Selasa, 29 September 2009

Agama bukan untuk tawar-menawar

PERBICARAAN tentang agama bukanlah boleh sewenang-wenangnya seperti membicarakan persoalan lain yang lebih berbentuk peribadi. Seorang profesor melalui e-mel memberitahu bahawa dalam kuliah-kuliahnya, beliau kerap menegaskan kebebasan beragama bukan sahaja bermakna kebebasan untuk keluar dari agama yang merupakan salah satu makna kecil dari prinsip ini.

"Makna teras daripada prinsip kebebasan beragama ialah kebebasan untuk mengamalkan sesuatu agama yang ditafsir oleh mereka yang dianggap berwibawa dalam agama tersebut dalam sesuatu masyarakat. Aspek kedua dari makna ini telah diamalkan sepanjang sejarah perkembangan Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia,'' kata profesor itu.

Saya bersetuju dengan pandangan ini kerana agama adalah satu pegangan hidup. Ia bukan seperti baju dan seluar yang dapat ditukar ganti.

Atas dasar inilah, agama seharusnya dipelajari dengan penuh ilmu dan hikmah. Kitab dan hikmah inilah yang membawa manusia menjadi makhluk bertamadun dan berperadaban. Maka agama yang dipelajari dengan ilmu akan mampu menusuk ke sanubari seseorang penganut agama itu.

Sebab itulah, agama haruslah dipelajari dari para guru yang berwibawa, yang mampu mentafsirkan agama berdasarkan kepelbagaian ilmu di dalam agama tersebut. Agama bukanlah sesuatu yang dipelajari di tepi-tepi jalan seperti membeli ubat dari penjaja.

Profesor itu juga menyebut bahawa akidah dan syariah Islam tidak harus dilihat dari kaca mata orang lain. Malah juga bukan dari kaca mata orang Islam sendiri yang tidak terlatih dalam bidang berkenaan.

Namun begitu pintu perbincangan umum tetap terbuka dengan seluas-luasnya untuk memberikan pentafsiran di luar bidang akidah dan syariah yang menjadi dasar dan prinsip asasi agama.

Islam sendiri sentiasa membuka pintu ijtihad tetapi ia bukanlah terbuka untuk sesiapa sahaja yang merasakan dirinya mampu berijtihad. Berijtihad di dalam agama, terutamanya mengenai akidah dan syariah bukan seperti yang dilakukan oleh tukang ramal dan ahli nujum.

Berijtihad di dalam agama mempunyai syarat-syarat dan rukun yang ketat bertujuan supaya agama tidak akan menjadi satu komoditi yang boleh dijual beli menurut kemahuan individu.

Dalam mengamalkan agama, kebebasan mutlak dalam berhujah atau bersuara, malah dalam melaksanakan hukuman syariah dan prinsipnya bukanlah merupakan satu kebebasan mutlak mengikut tafsiran sesetengah individu.

Seseorang individu atau kumpulan yang tertentu juga tidak mempunyai hak mutlak untuk mempertikaikan urusan akidah dan amal ibadat agama lain.

Dalam konteks ini benarlah pandangan bahawa sekiranya diberikan kebebasan mutlak kepada segolongan penganut sesuatu agama untuk mempersoalkan akidah dan amalan penganut agama yang lain, maka hal ini bererti seperti memberikan lesen untuk membuka gelanggang pergaduhan yang boleh membawa huru-hara.

Tradisi ini perlu menjadi pegangan majoriti rakyat Malaysia dan harus dipertahankan dengan penuh kejujuran dan keikhlasan.

Kita seharusnya mencari titik pertemuan dan persamaan, bukan mencari titik perbezaan dan perselisihan.

Perbincangan mengenai agama bukanlah seperti membicarakan tajuk rukun tetangga atau dewan orang ramai. Siapakah yang harus mengambil giliran meronda, atau siapa yang harus menggunakan dewan tersebut.

Saya bersetuju dengan pendapat bahawa: "Orang yang membincangkan hal-hal agama di Malaysia amat terikat dengan majikannya, partinya, ketuanya, penyokongnya, medianya, jirannya, saudara maranya dan sebagainya."

Hal inilah yang cuba diatasi oleh pihak berkuasa agama Islam di negara ini. Kita cuba membanteras perbicaraan agama berasaskan parti politik dan penyokongnya. Atau mazhab yang menanamkan rasa fanatik dan taksub melulu, agama yang bercampur-aduk dengan sentimen perkauman dan kelompok serta sebagainya.

