Rabu, 29 Februari 2012

Tiada rakaman Badrulamin dipukul kumpulan samseng


INILAH lobi hotel terkenal di Pantai Balok, Kuantan, tempat Dr. Badrulamin didakwa berkhalwat dengan isteri orang.



KUANTAN - Persoalan mengapa Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Badrulamin Bahron enggan membuat laporan polis walaupun mendakwa 20 orang membelasahnya ketika ditangkap khalwat di sebuah hotel di Pantai Balok di sini kelmarin terjawab apabila siasatan pihak hotel itu mendapati dakwaan dia dipukul tidak benar.

Perkara itu disahkan sendiri oleh pengurus keselamatan hotel tersebut yang berkata, rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) hotel itu mendapati tidak ada kelibat sekumpulan lelaki seramai 20 orang memasuki hotel itu antara pukul 2 hingga 3 pagi Sabtu lalu.

Beliau turut menegaskan, tiada seorang pun pekerja hotel yang ternampak begitu ramai lelaki bagaikan samseng memasuki hotel dan seterusnya menuju ke bilik penginapan Dr. Badrulamin sebagaimana didakwa.
Menurutnya, hotel tersebut mempunyai CCTV di setiap laluan di tangga dan lif, bukannya di laluan menuju ke bilik penginapan.

"Namun, rakaman CCTV yang kami lihat kembali mendapati tidak ada rakaman yang membuktikan ada orang masuk beramai-ramai ke hotel kami pada waktu tersebut.

"Kenyataan bahawa hotel ini boleh dimasuki kumpulan samseng sewenang-wenangnya untuk membelasah pelanggan adalah sangat mencemarkan imej hotel ini,'' katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ahad, 12 Februari 2012

Ya’ atau ‘tidak’ tanya orang PAS

sumber: Berita Harian
Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@bharian.com.my
2012/02/05


KONFLIK politik di kalangan parti pembangkang di Malaysia sangat ketara. PAS dan DAP tidak sehala manakala PKR pula menghadapi pelbagai cabaran politik. Sebenarnya percanggahan ideologi, idealisme dan pandangan politik ketiga-tiga parti itu sering disebut oleh ahli politik, khasnya di pentas politik. Selama ini apa yang berlaku dalam parti pembangkang dianalisis atau dilihat dengan mata kasar saja tanpa penelitian.

Persoalannya, tidak adakah mana-mana badan yang terbabit dalam urusan penyelidikan mampu memberi jawapan tepat terhadap konflik dan percanggahan idea yang wujud dalam parti pembangkang. Daripada sikap pemimpin parti itu, mereka sedaya upaya cuba menunjukkan kepada ahli parti, seolah-olah bersatu. Dalam banyak isu, mereka kononnya berdiri sama tinggi dan seia sekata. Di belakang pintu mesyuarat mereka berbalah, tetapi dengan media mereka berpeluk sakan. Ahli mereka melihat tanpa mengetahui apa sebenarnya berlaku.

Hakikatnya, ia adalah sandiwara politik yang penuh dengan kepalsuan. Ramai yang berkata PAS, DAP dan PKR ‘tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain’. Walaupun kenyataan ini menjadi pengetahuan umum, ia tetap dianggap sekadar hujah politik. ‘Tidur sebantal, mimpi lain-lain’ bukanlah dapatan daripada kajian saintifik yang dijalankan oleh mana-mana badan penyelidikan politik dan bukan politik. Ia tidak lebih daripada peribahasa untuk menunjukkan konflik dalam parti pembangkang. Konflik biasanya akan berakhir dengan perpecahan.

Jika konflik membabitkan dua negara, ia boleh mencetuskan peperangan. Tanpa kajian, apa juga hujah politik dianggap oleh masyarakat khasnya pengkaji dan golongan intelek, sebagai kenyataan yang tidak bersandar (sweeping statement). Kenyataan tidak bersandar seperti ini sering didengar diucap dari pentas ke pentas politik dan dari mulut ke mulut saja. Kajian menunjukkan hujah politik semata-mata tidak boleh sepenuh mempengaruhi pemikiran rakyat. Makna ‘tidur sebantal, mimpi lain-lain’ itu juga sering dan mudah ditafsir secara berbeza-beza.

Orang PAS mungkin menganggap kenyataan itu dibuat oleh orang tertentu untuk tujuan tertentu. Rasanya, setakat ini tidak ada satu kajian pun dijalankan untuk mengetahui apa sebenarnya yang tersirat dalam fikiran ahli PAS, DAP atau PKR mengenai pakatan ketiga-tiga parti itu. Jangan ambil kira kenyataan pemimpin parti berkenaan mengenai pembangkang kerana mereka sudah terlajak dan terpaksa bersandiwara untuk mengejar mimpi masing-masing.

Mereka tahu kerjasama itu membuang masa tetapi terpaksa diteruskan kerana terpaksa. Sebenarnya, isu penerimaan dan sokongan ahli terhadap pakatan tiga parti pembangkang ini adalah satu daripada ratusan tajuk kajian yang boleh dijalankan terhadap parti pembangkang. Mustahil kajian seperti ini tidak boleh dijalankan secara objektif oleh institusi atau badan penyelidikan bebas.

Jika pembangkang berasakan ada halangan atas sebab politik, PAS, DAP dan PKR sepatutnya menjalankan kajian sendiri mengenai cita rasa ahli-ahli mereka. PAS tidak perlu berselindung dan menipu jika benar-benar mahu memperjuang kebenaran dan negara Islam. Buatlah kajian secara jujur adakah ahli-ahli parti itu merestui kerjasama parti itu dengan DAP. Hanya dengan jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’ PAS boleh mendapat jawapan sama ada untuk menerus atau memberhentikan hubungan dengan DAP. Soalan susulan, apakah ahli PAS yakin DAP menyokong perjuangan menegakkan negara Islam di Malaysia. Jawab ‘ya’ atau ‘tidak’. Juga jawab ‘ya’ atau ‘tidak’ apakah ahli PAS percaya DAP bersetuju melaksanakan hukum hudud di negara ini.
Beratus-ratus soalan boleh ditanya kepada ahli PAS untuk mengetahui apakah sebenarnya yang mereka fikirkan. Tanyakan juga soalan sama kepada mereka mengenai sikap dan pemimpin PKR. Untuk lebih adil, mereka boleh tanyakan juga pandangan ahli mengenai sentimen mereka terhadap UMNO. Buruk sangatkah UMNO di mata ahli parti berbanding parti yang mereka bekerjasama sekarang. UMNO dilihat buruk atau dihodohkan oleh pemimpin parti itu tetapi jika kajian lapangan dijalankan tidak semestinya pendapat pemimpin parti itu selari dengan pandangan ahli-ahli mereka. Begitu juga, sokongan pucuk pimpinan PAS kepada pembangkang tidak semestinya direstui oleh ahli parti.

DAP juga boleh membuat kajian sendiri terhadap ahli parti mereka. Tanyakan soalan tertutup ‘ya’ atau ‘tidak’ sama ada menyokong penubuhan negara Islam dan hukum hudud oleh PAS. Untuk ketiga-tiga parti pembangkang, mereka boleh senaraikan nama pemimpin pembangkang yang mereka lebih yakin dan kurang yakin dari segi moral atau daya kepemimpinan mereka. Kita boleh membuat pelbagai andaian berasaskan hipotesis kajian tetapi jawapan daripada ahli pasti berbeza seandainya kajian dijalankan secara berasingan oleh parti berkenaan atau pun serentak.

