Isnin, 26 April 2010

PRK Hulu Selangor

Bila ada PRK memang ada macam² cerita dan berita n yang paling menarik semalam SPR cipta pantun pulak so just copy dari Berita Harian

HULU SELANGOR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mencipta pantun untuk pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, hari ini.


Pantun ciptaan anggota SPR, Datuk Jamdir Buyong itu diedar kepada media bagi tatapan parti politik dan calon yang bertanding serta pengundi pada pilihan raya kecil itu.

Pantun berupa panduan dan nasihat dibahagi kepada dua senario iaitu semasa dan selepas mengundi: 

PENGUNDIAN


Tiada pondok boleh berdiri
Tempat berhimpun suara perang
Jangan berkempen hari mengundi
Elakkan sengketa suasana tegang

Hulu Selangor dataran permai
Ramai tokoh pandai berpantun
Datanglah mengundi beramai-ramai
Ikut adat bersopan santun


Pokok manggis di tanah rata
Buahnya manis sedap dirasa
Setiap undi intan permata
Penyinar cahaya negara bangsa


Bunga teratai mekar kembang
Tumbuh subur rapat-rapat
Usah takut janganlah bimbang
Hadir mengundi tiada yang sekat


SELEPAS PENGUNDIAN


Kertas undi di dalam peti
Dikawal ketat hingga ke petang
Jumlah dikira penuh teliti
Usah sangsi janganlah bimbang


Dari jauh mencari tunang
Masuk kampung hingga ke bandar
Adat bertanding kalah dan menang
Jangan marah salahkan SPR


Pokok pandan di puncak bukit
Buahnya jatuh di atas tanjung
Menang besar kalah sedikit
Jangan dicemuh hormat dijunjung


Khidmat cemerlang sudah sempurna
Semoga mendapat segala berkat
Terima kasih yang bijaksana
Bakti dikenang sepanjang hayat


Pagi-pagi makan ketupat
Hidangan asli sejak berkurun
gambar calon merata tempat
Lepas bertanding mestilah turun


- Pasnie mesti ada lagi pantun dari parti politik pulak.... mesti lagi menarik punya ... hehehe

- Apa pon tahniah la pada BN coz menang di sana. (keputusan wa check kat tenet baru sat tadi) maybe berita nie dah basi kot.... coz pukul 11 malam tadi or maybe awal lagi kot.... dah ramai yang tahu.

- Cerita lain, ada pulak ADUN yang sihat or sekurang-kurangnya masih bernafas (di sahkan oleh wartawan, berdasarkan wa baca kat Utusan Online) di katakan dah meninggal... ish.... sajer jer bikin panaz...... apala.

Ahad, 25 April 2010

NATO dalam era perang siber


HILLARY (tengah) semasa menghadiri persidangan Menteri Luar NATO di Talinn, Estonia baru-baru ini


