Sabtu, 21 November 2009

Laporan Goldstone cemaskan Israel

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

KONFLIK di Asia Barat ketika ini tertumpu kepada polemik yang tercetus lewat perbahasan terhadap Laporan Goldstone. Laporan setebal 526 halaman itu merupakan hasil siasatan ke atas perang 22 hari di Semenanjung Gaza akhir tahun lalu.

Laporan itu dikemukakan oleh kumpulan penyelidik yang dibentuk oleh Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan dipimpin oleh bekas hakim mahkamah persekutuan Afrika Selatan, Richard Goldstone. Menariknya, Goldstone sendiri adalah seorang Yahudi.

Laporan itu dikumpul berdasarkan bukti-bukti yang dikutip di medan perang, analisis pendapat serta wawancara ke atas lebih 200 individu yang terlibat secara langsung dalam perang itu.

Bukti-bukti juga dikumpulkan menerusi perhatian video, foto, rakaman satelit dan hasil penelitian terhadap 300 laporan terakam yang lain. Laporan ini membuat kesimpulan bahawa sama ada Israel atau Palestin, masing-masing melanggar hukum antarabangsa sepanjang perang itu.

Tetapi dengan kematian kira-kira 1,600 orang penduduk Gaza, Israel menerima tuduhan yang lebih berat termasuk disebut melakukan kejahatan perang antarabangsa. Tersentak dengan laporan itu, Israel menolak ia daripada dibahaskan pada sidang Majlis Keselamatan PBB di New York ,14 Oktober lalu.

Bagi Israel, laporan itu dinilai berat sebelah dan mengugut akan menghentikan semua proses damai sekiranya ia dibahaskan oleh PBB. Tindakan Israel itu sebenarnya kerana bimbang dengan kredibiliti laporan tersebut yang sekiranya berjaya dibawa ke Majlis Keselamatan PBB, akan mengheret pemimpin mereka ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ), Belanda.

Kerana itu juga Israel mendesak supaya Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto negara itu untuk menafikan laporan tersebut. AS tidak menunggu lama apabila memberi tekanan kepada Mahmoud Abbas sehinggakan Presiden Palestin itu sendiri memohon agar PBB menangguhkan perbahasan mengenainya sehingga Mac tahun depan.

Malah, Kongres AS yang bersidang 4 November lalu juga meluluskan resolusi menolak laporan itu kerana berat sebelah dan tidak layak diiktiraf dengan 334 bersetuju manakala 36 lain membantah. Bagi penganalisis Asia Barat, Dr. Hafidzi Mohd. Noor, Laporan Goldstone adalah satu penanda aras yang penting dalam konflik di Asia Barat.

Ini kerana jelas Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (Pace) itu, buat pertama kalinya pandangan umum masyarakat antarabangsa tidak lagi memihak kepada Israel. Dengan adanya Laporan Goldstone yang dikemukakan oleh pihak ketiga itu juga, Israel tidak lagi boleh berdolak-dalih.

Bagaimanapun menurut Hafidzi, sama ada Laporan Goldstone mampu memberi keadilan kepada rakyat Palestin, ia masih terlalu jauh lagi untuk dinilai kesannya. Namun, sesuatu yang pasti, laporan itu sendiri sudah merupakan satu persetujuan bahawa rakyat Palestin terutama di Gaza menjadi mangsa keganasan Israel.

Selama ini Israel yang dianggap sebagai 'mangsa' dalam konflik di Palestin. Malah, setiap kali Israel bertindak menyerang rakyat Palestin ia diperakui sebagai tindakan 'mempertahankan diri' atau serangan menghalang pihak musuh.

Rakyat Palestin sejak krisis itu bermula lebih enam dekad lalu juga, ditindas dari pelbagai sudut. Kemuncaknya ialah kepungan ke atas Gaza dan penutupan sempadan sehingga menyekat bekalan makanan, ubat-ubatan, bahan api dan air bersih sejak tiga tahun lalu. Dalam tempoh tersebut juga, rakyat Palestin tidak pernah mendapat sebarang pembelaan dari mana-mana pihak.

Bahkan PBB sendiri tunduk kepada tekanan AS, Kesatuan Eropah (EU) dan Israel yang merestui kepungan yang bercanggah dengan piagam PBB dan deklarasi hak asasi manusia itu.