Khamis, 26 Januari 2012

Ketua Audit Negara perjelas laporan

sumber: Utusan Malaysia



AMBRIN BUANG



KUALA LUMPUR 25 Jan. – Jabatan Audit Negara (JAN) menjelaskan bahawa Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2010 tidak ada menyebut perkataan-perkataan seperti kucar-kacir, ‘in a mess’ ataupun penyelewengan dalam laporan pengauditannya terhadap projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) di Gemas, Negeri Sembilan.
Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam kenyataan hari ini berkata, “Perkataan-perkataan ini telah digunakan oleh pihak-pihak lain dan JAN tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan.”

Katanya, pada pendapat JAN, sama ada terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam pelaksanaan projek itu terpulanglah kepada penyiasatan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut beliau, pada perspektif audit, sememangnya terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan projek itu yang menyebabkan kerajaan menangguhkannya pada Mei 2009, iaitu sebelum pengauditan, sehingga satu kajian daya maju dan model perniagaan dijalankan.

“Perkara ini ada dinyatakan dalam LKAN 2010. Ia membayangkan Kerajaan Malaysia sememangnya sedar akan kelemahan-kelemahan dalam pelaksanaan projek ini dan telah mengambil tindakan untuk menentukan hala tuju projek,” katanya.

Ambrin menambah, pengauditan bagi projek NFC dibuat secara bebas dan profesional tanpa sebarang prejudis kepada mana-mana pihak dan sebarang kenyataan yang mempertikaikan kewibawaan dan integriti juruaudit JAN adalah dikesali.

Tambah beliau, analisis audit mendapati objektif projek NFC masih belum dicapai sepenuhnya disebabkan pelbagai faktor yang dihuraikan dalam LKAN 2010.

“Antaranya, mengikut perjanjian pelaksanaan yang ditandatangani pada Mac 2010, sasaran pengeluaran NFC iaitu 38,600 ekor lembu untuk tahun 2010 belum dicapai kerana Program Pembangunan Usahawan (EDP) yang melibatkan 130 pengusaha ladang satelit belum dilaksanakan lagi,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa perkara yang menjadi fokus utama pengauditan prestasi yang dijalankan oleh JAN itu adalah pencapaian projek NFC sejak penubuhannya pada tahun 2006 dan bukannya National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) sebagai sebuah syarikat.

Menurutnya, NFCorp adalah sebuah syarikat yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang mana Kementerian Kewangan Diperbadankan memegang satu golden share bernilai RM1, manakala modal berbayar berjumlah RM1.11 juta telah disumbangkan oleh Agroscience Industries Sdn. Bhd.
Ambrin berkata, projek itu diaudit memandangkan ia penting dari segi pengeluaran makanan negara yang mana kerajaan memperuntukkan sejumlah wang yang besar kepadanya.

Katanya, ini termasuk peruntukan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berjumlah RM73.64 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi menampung kos pembangunan dan pengoperasiannya.

“Daripada peruntukan ini, sejumlah RM48.71 juta telah dibelanjakan setakat akhir tahun 2010 oleh kementerian itu untuk menyediakan tapak seluas 2,000 hektar bagi projek ini. Kawasan ini kemudian dikurangkan menjadi 800 hektar sahaja,” katanya.

Beliau seterusnya memberitahu, geran pelancaran untuk penyediaan infrastruktur berjumlah RM13 juta diluluskan kepada NFCorp pada September 2007 dan setakat akhir tahun 2010, sejumlah RM6.52 juta telah dibayar kepada NFCorp untuk penyediaan infrastruktur seperti kandang dan jalan ladang.

Ambrin berkata, pinjaman mudah berjumlah RM250 juta juga telah diluluskan kepada NFCorp menerusi satu perjanjian pinjaman yang ditandatangani pada Disember 2007 dan setakat Mac 2010, sejumlah RM134.7 juta telah dikeluarkan kepada NFCorp berdasarkan kepada tuntutan yang dibuat kepada Kementerian Kewangan. – BERNAMA.

Jumaat, 13 Januari 2012

DAP sembunyi fakta sebenar 'kejayaan' Pulau Pinang

2012/01/13
sumber: Berita Harian

GEORGETOWN: Rakyat Pulau Pinang harus mengkaji semula dan tidak mempercayai sepenuhnya kenyataan pemimpin pakatan pembangkang mengenai kejayaan yang kononnya dicapai mereka sepanjang mentadbir negeri ini sejak Mac 2008.

Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Shaik Hussein Mydin, berkata ini disebabkan pemimpin terbabit 'menyembunyikan' sesetengah fakta yang tidak populis untuk mereka, sekali gus mengelirukan rakyat demi meningkatkan populariti semata-mata.
Contohnya, beliau berkata, dalam isu pengurangan hutang sebanyak RM600 juta yang kononnya berjaya diselesaikan kerajaan DAP Pulau Pinang selepas mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, mereka tidak menjelaskan kepada rakyat bahawa ia adalah disebabkan penghijrahan aset air kepada Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB).
“Mereka juga tidak menjelaskan bahawa rakyat Pulau Pinang sendiri sebenarnya harus membayar RM14 juta setiap tahun kepada Kerajaan Pusat bagi tempoh 45 tahun yang berjumlah RM630 juta sebagai bayaran pelupusan hutang.

“Bagaimana hendak membayar hutang penghijrahan aset air ini? Sudah tentu rakyat yang menanggungnya apabila terpaksa bayar RM14 juta semata-mata untuk meningkatkan imej kerajaan negeri. Mengecewakan apabila mereka menggunakan isu mengurangkan hutang sebagai modal untuk berpolitik,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pada ceramah Himpunan Rakyat Menuntut Keadilan di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Bukit Mertajam, baru-baru ini, pemimpin pakatan mendakwa, kerajaan DAP Pulau Pinang mengurus tadbir ekonomi yang baik dengan kejayaan mengurangkan hutang kerajaan negeri daripada RM630.13 juta kepada RM29.66 juta.

Shaikh Hussein berkata, satu lagi contoh tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang yang menyembunyikan fakta sebenar, mengenai wang terkumpul berjumlah RM1 bilion diperoleh hasil daripada pelbagai bayaran antaranya premium tanah.
“Mereka melaung-laungkan jumlah itu tetapi mereka tidak menjelaskan bahawa RM847 juta itu hasil dikumpul kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu, bukan semuabya oleh mereka.

“Rakyat seharusnya menilai semula dan tidak mempercayai sepenuhnya kenyataan pemimpin pakatan pembangkang itu,” katanya.

Khamis, 12 Januari 2012

Saingan sengit media baru, tradisional era kebebasan maklumat

Oleh Imlan Adabi
imlanadabi@nstp.com.my
2012/01/11

sumber: Berita Harian

SEKUMPULAN mahasiswa yang pada awalnya tenang tiba-tiba lebih serius apabila isu media baru dan penerbitan tradisional diperdebatkan. Benarkah media baru bebas dan media perdana ejen propaganda?

Apakah jangka hayat media cetak akan berakhir kerana internet lebih mesra pengguna, relevan dan akrab Generasi Y dan X?

Seorang pelajar pula sinis mencelah: “Kami hormati media, tapi kami mahu ruang menyalurkan suara generasi muda, politik kampus, bukan berita pesta konvokesyen dan pelantikan naib canselor saja.”
Jika sebelumnya media cetak, elektronik, laman web, blog dan portal berita lebih terarah kepada komunikasi sehala, Facebook membenarkan hubungan banyak hala pada tempoh cepat tanpa sekatan
Isu media dan gerakan massa sudah lama diperkatakan. Justeru, bukan luar biasa seminar media dan kebebasan di sebuah pusat pengajian meluaskan fokus kepada peranan pujangga istana, sasterawan, seniman, ulama juga cendekiawan Melayu menjulang tradisi berdialog, berhujah dan berdebat secara waras.