Dalam konteks Islam, mimbar masjid dilarang digunakan oleh pihak tertentu untuk mempromosikan agama ala parti politik atau aliran kefahaman berasaskan taksub melulu.

Perbincangan tentang agama tidak seharusnya diwarnai dengan rasa taksub dan fanatik. Namun keterbukaan dalam perbincangan tersebut juga haruslah dihadkan.

Kita melihat banyak contoh di negara-negara tertentu yang memanifestasikan ketaksuban ini sehingga rumah-rumah ibadat menjadi sasaran kemusnahan dan pencabulan. Penganut agama lain dianggap musuh dan dibunuh. Harta benda mereka dimusnahkan. Akhirnya ia melibatkan keruntuhan nilai moral, kehancuran pembangunan ekonomi dan kecelaruan peraturan sosial dan pendidikan.

Lebih menyedihkan, terdapat negara yang mengamalkan dasar demokrasi dan rakyat yang taksub memilih parti politik yang taksub sebagai pemerintah. Parti radikal, yang mengamalkan diskriminasi agama dan kaum mendapat sokongan majoriti.

Akibatnya rakyat menjadi korban kezaliman dan ketidakadilan. Rakyat yang taksub akan diberi perlindungan. Mereka bebas menindas dan melakukan kekejaman.

Tetapi hal ini tidak berlaku di negara kita. Majoriti rakyat Malaysia menolak fahaman pelampau dan fanatik. Maka kita tidak terancam dengan pergaduhan agama dan kaum dan boleh menumpukan kepada pembangunan ekonomi, teknologi, pendidikan, dan sosial untuk semua.

Bagaimanapun hal ini tidak seharusnya membuatkan kita merasa selesa dan leka. Mutakhir ini, aliran pemikiran dan tindakan sesetengah pihak yang taksub agama mula muncul.

Negara-negara yang mengalami kekacauan kaum atau agama sering terbantut pembangunannya. Anak-anak keciciran dalam pelajaran. Rakyat mengalami kebuluran dan penyakit merebak. Ekonomi merudum.

Oleh kerana agama bukan merupakan soal peribadi yang boleh ditawar-menawar, maka para penganut agama yang berbeza haruslah mempunyai rasa hormat kepada agama lain.

Kalau dalam urusan peribadi pun, kita masih dapat menghormati peribadi orang lain, maka apatah lagi dalam isu agama.

Maka diharap kita akan terus mempertahankan kerukunan ini selama-lamanya sesuai dengan falsafah negara kita tentang konsep dan gagasan Satu Malaysia.

PENULIS ialah Pemegang Amanah Yayasan Satu Malaysia, Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim, UKM.

sumber: Utusan Malaysia

Sakit badan lama memandu


faktor reka bentuk dan posisi kerusi kenderaan semasa memandu amat penting bagi mengelakkan kepenatan.


Kegembiraan memang dapat digambarkan dalam diri kita apabila tibanya Syawal. Malah ada yang sanggup memandu berjam-jam lamanya tanpa henti untuk segera sampai ke kampung.

Namun sedarkah kita akan bahaya yang mungkin boleh menimpa jika tidak memberi peluang tubuh badan dan minda kembali segar sepanjang pemanduan tersebut.

Kemalangan sering berlaku apabila kita pulang semula ke rumah untuk berkerja selepas menghabiskan cuti di kampung. Minda yang kurang semangat untuk balik bekerja semula serta ciri-ciri pemanduan yang tidak ergonomik juga merupakan faktor penyebab kemalangan ini.

Perancangan dan persediaan pemanduan ini amat penting bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini seperti kemalangan dan kesakitan seluruh badan kita daripada berlaku.

Sistem tubuh badan utama yang mungkin akan berlaku kepenatan dan gangguan akibat pemanduan yang jauh i adalah Sistem otot dan tulang (musculoskeletal system); Sistem jantung dan pengaliran darah (cardivascular system); Minda atau psikologi (psychology) dan sistem-sistem lain badan

Kesemua sistem badan ini saling berkaitan dan memberikan tanda dan aduan akibat pemanduan yang jauh. Kepenatan sistem otot dan tulang banyak bergantung kepada sejauh mana keselesaan kita semasa memandu dimana faktor reka bentuk dan posisi kerusi kenderaan semasa memandu amat penting bagi mengelakkan kepenatan ini.

