Ahad, 30 Mei 2010

Angkara siapa timbul panik gula

GULA, gula, gula. Sana sini sibuk bercakap tentang gula. Gula tak cukup, gula kena sorok, gula kena catu dan macam-macam lagi. Di akhbar-akhbar terpampang serbuan sindiket sorok gula. Bukan saja pemborong atau peniaga sorok gula, pengguna pun lakukan benda yang sama. Semuanya gara-gara panik. Di pihak pemborong dan peniaga panik kalau-kalau tak sempat naikkan harga gula jika harga baru diumumkan. Manakala orang ramai pula agaknya panik jika bekalan gula di rumah kontang, boleh membawa kepada maut atau kebuluran. Sebab itu semua orang sibuk mahu menyorokkan gula. Ada yang sanggup berjalan jauh untuk mencari bekalan gula. Jangan terperanjat jika ada menyeberang negeri demi mendapatkan gula. Jangan sampai menyeberang ke Lombok atau Medan dengan alasan untuk mencari 'gula' sudahlah.
Bercakap tentang gula teringat cerita Tengku Khalidah tentang gaya hidup pelopor jamu Mak Dara, Halimah Shuib yang mengelak pengambilan gula. Dia tidak mengambil minuman bergula. Anak-anaknya dididik begitu. Mereka hidup sihat. Memanglah mustahil mengelak seratus peratus gula dalam pemakanan harian tetapi tidak makan gula sehari bukan bermakna hidup sampai ke penghujungnya. Sebaliknya pengambilan gula berlebihan sama seperti mahu menamatkan riwayat hidup esok atau lusa. Ini kerana makanan lain yang diambil seperti nasi turut mengandungi gula. Buah-buahan pun sama. Ditambah pula dengan minuman bergula, gula dalam kuih muih, gula-gula dan pelbagai makanan ringan lagi, maka kandungan gula dalam darah dan badan kita semestinya melebihi paras yang sepatutnya.
Panik
Sebab itu apabila berlakunya fenomena panik akibat kekurangan gula, ramai yang mengeluh. Mungkin kerana takut tidak dapat menahan ketagihan gula maka ramai yang berpusu-pusu mahu mendapatkan gula. Sedangkan isu kekurangan gula berlaku setiap tahun. Semacam sudah boleh diagak bila ia akan berlaku. Tetapi setiap kali terjadi, pelbagai pihak akan membuat ulasan mengejut. Pihak penguatkuasa terkejut, kementerian pun sama, orang ramai apatah lagi, persatuan pengguna mengulas panjang. Macam-macam cadangan dikemukakan. Peliknya cadangan dan saranan macam pernah kedengaran pada tahun-tahun sebelumnya. Adakah bermakna saranan itu tidak dilaksanakan. Misalnya cadangan supaya penguatkuasa tingkatkan penguatkuasaan. Adakah mereka tak buat kerja atau buat kerja hanya bila ada musim main sorok-sorok gula? Sebabnya kalau semua pihak bertegas pastinya kejadian menyorok gula sehingga menimbulkan panik kepada pengguna dan pasaran tidak akan berulang. Penguatkuasaan mesti dilakukan secara berterusan bukannya main-main, kerana main-main maka pihak pengeluar, pemborong dan peniaga sesuka hati mempermain-mainkan penguatkuasa. Sudah tiba masanya rakyat Malaysia menyahut kempen kurangkan gula. Bukan bermakna hidup tanpa gula tetapi mengurangkan pengambilan gula secara berperingkat dalam pemakanan harian. Elak makan nasi berulamkan minuman bergula. Nasi mengandungi gula, minuman pun bergula, hasilnya penyakit kencing manis mudah saja menjadi rakan sehidup semati.
Cumanya apabila bercakap mengenai kekurangan gula, simpati pula kepada peniaga-peniaga kecil yang bergantung hidup dengan menjual kuih muih. Begitu juga penjual air di tepi jalan terutamanya pada musim panas membahang membantu mengurangkan dahaga orang yang lalu lalang. Apabila tiada gula, perniagaan mereka terjejas. Takkan pula mahu dicadangkan supaya mereka menukar kepada perniagaan lain yang tidak berasaskan gula. Semestinya ia bukanlah cadangan yang bijak selain tidak adil kepada mereka yang bakat semulajadinya membuat kuih muih. Apa pun kementerian yang berkenaan mesti mencari jalan supaya panik gula tidak berulang sehingga menghambat mimpi kaum wanita yang asyik terfikir di manakah nak cari gula supaya balang di dapur mereka tidak kontang gula. Seperkara yang mesti diingat, bukan saja semut mati kerana gula, manusia pun ada yang mati kdek gula. Manis gula bukan bermakna kemanisan hidup selama-lamanya.