Hollywood yakni Amerika Syarikat (AS) telah lama membentuk persepsi tentang perang masa depan dalam dunia siber menerusi filem-filem keluarannya. Perang siber menjadi antara subjek popular yang mengisi imaginasi pembuat filem Hollywood.
Tetapi bagi sesetengah orang perang siber hanya imaginasi kreatif Hollywood tetapi tidak mungkin ada medan perang kelima selepas darat, laut, udara dan ruang angkasa. Bagaimanapun kini perang siber telah menghampiri kenyataan dan filem-filem tentang perang siber bukan lagi sekadar imaginasi.
Ternyata kini perang siber bukan lagi berlegar sebuah eskapisme kreatif Hollywood selepas George Lucas mencipta perang di ruang angkasa menerusi Star Wars tahun 1973. Perang menguasai angkasaraya telah lama wujud antara AS dengan musuh ketat pada era perang dingin, Kesatuan Soviet.
Kini perang menerjah kepada satu ruang yang barangkali tidak terfikir ketika tercetusnya perang dingin AS dan Kesatuan Soviet. Perang siber antara yang menjadi perdebatan serius persidangan Menteri Luar negara yang menganggotai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Talinn, Estonia baru-baru ini. Estonia adalah sebuah negara bekas Kesatuan Soviet sebelum negara blok komunis itu runtuh dua dekad lalu. Estonia juga pernah diuji dengan pencerobohan sistem Internetnya oleh Rusia.
NATO ditubuhkan pada era perang dingin adalah cetusan AS untuk menjaga kepentingannya dari segi keselamatan apabila berdepan dengan Kesatuan Soviet. Ini adalah sebuah gabungan ketenteraan untuk menangkis negara-negara di Eropah barat dan tengah dari ancaman komunis Eropah Timur.
NATO yang berusia 61 tahun seperti yang ditegaskan Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton sedang mendepani krisis "pertengahan usia". Ini kerana gagasan asalnya untuk mendepani tindakan ketenteraan Kesatuan Soviet. Tetapi selepas keruntuhan negara-negara blok komunis di Eropah Timur dan juga Kesatuan Soviet, NATO hampir hilang peranannya.
Bagaimanapun dalam mengharungi krisis "pertengahan usia", persidangan itu juga membawakan satu cabaran baru kepada NATO tentang perang zaman baru atas negara-negara anggota. AS juga sebenarnya tidak terfikir tentang imaginasi perang siber dalam filem-filemnya akan menjadi kenyataan. Buktinya semasa Rusia menyerang Georgia 2008, seluruh sistem Internet kerajaan telah diceroboh. Ini sekaligus melumpuhkan sistem komunikasi dan bank data Georgia apabila pihak musuh menguasai sistem Internet kerajaan Georgia.
Kebimbangan yang disuarakan dalam persidangan di Talinn ini sangat berasas tentang wujudnya satu medan perang baru di ruang siber. Evolusi sistem pertahanan dan keselamatan perlu berubah daripada hanya menekankan serangan fizikal atau ketenteraan kepada serangan di ruang siber. Ini kerana kebergantungan sistem pertahanan di banyak negara kepada rangkaian Internet bukan rahsia lagi.
Serangan atas sistem komunikasi Internet Georgia oleh Rusia adalah satu kajian kes yang dibentangkan pada persidangan Menteri-Menteri Luar negara-negara anggota NATO. Malah sistem Internet Estonia yang menganggotai NATO tahun 2004 pernah diceroboh yang melumpuhkan urusan pentadbiran dan perniagaan selama beberapa hari.
Rusuhan
Semua ini adalah rentetan tercetus kontroversi yang tidak menyenangkan Rusia apabila pihak berkuasa Estonia memindah memorial era Kesatuan Soviet dari pusat bandar Talinn ke perkuburan tentera. Ini mencetuskan rusuhan di Estonia apabila puak minoriti Rusia bertindak balas kerana pemindahan memorial itu.
Serentak dengan rusuhan, sistem Internet Estonia telah diceroboh dan dilumpuhkan sepenuhnya selama beberapa hari. Hasil penyiasatan pihak berkuasa Estonia mendapati serangan itu datang dari server di Rusia dan dengan pengetahuan pihak berkuasa Rusia.