Reka bentuk kerusi pada kenderaan mestilah mampu memberikan ciri-ciri ergonomik yang baik kepada tubuh badan. Kerusi kenderaan anda mestilah mempunyai penyokong di bahagian leher dan tulang belakang bahagian pinggang (waist/lumbar) dan di bahagian leher (cervical). Ciri ini perlu ada pada setiap apa jua jenis kenderaan sama ada kenderaan mahal atau murah, kenderaan persendirian atau syarikat.

Lumbar roll atau cervical roll boleh dibeli di farmasi atau pusat membeli-belah untuk diletakkan di kerusi pemanduan anda jika sekiranya kenderaan anda tidak mempunyai ciri ergonomik ini.

Posisi kerusi pemanduan anda mestilah membenarkan sendi-sendi berada pada kedudukan berfungsi dengan selesa (functional position) dimana pergelangan kaki dalam kedudukan 90 darjah, lutut dalam kedudukan bengkok 45 darjah ke 60 darjah manakala sendi pinggul dan badan berada di kedudukan tegak 80darjah ke 90 darjah.

Kedudukan ini akan menyebabkan otot tubuh badan kita bertindak secara seimbang dan akan menggunakan tenaga yang minimum sepanjang perjalanan kita.

Otot-otot tubuh badan kita akan menggunakan tenaga yang lebih bagi menampung daya luaran yang ditanggung disebabkan oleh ketidakseimbangan sistem tulang apabila duduk di kerusi yang jauh ke belakang atau jauh ke depan.

Posisi kerusi yang betul, selain mengelakkan kepenatan otot ini juga memberikan ruang pandangan yang luas dan membolehkan kita bertindak balas dengan cepat apabila sesuatu perkara tidak diingini berlaku seperti memperlahankan atau memberhentikan kenderaan dengan serta-merta.

Ia juga mengelakkan otot-otot mata kita daripada mengalami kepenatan akibat terlalu fokus terhadap jarak pandangan dan kenderaan di hadapan kita.

Pemanduan tidak ergonomik

Tanda-tanda dan aduan berikut mungkin akan anda alami akibat pemanduan yang jauh dan keadaan tidak ergonomik semasa memandu:

* Keletihan serta mengantuk akibat kepenatan otot-otot bahagian mata

* Psikologi kurang fokus dan kurang sabar semasa memandu akibat gangguan bekalan darah ke otak

* Sengal atau sakit otot (muscular aching) di bahagian leher, bahu, belikat, tulang belakang serta kaki

* Bengkak di bahagian kaki atau kesekatan saluran peredaran darah (thrombosis) akibat gangguan bekalan darah balik dari kaki dan lain-lain aduan.

Apa yang anda boleh lakukan bagi mengelakkan keadaan seperti di atas daripada berlaku ialah dengan mengamalkan langkah-langkah berikut:

* Rancang perjalanan dan waktu pemanduan yang betul

* Cukup rehat sebelum melakukan pemanduan dan berehat sebentar pada setiap 1 ke 2 jam pemanduan

* Tentukan kerusi kenderaan anda mempunyai ciri ergonomik dan memberikan sokongan pada badan

* Melakukan senaman regangan di bahagian leher, bahu, siku, tangan, tulang belakang serta kaki sebelum, semasa dan selepas pemanduan. Lakukan regangan 5 - 10 regangan dengan menahan 8 - 10 saat pada setiap regangan pada bahagian-bahagian tersebut

* Lakukan senaman pengaliran darah (circulatory exercise) di kaki seperti membengkok dan meluruskan sendi lutut dan pinggul, mengerakkan sendi pergelangan kaki mengikut arah/lawan jam atau dengan mengetatkan (contraction) dan mengendurkan (release) otot kaki semasa pemanduan 10 - 15 kali.

