sumber: Berita Harian
KUALA LUMPUR: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata perjuangan
PAS kini sudah menyeleweng daripada matlamat asal serta menyalahgunakan
agama Islam demi kuasa dan kerusi politik.
Berikutan itu beliau
bersedia mencadangkan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan supaya
mempertimbangkan saranan diadakan muzakarah bagi membincangkan kewajaran
parti itu menggunakan perkataan Islam dalam nama parti.
“Perjuangan parti itu semakin jauh menyeleweng daripada matlamat
asal untuk menegakkan Islam yang direncanakan sejak lebih enam dekad
lalu,” katanya yang juga ahli Majlis Fatwa Kebangsaan.
Beliau berkata demikian kepada Berita Harian semalam ketika diminta
mengulas saranan Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali yang mencadangkan
Majlis Fatwa Kebangsaan mengadakan muzakarah untuk membincangkan
kewajaran PAS menggunakan perkataan Islam pada nama parti itu.
Ibrahim berkata, sudah sampai masanya majlis fatwa berbuat demikian
memandangkan ia boleh mengelirukan umat Islam, terutama di kalangan
penyokong fanatik parti itu.
Harussani juga menggesa ahli
dan penyokong PAS, khususnya yang fanatik dan taksub segera kembali
kepada ajaran Islam sebenar dan berfikiran waras.
“Gunakan
akal yang dianugerahkan Allah untuk berfikir... sama-sama memahami isi
kandungan al-Quran, jangan hanya tahu mengutuk. Banyak sangat PAS
menyalahgunakan Islam untuk kepentingan politik demi mendapatkan kuasa,
pengaruh, kedudukan dan kerusi,” katanya.
Beliau juga melahirkan kebimbangan dengan perpecahan umat Islam
kerana sifat dengki, tamak, mengejar pangkat dan kedudukan di kalangan
pemimpin parti politik yang kononnya memperjuangkan Islam.
Mengulas keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan umat Islam
menyertai perhimpunan BERSIH 3.0, Harussani berkata, ia tidak dibuat
sebelah mata seperti yang didakwa pemimpin pembangkang, termasuk
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Sebaliknya,
keputusan itu dicapai selepas perhimpunan BERSIH 3.0 tidak lagi bersih
kerana menceroboh kawasan larangan, selain mendatangkan kekacauan dan
kecederaan kepada pihak berkuasa dan orang awam.
“Al-Quran dan
hadis menjelaskan mengenai larangan memasuki kawasan larangan tanpa
kebenaran. Dataran Merdeka diletakkan di bawah kendalian pihak berkuasa
tempatan dan adalah haram menceroboh kawasan itu. Demonstrasi BERSIH 3.0
juga menyebabkan kerosakan harta benda dan mencederakan orang ramai.
Malah, niat hendak menjatuhkan kerajaan juga menjadikan demonstrasi itu
haram untuk disertai.
“Dalam Islam tidak boleh menjatuhkan
kerajaan yang sah walaupun kerajaan diperintah oleh pemimpin Islam yang
fasik selagi pemerintah menjaga kebajikan umat Islam,” katanya.
Harussani yang berada di Institut Jantung Negara (IJN) ketika
keputusan mengharamkan Bersih 3.0 dibuat, yakin jika tidak dikawal,
demonstrasi itu akan menjadi ‘bugah’ atau pemberontakan melampau yang
menghancurkan negara, sekali gus membolehkan pemberontak dihukum bunuh.
Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika
diminta mengulas kenyataan perjuangan PAS menyimpang, selain
menyalahgunakan Islam, berkata parti itu sedia bermuzakarah dengan
mana-mana pihak termasuk UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam
yang sangsi dengan perjuangan mereka.
“PAS menjamin konsisten
dengan Islam dan Majlis Syura Ulama yang memelihara perjalanan PAS
mengikut perlembagaan parti,” katanya.
Di MELAKA TENGAH,
Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa keputusan Majlis Fatwa
Kebangsaan berhubung pengharaman umat Islam menyertai perhimpunan atau
demonstrasi haram bertentangan dengan ajaran Islam yang mengajak orang
ramai kepada kebaikan.
Beliau mendakwa, pada zaman Rasulullah
SAW, Saidina Umar Al-Khattab pernah berdemonstrasi bersama umat Islam
lain dengan berjalan dari rumah seorang daripada sahabat baginda menuju
Baitullah bagi menentang penindasan dilakukan kafir Quraisy terhadap
mereka.
Isnin, 14 Mei 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan