Ahad, 4 Mac 2012

Keberanian dedah dana politik

Cadangan menjadikan sumbangan dana politik maklumat umum bukannya baru diutarakan tetapi sekali lagi dibangkitkan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini sebagai sebahagian cadangan mengelak atau mengurangkan peluang berlakunya rasuah dan salah guna kuasa.

Melalui Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi tidak menghampakan harapan rakyat untuk penambahbaikan sistem pentadbiran negara dan dengan beraninya bersetuju sumbangan dana semua parti politik wajib dibuat terus ke akaun rasmi parti, berserta resit penerimaan.

Perdana Menteri juga berharap langkah ini dapat mengelakkan ahli-ahli politik menyalahgunakan nama parti untuk meminta atau menerima apa-apa sumbangan yang kemudiannya diselewengkan untuk kepentingan peribadi.


Mungkin satu lagi tamparan hebat kepada pihak tertentu yang cuba memainkan isu rasuah dalam kerajaan, langkah ini diharap dapat menangkis persepsi umum dan antarabangsa kononnya undang-undang negara hanya menjaga kepentingan sesetengah pihak dan tidak setaraf dengan 'kemajuan' sistem politik Barat.
Untuk Barisan Nasional (BN) dan parti-parti komponennya, ini mungkin sekadar satu lagi pemantauan yang sudah biasa dihadapi dalam kerajaan tetapi bagaimana pula kesannya terhadap parti politik lain apabila nama dan jumlah sumbangan 'penderma rahsia' mereka didedahkan?

Bagi rakyat, ini semestinya sesuatu yang amat dialu-alukan sama ada di pihak BN mahupun pembangkang demi menjamin ketelusan dan mengelak campur tangan 'dana asing' yang dikhuatiri cuba memanipulasi sistem urus tadbir negara ini.

Bagi ahli politik, langkah ini mungkin akan mengetatkan lagi cara dan jumlah peruntukan mereka diagihkan ketika pilihan raya tetapi dapat menjamin dana tersebut disalurkan kepada pihak sepatutnya dan menghapuskan dakwaan pembelian undi oleh pihak lawan masing-masing.

Langkah berani itu juga dapat mendedahkan kepada umum siapa yang menyokong dan membiayai BN mahupun parti-parti politik lain, dan ini mungkin akan menjadi titik penting merungkai pelbagai teori konspirasi dan agenda rahsia individu mahupun kumpulan tertentu dalam menentukan hala tuju politik di negara ini.
Dengan mewajibkan penggunaan akaun rasmi parti, resit penerimaan dan rekod dana parti yang perlu diaudit setiap akhir tahun kewangan, mungkinkah kawalan pembiayaan politik ini akan mengubah corak politik dan lebih penting lagi persepsi rakyat terhadap dunia politik Malaysia?

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berpendapat sistem baru itu lebih telus dalam mendedah sumber dana serta mengelak salah tanggapan tentang penajaan ahli atau parti politik tertentu.

"Melalui sistem ini, kita akan tahu siapa yang derma dan kepada siapa. Tambahan pula ia boleh dipantau dan diaudit bagi mengelakkan sumbangan dari sumber tidak diketahui atau tidak elok, terutamanya jika dana itu daripada pihak asing mahupun mereka yang boleh mengancam negara.

"Langkah ini bukan perkara baru kerana negara seperti Amerika Syarikat (AS) juga sudah lama menggunakannya untuk calon Presiden serta anggota Kongres dan Senat mereka," katanya.

Menurut beliau, pilihan berani Perdana Menteri itu juga tepat dalam mengelakkan tohmahan dan tuduhan liar kepada mana-mana pihak berkenaan sumber kewangan politik mereka dan kaedah penggunaan dana tersebut.

Beliau menekankan bagaimana sistem tersebut juga berkesan dalam mengekang gejala rasuah terutamanya jika dapat dibentuk sebagai sebuah peruntukan undang-undang khas untuk menyelia dan mentadbir urusan kewangan parti-parti politik di Malaysia.