* Digalakkan memakai stokin pencegah pembekuan darah atau travel stockings bagi mengelakkan bengkak atau deep vein thrombosis (DVT) jika anda mempunyai sejarah penyakit jantung dan salur darah, paru-paru, renal, diabetes atau anda sedang mengandung

* Lakukan senaman otot-otot mata dengan melihat pokok-pokok yang berwarna hijau, memandang pemandangan yang jauh serta dekat atau membuka mata dengan luas dan rehat beberapa kali bagi mengekalkan perjalanan darah ke bahagian otot-otot mata

* Niat atau set minda anda tentang gambaran yang menggembirakan untuk anda balik semula bekerja selepas cuti hari raya anda. Minda yang positif akan memberi semangat untuk anda pulang dengan selamat kerumah atau tempat kerja selepas bercuti raya.

sumber: Utusan Malaysia

Ahad, 27 September 2009

Bahaya musang berbulu ayam

PEPATAH Melayu ada berkata, siapa makan cili dialah yang terasa pedasnya. Seperti yang telah dijangka, sememangnya sudah ada orang yang terasa pedasnya. Golongan yang tidak bertamadun ini terus menyerang peribadi. Fakta yang saya kemukakan tidak dibahas. Saya dituduh sebagai munafik.

Tulisan saya dituduh seperti racun, sehingga merosakkan kemuliaan sambutan Aidilfitri. Apakah mereka yang menuduh saya itu tidak munafik? Tidakkah menjadi musang berbulu ayam itu lebih munafik daripada munafik? Jika saya dituduh munafik, setidak-tidaknya saya berterus-terang. Berbanding mereka yang pepat di luar, rencong di dalam, ibarat gunting dalam lipatan.

Pepatah Cina ada berkata, kalau berani makan ikan masin, maka beranilah menahan dahaganya. Sebagai seorang ahli akademik dan penulis, saya bertanggungjawab terhadap apa jua yang ditulis. Hanya si pengecut sahaja yang menyerang peribadi. Kepada orang Melayu yang menyertai parti ultra kiasu ini, saya menyeru keluarlah sebelum terlambat. Musang berbulu ayam ini amat licik. Mereka akan mempergunakan kita bagi menghalalkan matlamat yang ingin dicapai.

Perlu diingatkan, golongan ini bijak membaca psikologi dan memainkan sentimen orang Melayu. Sekarang ini mereka sibuk berkempen untuk mendapatkan dan menambah keahlian orang Melayu. Tujuannya tidak lain, untuk memenangi hati orang Melayu, selain memenuhi agenda tersembunyi. Kumpulan ultra kiasu ini mendakwa bahawa mereka ini adalah parti untuk semua kaum, sedangkan semua sedia maklum bahawa parti ini adalah dominasi satu kaum. Bukan Melayu adalah sekadar hiasan sahaja. Amat malang jika ada golongan yang bergelar ‘ustaz’ turut menyertai mereka suatu hari nanti.

Kemunculan beberapa tokoh Melayu sejak akhir-akhir ini dalam parti mereka ditonjolkan secara berlebihan, bagi membuktikan bahawa mereka bukanlah parti cauvinis seperti yang dituduh selama ini.

Ternyata, lakonan mereka cukup hebat. Bantuan mereka kepada sekolah-sekolah agama dan kehadiran mereka dalam majlis berbuka puasa dan bantuan moreh semasa bulan Ramadan baru-baru ini, sengaja diperbesar-besarkan agar orang Melayu ‘cair’ dengan sandiwara ini.

Wal hal perkara yang ditonjolkan adalah kerja rutin seorang wakil rakyat. Bukannya suatu yang luar biasa. Memang tugas wakil rakyat menjaga kebajikan rakyat. Apa guna istilah ‘wakil rakyat’ jika tidak berkhidmat untuk rakyat. Rakyat yang memilih mereka. Justeru, adalah wajar mereka menjaga kebajikan rakyat. Cuma mereka ini agak licik. Pandai mengaburi mata rakyat. Tampil membantu ketika rakyat ditimpa musibah. Menawarkan khidmat ketika seseorang dalam kesempitan. Adakah mereka sebenarnya ikhlas?

Bantuan mereka ini menyebabkan orang Melayu mudah terhutang budi. Kedudukan sebegini menjadikan Melayu menjadi serba salah, ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapak. Peluang ini digunakan oleh parti kiasu ini untuk menangguh di air yang keruh.

Perpecahan

Apatah lagi perpecahan politik di kalangan Melayu Islam hari ini telah digunakan kesempatan sepenuhnya oleh kumpulan ultra kiasu ini. Mereka cuba mendapatkan semaksima mileage politik dan mengecam peribadi seseorang yang dianggap mengancam kedudukan mereka.

Kali ini, golongan ultra kiasu ini menyerang peribadi saya dengan mengecam kerjaya saya dan mempertikaikan gaji yang saya terima hasil wang rakyat. Gaji yang saya terima dikatakan hanya membazirkan wang rakyat yang diperolehi daripada pembayar-pembayar cukai.