sumber: Utusan Malaysia

Subsidi, pembaziran dan ketirisan

Kebetulan terjumpa Bandar Seri Putra dalam pencarian penulis untuk mendapat tempat mastautin baru.
Kedudukannya adalah antara Bangi dan Nilai. Ia berkembar dengan Bukit Mahkota sebagai kawasan perumahan yang menggunakan susur yang sama untuk memasuki lebuh raya. Maka kedudukannya adalah di hujung selatan kepada Lembah Klang. Ini kerana selepas itu, ia telah memasuki Nilai di Negeri Sembilan.
Kalau mengikut namanya, Lembah Klang bermaksud kawasan lembah yang diairi oleh Sungai Klang. Maknanya ia bermula dari Ulu Klang sampailah ke Pelabuhan Klang. Kuala Sungai Klang terletak di pelabuhan Klang tetapi tidaklah dinamakan sebagai Kuala Klang.
Tetapi pertemuan antara Sungai Klang dengan Sungai Gombak ialah Kuala Lumpur. Apa yang disebut sebagai kuala itu adalah sebenarnya kuala kepada Sungai Gombak, yang berakhir di situ sedangkan Sungai Klang terus mengalir menuju ke Selat Melaka.
Apabila sudah mengenal pasti apa yang disebut sebagai Lembah Klang dari segi tulang belakangnya iaitu Sungai Klang, maka hendak pula diketahui di manakah sayapnya.
Sayap Lembah Klang ini sentiasa melebar. Kalau dahulu mungkin apabila disebut Lembah Klang, orang akan melihatnya sebagai kawasan geografi yang kaya bijih timah, dan selanjutnya membolehkan Kuala Lumpur muncul sebagai bandar penting bagi Selangor.
Maka sayap asalnya ialah dari Gombak ke Sungai Besi yang sebelum tahun 80-an adalah kaya dengan lombong-lombong bijih timah.
Kini lombong-lombong itu sudah menjadi taman-taman perumahan saujana mata memandang. Maka apa yang disebut sebagai Lembah Klang telah melebar, dari Selayang di sebelah utara hingga ke Serdang. Tetapi pada tahun-tahun 90-an dan 2000-an, ia terus melebar. Pembangunan di utara meliputi hingga ke Rawang.
Sebelum kegawatan ekonomi 1997, dijangkakan ia boleh sampai ke Tanjung Malim dengan bandar-bandar baru di Hulu Selangor seperti Lembah Beringin, Bukit Beruntung, Bernam Jaya dan Sungai Buaya.
Di situlah Lembah Klang bertembung dengan Lembah Selangor, yang bermaksud lembah yang menuruti Sungai Selangor - dari Hulu Selangor hinggalah ke Kuala Selangor melalui Ijok dan Batang berjuntai.
Lembah Selangor inilah asas negeri Selangor. Tetapi ia dikalahkan oleh Lembah Klang. Kebangkitan yang dijangka pada tahun-tahun 1990-an musnah dengan kegawatan ekonomi. Lebih-lebih lagi apabila lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Putrajaya dan Cyberjaya semuanya diwujudkan di sebelah selatan.
Maka Lembah Klang melebar ke sebelah selatan. Tiga tempat penting itu menyebabkan pembangunan lebih menghala ke situ. Lembah Klang menyusuri Lebuh Raya Utara Selatan. Ia bersambung dari Serdang, Bandar Baru Bangi, Bandar Seri Putra dan Bukit Mahkota.
