Khamis, 26 Januari 2012

Ketua Audit Negara perjelas laporan

sumber: Utusan Malaysia



AMBRIN BUANG



KUALA LUMPUR 25 Jan. – Jabatan Audit Negara (JAN) menjelaskan bahawa Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2010 tidak ada menyebut perkataan-perkataan seperti kucar-kacir, ‘in a mess’ ataupun penyelewengan dalam laporan pengauditannya terhadap projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) di Gemas, Negeri Sembilan.
Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam kenyataan hari ini berkata, “Perkataan-perkataan ini telah digunakan oleh pihak-pihak lain dan JAN tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan.”

Katanya, pada pendapat JAN, sama ada terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam pelaksanaan projek itu terpulanglah kepada penyiasatan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut beliau, pada perspektif audit, sememangnya terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan projek itu yang menyebabkan kerajaan menangguhkannya pada Mei 2009, iaitu sebelum pengauditan, sehingga satu kajian daya maju dan model perniagaan dijalankan.

“Perkara ini ada dinyatakan dalam LKAN 2010. Ia membayangkan Kerajaan Malaysia sememangnya sedar akan kelemahan-kelemahan dalam pelaksanaan projek ini dan telah mengambil tindakan untuk menentukan hala tuju projek,” katanya.

Ambrin menambah, pengauditan bagi projek NFC dibuat secara bebas dan profesional tanpa sebarang prejudis kepada mana-mana pihak dan sebarang kenyataan yang mempertikaikan kewibawaan dan integriti juruaudit JAN adalah dikesali.

Tambah beliau, analisis audit mendapati objektif projek NFC masih belum dicapai sepenuhnya disebabkan pelbagai faktor yang dihuraikan dalam LKAN 2010.

“Antaranya, mengikut perjanjian pelaksanaan yang ditandatangani pada Mac 2010, sasaran pengeluaran NFC iaitu 38,600 ekor lembu untuk tahun 2010 belum dicapai kerana Program Pembangunan Usahawan (EDP) yang melibatkan 130 pengusaha ladang satelit belum dilaksanakan lagi,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa perkara yang menjadi fokus utama pengauditan prestasi yang dijalankan oleh JAN itu adalah pencapaian projek NFC sejak penubuhannya pada tahun 2006 dan bukannya National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) sebagai sebuah syarikat.

Menurutnya, NFCorp adalah sebuah syarikat yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang mana Kementerian Kewangan Diperbadankan memegang satu golden share bernilai RM1, manakala modal berbayar berjumlah RM1.11 juta telah disumbangkan oleh Agroscience Industries Sdn. Bhd.
Ambrin berkata, projek itu diaudit memandangkan ia penting dari segi pengeluaran makanan negara yang mana kerajaan memperuntukkan sejumlah wang yang besar kepadanya.

Katanya, ini termasuk peruntukan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berjumlah RM73.64 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi menampung kos pembangunan dan pengoperasiannya.

“Daripada peruntukan ini, sejumlah RM48.71 juta telah dibelanjakan setakat akhir tahun 2010 oleh kementerian itu untuk menyediakan tapak seluas 2,000 hektar bagi projek ini. Kawasan ini kemudian dikurangkan menjadi 800 hektar sahaja,” katanya.

Beliau seterusnya memberitahu, geran pelancaran untuk penyediaan infrastruktur berjumlah RM13 juta diluluskan kepada NFCorp pada September 2007 dan setakat akhir tahun 2010, sejumlah RM6.52 juta telah dibayar kepada NFCorp untuk penyediaan infrastruktur seperti kandang dan jalan ladang.

Ambrin berkata, pinjaman mudah berjumlah RM250 juta juga telah diluluskan kepada NFCorp menerusi satu perjanjian pinjaman yang ditandatangani pada Disember 2007 dan setakat Mac 2010, sejumlah RM134.7 juta telah dikeluarkan kepada NFCorp berdasarkan kepada tuntutan yang dibuat kepada Kementerian Kewangan. – BERNAMA.

Jumaat, 13 Januari 2012

DAP sembunyi fakta sebenar 'kejayaan' Pulau Pinang

2012/01/13
sumber: Berita Harian

GEORGETOWN: Rakyat Pulau Pinang harus mengkaji semula dan tidak mempercayai sepenuhnya kenyataan pemimpin pakatan pembangkang mengenai kejayaan yang kononnya dicapai mereka sepanjang mentadbir negeri ini sejak Mac 2008.

Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Shaik Hussein Mydin, berkata ini disebabkan pemimpin terbabit 'menyembunyikan' sesetengah fakta yang tidak populis untuk mereka, sekali gus mengelirukan rakyat demi meningkatkan populariti semata-mata.
Contohnya, beliau berkata, dalam isu pengurangan hutang sebanyak RM600 juta yang kononnya berjaya diselesaikan kerajaan DAP Pulau Pinang selepas mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, mereka tidak menjelaskan kepada rakyat bahawa ia adalah disebabkan penghijrahan aset air kepada Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB).
“Mereka juga tidak menjelaskan bahawa rakyat Pulau Pinang sendiri sebenarnya harus membayar RM14 juta setiap tahun kepada Kerajaan Pusat bagi tempoh 45 tahun yang berjumlah RM630 juta sebagai bayaran pelupusan hutang.

“Bagaimana hendak membayar hutang penghijrahan aset air ini? Sudah tentu rakyat yang menanggungnya apabila terpaksa bayar RM14 juta semata-mata untuk meningkatkan imej kerajaan negeri. Mengecewakan apabila mereka menggunakan isu mengurangkan hutang sebagai modal untuk berpolitik,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pada ceramah Himpunan Rakyat Menuntut Keadilan di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Bukit Mertajam, baru-baru ini, pemimpin pakatan mendakwa, kerajaan DAP Pulau Pinang mengurus tadbir ekonomi yang baik dengan kejayaan mengurangkan hutang kerajaan negeri daripada RM630.13 juta kepada RM29.66 juta.

Shaikh Hussein berkata, satu lagi contoh tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang yang menyembunyikan fakta sebenar, mengenai wang terkumpul berjumlah RM1 bilion diperoleh hasil daripada pelbagai bayaran antaranya premium tanah.
“Mereka melaung-laungkan jumlah itu tetapi mereka tidak menjelaskan bahawa RM847 juta itu hasil dikumpul kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu, bukan semuabya oleh mereka.

“Rakyat seharusnya menilai semula dan tidak mempercayai sepenuhnya kenyataan pemimpin pakatan pembangkang itu,” katanya.

Khamis, 12 Januari 2012

Saingan sengit media baru, tradisional era kebebasan maklumat

Oleh Imlan Adabi
imlanadabi@nstp.com.my
2012/01/11

sumber: Berita Harian

SEKUMPULAN mahasiswa yang pada awalnya tenang tiba-tiba lebih serius apabila isu media baru dan penerbitan tradisional diperdebatkan. Benarkah media baru bebas dan media perdana ejen propaganda?

Apakah jangka hayat media cetak akan berakhir kerana internet lebih mesra pengguna, relevan dan akrab Generasi Y dan X?

Seorang pelajar pula sinis mencelah: “Kami hormati media, tapi kami mahu ruang menyalurkan suara generasi muda, politik kampus, bukan berita pesta konvokesyen dan pelantikan naib canselor saja.”
Jika sebelumnya media cetak, elektronik, laman web, blog dan portal berita lebih terarah kepada komunikasi sehala, Facebook membenarkan hubungan banyak hala pada tempoh cepat tanpa sekatan
Isu media dan gerakan massa sudah lama diperkatakan. Justeru, bukan luar biasa seminar media dan kebebasan di sebuah pusat pengajian meluaskan fokus kepada peranan pujangga istana, sasterawan, seniman, ulama juga cendekiawan Melayu menjulang tradisi berdialog, berhujah dan berdebat secara waras.

Apabila akhbar Melayu pertama, Jawi Peranakan lahir pada penghujung abad ke-19, bermulalah tradisi persuratkhabaran yang membuka jendela baru pemikiran Melayu. Kelahiran Al-Iman adalah wahana ilmuwan Muslim progresif pada 1906. Walaupun isu Kaum Muda-Kaum Tua mendominasi ketika itu, wartawan, kolumnis dan penulis memanfaatkan penerbitan massa untuk tujuan berinteraksi. Tradisi inilah yang melahirkan Berita Harian, Berita Minggu atau sebelumnya Utusan Melayu.

Penulis seperti Rahim Kajai, Tan Sri A Samad Ismail, Datuk Usman Awang, Pak Sako, Said Zahari dan Datuk Melan Abdullah antara ikon dunia kewartawanan tempatan.

Mereka lahir bersama kemelut masyarakat. Mereka mendekati massa untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan ketika era penjajahan dan mengisi kemerdekaan selepas 1957.
Merekalah pendesak dan pengukir wacana bangsa. Mereka yang membentuk jiwa perpaduan dan menegur pemerintah ketika era konfrontasi, insiden 13 Mei 1969 dan pasca Dasar Ekonomi Baru. Mereka juga berperanan sebelum negara merdeka.