Untuk makluman, gaji saya tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan gaji wakil rakyat yang mana turut diambil daripada sumber yang sama? Gaji mereka berlipat kali ganda gaji saya. Apakah wakil rakyat itu merasakan bahawa kerja-kerja dan lakonan yang ditunjukkan itu berbaloi dengan gaji yang dibayar? Cerminlah muka sedikit. Jika mereka benar-benar mahu mencontohi peribadi Umar Abdul Aziz, saya akan bersetuju. Tetapi adakah ia berlaku? Janganlah menjadi paku dulang paku serpih, mengata orang, sendiri yang lebih.

Apakah kerja wakil rakyat hanya cukup sekadar membantu dan menghadiri majlis berbuka puasa, memberikan bantuan moreh, merasmikan seminar itu dan ini, projek ini dan projek itu? Kerja wakil rakyat sudah semestinya lebih daripada itu atau lebih daripada orang lain. Bukannya berlagak tak tentu pasal.

Kerja-kerja asasi saya sebagai ahli akademik tidak pernah tergendala di samping memberikan sedikit buah fikiran untuk menyedarkan umat Islam. Kenapa marahnya wakil rakyat itu begitu membuak-buak? Hanya disebabkan oleh akhbar yang menyiarkan artikel ini tidak sehaluan dengan mereka. Saya tidak fikir, saya akan dikecam jika ditakdirkan saya seorang Melayu. Hanya kerana saya sebangsa dengan mereka, dan tidak sehaluan, watak saya cuba dimatikan.

Jika ditakdirkan artikel saya ini disiarkan dalam akhbar mereka dan lantang mengkritik kerajaan, maka sayalah idola mereka. Inilah pemikiran yang ultra kiasu.

Saya ingin sarankan kepada wakil rakyat kiasu ini, jika mahu mengikut pemerintahan Umar Abdul Aziz, kajilah sifat-sifat mulia yang dibawanya. Umar seorang pemimpin yang amat low profile atau tawaduk dan bersikap terbuka, termasuk menerima kritikan rakyat. Rakyat adalah segala- galanya kepada Umar, kerana ia adalah amanah Allah SWT. Kata-kata ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’, adalah antara prinsip Umar Abdul Aziz. Persoalannya, kenapa golongan kiasu ini begitu hebat mengkritik gagasan ini?

Umar membantu mereka yang miskin tanpa mengharapkan nama dan publisiti. Umar mengambil pendekatan tangan kanan memberi, sorokkan tangan kiri. Sebahagian harta Umar hampir habis digunakan untuk rakyat. Kejujuran dan ketelusannya luar biasa. Bukannya dengan memaparkan gambar-gambar kosmetik untuk menunjukkan bahawa kita pemimpin untuk semua kaum seperti yang dilakukan oleh wakil rakyat kiasu berkenaan.

Mencanangkan kerja-kerja baik ke seluruh pelosok dan ceruk rantau untuk memenangi hati orang Melayu bukanlah kerja Umar Abdul Aziz. Umat Islam perlu ingat, wakil rakyat tersebut pernah menuduh orang Islam sebagai pelampau atau ekstremis dan mahu menghalalkan arak serta lain-lain yang diharamkan Islam. Pernahkah beliau meminta maaf, walaupun telah didesak melakukannya? Jawapannya, tidak, kerana mereka sama sekali tidak akan bersetuju dengan Islam, malah cuba sedaya upaya untuk mencabut identiti ini dari orang Melayu.

Mencari publisiti murahan adalah budaya pandir atau minda orang kelas ketiga. Golongan ini pandai menggunakan kesempatan di kala orang lain sedang lemah. Sebenarnya mereka tidak membuat apa-apa perubahan pun. Tetapi mereka pandai meniru resmi ayam, bertelur sebiji riuh sekampung. Malangnya, segelintir orang Melayu mudah percaya dengan mendakwa parti ultra kiasu ini yang dapat menyelamatkan mereka.

Bersekongkol

Tidak ketinggalan, golongan yang bersekongkol dengan mereka turut mengecam saya, dengan mengatakan bahawa tulisan saya telah menjauhkan orang bukan Islam daripada Islam. Persoalan saya, apakah selama ini orang bukan Islam semakin dekat dengan Islam sebelum tulisan saya disiarkan? Cuba kita renungi sebentar apakah Islam semakin didekati atau dijauhi selepas peristiwa 11 September? Apa yang saya tahu semakin kuat barat menentang Islam, semakin Islam mendapat sambutan. Justeru, apakah makna dakwah yang sebenar? Saya fikir rakan sekutu parti ultra kiasu yang boleh memberikan jawapan.