Pembangunan
Ke sebelah barat, ia merancakkan pembangunan ke Puchong, Sepang dan Dengkil. Maknanya Lembah Klang sudah bertembung dengan dengan lembah Langat, yang bermula dari Hulu Langat hingga ke Kuala Langat.
Malah pelebaran Lembah Klang ini sudah melepasi sempadan Selangor dan memasuki Negeri Sembilan. Ia akan merangkumi Nilai dan Seremban juga. Bila sampai ke situ tidaklah dapat disebut Lembah Klang lagi.
Dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor baru-baru ini dapat disaksikan betapa terbengkalainya kawasan-kawasan seperti Lembah Beringin, Bukit Beruntung dan Sungai Buaya. Cuba bandingkan dengan pembangunan di sebelah selatan yang bertambah pesat.
Bagi mereka yang membeli dan memiliki rumah di kawasan-kawasan itu tentu berasa rugi dan pedih menanggung pelaburan yang gagal. Tidak apa yang dapat dilakukan selain terus membayar bank terhadap rumah-rumah yang tidak dapat dimanfaatkan.
Tetapi siapa sangka kegawatan ekonomi 1997 boleh berlaku. Keputusan untuk membina bandar pentadbiran baru bukan di sebelah utara tetapi sebaliknya disebelah selatan mengubah untung rugi seseorang. Begitu juga keputusan untuk membina lapangan terbang di selatan dan bukannya di utara.
Apakah nadi kepada pembangunan ini semua? Jawapannya ialah pengangkutan. Keadaan pengangkutan awam di kawasan ini masih jauh daripada memuaskan. Perkhidmatan bas masih tidak lancar, kalau pun ada.
Buat masa ini keadaan kelihatan tenteram dan teratur. Ini kerana banyak orang dengan mudah menggunakan kereta peribadi. Walaupun kesesakan lalu lintas dan masalah tempat letak kereta bertambah.
Tetapi akan sampai masanya subsidi minyak sudah tiada, dan juga tol pasti naik. Apakah akan berlaku?
Pembangunan yang selama ini berlaku adalah berasaskan subsidi minyak dalam satu negara yang menggalakkan penggunaan kereta dan pembinaan lebuh raya.
Rakyat sanggup membeli rumah jauh daripada tempat kerja kerana minyak subsidi murah daripada air.
Bukan itu saja, adanya subsidi yang pelbagai menimbulkan ilusi kemewahan yang sebenarnya bukan realiti. Pembaziran dan ketirisan berlaku dengan meluas kerana disangka keadaan ini akan berkekalan.
Tetapi hakikatnya subsidi akan ditamatkan juga. Pembaziran akan dikawal. Korupsi akan dihapuskan. Ketirisan akan dibendung. Cara hidup terpaksa berubah.
Minyak pasti habis. Sedangkan sumber tenaga alternatif belum berkembang. Sementara mendapatkan sumber tenaga murah, peralihan dan penyesuaian ini pasti akan menyukarkan.
Ketika mana kos pengangkutan peribadi meningkat hingga boleh mencapai di luar kemampuan kebanyakan orang, maka tuntutan kepada pengangkutan awam semakin mendesak. Sedangkan jika melihat apa yang ada sekarang, ia sukar untuk menampung keperluan orang ramai.
Bersedia hadapi krisis pengangkutan.