Menteri Pertahanan Estonia, Jaak Aaviksoo menegaskan kepada agensi berita AFP bahawa tragedi pencerobohan sistem Internet di Georgia dan Estonia sendiri sebagai satu permulaan perang siber yang sangat jelas.
Beliau menekankan bahawa ini bukan lagi satu imaginasi malah kewujudan perang siber suatu yang realiti dan menuntut tindakan drastik sama seperti perang yang lain. Ironiknya Internet bermula sebagai alat komunikasi tentera yang kemudiannya dikembangkan sebagai rangkaian maklumat menjadikan dunia tanpa sempadan.
Dalam satu laporan baru-baru ini, pasukan penyelidik dari University of Toronto mendapati China telah mencuri beberapa dokumen rahsia daripada pihak tentera India menerusi server yang dibangunkan di China. Kemudian menceroboh pejabat Dalai Lama dan banyak laman web lain di seluruh dunia.
Pasukan penyelidik itu berjaya menjejaki rangkaian Internet yang servernya di Chengdu yang menempatkan sistem komunikasi bahagian risikan dan ketenteraan China. Ini tentunya ada kaitan dengan penglibatan pihak tentera China.
Maka persidangan NATO kali ini selain mengembalikan hala tuju badan dunia itu yang jauh tersasar hingga menjadi "penjajah" atas beberapa negara lain, ia juga membuka satu lembaran baru tentang keselamatan sesebuah negara yang sentiasa terdedah kepada ancaman musuh.
NATO sebelum ini menjadi "penjajah" apabila bersama-sama AS memerangi Afghanistan dan kemudian Iraq. Bagaimanapun dalam banyak kenyataan NATO memetik di kedua-dua negara itu NATO memperlihatkan kejayaan menstabilkan keadaan yang kacau bilau.
Kini NATO dikejutkan dengan realiti baru dalam perang apabila Rusia mengusik dua negara bekas Kesatuan Soviet dengan menceroboh sistem Internet masing-masing. Ini sebenarnya ada kaitan dengan keterampilan Rusia sebagai sebuah lagi kuasa besar tentera selepas AS. Dalam satu persidangan NATO di Munich, Jerman Febuari lalu, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov telah menyuarakan hasrat untuk menganggotai NATO. Pada masa yang sama bekas Setiausaha Negara AS, Madeleine Albright juga mengusulkan perkara yang sama tetapi tidak ada sebarang ketetapan.
Kebimbangan
Prasangka banyak negara anggota NATO terhadap Rusia yang dulunya sebahagian bekas Kesatuan Soviet juga mencetuskan kebimbangan perang siber dilancarkan oleh Rusia. Walaupun isu keanggotaan Rusia ada dibincangkan dalam persidangan kali ini tetapi banyak anggota melihat imej Rusia lebih kepada penjajah atau penakluk daripada ditakluk.
Pada masa yang sama permulaan tindakan ketenteraan dan siber atas Georgia tahun 2008 memungkinkan tindakan siber yang lebih agresif oleh Rusia terutama negara-negara bekas Kesatuan Soviet. Dengan teknologi siber yang dimiliki Rusia jauh lebih tinggi berbanding negara-negara berkenaan, potensi untuk berlaku pencerobohan dan mencuri maklumat pertahanan akan lebih tinggi.
Maka kebimbangan yang dilontarkan pada persidangan NATO mengenai kewujudan perang siber bukanlah bahan jenaka. Ia juga bukan lagi imaginasi yang hanya dipancarkan oleh filem-filem Hollywood. Mendepani perang siber tentunya jauh lebih sukar daripada menghalang bala tentera secara konvensional. Rusia telah membuktikan ujiannya mencapai kejayaan. Kesedaran tentang perang siber memberi faedah kepada banyak negara termasuklah negara ini supaya tidak berlengah untuk mendepani perang baru.
Kalau benarlah seperti yang didakwa oleh sekumpulan penyelidik Kanada mengenai aktiviti pencerobohan dari server di Chengdu, China terhadap server tentera India, semua ini bukan hanya mainan dalam filem lagi.

sumber: Utusan Malaysia

Penangan Gunung Berapi Eyjafjallaokul


SEORANG lelaki yang keletihan terpaksa tidur di lapangan terbang.– AFP


Dengan penduduk hanya seramai 318,000 orang serta keluasan 103,001 kilometer persegi, Iceland merupakan negara pulau ke-18 terbesar di dunia dan kedua terbesar di Eropah selepas Britain.
Fakta menarik tentang Iceland adalah negara itu menjadi yang pertama mempunyai Perdana Menteri homoseks iaitu Johanna Siguroardottir. Beliau yang juga seorang lesbian kini menjalin hubungan dengan Jonina Leosdottir yang juga seorang penulis terkenal di sana.
Dari segi ekonominya Iceland walaupun hanya sebuah negara kecil tetapi merupakan antara negara termaju dan paling produktif di dunia. Kejayaan tersebut disumbangkan oleh kepelbagaian ekonominya sejak Iceland menyertai Kawasan Ekonomi Eropah pada 1994. Namun akibat krisis ekonomi pada 2008 negara itu turut berhadapan dengan krisis perbankan yang teruk mengakibatkan kebanyakan bank terpaksa diisytiharkan muflis.
Itu serba sedikit yang boleh diterangkan mengenai Iceland yang lebih banyak menyepikan diri berbanding negara-negara Eropah lain. Kini Iceland menjadi tumpuan malah tidak kurang juga yang menyumpah berikutan apa yang berlaku di negara itu sekarang.
Segala-galanya berlaku adalah hukum alam yang tidak boleh dielakkan. Letusan gunung berapi di bawah glasier kelima terbesar di Iceland, Eyjafjallajokull merupakan satu kejadian yang unik tetapi akhirnya menyusahkan jutaan manusia. Ini kerana ramai yang terpaksa membatalkan perjalanan mahupun terkandas di lapangan terbang akibat insiden di luar jangka itu.
Segalanya bermula pada 21 Mac lepas kira-kira pukul 11.30 malam apabila berlaku letusan pertama di gunung berapi yang ditutupi litupan ais. Akibatnya lebih 600 penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka. Gunung berapi Eyjafjallajokull meletus setelah tidak aktif selama hampir 200 tahun. Ia adalah yang pertama di Iceland sejak 2004 dan yang pertama berdekatan glasier Eyjafjallajokull sejak 1823.
Letusan kecil itu tidak berbahaya. Namun dibimbangi ia akan mencetuskan satu lagi letusan dari gunung berapi berhampiran iaitu Katla yang boleh memberi kesan terhadap penduduk setempat dan global. Keadaan panas yang melampau berikutan letusan itu juga dikhuatiri boleh menyebabkan glasier cair dan mengakibatkan banjir besar.
Namun akibat dari kejadian yang sangat jarang berlaku itu bencana yang sepatutnya menimbulkan kegusaran kepada manusia telah diambil kesempatan oleh para pelancong apabila mereka berpusu-pusu ke kawasan letusan gunung berapi meskipun lahar melimpah menuruni dua lurah selang beberapa hari kemudian.
Bagaimanapun kesan dan akibat dari kejadian itu sangat tidak dijangka. Kesan yang lebih teruk berlaku apabila letusan pada 15 April lalu yang 15 kali ganda lebih kuat, telah menjejaskan sistem pengangkutan udara di seluruh Eropah. Kepulan abu yang menjejaskan beribu-ribu penerbangan di benua Eropah dikatakan terhasil akibat tindak balas magma yang membeku dengan pantas apabila terkena ais yang meliputi puncak gunung.
Larangan penerbangan dikuatkuasakan kerana debu yang mengandungi partikel batu halus serta kaca boleh melumpuhkan enjin dan menjejaskan kerangka pesawat.
Dari Wellington hingga ke Tokyo, penumpang yang mahu ke Eropah terpaksa menunggu dalam keadaan tidak pasti bila penerbangan hendak disambung semula. Pada masa yang sama gunung berapi Eyjafjallajokull masih berterusan memuntahkan laharnya, sekali gus mencetuskan masalah trafik udara terbesar sejak serangan pengganas 11 September 2001.