Dakwah hendaklah dilihat dalam perspektif yang luas, bukan bertujuan untuk mematikan watak seseorang yang dilihat sebagai ancaman. Bidang kajian saya ialah pengajian strategi, politik dan kerajaan. Saya menulis berasaskan bidang saya dan juga kerjaya saya selaku ahli akademik.

Berdakwah itu bermakna, berkata benar walaupun ia pahit. Bukan setakat berceramah. Jika berdakwah itu sekadar berceramah, saya tidak fikir Umar Abdul Aziz akan menerima jawatan sebagai seorang pentadbir negara atau negarawan. Kenapa Umar Abdul Aziz menerima jawatan politik sebagai negarawan? Sebab, politik itu adalah alat untuk berdakwah. Kuasa digunakan untuk kepentingan rakyat bukan untuk kepentingan peribadi.

Malang sungguh golongan ultra kiasu ini. Mahu mengikut Umar Abdul Aziz, tetapi hanya mengambil secebis cara pemerintahan Umar Abdul Aziz untuk mengaburi mata rakyat.

Saya dinasihati supaya tidak campur tangan dalam urusan mereka, sebab ia bukan urusan saya. Apakah selama ini mereka tidak pernah mencampuri urusan kita? Saya terpaksa campur tangan sebab saya orang Islam. Kerja orang Islam ialah membetulkan kekusutan, bertindak atas dasar amar makruf nahi mungkar bagi menyelamatkan umat Islam.

Jika saya tidak berhak mencampuri urusan mereka, mereka juga tidak berhak mencampuri urusan orang Islam. Persoalannya, cuba kita hitung betapa banyak perkara berkaitan orang Islam yang telah dicampuri oleh golongan ultra kiasu ini. Berapa banyak hati orang Islam yang terguris akibat perbuatan mereka? Pernahkah mereka meminta maaf? Contoh isu-isu berkaitan murtad, mualaf, perebutan jenazah mualaf, isu negara Islam, isu Mahkamah Syariah dan banyak isu lain yang tidak perlu saya sebut lagi. Adakah golongan ultra kiasu ini tidak campur tangan?

sumber: Utusan Malaysia

Sabtu, 26 September 2009

Alat jerat pemandu laju

Oleh Mohd Hamizar Hamid
mizar@bharian.com.my


SOLAH melihat peralatan pengesan kelajuan yang akan digantikan dengan AES sambil diperhatikan Peng arah Penguat Kuasa JPJ, Salim Parlan (kanan) di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA: Pemandu tegar yang sering memandu

melebihi had laju dijangka tidak dapat mengelakkan diri daripada dikenakan tindakan apabila kerajaan memasang Sistem Penguatkuasaan Automat

ik (AES) di jalan raya yang mampu mengesan kelajuan secara automatik tanpa perlu meletakkan anggota polis trafik.

Alat pengesan kelajuan, iaitu 'piezo' akan dipasang di 831 lokasi di seluruh negara bagi mengesan dan merekodkan kelajuan, nombor pendaftaran serta merakam gambar pemandu menerusi kamera automatik jika kenderaan dipandu melebihi had laju.


AES mampu beroperasi 24 jam sehari sepanjang 365 hari setahun serta kalis panas dan hujan akan menggantikan sistem manual sedia ada untuk mengesan mereka yang sering memandu melebihi had laju.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan, berkata sistem yang bertujuan mengurangkan kadar kemalangan, terutama pada musim perayaan sudah diuji dan masih menunggu kelulusan kerajaan untuk dilaksanakan di lokasi tertentu di seluruh negara.


Beliau berkata, menerusi sistem itu, maklumat kesalahan akan dihantar terus kepada pusat kawalan bagi mengenal pasti pemandu atau pemilik kenderaan berdasarkan maklumat dalam pangkalan data JPJ.

Katanya, ia kemudian akan mengeluarkan saman secara automatik untuk dihantar melalui pos kepada pesalah.

Solah berkata, maklumat yang direkodkan boleh digunakan sebagai bukti dalam perbicaraan mahkamah kerana ia menyimpan maklumat lengkap termasuk gambar pemandu, selain lokasi dan masa kesalahan serta nombor pendaftaran kenderaan.


