungnya itu, Pete berkata projek 15Malaysia itu bukanlah calang-calang kerana kebanyakan pembikin filem terbabit terdiri daripada mereka yang pernah memenangi anugerah di peringkat antarabangsa.

"Ilham untuk menghasilkan projek 15Malaysia ini timbul kira-kira enam bulan lalu dan tempoh pembikinannya memakan masa tiga bulan lamanya. Karya yang dipertontonkan tadi bukanlah sekadar hiburan semata-mata tetapi ia lebih kepada wadah pengarah filem berkenaan mengetengahkan isu yang cukup hangat di Malaysia dan bagaimana mereka mengupas isu itu dari sudut perspektif masing-masing," jelas Pete pada sesi pelancaran P1 Malaysian Filmmaker Showcase Presenting 15Malaysia, di IMAX theatre, Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bertemakan kehidupan seharian masyarakat majmuk di Malaysia, 15 filem pendek itu ialah Chocolate (oleh Yasmin Ahmad), Potong Saga (Ho Yuhang), Gerhana (James Lee), One Future (Tan Chui Mui), The Tree (Amir Mohammad), Halal (Liew Seng Tat), Lollipop (Nam Ron), Taxi Driver (Benji Lim & Bahir Yeusuff), Healthy Paranoia (Khairil Bahar), Duit Kecil (Johan John), Slovak Sling (Wong Ming Jin), Rojak (Suleiman Brothers), House (Linus Chung), Lumpur (Kamal Sabran) dan The Son (Desmond Ng).

Biarpun ada di antara isu yang ditonjolkan sedikit kontroversi, namun bagi Pete adalah menjadi konsep filem bebas untuk melahirkan apa saja yang ada dalam pemikiran mereka tanpa sebarang batasan.

"Apapun, anggap saja ia sebagai hiburan dan ada kala, realiti itu memang menyakitkan dan kita harus terima hakikat itu tanpa sebarang perasaan prejudis. Bagaimanapun, tidak semua filem itu berkonsepkan komedi. Ada juga yang serius serta satira," katanya sambil memberitahu semua filem itu boleh ditonton menerusi Youtube serta dimuat turun di laman www.15malaysia.com.

Nadi kekuatan filem ini bukan saja dari segi pengarahan serta skrip yang menarik tetapi juga adalah komitmen pelakon yang begitu jitu semata-mata kerana ingin menghasilkan yang terbaik. Malah menurut Pete, ada di antara mereka yang sanggup berlakon secara percuma walaupun kebanyakan mereka terdiri daripada pelakon profesional.

Antara pelakon terkenal yang menjayakan projek ini ialah Harith Iskander, Sharifah Amani, Daphne Iking, Amber Chia, Adibah Noor, Namewee, Atilia, Jay Menon, Baki Zainal dan Bront Palarae.

Bagi mereka yang ingin menyaksikan filem pendek itu bolehlah melayari laman web www.p1.com.my/15my, www.15malaysia.com dan www.ruumz.com/15Malaysia.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...