Hafidzi menjelaskan lagi, Laporan Goldstone itu hanyalah langkah pertama untuk menguji sejauh manakah objektifnya masyarakat antarabangsa dalam menilai pelanggaran-pelanggaran terhadap undang-undang dan pencabulan hak asasi oleh rejim zionis.

Untuk melaksanakan apa yang terkandung di dalam Laporan Goldstone tersebut iaitu mengheret mereka yang bersalah ke muka pengadilan di mahkamah antarabangsa pula memerlukan satu kehendak politik yang kuat di kalangan negara-negara EU khususnya. Persoalannya, adakah mereka bersedia melakukannya?

''Apakah mereka bersedia untuk mengadili penjenayah-penjenayah perang zionis sebagaimana mereka mengadili dan menjatuhkan hukuman kepada penjenayah-penjenayah perang Nazi di Nurenburg pada tahun 1946?" tuntas Mohd. Hafidzi.

Namun, sesuatu yang menarik untuk dilihat daripada polemik yang ditimbulkan oleh Laporan Goldstone ini ialah kekalutan yang dipertontonkan Israel dan AS. Bagi AS sendiri, negara itu pada bila-bila masa boleh menggunakan kuasa veto untuk menolak mana-mana resolusi yang tidak berpihak kepada Israel.

Keadaan itu jelas Mohd. Hafidzi kerana laporan tersebut mempunyai implikasi undang-undang dan tidak mudah untuk AS melindungi Israel. Laporan itu juga membentangkan semua bukti-bukti yang tidak dipertikaikan tentang aksi-aksi jenayah perang yang dilakukan oleh Israel.

''Cubaan untuk melindungi Israel samalah juga dengan cubaan untuk melindungi Jeneral-jeneral tentera Nazi SS yang melakukan jenayah genosid ke atas orang Yahudi atau membela Jeneral Tojo dalam perang Asia-Pasifik," ujar beliau.

Dari sudut rakyat Palestin pula, Laporan Goldstone boleh menjadi satu kelebihan, dalam masa yang sama menimbulkan pelbagai isu. Pertamanya berkenaan pendirian Mahmoud Abbas yang pada peringkat awal melengah-lengahkan persetujuan supaya laporan itu dibentangkan.

Tindakan Abbas ini adalah selari dengan sikap perseteruannya dengan Hamas. Namun bagi rakyat Palestin, Abbas dilihat bersekongkol dengan rejim zionis. Keadaan ini meletakkan pentadbiran Abbas dalam keadaan serba salah.

Dalam pada itu Laporan Goldstone tetap meletakkan kesalahan kepada Hamas atas serangan-serangan roket yang dilancarkan ke wilayah Israel. Namun bagi Hafidzi, Hamas mempunya alasan kukuh untuk mewajarkan serangan tersebut.

Kepungan yang dikenakan oleh Israel sehingga menyebabkan tragedi kemanusiaan yang parah ke atas Gaza adalah satu tindakan yang jelas mengundang peperangan.

Meskipun ia tidak diistiharkan secara rasmi, namun undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva memperakui mana-mana tindakan ketenteraan yang dilakukan oleh mana-mana pihak untuk mempertahankan kedaulatan wilayahnya.

Pengunduran Israel dari Gaza dan kemudian mengenakan kepungan menyeluruh adalah termasuk dalam tafsiran menggugat kedaulatan wilayah asing.

''Jadi kesimpulannya meskipun Laporan Goldstone membuat dakwaan yang serupa, Hamas punya hak untuk membela diri di atas pencabulan kedaulatan wilayahnya," ujar Hafidzi.

sumber: Utusan Malaysia

21 GGK bakal cipta rekod dunia

Oleh HELMI MOHD. FOAD

Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan anggota komando yang terlibat dalam Ekspedisi Le Tour 1Malaysia Sealegs 2009 bersama bot Amphibious Sealegs sambil diperhatikan Abd. Samad Yaakob (kiri) pada majlis pelancarannya di Pusat Maritim Putrajaya, Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 20 Nov. - Seramai 12 anggota Skuadron Maritim dari 21 Gerup Gerak Khas (GGK) akan mempamerkan ketangkasan mereka dalam Ekspedisi Le Tour 1Malaysia Sealegs 2009 bermula 28 November sehingga 1 Disember ini.