 sumber: Utusan Malaysia

Tumpahan minyak terbesar di dunia




KEJADIAN tumpahan minyak sememangnya menimbulkan kesan yang sangat dahsyat bukan sahaja kepada manusia tetapi juga kepada sistem ekologi itu sendiri. Jika tumpahan minyak berlaku di kawasan pantai bukan sahaja kehidupan manusia akan terjejas malah haiwan dan tumbuhan yang tidak tahu apa turut sama merasai kesannya sehingga mengakibatkan kemusnahan dan kematian yang bukan sedikit. Ini akhirnya akan menjejaskan rantaian kepada sistem kehidupan itu sendiri.
Namun kejadian kebakaran pelantar minyak yang meletup di Transocean Deepwater Horizon yang yang berlaku di pesisir pantai Lousiana Amerika Sayrikat (AS) pada malam 20 April lepas benar-benar memberi kesan yang sangat teruk kepada alam sekitar. Pelantar minyak itu yang dipajak oleh syarikat British Petroleum (BP) telah pun runtuh dan rangkanya kini terbenam di dasar lautan.
Namun masalah lebih besar berlaku selepas kebakaran itu kerana sehingga hari ini minyak yang disedut dari telaga yang terletak di dasar masih berterusan keluar. Dianggarkan jumlah minyak yang berterusan keluar dalam sehari cukup untuk memenuhi 12,000 hingga 19,00 tong atau 1.9 juta hingga 3.8 juta liter sehari.
Malangnya jumlah itu yang mampu membawa keuntungan yang lumayan jika dijual kini mencurah keluar memenuhi perairan teluk Mexico. Sehingga kini pelbagai kaedah telah digunakan untuk menghentikan pengaliran keluar minyak itu namun semuanya gagal.
Kini selepas sebulan, kesan tumpahan minyak itu telah pun menghampiri kawasan pantai Lousiana dan turut mencatat sejarah sebagai tumpahan minyak terburuk dalam sejarah AS. Namun BP masih gagal menjalankan tugasnya menutup kembali kebocoran yang berlaku. Malah mereka lebih bimbang tentang jumlah kerugian yang kini dianggarkan mencecah AS$930 juta (RM2.9 bilion).
Setakat ini BP telah menggunakan teknik mengepam bendalir gerudi berat di kawasan telaga minyak tersebut namun kemudian menghentikan usaha itu. Kini usaha itu diteruskan apabila BP menggunakan teknologi terkini dengan menggunakan alat yang dipanggil "tangan robotik" untuk memutar penutup telaga minyak itu.
Teknik yang dipanggil "top kill" ini dikatakan mampu menghentikan pengaliran minyak dalam tempoh terdekat setelah simen yang disuntik dikawasan sekitar telaga itu mengering. Pihak BP mengandaikan jawapan kepada penyelesaian itu dapat diketahui pada hari ini namun enggan meletakkan harapan yang terlalu tinggi.
Angkuh
Sehingga kini yang jelas pihak BP masih lagi angkuh dan enggan menerima kegagalan mereka menghentikan pengaliran lebih awal. Dalam satu sidang media pada Khamis lepas Ketua Pegawai Eksekutif BP, Doug Suttles mengatakan segalanya berjalan lancar dan tidak ada masalah setakat ini.
"Adakah kami terkejut kerana masalah ini berterusan untuk tempoh yang lama iaitu lebih sebulan. Tidak sama sekali. Adakah kami menyatakan kami telah menamatkan operasi ini. Kami tidak pernah menyatakan demikian.
"Apa yang boleh saya katakan kami telah melakukan pelbagai usaha untuk menyelesaikan masalah ini namun ia tetap berlaku. Hakikatnya adalah sukar untuk menutup telaga ini kerana kami melakukan kerja pada kedalaman 1,500 meter di bawah laut.
Sebelum ini kejadian tumpahan minyak paling buruk dalam sejarah AS berlaku apabila tangki simpanan minyak Exxon Valdez meletup di Alaska pada 1989 mengakibatkan 42 juta liter minyak tumpah.
Presiden AS, Barack Obama juga melahirkan kemarahan dan kekesalannya atas kelewatan ini serta menghentikan pengeluaran permit baru untuk mengorek telaga minyak baru. Namun tindakan beliau ini juga dilihat agak terlewat dan dilakukan semata-mata bagi mengendurkan kemarahan penduduknya yang semakin bimbang dengan apa yang berlaku.
Beliau juga mengakui bahawa kerajaan AS telah gagal membuat penilaian awal mengenai usaha menghentikan tumpahan minyak itu selain pihak BP juga gagal menyediakan pelan tindakan awal bagaimana untuk menangani masalah ini jika berlaku.
Namun segala yang berlaku sudah pun menjadi bubur. Kesan terhadap alam sekitar merupakan perkara yang paling ditakuti kerana semua makhluk akan menerima kesan yang sama akibat kecuaian manusia itu sendiri. Terdapat lebih 600 spesies haiwan dikatakan terancam akibat tumpahan minyak itu.
Setakat ini pelbagai usaha dibuat berikutan kebimbangan ancaman terhadap alam sekitar dan hidupan liar termasuklah oleh pegawai Yayasan Hidupan Liar AS. Kumpulan itu telah menyewa sebuah bot dari bandar pelabuhan Venice dan bergegas ke Teluk Mexico melalui Sungai Mississippi. Namun usaha mereka ini dilihat agak melucukan kerana tiada seorang pun daripada mereka yang dilatih untuk menyelamatkan haiwan.

sumber: Utusan Malaysia

Sabtu, 29 Mei 2010

Cari pendekatan terbaik laksana pemberian subsidi

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

ADALAH sesuatu yang menakutkan untuk membayangkan kerajaan boleh bankrap dalam masa sembilan tahun lagi jika dasar pemberian subsidi ketika ini diteruskan. Inilah yang dibayangkan oleh Makmal Rasionalisasi Subsidi (MRS) yang mana hutang negara dijangka meningkat 100 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2019 ekoran pelaksanaan dasar itu. Keadaan itu mengambil kira jumlah pembiayaan subsidi yang ditanggung kerajaan mencecah lebih RM70 bilion setahun.
Sehubungan itu, MRS mencadangkan kerajaan memansuhkan pemberian subsidi bagi mengukuhkan kedudukan ekonomi negara untuk terus berdaya saing. Dari satu sudut, apa yang dicadangkan oleh MRS adalah wajar sekiranya negara mahu mengelak daripada terjerumus ke dalam krisis ekonomi yang lebih memburuk.
Namun, dari sudut yang lain pula, pemansuhan subsidi waima berperingkat dalam tempoh sembilan tahun akan datang bukanlah satu tindakan yang praktikal. Ini kerana perlu diakui, masih terdapat golongan berpendapatan rendah yang memerlukan bantuan kerajaan. Sementelah penarikan semula subsidi juga tidak selari dengan konsep Rakyat Didahulukan yang menjadi salah satu komponen daripada gagasan 1Malaysia.
Subsidi boleh dimansuhkan jika rakyat mampu membeli barangan keperluan asas pada harga sebenar. Malangnya, sebahagian besar daripada rakyat masih tergolong dalam kelompok berpendapatan sederhana dan miskin.
Golongan ini memerlukan bantuan kerajaan dalam bentuk subsidi untuk meneruskan kehidupan di sebalik kos sara hidup yang tinggi, lebih-lebih lagi di bandar besar. Melainkan kerajaan bersedia menyemak semula pendapatan semua sektor pekerjaan di negara ini kepada nilai yang munasabah, masyarakat boleh berkompromi sekiranya subsidi mahu ditarik semula.
Apa yang dapat diperhatikan daripada isu ini adalah pemberian subsidi tidak diuruskan menerusi satu mekanisme yang tersusun.
Subsidi yang turut dinikmati oleh golongan kaya masih lagi menjadi cabaran kepada pelaksanaan dasar ini sehingga hari ini. Beberapa langkah yang diambil seperti program Subsidi Beras Untuk Rakyat (Subur) dan pembelian petrol menggunakan kad pengenalan yang dilaksanakan nampaknya tidak menunjukkan hasil memberangsangkan.
Antara yang sering ditekankan ialah mengenal pasti kumpulan sasaran yang layak menikmati subsidi menerus i pengelasan penduduk kepada tiga kategori iaitu miskin, sederhana dan tinggi. Pengelasan itu perlu mengambi kira beberapa perkara seperti jumlah tanggungan, pendapatan dan kos sara hidup setiap isi rumah.
