Rabu, 28 Januari 2009

Sistem Kers timbul masalah pasukan F1

Sumber: Utusan Malaysia Online (28/01/09)

LONDON - Kebanyakan pasukan Formula Satu kini bergelut dengan masa bagi menyempurnakan sistem pemulihan tenaga kinetik (Kers) yang dijangka membolehkan juara dunia, Lewis Hamilton serta para pesaingnya memperolehi kuasa tambahan pada jentera masing-masing.
Bagaimanapun, timbul persoalan sama ada mereka akan menggunakan sistem yang diselubungi kontroversi itu pada perlumbaan pembukaan di Australia 29 Mac ini.
Dengan larangan melakukan ujian sebaik musim perlumbaan bermula, setiap pasukan hanya mempunyai beberapa sesi ujian trek bagi memastikan sistem yang diguna pakai adalah selamat, berkeupayaan atau perlu dikeluarkan.
"Kami masih belum membuat keputusan sama ada akan menggunakan Kers atau tidak.
"Para juri masih menilai sama ada kami akan memulakan musim ini dengan menggunakan Kers atau tidak. Bukan sahaja ia dinilai dari segi prestasi kereta, malah juga dari segi keupayaan.
"Apa yang lebih penting adalah mengenai keupayaan sistem itu untuk berfungsi dan ia adalah sesuatu yang sukar untuk dipastikan," kata pengarah teknikal pasukan Williams, Sam Michael.
Pasukan-pasukan F1 kini saling berbalah pendapat mengenai penggunaan Kers dalam perlumbaan kereta paling berprestij itu.
Bos Renault, Flavio Briatore sebelum ini melahirkan kebimbangan mengenai pembaziran yang melampau pada ketika pemotongan kos sepatutnya menjadi fokus bagi menghadapi kemelesetan ekonomi global.
Menurut Briatore, perbelanjaan besar yang ditanggung untuk membangunkan pasukannya adalah sesuatu yang menyakitkan hati.
"Semua orang tahu pada tahun 2010 akan ada perubahan tertentu kepada sistem Kers. Maka setiap wang yang dilaburkan kepada sistem itu tahun ini hanyalah untuk tempoh satu tahun. Dalam keadaan begini (kemelesetan ekonomi), saya tidak rasa ia harus berlaku dan ia adalah kesilapan yang nyata," kata warga Itali itu pada majlis pelancaran jentera baru Renault di Portugal minggu lepas.
Kers berfungsi dengan cara memulih dan menyimpan setiap tenaga yang digunakan jentera F1 sebagai kuasa elektrik berbanding ia hilang begitu sahaja sebelum ini.
Prinsipnya menyerupai kenderaan hibrid dengan sistem motor elektrik, unit kawalan, unit penyimpanan tenaga dan butang kuasa pada stereng kereta.
Para pelumba boleh menggunakan tenaga itu pada bila-bila masa untuk mendapatkan 80 kuasa kuda tambahan dalam masa maksimum 6.7 saat. - REUTERS

Kata Ku
- Harap pasukan BMW Sauber dah bersedia dan tidak menghadapi masalah ini
- Tahun lepas tempat ke-3. Tahun nie JUARA

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...