Isnin, 14 November 2011

Iran berada di ambang perang?


PEMIMPIN tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei ketika mengadakan kunjungan ke Kolej Ketenteraan Iran baru-baru ini yang mengeluarkan kenyataan akan bertindak balas terhadap mana-mana serangan.


SEKIAN lama menafikan mengenai pembangunan nuklearnya, republik Islam ini terus 'diserang' bertubi-tubi oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang secara terang-terangan tidak berpuas hati dengan penafian itu.
Terus dituduh membangunkan senjata nuklear, alasan pertuduhan itu bagaikan pengulangan 'skrip drama' seperti yang telah dilakukan oleh dua kuasa 'jahat' itu terhadap Iraq, suatu ketika dahulu.

Dilabel, didakwa dan dikatakan membangunkan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) dalam bentuk senjata kimia, biologi dan nuklear, Iraq yang ketika itu ditadbir Saddam Hussein menerima 'hukuman' AS atas segala tuduhan berkenaan.

Dibantu oleh negara sekutunya, AS bagaimanapun tidak menemui apa jua bentuk WMD di Iraq seperti yang diheboh-hebohkan sebelum ini. Apa yang pasti, kehadiran AS dan sekutunya di bumi Iraq beberapa tahun lalu sehingga kini telah menghancurkan kerukunan bangsa Iraq.

Serangan demi serangan terutama berupa pengebom berani mati dan 'bom kereta' masih berterusan di Iraq. Manusia sebangsa masih bertelagah dan dibenam dengan perasaan dendam antara satu salam lain.
Itulah helah AS dan Barat. Kini, helah yang sama digunakan untuk menghancurkan Iran, republik Islam yang dihuni lebih 77 juta orang dan kaya dengan petroleum, gas asli serta sumber asli lain.

Menerusi Israel, rejim Zionis itu baru-baru ini secara terbuka membayangkan untuk menyerang Iran dan menggunakan laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sebagai 'alat' menghalalkan peperangan ke atas negara blok Timur itu.

Menambahkan lagi 'perisa' dalam menggambarkan keburukan Iran, republik itu juga dituduh bersubahat dalam komplot membunuh Duta Arab Saudi ke Washington, Adel al-Jubeir.

Tuduhan jahat itu jelas bertujuan melaga-lagakan dunia Islam antara Arab Saudi dan Iran tatkala negara-negara Islam lain khususnya Libya sudah tidak lagi bertaring dalam melawan kuasa-kuasa besar.
Namun, Iran yang pasti berjuang sendirian jika diserang, dilihat kental dalam menghadapi sebarang kemungkinan. Lantang mengkritik AS dan Israel, Presidennya, Mahmoud Ahmadinejad tampil 'bersuara' tentang kekuatan Iran.

''Sudah tentu kami (Iran) memiliki keupayaan ketenteraan yang berbeza berbanding negara-negara di rantau ini. Iran akan sentiasa meningkatkan keupayaan itu bagi menandingi Israel dan negara-negara Barat khususnya AS.
''Atas sebab itu, AS kini semakin gentar dengan keupayaan Iran," tegasnya yang sudah berkali menafikan wujudnya pembangunan nuklear untuk persenjataan di bumi Iran.

Dalam laporan terkini IAEA baru-baru ini, agensi nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu percaya Iran telah menjalankan aktiviti untuk mencipta bom atom dan mungkin masih melakukan penyelidikan secara rahsia.

IAEA turut menyenaraikan beberapa aktiviti berkaitan pembangunan senjata nuklear seperti ujian bahan letupan kekuatan tinggi dan pembangunan alat peledak bom atom.

Sementara itu, bagi pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei turut memberi amaran keras kepada AS dan Israel bahawa Iran akan mengambil tindakan tegas jika kedaulatan negaranya itu diserang.
''Jika para pegawai AS melakukan penipuan, mereka seharusnya tahu bahawa apa jua tindakan yang dikenakan sama ada secara politik atau keselamatan, segalanya akan menerima tindakan tegas daripada Iran," katanya.

Kepada Ahmadinejad pula, mengenai hubungan Iran dan Arab Saudi yang cuba 'diperbodohkan' oleh AS, beliau punyai jawapannya. Bertegas itu hanyalah satu hasutan, jelasnya beliau, AS sebenarnya bimbang dengan 'persaudaraan' Iran dengan Arab Saudi.

Bagi beliau, untuk menghentikan penguasaan AS, Iran dan Arab Saudi seharusnya memperkukuhkan persaudaraan.

''Persaudaraan ini sudah wujud lama dan tidak akan terputus. Komplot membunuh Duta Arab Saudi hanyalah rekaan semata-mata. Budaya keganasan hanyalah milik kamu (AS)," katanya.

Demikian pendirian Iran yang jelas memberi mesej sudah sampai masanya dunia Islam bersatu menentang kuasa jahat yang kini mahu mengalihkan isu dalaman mereka seperti masalah ekonomi dan kejatuhan mata wang.

Demonstrasi jalanan Occupy Wall Street di AS dan banyak negara-negara maju sekutunya sudah cukup menggambarkan kepincangan ekonomi, sosial, pentadbiran dan ketidakadilan yang sebelum ini kononnya dikatakan hebat dan menguasai struktur ekonomi antarabangsa.

Berterusan sehingga kini, demonstrasi ekonomi yang asalnya bermula di Sepanyol dan dikenali sebagai Indignants kemudiannya merebak ke pelosok Kesatuan Eropah serta negara jolokan 'Raja Polis Dunia', AS.
Tidak kurang hebatnya di Israel, baru-baru ini, Persekutuan Kesatuan Sekerja Israel mengumumkan mogok sebagai protes terhadap keadaan 100,000 hingga 150,000 pekerja yang diupah secara bulanan atau jam seperti pekerja sosial, guru, jururawat dan pencuci, yang tidak mendapat sebarang faedah sosial.
Itulah hakikat yang dihadapi mereka meski sedaya upaya cuba disorok kepada pengetahuan masyarakat antarabangsa.

Berbalik kepada kemungkinan perang di Iran, AS dan Israel sejak sekian lama sudah menjadikan Iran sebagai sasaran untuk dimusnahkan lantaran suara republik Islam itu lantang di pentas antarabangsa mengutuk sekutu dunia tersebut yang lagaknya seperti penentu segala-galanya di muka bumi ini.

Buatlah, ungkaplah atau nyatakanlah apa jua kenyataan menafikan penglibatannya dalam pembangunan senjata nuklear, AS dan Israel sudah menjadi 'pekak, bisu dan buta' dalam membuat pertimbangan sewajarnya.

Apa yang dimahukan, hanyalah peperangan terhadap Iran, republik Islam yang secara hakikatnya digeruni mereka.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...