Maklumat-maklumat itu pula perlu setara dengan lokasi tempat tinggal sama ada di luar, pinggir atau di tengah-tengah bandar besar. Perincian juga perlu dijalankan dengan teliti kerana tidak semua yang tinggal di bandar adalah golongan berpendapatan tinggi dan begitu jugalah sebaliknya penduduk di luar bandar. Maklumat mengenai isu rumah rakyat ini boleh dikumpul menerusi program bancian penduduk yang dijalankan saban tahun oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Menerusi satu pangkalan data khusus mengenai penduduk pula, kerajaan dapat mengenal pasti golongan mana yang layak mendapat subsidi dan sebaliknya.
Dari situ juga, kerajaan dapat merangka satu sistem pemberian subsidi secara terus kepada rakyat yang layak dan tidak lagi menerusi pemberian secara langsung seperti ketika ini. Masalahnya negara ketika ini tidak mempunyai pangkalan data yang lengkap mengenai latar belakang isi rumah. Sebab itulah, program Subur iaitu salah satu subsidi secara langsung kepada penduduk miskin yang sepatutnya dilaksanakan awal tahun ini terpaksa ditangguhkan.
Alasan campur tangan politik bagi menentukan penduduk yang layak menerima subsidi itu menyebabkan ia tertangguh tidak akan berlaku sekiranya kerajaan mempunyai pangkalan data yang lengkap bagi setiap isi rumah. Sistem pemberian kupon itu jika berjalan lancar dan telus boleh menjadi sistem yang sangat berkesan serta cekap.
Misalnya, di Amerika Syarikat (AS), sistem yang hampir serupa dikenali sebagai 'food stamp' sudah memberi manfaat kepada golongan miskin sejak lebih 30 tahun yang lalu. Agak menghairankan kenapa maklumat sebegitu tidak dimuatkan di dalam kad pengenalan bercip MyKad yang dikatakan paling canggih di dunia. Jika aplikasi MyKad itu benar-benar diperluas, kerajaan seharusnya tidak mempunyai masalah untuk mengenalpasti pendapatan isi rumah.
Ia juga boleh menjadi penyelesaian dalam pemberian subsidi petrol kepada golongan sasaran. Kaedah penggunaan MyKad di stesen minyak sebelum ini pernah dicadangkan, namun masih belum dilaksanakan sepenuhnya sehingga hari ini.
Kaedah ini serta pendekatan lain yang dilihat sesuai wajar diperhalusi sebelum kerajaan mengambil keputusan memansuhkan subsidi waima secara berperingkat.
Penarikan semula subsidi dalam keadaan ekonomi rakyat yang tidak menentu ketika ini dibimbangi akan mencetuskan masalah sosial yang lain.
Kerajaan masih mempunyai kira-kira sembilan tahun lagi menjelang 2019 seperti yang dibimbangkan oleh MRS. Tempoh ini sangat kritikal kepada kerajaan untuk menilai semula mekanisme subsidi sama ada diteruskan atau sebaliknya.
Tetapi dalam tempoh itu juga, kerajaan masih mempunyai masa dan peluang untuk memperkemas pemberian subsidi supaya menguntungkan rakyat sekali gus mengurangkan risiko kerugian kepada pendapatan negara. Adalah satu kerugian kepada rakyat dan kerajaan sekiranya subsidi dimansuhkan sepenuhnya sedangkan kerajaan sebenarnya mempunyai pilihan untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat.

