Sabtu, 6 Februari 2010

Zambry melepasi ujian awal

JIKA boleh diukur berdasarkan carta, Perak tentunya mengungguli kedudukan sepanjang tahun lalu apabila berlaku peristiwa-peristiwa menggemparkan membabitkan tindakan-tindakan politik luar biasa.

Kekecohan perjalanan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyaksikan pelbagai 'drama' dimainkan oleh parti pembangkang, adalah peristiwa besar yang berterusan mewarnai suasana tersebut.

Ada yang melihat tindakan pembangkang itu sedikit sebanyak berjaya mempengaruhi sentimen rakyat apabila di peringkat awalnya, mereka turut terheret untuk melakukan tunjuk perasaan. Namun ramai yang berpendapat, usaha pihak terbabit hanya sebagai 'membuka pekung di dada' di mana akhirnya rakyat sendiri dapat menilai sikap dan perwatakan sebenar pembangkang.

Hari ini, genap setahun Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengharungi segala cabaran dan dugaan sebagai Menteri Besar Perak. Apa yang pasti, tiada lagi berlaku tunjuk perasaan membabitkan rakyat menolak pentadbirannya.

Malah, setiap kali turun padang untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan, kehadiran Zambry disambut baik. Pelbagai perancangan ekonomi dan sosial dirancang sebaik mungkin demi memastikan janji-janji memenuhi kesejahteraan rakyat dicapai. Hakikatnya, walaupun diasak dengan pelbagai tuduhan serta tohmahan, Zambry tetap dengan sikapnya yang tenang dan sederhana.

''Tak kisah apa mereka nak cakap. Kalau layan, tak habis-habis. Saya nak buat kerja," antara kata-kata biasa yang diucapkan setiap kali diajukan pertanyaan tentang dakwaan-dakwaan pembangkang.

Pun begitu, kesederhanaan Zambry bukan bermakna beliau menerima apa sahaja keadaan yang dilaluinya. Jika ia berkaitan dengan soal kerja, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor ini cukup tegas.

''Tempoh setahun sebenarnya sangat singkat untuk kita menilai kemampuan seseorang itu, apa pun Zambry berjaya meletakkan dirinya sebagai pemimpin masa depan," kata pakar politik, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak ketika dihubungi baru-baru ini.

Kemampuan Zambry berdepan dan menerap segala tekanan politik di sekelilingnya, disifatkan sebagai suatu kemampuan yang luar biasa.

''Ini adalah krisis paling hebat dalam konteks Perak. Zambry telah buktikan tampil dengan gaya kepimpinan tersendiri. Nampak kebijaksanaan beliau yang bertenang menghadapi krisis," katanya.

Pun begitu, kata Mohamed Mustafa, sebagai individu yang diangkat menjadi ketua dalam suasana berlaku krisis, tentunya Zambry tidak terlepas daripada berhadapan dengan masalah dalaman parti sendiri.

''Maknanya little Napolean yang masih wujud di beberapa tempat di Perak terutama di kalangan ketua bahagian UMNO sendiri. Mereka patut sedar, masa 'bermaharajalela' di tempat masing-masing sudah berlalu. UMNO sekarang tidak kuat lagi seperti dulu. Mereka mesti ikut rentak politik semasa," katanya.

Keadaan itu, jika dibiar berlarutan, bukan sahaja akan menjejaskan kepimpinan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh UMNO malah menyukarkan usaha untuk menarik keyakinan rakyat.

''Apa yang berlaku pada 2008 sepatutnya menyedarkan para pemimpin Perak akibat perpecahan sesama sendiri. Mereka ini harus tampil membantu Zambry memperbaiki setiap kelemahan dan menjayakan aspirasi pucuk pimpinan," katanya.

Walaupun Zambry dilihat berjaya mengharungi ujian fasa pertama pentadbirannya, namun ia seharusnya menjadi suatu anjakan untuk mencapai kejayaan lebih besar.

sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...