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) memaklumkan, letusan gunung berapi tersebut telah mengakibatkan kerugian sejumlah AS$200 juta (RM700 juta) sehari kepada industri berkenaan. Malah IATA menganggarkan industri penerbangan bakal mengalami kerugian perolehan sebanyak AS$1.7 bilion (RM5.44 bilion) hanya dalam tempoh seminggu. Memburukkan lagi keadaan, dikatakan lebih 100,000 penerbangan ke Eropah terpaksa dibatalkan. Kepulan debu gunung itu turut menjejaskan pelbagai kegiatan ekonomi termasuklah industri hiburan Hollywood serta kegiatan sukan yang melibatkan pemain-pemain bertaraf bintang. Namun ada di antara mereka yang masih cekal meneruskan perjalanan seperti penyanyi terkenal Whitney Houston yang bertukar kepada feri merentasi Laut Ireland demi memastikan persembahannya di Dublin berjalan lancar.
Begitu juga kelancaran perlumbaan F1 mungkin terjejas kerana kebanyakan mekanik dan kakitangan masih terkandas di China manakala kejuaraan MotoGP Jepun hari ini terpaksa ditunda. Namun begitu semangat yang ditunjukkan oleh para pemain Liverpool yang terpaksa menempuh perjalanan sejauh 2,000 kilometer untuk sampai ke Madrid bagi berdepan kelab Atletico Madrid untuk perlawanan separuh akhir pertama Liga Europa melalui jalan darat seharusnya dipuji.
Terjejas
Menarik juga untuk disentuh akibat fenomena kepulan debu gunung berapi yang menyebabkan hampir keseluruhan industri di Eropah terjejas teruk akibat terlalu bergantung kepada sistem penerbangan. Ini kerana selain Eropah sebagai pusat kewangan bagi kebanyakan negara dunia ia juga menjadi mercu kejayaan industri pelancongan dan penerbangan. Namun kini hanya kerana kepulan abu gunung berapi yang mungkin dianggap remeh segala kesombongan dan kecanggihan teknologi yang diagungkan akhirnya tidak lagi berkesan.
Pastinya peristiwa pembatalan penerbangan yang mengganggu kelancaran pelbagai urusan manusia memberi pengajaran yang bermakna kepada kita. Jika selama ini Eropah sering berbangga dengan sistem pengangkutan mereka serba canggih akhirnya keegoan mereka tercalar hanya kerana debu asap gunung berapi.
Namun untuk menyalahkan sistem pengangkutan sebagai faktor utama penumpang terkandas adalah tidak adil kerana apa yang berlaku adalah kesan dari impak alam yang tidak diduga. Kita pastinya tidak boleh membayangkan kehidupan tanpa kapal terbang kerana ia adalah satu keperluan. Apatah lagi dalam kehidupan moden, industri penerbangan memudahkan manusia berhubung, berkunjung mahupun menjalankan urusan perniagaan walaupun membabitkan jarak yang jauh.
Itu antara cabaran yang perlu dihadapi industri penerbangan apatah lagi membabitkan urusan bernilai ratusan dolar hanya dalam sehari. Hakikatnya industri penerbangan lumpuh seperti apa yang berlaku sekarang akan turut menjejaskan hampir kesemua industri lain.
Walaupun kemelut ini semakin surut memandangkan kebanyakan lapangan terbang di Eropah mula dibuka semula secara beransur-ansur bermula Rabu lepas, kesesakan teruk disebabkan awan diselimuti abu gunung berapi dari Iceland masih belum berakhir. Pihak berkuasa udara menjangka tempoh berminggu-minggu ataupun berbulan diperlukan sebelum semua penumpang yang terkandas di serata dunia boleh dibawa pulang ke tanah air masing-masing
Namun apa yang lebih membimbangkan kini adalah kemungkinan letusan gunung berapi akan terus berulang dalam tempoh terdekat. Profesor geofizik yang juga penasihat perlindungan awam Iceland, Magnus Tumi Gudmundsson memberi amaran bahawa berdasarkan sejarah, gunung berapi paling berbahaya di Iceland Katla, meletus dalam tempoh setahun selepas letusan di Eyjafjallajokull pada 1821.
“Dan berdasarkan apa yang berlaku pada 1821 letusan itu telah berlaku secara berterusan selama tiga tahun yang menjejaskan kehidupan manusia serta mengakibatkan kematian haiwan ternakan selain kejadian banjir teruk,” kata Gudmundsson.
Maka apa yang perlu dibimbangi sekarang adalah sama ada akan ada letusan seterusnya dan sejauh mana kesannya berbanding dahulu. Jika benar akan berlaku letusan yang lebih teruk maka apakah langkah yang perlu diambil Eropah untuk menghadapi ancaman tersebut.
Yang pasti walaupun pelbagai teknologi canggih telah dibangunkan untuk membantu manusia mengesan sebarang kejadian alam yang tidak diingini namun manusia akhirnya tewas kepada kuasa alam yang lebih mengetahui segalanya..