Era penjajahan memberi ruang kepada petugas media menyemarakkan pemikiran massa dan menentang kuasa imperialis Barat. Tidak sedikit wartawan yang menerima kesan penderaan seperti dialami Samad dan Said Zahari. Mereka dipenjara dan dihina, namun akhirnya menjadi ikon kebebasan bermaklumat!

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menerusi novel Hujan Pagi secara sinis memaparkan kemelut kewartawanan yang mengalami era prasangka sepanjang zaman. Wartawan dan media dicurigai ketika era penjajahan, namun menghadapi tekanan menerusi pelbagai akta dan hukum selepas negara merdeka. Mereka dicurigai oleh bangsa sendiri.

Kehadiran media maya secara langsung mencabar sejarah dan tradisi media cetak pada 1998. Perkembangan politik dan isu moral seorang pemimpin mula bertebaran menerusi media baru. Blog, portal berita, e-mel, Facebook dan Twitter wadah yang memeranjatkan. Setiap berita tersebar hanya beberapa saat dan semua pihak bebas untuk memberi pandangan, menyokong atau menentang.

Dunia hampir pasti berterima kasih kepada pengasas Facebook, Mark Zuckerberg kerana membuka dimensi baru proses komunikasi sejagat.

Jika sebelumnya media cetak, elektronik, laman web, blog dan portal berita lebih terarah kepada komunikasi sehala, Facebook membenarkan hubungan banyak hala pada tempoh cepat tanpa sekatan.

Sesiapa saja boleh berhubung dan menyuarakan pendapat tanpa batasan. Belum pun sesuatu kes disebut di mahkamah, media baru sudah meledak dengan pelbagai maklumat, lengkap dengan pertuduhan dan pendakwaan. Sesiapa saja berusaha menjadi hakim. Sesiapa jua berhak mendakwa ‘rakyat hakim negara.’

Pengguna Facebook di Malaysia kini mencecah hampir 12 juta orang, dengan kadar penembusan 69.91 pengguna internet. Laman SocialBakers.com melaporkan, Malaysia kini berada di tangga ke-17 pengguna Facebook paling ramai di dunia.

Teknologi maklumat secara langsung menguji kewujudan media tradisional. Ketika penduduk Malaysia 24.6 juta orang pada 2000, pengguna internet 3.7 juta dengan kadar penembusan 15 peratus. Bagaimanapun pada 2010, dengan 26.12 juta penduduk, pengguna internet meningkat 16.9 juta orang dan kadar penembusan 64.6 peratus. Ini menunjukkan pertumbuhan pengguna internet tempoh 10 tahun meningkat 356.8 peratus.

Perkembangan ini memberikan gambaran saingan media baru dan tradisional semakin sengit. Hanya kewibawaan dan etika yang menentukan sesebuah media kekal

Isnin, 9 Januari 2012

DR. HASAN ALI DIPECAT

sumber kosmo

Keputusan pecat sebulat suara dalam mesyuarat

SHAH ALAM – Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastrukur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali dipecat sebagai ahli Pas berkuat kuasa serta-merta.


Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan berkata, keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat Pas Pusatdi Kuala Lumpur semalam berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian sebagai ahli Pas.


Bagaimanapun Dr. Hasan boleh mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura.
Turut hadir dalam mesyuarat semalam yang berlangsung lebih tiga jam ialah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Ia merupakan keputusan sebulat suara dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat di Ibu Pejabat Pas, Jalan Raja Laut di sini.


Abdul Hadi berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan tindakan-tindakan Dr. Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia didapati menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Pas.


Katanya, keputusan itu diambil setelah mempertimbangkan segala pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli Jawatankuasa Pas Pusat dalam mesyuarat itu.


Dr. Hasan sebelum ini mencetuskan kontroversi di peringkat dalaman Pas apabila mempertikaikan kepimpinan serta dasar parti itu yang dikatakan telah lari daripada matlamat dan perjuangan Pas sebelum ini.


Sumber: Utusan Malaysia

Hasan Ali terkejut dipecat daripada Pas
08/01/2012 7:07pm

SHAH ALAM 8 Jan. — Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali berkata, beliau amat terkejut dengan tindakan drastik jawatankuasa Pas pusat yang memecatnya sebagai anggota parti itu berkuat kuasa serta merta hari ini.


Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastrukur dan Kemudahan Awam Selangor itu berkata, beliau berasa sedih kerana usahanya memperjuangkan agama Islam selama ini dibalas dengan tindakan pemecatan itu.


"Saya akan merujuk kepada sahabat-sahabat dan meminta pandangan daripada teman-teman ulama mengenai tindakan selanjutnya yang patut saya ambil.


"Saya akan memanggil sidang media dalam masa yang terdekat untuk menjelaskan lagi kedudukan perkara ini,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.


Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman web organ parti itu, HarakahDaily, hari ini berkata keputusan memecat Hasan dibuat pada mesyuarat Pas Pusat di Kuala Lumpur hari ini berdasarkan Fasal 82(9) perlembagaan parti. — BERNAMA

Hasan Ali bukan liabiliti pembangkang tetapi aset Pas

DITUDUH celupar, buta hati dan terperangkap dengan hujah UMNO, itulah tohmahan yang terpaksa diterima oleh Datuk Dr.Hasan Ali apabila beliau menolak perhimpunan ‘Bebaskan Anwar 901’ yang akan diadakan di Kuala Lumpur, esok.

Kita tidak pasti apakah perasaan penyokong-penyokong Pas yang mempunyai semangat perjuangan Islam sebenar apabila pemimpin mereka dikecam sebegitu rupa oleh pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Tetapi apa yang pasti, keikhlasan Hasan memberi nasihat kepada ahli Pas supaya tidak menyertai perhimpunan berkenaan telah mendapat kecaman melampaui batas daripada pemimpin parti sekutu Pas itu.
Mereka mendesak Pas mengambil tindakan ke atas Hasan kerana dianggap telah melanggari kesepakatan bersama.

Pemimpin-pemimpin PKR marah kerana Hasan membuat satu kenyataan yang dilihat menghina pemimpin sanjungan mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun perlu difahami Hasan bukan bercakap bagi pihak dirinya sahaja, di dalam Pas sendiri biarpun Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggalakkan ahli Pas menyertai perhimpunan berkenaan tetapi di dalam Pas berlaku perbezaan pendapat.

Satu kelompok merasakan bahawa Pas patut turut serta manakala satu kelompok menganggap kenapa Pas menyusahkan diri mengerahkan penyokongnya sedangkan perhimpunan itu semata-mata bagi memperjuangkan isu peribadi Anwar.

Tidak kisah apa pun tafsiran apa yang penting diperbahaskan ialah keberanian pemimpin-pemimpin PKR menggesa Hasan dikenakan tindakan dan apakah nasib Exco Kerajaan Negeri Selangor itu selepas ini.
Hakikatnya, desakan PKR itu boleh dianggap ujian kepada Pas yang selama ini dilihat tidak mempunyai suara dalam pakatan pembangkang.

Pemimpin-pemimpin PKR berani membuat desakan dan kecaman ke atas Hasan kerana percaya Pas tidak berani melawan.
Keadaan itu seolah-olah menunjukkan bahawa PKR yang hanya ditubuhkan pada tahun 1999 berbanding Pas pada tahun 1951 cuba menjadi big brother dalam pakatan pembangkang.
Hakikatnya, tindakan PKR mengecam Hasan seolah-olah menunjukkan parti itu ingin menjadi parti utama dalam pakatan tersebut.

‘‘Mereka hendak tunjuk kuasa, kononnya mereka paling hebat dalam pakatan pembangkang tetapi hakikatnya merekalah paling bermasalah, jadi tidak payahlah hendak ajar bagaimana hendak ‘mendidik’ pemimpin kami,’’ kata seorang pemimpin Pas di sebuah kawasan di Kedah ketika dihubungi.
Sepatutnya, kalau pun Hasan hendak dikecam, biarlah ia datang daripada kalangan pemimpin Pas sendiri tetapi malangnya apa yang berlaku, PKR pula cuba menunjuk ajar Pas bagaimana hendak mengendali pemimpin-pemimpinnya.

Kemarahan yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin PKR terhadap Hasan itu boleh dipersoalkan kerana Hasan hanya menyatakan pendirian peribadinya bukan mewakili parti.
Kita juga tidak harus lupa, kalau PKR hendak marah dengan Hasan, mereka juga patut tersinggung dengan Abdul Hadi yang tidak mengeluarkan kenyataan secara arahan kepada penyokong Pas untuk menyertai perhimpunan itu.

Paksa

Sebaliknya Presiden Pas berkenaan secara berlapik menyatakan, ‘‘Kita tidak boleh paksa mereka (ahli Pas hadir perhimpunan) namun di situlah mereka boleh tunjuk semangat setiakawan dan rasa tanggungjawab kepada pakatan ini,’’.