sumber: Utusan Malaysia

Kewangan Malaysia tidak sama seperti Greece

KITA kerap melihat pelbagai iklan di media, terutama di televisyen yang memaparkan bagaimana baiknya produk-produk tertentu. Selain menunjukkan betapa macho, bergaya, cantik, sihat dan seribu satu macam kebaikan yang mungkin diperoleh daripada sesetengah produk, ada kalanya pengiklan menggunakan unsur menakutkan pengguna seperti iklan ubat gigi iaitu kalau tak digunakan, kuman akan merayap ke seluruh gigi dan gusi. Begitu juga kalau tak mahu kelemumur, gunakan syampu ini atau itu dan kalau tidak minum susu berkenaan, tulang boleh reput dan macam-macam lagi yang boleh mendorong pengguna yang bebal berkejar terus ke kedai mencari barang yang diiklankan. Tidak siapa menyelidik tentang tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh produk-produk. Ada produk yang membunuh kuman yang menyebabkan bau mulut, kata iklan tersebut. Betul ke? Berapa botol perlu digunakan, baru boleh mati kuman tersebut?
Nampaknya Datuk Seri Idris Jala menggunakan taktik yang sama untuk menjual pembasmian subsidi kerajaan. "Kalau tidak dibasmi subsidi dalam sembilan tahun, kita akan muflis macam Greece," kata Idris dalam satu laporan akhbar semalam. Masalah Greece tidak sama dengan kita. Greece dianugerahkan taraf 'hampas' (junk) oleh syarikat S&P. Greece telah menipu rakyat mereka selama 10 tahun kerana ingin menyertai Kesatuan Eropah yang memerlukan negara mempunyai defisit kewangan tidak lebih daripada tiga peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mereka. Apabila kerajaan baru mengambil alih pada November 2009, barulah terdedah keadaan kewangan yang sebenar. Kerajaan Greece telah 'joli' selama 10 tahun kerana kewujudan 'duit murah' dan kerajaan tersebut telah joli sehinggalah hutang mencecah Euro 300 bilion.
Di Malaysia, hutang negara setakat ini adalah dalam lingkungan RM239 bilion iaitu 54 peratus daripada KDNK untuk tahun 2009. Defisit kewangan kita pada masa ini adalah 7.3 peratus. Untuk kita jadi bankrap dalam masa sembilan tahun lagi, ia bukan hanya disebabkan subsidi diteruskan tetapi termasuklah faktor lain seperti ketirisan, kebocoran dan pembaziran yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun yang bernilai berbilion ringgit. Penghujung daripada pembaziran yang dilakukan ini tidak diketahui. Hanya kalau ada yang didapati bersalah, lebih-lebih pun mereka akan ditukarkan ke jabatan atau kementerian lain. Wang yang dibazirkan itu tidak balik kepada kerajaan.
Selain itu, umum sedia maklum kadang-kadang ada projek yang memakan belanja lebih daripada peruntukan awal. Bukan saja Bakun tetapi banyak lagi projek yang mengalami lebihan kos. Amalan melonjakkan kos sesuatu projek juga satu jalan mengalirnya keluar wang kerajaan yang diperuntukkan untuk pembangunan. Kita lihat sahaja berapa jumlah belanjawan yang diperuntukkan untuk satu-satu tahun. Untuk tahun 2010, sebanyak RM200 bilion dan semua orang tahu bila cukup tahun, ada saja jabatan yang akan bertindak selaku 'Santa Claus' untuk menghabiskan peruntukan yang diberi.
Sememangnya kita memerlukan keputusan yang perit apabila memotong subsidi. Maklumlah rakyat sudah naik 'lemak' dengan subsidi sehinggakan banyak juga penyeludupan minyak dan gula, misalnya ke negara jiran. Ia mungkin tidak dapat dielakkan. Pada waktu yang sama, sebarang kenaikan harga makanan dan tenaga seperti tarif elektrik tentu sekali akan mendatangkan kesan kepada kos sara hidup.