Penjelajahan selama empat hari membabitkan perjalanan sejauh 1,600 kilometer itu adalah usaha pasukan tersebut untuk menguji tahap kemampuan bot baru, Amphibious Sealegs.

Bot yang boleh berfungsi di kawasan air dan daratan itu merupakan aset baru yang bakal dimiliki oleh skuadron berkenaan jika pembeliannya diluluskan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ekspedisi itu bakal dicatatkan dalam World Guinness Book of Records membabitkan perjalanan paling jauh menggunakan bot amfibia.

Ia bakal disertai oleh para pegawai dan anggota Skuadrom Maritim yang terdiri daripada pelbagai pangkat dan kaum sekali gus melambangkan gagasan 1Malaysia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jelajah amfibia yang pertama di Malaysia itu adalah bersempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009 pada 1 hingga 5 Disember ini.

''Kita lakukan aktiviti lasak ini untuk memperlihatkan pasukan Gerak Khas kita mempunyai kemampuan bergerak dalam apa jua keadaan termasuk dalam misi yang mereka lakukan.

''Jarak ekspedisi sejauh 1,600 km ini hanya boleh dilakukan oleh mereka yang mempunyai daya tahan kuat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan ekspedisi tersebut di Pusat Maritim Putrajaya di sini hari ini.

Hadir sama ialah Panglima 21 GGK, Brigedier Jeneral Datuk Abd. Samad Yaakob dan Pegawai Eksekutif Sealegs, David McKee Wright.

Ekspedisi yang diketuai oleh Kapten Zulkifli Hussain itu akan bermula dari Pengkalan Kubur, Kelantan dan tamat di Langkawi.

Terdahulu Ahmad Zahid menyaksikan demonstrasi menyelamat tawanan oleh kira-kira 42 orang anggota skuadron itu membabitkan penggunaan bot Amphibious Sealegs.

Ahmad Zahid berkata, ujian ke atas bot Amphibious Sealegs pada ekspedisi itu adalah bagi membuktikan keberkesanannya dalam melaksanakan misi jarak jauh di luar kawasan pesisir pantai negara.

Katanya, Malaysia akan menjadi negara pertama di dunia memiliki bot seumpama itu jika pembelian tersebut menjadi kenyataan.

Mengenai cadangan pembelian bot tersebut sebagai aset terbaru Skuadron Maritim, beliau berkata, kerajaan akan memberikan keutamaan kepada produk-produk yang berkesan seperti itu.

Malah katanya, bot tersebut juga sesuai digunakan oleh agensi penguatkuasa lain bagi operasi menyelamat mangsa banjir atau membabitkan sebarang pergerakan di air dan darat.

Sementara itu, Wright berkata, syarikatnya menjalankan kajian selama lima tahun bagi menghasilkan bot tersebut atas dasar minat kepada industri maritim.

Katanya, bot sepanjang 7.1 meter yang boleh memuatkan lapan penumpang itu berharga kira-kira RM360,000 seunit.

sumber: utusan malaysia

Rabu, 11 November 2009

Preity Zinta masuk Harvard

MUMBAI: Aktres terkenal Bollywood, Preity Zinta, kini bersiap sedia untuk meningkatkan lagi pengetahuannya apabila mendaftar diri bagi mengikuti kursus dalam bidang perundingan dan pengurusan perjanjian di Universiti Harvard bulan depan.

Pelakon yang disifatkan bijak dan berpendidikan tinggi itu sudah mempunyai ijazah sarjana dalam bidang psikologi jenayah tetapi berkata beliau tidak terkilan untuk ‘meninggalkan’ bidang lakonan untuk sementara bagi melanjutkan pelajaran.

Laman web totalfilmy.com melaporkan Preity yang menghabiskan banyak masa di Amerika mahu menggunakan suasana itu untuk menimba ilmu dan melakukan sesuatu yang lebih produktif.

“Sebenarnya saya tidak menyangka permohonan diterima dan berasa amat teruja dengan kursus yang ditawarkan ,” katanya.

Walaupun terkenal sebagai pelakon, Preity mempunyai cita-cita untuk mencapai kejayaan dalam bidang perniagaan dan sentiasa berusaha membahagikan masa antara kedua-dua bidang.