sumber: Utusan Malaysia

Jumaat, 16 April 2010

Untuk lelaki-lelaki termasuk aku

Lelaki Malaysia menderita dalam senyap

"Tidak malam ini sayang, saya letih di pejabat.'' Mungkin ungkapan ini biasa diucapkan oleh isteri kepada suami. Bagaimana pula jika ucapan sama keluar dari mulut lelaki yang bergelar suami yang kehilangan perasaan keintiman.
Mungkin apa yang terfikir hanya keletihan atau tekanan menjadi faktor penyebab kelembapan rangsangan seksual.
Namun ia sebenarnya turut dikaitkan dengan faktor kesihatan, emosi dan gaya hidup seseorang yang amat berkait dengan kesihatan seksual.
Berbanding topik penjagaan kesihatan lain seperti amalan gaya hidup sihat, senaman dan pemakanan seimbang, topik ini amat jarang diperkatakan.
Selain kurang kesedaran mengenainya rasa malu dan ego adalah penyebab utama kenapa ia jarang dibincangkan.
Tetapi hakikatnya, kini semakin ramai lelaki di Malaysia sedang menderita dalam senyap.
Bagi masyarakat Asia, adalah sesuatu yang amat mengaibkan untuk memperkatakan tentang masalah seksualsecara terbuka kerana takut digelar 'tidak sempurna'. Ini kerana banyak beranggapan 'kejantanan' lelaki terletak pada kehebatan mereka di atas katil.
Justeru, untuk tidak berasa malu atau dimalukan golongan adam ini lebih rela menderita dalam diam.
Bukan kerana kesakitan yang mudah dikesan melalui pandangan orang lain tetapi masalah yang terlalu sulit sehingga menjejaskan semangat dan keyakinan diri empunya badan.
Apa yang dimaksudkan itu adalah masalah berkaitan keupayaan biologi anggota sulit yang dipanggil disfungsi erektil (ED) atau lebih dikenali dengan mati pucuk.
Menurut Pakar Urologi Universiti Hertfordshire, London, Profesor Michael Kirby, lemah tenaga batin dikaitkan sebagai ketidakupayaan yang berterusan untuk mencapai atau mengekalkan ketegangan yang secukupnya bagi menghasilkan satu aktiviti seks yang memuaskan.
''Keadaan ini jika dibiarkan berlarutan akan membawa kepada kesan yang bahaya pada diri lelaki tersebut,'' katanya.
Terangnya, permasalahan ini sebenarnya berlaku akibat daripada gangguan vaskular yang menjejaskan bekalan darah ke zakar.
Perjalanan darah boleh terganggu akibat pengerasan arteri (arteriosclerosis), diabetes, tekanan darah tinggi atau tahap kolestrol dalam darah yang luar biasa tingginya.
Katanya lagi, diabetes adalah satu-satunya masalah utama yang boleh dikaitkan dengan lemah tenaga batin.
''Kesan penyakit yang dihadapi itu akan menyebabkan mangsa mengalami penyakit ED,'' katanya.
Peratusan pesakit diabetes yang mengalami mati pucuk adalah empat kali ganda lebih tinggi berbanding lelaki biasa.
''Ini kerana mereka yang mengalami diabetes cenderung mengalami kerosakan saraf dan risiko kerosakan saraf akan semakin meningkat seiring dengan jangka masa seseorang itu mengidap diabetes.
''Kerosakan saraf turut menjejaskan pengaliran darah ke bahagian anggota badan yang boleh menyumbang kepada keletihan, selain menjejaskan keupayaan ereksi atau mengekalkan ereksi lelaki,'' terangnya pada satu majlis yang diadakan di sini baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, penyakit yang dihidapi juga turut menyumbang kepada keletihan dan kelesuan. Tambahan pula pengambilan ubat-ubatan dalam jangka panjang juga mungkin memburukkan lagi keadaan.
Oleh itu katanya, pemakanan seimbang adalah kunci utama kepada kesihatan. Patuhilah panduan pemakanan daripada doktor untuk memastikan diabetes dalam keadaan terkawal.
''Keadaan ini boleh menimbulkan kesukaran seksual lelaki pada sebarang usia melalui gangguan sistem perjalanan darah dan saraf yang terlibat untuk merangsang ketegangan.
''Kesannya kira-kira setengah daripada pengidap diabetes lelaki akan menghadapi masalah tenaga batin,'' ujarnya
Jelasnya, dalam satu kajian yang dilakukan oleh The Asia Pacific Sexual Healty and Overall Wellness Survey (AP SHOW) mendapati ramai lelaki di 13 buah negara termasuk Malaysia menderita penyakit berkenaan.
Malah hasil daripada kajian yang terdiri daripada 3,957 responden mendapati 57 peratus golongan lelaki dan 64 peratus wanita menyatakan tidak mendapat kepuasan yang sepenuhnya dalam hubungan intim bersama pasangan mereka.
Keadaan ini menjadi kebimbangan jika tidak mendapat rawatan yang sepatutnya pada peringkat awal.
Kini, para penyelidik mendapati empat daripada lima yang menderita masalah tersebut mempunyai masalah yang berpunca daripada keadaan fizikal
''Adalah tidak munasabah jika memberi alasan malu untuk mendapat rawatan pada peringkat awal. Malah akan wujud implikasi yang serius jika dibiarkan berterusan,'' terangnya.
Bagaimanapun, menurut kajian yang telah dijalankan berkaitan rawatan lemah tenaga batin di Asia mendapati, 25 peratus pesakit lemah tenaga batin juga menghidapi tekanan darah berlebihan, 15 peratus menghidap prostatik hyperlasia ringan, 13 peratus menghidap diabetes, sembilan peratus menghidap keadaan psikitri, tujuh peratus menghidap trauma pelvik, dan dua peratus mengalami kecederaan tulang belakang.
Dalam pada itu, pelbagai faktor yang boleh dikaitkan dengan masalah yang melanda lelaki ini.
''Hasil kajian mendapati, antara 10 hingga 20 peratus daripada kes mati pucuk adalah disebabkan faktor psikologi,'' katanya.
Bagaimanapun tegasnya, bagi kebanyakan lelaki, ED menambahkan lagi kemurungan mereka sehingga boleh menyebabkan kehilangan keyakinan diri, rendah diri, resah dan tekanan antara mereka dan pasangan.
''Kesemua gangguan emosi itu turut menjejaskan kesejahteraan emosi dan boleh menyebabkan masalah fizikal yang mendorong kepada kepada kegagalan untuk mencapai ereksi.
Sementara itu, gaya hidup yang tidak sihat turut menyumbang kepada masalah seks seperti merokok, meminum minuman keras.
Amalan merokok katanya, bukan sahaja boleh menyebabkan kanser tetapi turut menjejaskan perjalanan darah serta mengganggu pencapaian ereksi.
Namun dengan ledakan teknologi baru terkini, kaum adam tidak perlu malu lagi dan boleh melakukan pemeriksaan sendiri tahap ketegangan ED di rumah.
Ukuran diognostik baru itu dikenali markah ketegangan ereksi (EHS). Ia mampu mengesan tahap awal ED dengan menggunakan skala empat markah yang mengenal pasti ereksi gred satu untuk lelaki yang mengalami ED hingga gred empat.
Terangnya, gred satu dinilai dengan zakar membesar tetapi tidak tegang, manakala gred dua pula keadaan yang tegang tetapi tidak cukup untuk melakukan hubungan intim.
Sementara itu, terangnya lagi, gred tiga pula di nilai dengan cukup tegang untuk seks tetapi tidak tegang sepenuhnya dan yang paling terbaik ialah gred empat, tegang dan keras sepenuhnya.
Beliau menambah, individu yang melakukan penilaian itu boleh mendapatkan rawatan dan perbincangan terperinci dengan pakar perubatan untuk mengembalikan fungsi seksual keseluruhan.