Kita difahamkan sebanyak 60 peratus daripada yang diberikan SMS telah bersetuju subsidi dimansuhkan. Siapa mereka ini? Kita semua tahu terdapat pelbagai golongan dalam masyarakat kita.
Ada golongan kaya raya yang tidak peduli ada subsidi atau tidak. Tetapi golongan 40 peratus yang berpendapatan RM1,500 tentu sekali akan merasakan roti canai naik, teh tarik naik. Walaupun ada rancangan untuk memberikan baucar kepada sesetengah golongan ini, ia memang baik tetapi perlu dipantau dengan rapi supaya tidak jadi seperti nelayan yang dapat subsidi diesel, kemudian menjualnya dan tidak pergi ke laut atau subsidi baja yang dijual tidak digunakan. Amalan inilah yang mewajarkan pemansuhan subsidi. Tidak kira mereka berpendapatan rendah atau tidak, kalau didapati menyalahgunakan kemudahan yang diberikan, mesti ada sistem yang boleh menghukum mereka dan jangan diberikan kemudahan itu lagi.
Kepada sesetengah golongan rakyat, subsidi sudah dikira sebagai sesuatu yang 'take for granted' dan tidak dianggap sebagai subsidi dan disebabkan ia akan melibatkan bahagian yang bakal mendatangkan kesan yang besar kepada harga barangan, golongan ini agak payah menerima hujah-hujah yang mewajarkan pemotongan subsidi kepada mereka.
Golongan teknokrat seperti Idris Jala mungkin tidak ambil kira faktor pilihan raya umum 2013 nanti atau lebih awal daripada itu. Ini akan menjadi satu isu yang bakal akan dilambung setinggi-tingginya oleh pihak pembangkang walaupun mereka sendiri melihat kewajaran subsidi itu dipotong.
Dan kalau isu ini boleh menjatuhkan kerajaan, tak payahlah kita bercakap 2010 atau 2009 lagi atau apa model ekonomi sekali pun. Oleh itu, isu ini perlu dikaji dengan teliti kerana kita tidak boleh lari daripada implikasi politik dalam persekitaran negara kita.
Apa yang perlu dipertimbangkan juga adalah pemotongan di pihak-pihak lain seperti dalam syarikat-syarikat milik kerajaan supaya kita tidak lagi rugi sampai RM500 juta atau membeli bas yang tidak boleh dipakai berharga berjuta-juta ringgit. Saya percaya lebihan-lebihan yang diperoleh syarikat-syarikat milik kerajaan dan agensi-agensi kerajaan dapat menampung negara kita daripada bankrap. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mempunyai aset hampir RM500 bilion. PNB sahaja sudah berjaya mengumpul sebanyak RM70 bilion. Dan kita ada lagi banyak agensi lain seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Lembaga Urusan Tabung Haji.
Saya mempunyai keyakinan penuh tentang keupayaan kita untuk mengurus kewangan kita dengan baik dan mengelak kita daripada menjadi negara muflis. Tetapi anggapan yang sama tidak boleh dipanjangkan kepada sesetengah negeri dalam negara kita. Terpulanglah kepada mereka memastikan yang mereka tidak muflis.
Kalau pemotongan subsidi yang dikatakan bernilai RM74 bilion bertujuan mengukuhkan keadaan kewangan negara, usaha yang sama perlu dilakukan melibatkan lain-lain perbelanjaan kerajaan. Ini perlu dilihat secara gambaran yang besar dan tidak tertumpu kepada subsidi sahaja.
Subsidi tidak perlu diberi kepada mereka yang kaya, tidak perlu diberi kepada rakyat asing yang datang isi minyak kereta di sini atau yang duduk di sini. Subsidi perlu diberi kepada mereka yang miskin dan daif dan penguatkuasaan atas pemberian ini perlu tegas dan praktikal.

sumber: Utusan Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...