"Sekarang wujud pelbagai persepsi tidak tepat orang ramai dan pengundi terhadap ahli dan dunia politik. Melalui sistem telus dan terbuka begini, umum juga dapat melihat wang rakyat dan sumber awam tidak digunakan untuk parti politik," jelasnya.

Tambahnya, pihak yang rasa tergugat jika sistem ini dilaksanakan perlu melihat kepada negara Barat yang menggalakkan sokongan atau tentangan terhadap individu atau parti politik tertentu dibuat secara terbuka.
Bagi beliau, mereka yang menentang ketelusan dalam dana politik juga tidak bersedia menerima sistem tadbir urus yang baik atau ada sesuatu yang mahu disorokkan daripada umum.

"Jelas kaedah ini akan meningkatkan integriti dalam dunia politik tempatan dan mengelakkan tohmahan berkaitan unsur rasuah.

"Mungkin ia akan timbulkan sedikit rasa kurang selesa pelbagai pihak pada awalnya tetapi yang menerima dan yang memberi derma itu perlulah berani menerima impak peralihan dana mereka diketahui umum kelak," ujarnya.

Mohamed Mustafa berharap penderma dana politik juga jujur dan berani untuk tunjukkan kepada rakyat siapakah individu serta parti politik yang mereka sokong.

Beliau menasihatkan mereka yang takut menerima kesan akibat derma mereka diketahui, lebih baik menderma kepada anak yatim tetapi jangan main sorok-sorok dalam sumbangan dana politik.
"Jika mereka yang disokong itu menang sekalipun, habuannya lebih sukar 'dituntut' kini dengan pelaksanaan sistem perolehan kontrak dan projek yang lebih telus dan terbuka oleh kerajaan.

"Walaupun ada manusia yang berkepentingan yang akan cuba manipulasi sistem ini tetapi sekurang-kurangnyua ia juga dapat mengelakkan wang jenayah digunakan untuk mengawal ahli dan parti politik tempatan," tegasnya.

Bagi Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan, penyaluran dana kepada individu dan parti politik tetap berlaku di Malaysia dan negara lain sama ada wujudnya sistem pamantauan ataupun tidak.

"Untuk mengelakkan salah faham, lebih elok sistem yang menjaga secara telus pergerakan dana politik dalam negara kerana ia sesuatu yang positif kepada penerima dan juga penderma.

"Paling utama sekali, perundangan baru ini akan membawa perubahan positif dan mendadak dalam mendedahkan siapakah penderma kepada parti-parti politik yang seterusnya akan mendedahkan tujuan dan agenda tersirat mereka," katanya.

Beliau berpendapat, sistem baru itu tidak akan menyusahkan BN tetapi akan meneliti dana politik parti-parti politik lain terutamanya dari pakatan pembangkang yang terpaksa mendedahkan sumber kewangan mereka untuk menggerakkan pelbagai aktiviti selama ini.

Beliau bagaimanapun merasakan pembangkang akan menentang usaha Perdana Menteri itu di Parlimen dengan pelbagai helah walaupun mereka yang paling lantang menuntut ketelusan dan menghapuskan rasuah.
"BN mungkin dijadikan kambing hitam sekali lagi dengan tuduhan cuba mengorek rahsia pemimpin dan parti politik pembangkang untuk 'mengenakan' mereka.

"Sepatutnya, kawalan serupa juga dikenakan terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar sumber dana mereka didedahkan terutamanya dalam mengelak sumbangan pihak asing yang mempunyai niat jahat," tegasnya.

Menurut Azmi, selain menyekat kemasukan wang jenayah dan mengelakkan wang rakyat digunakan parti politik, sumbangan dana asing juga sesuatu yang perlu disekat seperti mana diamalkan di Barat.
"Parti politik AS, United Kingdom dan Australia juga banyak menerima sumbangan dana tetapi mereka menetapkan syarat tidak menerima bantuan dana daripada pihak asing.

"Selain mengehadkan jumlah sumbangan yang boleh dibuat pihak tertentu kepada mana-mana parti politik bagi mengelakkan konflik kepentingan, saya juga menyarankan hanya warganegara Malaysia boleh menderma bagi mengelakkan campur tangan pihak asing," ujarnya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...