“Saya mendapat beberapa tawaran untuk berlakon filem tetapi tidak dapat memberi komitmen dan masih menunggu watak lebih mencabar berbanding filem lakonan saya sebelum ini,” katanya. - Agensi

sumber: Berita Harian

Hitler disangka pengurus bola sepak Jerman

LONDON: Kajian mengenai peperangan terhadap 2,000 murid sekolah di Britain, menghasilkan penemuan mengejutkan apabila seorang daripada 20 pelajar menyangka Adolf Hitler ialah pengurus bola sepak Jerman.

Ketua badan amal Erskine yang menjalankan kajian, Mejar Jim Panton, berkata seorang daripada 12 murid menyangka Auschwitz ialah taman tema, sedangkan ia pusat tahanan Nazi terbesar pada Perang Dunia Kedua.

"Ia tanda lemahnya pengetahuan am mereka," katanya. - Agensi

sumber: Berita Harian

Krisis identiti kepemimpinan, pendirian terus hantui Pas

Oleh Achmad Dzariean Mohd Nadzri
achmad@uum.edu.my

ISU baiah dalam politik Pas dan penolakan pemberian wang ihsan adalah di antara polemik yang sedang melanda parti itu ketika ini. Sedar atau tidak, Pas kini sedang mengalami krisis identiti kepemimpinan dan kepercayaan yang agak serius rentetan peristiwa kontroversi yang melanda pakatan pembangkang di negara ini.

Fakta yang didedahkan Dr Abu Hasan Hasbullah dalam seminar politik anjuran Pas benar-benar memberi tekanan terhadap kepemimpinan Pas dalam mencari jalan supaya dapat menarik kembali minat rakyat untuk menyokongnya agar momentum kemenangan dan keselesaan seperti diterjemahkan rakyat pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 dapat dikekalkan.

Realitinya, Pas kini terpaksa berdepan situasi tidak menentu dan menghakis kredibiliti parti itu kerana daripada kajian Dr Abu Hasan, sebahagian besar responden yang terdiri daripada generasi muda, mula hilang kepercayaan terhadap Pas dan menolak kepemimpinan Datuk Seri Hadi Awang.

Responden juga turut berpandangan negatif terhadap kepemimpinan Pas dan tidak kurang juga bilangan responden yang hilang sokongan terhadap parti ini. Hipotesisnya mudah. Pas kini semakin terhakis kredibiliti dan merosot sokongannya daripada segenap lapisan masyarakat di negara ini.

Adakah faktor kemerosotan ini hanya disebabkan oleh faktor mesyuarat agung luar biasa (EGM) khas yang dicadangkan oleh Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat atau adakah rakyat sudah mula jelak dengan tingkah laku pimpinan Pas dan peranannya yang bercelaru dalam pakatan pembangkang?

Hakikatnya, rakyat kini sudah mula menyedari bahawa pemimpin Pas hanya tahu membuat gimik dalam politik tetapi mengetepikan soal pembangunan dan kebajikan rakyat. Penilaian responden ini sudah semestinya berpandukan kepada cerminan atau peranan yang dimainkan Pas selepas pasca pilihan raya umum yang lalu.

Pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 ini menyaksikan lima negeri jatuh ke tangan pembangkang dan tiga daripadanya iaitu Kelantan, Kedah dan Perak dipimpin oleh Pas. Kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili Pas di Kelantan dan Kedah agak dominan tetapi sebaliknya berlaku di Perak, apabila kedudukan mereka hanyalah picisan dan pelantikan ketua eksekutifnya hanyalah disebabkan oleh peruntukan perundangan serta budi bicara Sultan, bukan berdasarkan kemenangan majoriti Pas.

'Turning point' kejatuhan kredibiliti Pas bermula sejurus selepas BN berjaya membentuk majoriti mudah dalam DUN Perak yang akhirnya menyaksikan kejatuhan kerajaan pakatan pembangkang di Perak.