sumber: Utusan Malaysia

Isnin, 12 April 2010

Syarikat jenama Malaysia terus meningkat

SIAPA kata jenama Malaysia tidak bagus? Jenama Malaysia bukan sahaja bagus tetapi bernilai tinggi. Menurut Laporan Brand Finance 2010, nilai aset-aset tidak ketara menerusi syarikat-syarikat jenama Malaysia telah berjaya mengatasi syarikat-syarikat di Singapura.
Ini bermakna, sejak usaha-usaha pemulihan dilaksanakan bagi mengurangkan kesan kemelesetan ekonomi dunia pada 2007 ke atas negara, syarikat-syarikat Malaysia telah berjaya berkembang dan keluar daripada krisis ekonomi sehingga melonjakkan jenama mereka di persada dunia.
Nilai syarikat-syarikat jenama Malaysia meningkat sebanyak 12.9 peratus pada penghujung 2009. Secara keseluruhannya, nilai syarikat-syarikat jenama Malaysia berjumlah AS$358 bilion (RM1.152 trilion). Syarikat minyak negara, Petronas mendahului senarai syarikat-syarikat jenama Malaysia dengan nilai jenamanya sebanyak AS$12.2 bilion (RM39.2 bilion).

Ini diikuti oleh Genting Highlands Resort dan YTL Corporation. Manakala syarikat-syarikat lain seperti Malayan Banking Bhd., Tenaga Nasional Bhd., Maxis Communications, Sime Darby Bhd., CIMB Group Bhd., IOI Corporation, Telekom Malaysia Bhd. tergolong sebagai jenama-jenama terbaik di Malaysia.
Di peringkat global, WalMart mendahului senarai dengan nilai sebanyak AS$41.2 bilion (RM132.6 bilion), diikuti oleh enjin carian Internet, Google dengan nilai sebanyak AS$36.1 bilion (RM116.2 bilion), manakala jenama minuman bergas yang terlaris di dunia, Coca-Cola jatuh satu anak tangga ke tangga ketiga dengan nilai jenamanya sebanyak AS$34.8 bilion (RM111.9 bilion). Jenama syarikat-syarikat lain seperti IBM, Microsoft, HP, GE, HSBC, Vodafone dan Toyota pula tergolong dalam kumpulan sepuluh jenama terhebat di dunia.