Apabila akhbar Melayu pertama, Jawi Peranakan lahir pada penghujung abad ke-19, bermulalah tradisi persuratkhabaran yang membuka jendela baru pemikiran Melayu. Kelahiran Al-Iman adalah wahana ilmuwan Muslim progresif pada 1906. Walaupun isu Kaum Muda-Kaum Tua mendominasi ketika itu, wartawan, kolumnis dan penulis memanfaatkan penerbitan massa untuk tujuan berinteraksi. Tradisi inilah yang melahirkan Berita Harian, Berita Minggu atau sebelumnya Utusan Melayu.

Penulis seperti Rahim Kajai, Tan Sri A Samad Ismail, Datuk Usman Awang, Pak Sako, Said Zahari dan Datuk Melan Abdullah antara ikon dunia kewartawanan tempatan.

Mereka lahir bersama kemelut masyarakat. Mereka mendekati massa untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan ketika era penjajahan dan mengisi kemerdekaan selepas 1957.
Merekalah pendesak dan pengukir wacana bangsa. Mereka yang membentuk jiwa perpaduan dan menegur pemerintah ketika era konfrontasi, insiden 13 Mei 1969 dan pasca Dasar Ekonomi Baru. Mereka juga berperanan sebelum negara merdeka.

Era penjajahan memberi ruang kepada petugas media menyemarakkan pemikiran massa dan menentang kuasa imperialis Barat. Tidak sedikit wartawan yang menerima kesan penderaan seperti dialami Samad dan Said Zahari. Mereka dipenjara dan dihina, namun akhirnya menjadi ikon kebebasan bermaklumat!

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menerusi novel Hujan Pagi secara sinis memaparkan kemelut kewartawanan yang mengalami era prasangka sepanjang zaman. Wartawan dan media dicurigai ketika era penjajahan, namun menghadapi tekanan menerusi pelbagai akta dan hukum selepas negara merdeka. Mereka dicurigai oleh bangsa sendiri.

Kehadiran media maya secara langsung mencabar sejarah dan tradisi media cetak pada 1998. Perkembangan politik dan isu moral seorang pemimpin mula bertebaran menerusi media baru. Blog, portal berita, e-mel, Facebook dan Twitter wadah yang memeranjatkan. Setiap berita tersebar hanya beberapa saat dan semua pihak bebas untuk memberi pandangan, menyokong atau menentang.

Dunia hampir pasti berterima kasih kepada pengasas Facebook, Mark Zuckerberg kerana membuka dimensi baru proses komunikasi sejagat.

Jika sebelumnya media cetak, elektronik, laman web, blog dan portal berita lebih terarah kepada komunikasi sehala, Facebook membenarkan hubungan banyak hala pada tempoh cepat tanpa sekatan.

Sesiapa saja boleh berhubung dan menyuarakan pendapat tanpa batasan. Belum pun sesuatu kes disebut di mahkamah, media baru sudah meledak dengan pelbagai maklumat, lengkap dengan pertuduhan dan pendakwaan. Sesiapa saja berusaha menjadi hakim. Sesiapa jua berhak mendakwa ‘rakyat hakim negara.’

Pengguna Facebook di Malaysia kini mencecah hampir 12 juta orang, dengan kadar penembusan 69.91 pengguna internet. Laman SocialBakers.com melaporkan, Malaysia kini berada di tangga ke-17 pengguna Facebook paling ramai di dunia.

Teknologi maklumat secara langsung menguji kewujudan media tradisional. Ketika penduduk Malaysia 24.6 juta orang pada 2000, pengguna internet 3.7 juta dengan kadar penembusan 15 peratus. Bagaimanapun pada 2010, dengan 26.12 juta penduduk, pengguna internet meningkat 16.9 juta orang dan kadar penembusan 64.6 peratus. Ini menunjukkan pertumbuhan pengguna internet tempoh 10 tahun meningkat 356.8 peratus.

Perkembangan ini memberikan gambaran saingan media baru dan tradisional semakin sengit. Hanya kewibawaan dan etika yang menentukan sesebuah media kekal
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...