Tindakan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, yang murka dengan titah Sultan Perak yang meminta beliau mengosongkan kerusi Menteri Besar Perak membawa cerminan negatif kepada pimpinan Pas yang tidak peka serta sensitif terhadap isu ketaatan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Watak jahat Pas kemudian diserlahkan lagi dengan peristiwa perhimpunan penyokongnya di Kuala Kangsar yang menghalang rombongan Raja Muda daripada menghadiri Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar dan jelas tidak menghormati institusi beraja dan sistem perundangan di negara ini.

Krisis kredibiliti Pas tidak berakhir di sini. Di Kedah umpamanya, kedudukan Pas yang dominan dalam agihan kerusi dalam DUN Kedah tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya. Pas seolah-olah tidak menghargai semangat setia kawan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di wilayah jelapang padi itu apabila dengan sewenang-wenangnya memberi arahan kepada pihak berkuasa tempatan untuk merobohkan rumah pemotongan babi di kawasan yang diwakili DAP.

Sebagai protes kepada tindakan Pas, DAP mengugut untuk keluar gabungan pakatan pembangkang di negeri itu tetapi kemudian menarik balik keputusan itu.

Tindakan Nik Aziz yang melabelkan ahli dan Umno tidak akan masuk syurga kerana memperjuangkan idea sekular dalam pemerintahan negara turut memberikan kesan negatif terhadap kredibiliti politik Pas dalam negara secara amnya dan di Kelantan khususnya.

Kejatuhan majoriti undi kepada Pas yang hanya tinggal kepada 65 undi di Manek Urai dalam pilihan raya kecil lalu dan kekalahan Pas dengan majoriti besar yang diperoleh calon BN di Bagan Pinang dalam satu lagi pilihan raya kecil, membuktikan kredibiliti Pas kini semakin kritikal dan boleh dilihat sebagai liabiliti dalam pakatan pembangkang.

Rentetan daripada kronologi peristiwa inilah yang akhirnya mendorong Nik Aziz untuk memanggil EGM khas bertujuan menyingkir pimpinan Pas yang dianggap bermasalah akibat daripada tindakan pemimpin berkenaan yang menyokong idea terhadap kerajaan perpaduan dengan Umno.

Pas dilihat terbahagi dua iaitu kumpulan yang pro-Hadi yang membawa agenda perpaduan dengan Umno dan kumpulan yang pro-Nik Aziz, akibat daripada pelbagai rentetan isu yang melanda.

Pas kini masih lagi tidak menyedari bahawa imej dan kredibiliti mereka sebagai sebuah parti yang berteraskan ajaran Islam semakin lama semakin ditolak rakyat.

Pendirian Pas yang seolah-olah seperti 'lalang' dalam pakatan pembangkang akibat ketaksuban yang jumud dalam berpolitik dan terikut-ikut dengan telunjuk DAP dan PKR sebenarnya memberikan palitan negatif terhadap perjuangan Pas dalam politik arus perdananya.

Pas di dalam pakatan pembangkang seolah-olah menjadi 'penumpang' dan kini tidak lagi berani untuk memperjuangkan negara Islam dalam manifestonya. Perlu diakui bahawa asas sebuah perjuangan politik adalah mudah. Perjuangan haruslah mempunyai pendirian tetap dan jitu di samping mempunyai sasaran yang ingin dicapai.

Kenyataan Hadi dalam satu resolusinya selepas seminar memperkasakan politik, baru-baru ini, iaitu Pas tetap mengamalkan keterbukaan hubungannya dengan semua pihak asalkan membawa kemenangan kepada Islam seolah-olah membuktikan bahawa Pas kini tidak lagi mempunyai pendirian tetap dalam perjuangan politiknya.

Kedudukan Pas dalam Pakatan Rakyat kini hanyalah memenuhi korum dan perjuangannya kini tidak lagi berpaksikan kepada perjuangan menegakkan syiar Islam, sebaliknya perjuangan Pas kini akan ditentukan oleh 'rakan-rakannya' dalam pakatan pembangkang.

Senario inilah yang sedang dinilai dan diperhatikan oleh rakyat dan rakyat sudah boleh membuat penilaian adakah pakatan pembangkang yang wujud ketika ini adalah gabungan pakatan yang memberikan kesejahteraan rakyat atau adakah gabungan pakatan ini hanya golongan yang suka kepada gimik politik, pandai berjanji dan berkata-kata.

Penulis ialah tutor di Bahagian Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM)

sumber: Berita Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...