Melihat kepada senarai di atas, syarikat-syarikat jenama Malaysia juga mempunyai reputasi dan berprestij cukup tinggi dengan nilai aset tidak ketara yang setanding dengan syarikat-syarikat bertaraf dunia yang lain. Syarikat-syarikat sebeginilah yang banyak membantu mempromosikan nama Malaysia agar lebih dikenali di persada dunia.

Usaha-usaha perlu dilakukan dengan lebih giat lagi agar lebih banyak lagi syarikat-syarikat tempatan dijulang jenama mereka di persada dunia. Aspek yang perlu diberi keutamaan adalah bagaimanakah untuk menjadikan syarikat-syarikat sebegini sebagai ikon syarikat dunia.

Umpamanya apabila disebut Coca-Cola, sesiapa sahaja mengetahui minuman bergas ini. Menjadi satu perkara yang cukup penting apabila jenama sesuatu barangan dikenali di seluruh dunia kerana ia mampu menghasilkan jualan yang cukup tinggi dan akhirnya menjana pendapatan syarikat tersebut dengan kadar yang amat tinggi.

Proses pengantarabangsaan syarikat-syarikat jenama Malaysia merupakan satu aspek yang cukup penting dalam Model Ekonomi Baru (MEB). Pertama, selain untuk memperkasakan sektor domestik negara, syarikat-syarikat Malaysia mestilah mempunyai reputasi jenama yang bernilai tinggi.
Barangan buatan Malaysia haruslah diketengahkan dan diutamakan untuk jualan domestik. Rakyat Malaysia sendiri mestilah mengutamakan dan membeli jenama-jenama barangan sendiri berbanding jenama negara-negara lain.

Keyakinan ini cukup penting kerana jika rakyat Malaysia sendiri tidak berkeyakinan dengan jenama barangan Malaysia, bagaimanakah jenama-jenama ini mampu memperoleh reputasi tinggi di persada dunia. Kedua, nilai syarikat-syarikat jenama Malaysia yang tinggi bukan sekadar memberi keuntungan kepada entiti itu sendiri, namun, ia mampu mengangkat pendapatan rakyat Malaysia ke tahap tertinggi.

Umpamanya, jika syarikat-syarikat jenama Malaysia berada pada tahap yang hebat, jualan barangan jenama Malaysia pastinya meningkat, maka keuntungan yang dijana dapat dipulangkan kembali kepada negara melalui dua bentuk.

Pertama melalui cukai yang dibayar kepada kerajaan dan kedua gaji pekerja rakyat Malaysia dapat dipertingkatkan lagi ke tahap yang lebih tinggi. Bukan itu sahaja, jika lebih banyak lagi syarikat-syarikat jenama Malaysia dikenali ramai di seluruh dunia, nama Malaysia juga bakal dikenali dan prospek pelancongan negara juga akan meningkat tinggi.

Tidakkah ini membawa rahmat yang cukup besar kepada industri pelancongan?
Oleh itu, pelaburan untuk meningkatkan jenama syarikat-syarikat Malaysia di persada dunia bukanlah satu bentuk pembaziran. Begitu juga, penganjuran pelbagai sukan bertaraf dunia seperti Formula 1 mampu melonjakkan jenama syarikat-syarikat Malaysia seperti Petronas.

Hasilnya kini dapat dilihat apabila Petronas cukup dikenali di persada dunia. Jika suatu ketika dahulu, nama Malaysia cukup kerdil di peringkat antarabangsa, kini dengan pelbagai usaha dilakukan di samping pengantarabangsaan barangan dan syarikat-syarikat jenama Malaysia, Malaysia kini, cukup dikenali di dunia.
Manfaatnya bukan sahaja dinikmati oleh syarikat-syarikat jenama Malaysia tetapi juga dirasai oleh seluruh warga negara Malaysia.

ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan
Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia

sumber: Utusan Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...