Rabu, 7 Disember 2011

Rakyat wajar fahami pengertian sebenar ketuanan Melayu

Oleh Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri
2011/12/07
sumber: Berita Harian

PERLEMBAGAAN adalah undang-undang tertinggi sesebuah negara. Perlembagaan wujud untuk mengendalikan perjalanan dan pentadbiran sesebuah negara dengan licin dan saksama. Ia juga punca kepada segala perundangan lain yang wujud dalam sesebuah negara. Secara amnya, perlembagaan mengandungi satu set hak, kuasa dan prosedur yang mengawal hubungan antara autoriti awam dalam sesebuah negara dan antara autoriti awam dengan rakyat.

Akhir-akhir ini isu yang berkaitan dengan ketuanan Melayu, yang mencorak perlembagaan negara kita, mula dinyatakan semula oleh pejuang kaum tertentu. Lihat saja pada Perhimpunan Agung UMNO yang baru berakhir, rata-rata isu ini sering kali ditonjolkan.

Mungkin tujuan mereka kerana ingin meraih populariti murahan ataupun sekadar ingin melonjak nama. Ironinya mereka yang mengutarakan perkara ini mungkin secara alpa atau kerana kejahilan tidak mengetahui bahawa ketuanan Melayu itu bukanlah satu dokumen yang wujud secara nyata. Bahkan ia sekadar manifesto persetujuan secara bersama antara pimpinan kaum. Untuk memahami fenomena ini kita hendaklah mengimbau kembali sejarah, terutama pada zaman di ambang prakemerdekaan. Jika dikaji dokumen yang membawa kepada kemerdekaan, antara prasyarat utama yang diletakkan British dalam membebaskan negara ini daripada cengkaman mereka ialah kesemua kaum yang ingin berbumbungkan negara tanah Melayu, sebagai tanah tumpah negara mereka hendaklah boleh duduk secara aman dan harmoni. Melahirkan suasana simbiosis penuh tolak ansur. Maka bertitik tolak daripada ingin mencapai matlamat memerdekakan negara satu kompromi antara kaum perlu dilaksanakan segera.

Atas usaha inilah Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman Al-Haj memulakan satu inisiatif perbincangan dengan teraju MCA yang ketika itu diterima ramai sebagai satu institusi yang mewakili kepentingan kaum Cina serta MIC yang dianggap pertubuhan mewakili kaum India telah duduk semeja dan berbincang mencari jalan keluar terhadap permasalahan ini.

Antara topik yang diperbincangkan ialah mengenai dengan hak kerakyatan bagi penduduk Tanah Melayu. Disebabkan kaum Cina dan India adalah kaum yang dibawa masuk oleh British untuk memajukan negara ini, mereka bukanlah penduduk asal Tanah Melayu berbanding dengan orang Melayu. Mereka perlu memohon untuk mendapat kerakyatan.

Berdasarkan sifat orang Melayu yang tinggi toleransi memudahkan bagi kaum lain untuk menjadi warga Tanah Melayu. Atas sifat ingin bersama inilah menyebabkan hampir kesemua mereka yang ingin kekal di sini diberi kerakyatan. Sebagai membalas jasa orang Melayu ini, kaum lain bersetuju untuk memberikan hak keistimewaan orang Melayu sebagai sesuatu yang termaktub dalam Perlembagaan. Kompromi inilah yang dikenali sebagai kontrak sosial, pakatan murni, kompromi merdeka, empat campur 1 (4+1) atau quid pro qou.

Empat (4) di sini merujuk kepada empat kelebihan yang diberikan oleh kaum lain kepada bangsa Melayu, iaitu Sistem Raja Perlembagaan, agama Islam sebagai agama rasmi, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta hak keistimewaan orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini. Manakala 1 merujuk kepada kelonggaran yang tidak mungkin dapat diberikan oleh mana-mana negara di dunia ini dalam memberikan kerakyatan kepada orang asing. Kompromi inilah yang telah membawa kepada artikel 153 dalam perlembagaan Persekutuan.

Di samping itu empat perkara yang dinyatakan di atas, menjadi unsur tradisi yang dikekalkan secara sebulat suara dalam perlembagaan. Ia juga dianggap penting bagi melambangkan bahawa sistem dan nilai asal negara dikekalkan meskipun kemerdekaan bererti demokrasi dan kesamarataan antara kaum. Unsur-unsur ini penting kerana ia menjamin kestabilan politik dan sistem pemerintahan yang cekap lagi adil.

Orang Melayu menganggap unsur ini sebagai satu jalan yang penting untuk menjadikan mereka setanding dengan masyarakat lain dan untuk mendapat kembali kedudukan mereka yang telah hilang akibat penjajahan bangsa asing ke atas bumi mereka. Hak mentadbir negara sendiri, serta hak menjadi pengurus dalam kediaman yang dibina, tanpa wujudnya prejudis serta sikap berat sebelah terhadap mana-mana kaum yang berkongsi langit yang sama. Oleh kerana itu juga tidak wujud sebarang frasa dalam perlembagaan Malaysia yang mengecilkan mana-mana kaum. Semua diberi hak yang setara di bumi bertuah ini.

Pengorbanan orang Melayu dalam memberikan kerakyatan berdasarkan jus soli dan bukannya jus sanguinis haruslah dihargai. Janganlah disebabkan nila setitik habis susu sebelanga dan janganlah disebabkan santan, pulut binasa, janganlah meruntuhkan tebing yang menghalang ombak pantai, kelak tenggelam semua yang telah kita bina bersama.

Sejarah sudah membuktikan Artikel 153 bukanlah sesuatu yang diletakkan secara sewenang-wenangnya oleh orang Melayu. Ia terhasil daripada persetujuan bersama dalam menghasilkan keadaan sama-sama menang kepada semua orang. Sikap bertolak ansur pimpin dulu dalam menstabilkan negara janganlah diselewengkan faktanya oleh mereka yang jingoisme. Pengorbanan mereka yang terdahulu bukanlah untuk generasi mendatang mempertikaikannya, akan tetapi mereka harus terus mendukung resolusi ini agar keamanan negara dapat diteruskan.

Agar keharmonian yang kita layari kini terus berkekalan selama-lamanya. Kepada mereka yang masih lagi cuba bermain api perkauman, berhati-hatilah, jangan sampai nanti rumah yang kita diami terbakar. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...