Oleh itu di manakah salah Hasan? Kalau Presiden Pas sendiri pun menyerahkan kepada ahli Pas membuat keputusan hendak hadir atau tidak, kenapakah PKR yang melenting bila Hasan menyatakan pendiriannya?
Kenapakah PKR terlalu sibuk dengan Pas? Kenapakah PKR tidak mempertikaikan mengenai pendirian DAP yang sepatah pun tidak menyeru ahli-ahli untuk turun berhimpun menyokong Anwar esok?

Apakah PKR semakin terdesak kerana bimbang kenyataan Hasan boleh menjejaskan usaha mereka menarik penyokong Pas menghadiri perhimpunan yang dianggap tidak berfaedah itu?
PKR pun tahu, mereka tidak mempunyai keupayaan untuk mengumpul orang dalam jumlah yang ramai kerana parti itu semakin ditolak oleh rakyat, oleh itu mereka bergantung kepada Pas untuk berbuat demikian.
Tetapi jangan lupa, tidak semua penyokong Pas akan membuta-tuli mengikut arahan PKR untuk turun menyokong Anwar atas dasar kesetiakawanan dalam pakatan.

Mereka juga amat memahami siapa Anwar dalam isu-isu melibatkan kepentingan Islam, ini dinyatakan oleh seorang pemimpin Pas kepada penulis ketika dihubungi di Kuala Lumpur.
Antara lain pemimpin Pas itu menegaskan, beliau tidak mahu mengulas banyak mengenai soal perhimpunan tersebut sebaliknya berkata;

‘‘Saya hendak nasihatkan orang-orang Pas cuba fikirkan semula apa yang Anwar sudah buat kepada parti kita.
‘‘Anwar banyak melakukan tindakan menyinggung perasaan orang Pas sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam. Anwar sudah kata berkali-kali hukum hudud tidak ada tempat dalam kerajaan pakatan.

“Anwar sokong isu murtad Lina Joy atas asas hak asasi manusia, Anwar kata semua agama adalah sama (pluralisme) dan Anwar sokong program Lesbian, Biseksual, Gay dan Transgender (LGBT).
‘‘Dengan semua tindak-tanduk ini wajarkah kita berpanas, terpekik terlolong di depan mahkamah untuk membela nasib beliau. Kes liwat itu adalah isu peribadi, tiada kaitan dengan perjuangan pakatan pembangkang.’’

Justeru jelaslah tidak ada salahnya Hasan memberikan pandangan berhubung perhimpunan itu dan PKR tidak berhak mendesak Pas mengambil tindakan terhadap beliau.
Walaupun kita memahami di dalam Pas ramai pemimpinnya begitu taksub dengan Anwar, namun pucuk pimpinan parti perlu tegas mempertahankan Hasan.

Jika Pas membuat keputusan mengambil tindakan ke atas Hasan berikutan desakan PKR, percayalah parti itu sengaja menempah bahaya yang tindak balasnya bukan sahaja akan datang daripada penyokong Pas sahaja tetapi juga orang Melayu yang melihat Hasan hanya menyatakan kebenaran.
Oleh itu Pas perlu berhati-hati dalam berhadapan dengan isu Hasan ini, beliau hanya menyatakan perkara yang benar dan tidak pernah takut untuk berbuat demikian.

Bagi sebahagian orang Melayu dan umat Islam, Hasan tidak akan rugi apa-apa jika Pas tunduk dengan desakan PKR supaya beliau dikenakan tindakan, sebaliknya imej Pas yang akan rosak.
Ia kerana Hasan ingin memastikan bukan sahaja imej ‘pak turut’ yang terpalit pada Pas dapat dihapuskan tetapi lebih daripada itu beliau tidak mahu parti itu begitu mudah diperalatkan untuk kepentingan pihak lain terutamanya PKR yang kini bertungkus-lumus menyelamatkan pemimpin utama mereka.

Pas sepatutnya bersyukur kerana ada pemimpin seperti Hasan yang berani membuat teguran dan melalui cara itu parti tersebut tidak mudah ‘dibuli’ oleh parti lain terutamanya PKR.
Justeru sesungguhnya, bagi mereka yang mahu berfikir dengan matang, Hasan bukanlah satu liabiliti kepada pembangkang.

Sebaliknya, beliau ada adalah aset kepada Pas kerana ketegasan beliau untuk menyatakan yang benar itu benar, yang batil itu batil - satu sikap yang semakin berkurangan di kalangan sesetengah pemimpin Pas yang taksub kepada Anwar.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...