"Selain berfungsi mengesan kesalahan lalu lintas, sistem itu juga berupaya mengesan dengan mudah penjenayah yang menggunakan kenderaan," katanya.

Solah berkata, pihaknya sudah menjalankan ujian di Putrajaya dan di Lebuh Raya Guthrie bagi menguji tahap kecekapan sistem berkenaan.


Beliau berkata, pelaksanaan sistem itu dijangka dapat merealisasikan pelan jangka panjang kerajaan mencapai sasaran dua kematian bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar menjelang tahun 2010.

Idea melaksanakan sistem itu timbul selepas JPJ dan beberapa pihak berkuasa lain diarah oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya untuk mengenal pasti inisiatif terbaik mengurangkan kadar kemalangan terutama kemalangan maut.

Penggunaannya juga hasil kajian di 12 negara yang mengguna pakai AES, termasuk Australia, United Kingdom, Kuwait, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Sweden dan Jerman.

sumber: Berita harian

Iklan sayu, lebuh raya dan Bujang Lapok

Oleh Mior Kamarul Shahid : Gambaran balik kampung ketika Aidilfitri harus diubah

SETIAP kali hari raya, 'mood' yang cuba ditonjolkan adalah sama. Dalam satu iklan di televisyen, dipaparkan wajah seorang ibu Melayu menangis kerana anak lelakinya pulang menyambut hari raya di kampung mungkin tangisan kegembiraan. Ibu menunggu di tangga ketika anak muda yang ketinggalan bas tiba di rumah kampung ibunya dengan lori barang. Mereka bersalaman dan berpelukan serta mengucapkan kata-kata yang beremosi. Begitulah lebih kurang jalan ceritanya.

Ada juga iklan hari raya mengisahkan seorang anak muda balik kampung, tiba-tiba wajahnya menjadi sedih sebaik melihat ibunya yang buta. Dalam bas, dia duduk di sebelah lelaki buta yang bertanya kepadanya sama ada dia balik kampung ke? Ini adalah antara iklan sedih atau mesej untuk menyedarkan orang Melayu dan umat Islam mengenai pentingnya hubungan kekeluargaan.

Fenomena balik kampung ini agak mengelirukan, seolah-olah orang Melayu balik kampung setahun sekali pada hari raya saja. Gambaran masyarakat tidak pulang ke kampung halaman seperti dipaparkan itu seolah-olah Malaysia ini sebuah negara yang teramat luas yang memerlukan perjalanan tujuh hari tujuh malam, merentas sungai dan gunung, untuk sampai ke sesuatu destinasi.

Atau, Malaysia seolah-olah sebuah negara miskin hinggakan tambang untuk balik kampung di luar kemampuan rakyatnya. Negara miskin biasanya tidak mempunyai kemudahan komunikasi dan pengangkutan untuk keselesaan rakyatnya. Ini bukanlah gambaran yang wujud di Malaysia sejak negara ini mencapai kemerdekaan.

Hakikatnya, ada antara rakyat di negara ini pulang ke kampung hampir setiap minggu, dua minggu sekali atau setiap bulan. Anak yang bekerja di Kuala Lumpur, umpamanya, mungkin pulang ke kampungnya di Kuala Pilah, setiap minggu. Bukanlah keterlaluan pula dikatakan ramai mereka yang bekerja di Kuala Lumpur berulang-alik ke Negeri Sembilan atau Melaka setiap hari sama ada memandu atau menaiki bas. Mereka yang bekerja di Georgetown, Pulau Pinang, mungkin pulang ke kampungnya di Perak, setiap minggu, dua kali seminggu atau setiap bulan. Jika kereta api laju beroperasi sepenuhnya, perjalanan dari Seberang Prai ke Kuala Lumpur mengambil masa hanya tiga atau empat empat jam berbanding berbelas jam sebelum ini. Mereka yang tinggal di Ipoh, umpamanya boleh berulang alik ke Kuala Lumpur atau ke Pulau Pinang setiap hari dengan kereta api laju. Begitu juga mereka yang tinggal di Melaka untuk berulang alik ke Johor Bahru atau Kuala Lumpur.

Menangis kerana balik kampung tidak menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai kemudahan infrastruktur komunikasi kelas dunia. Malaysia bukan negara padang pasir atau terpaksa menaiki kereta kuda seperti zaman koboi untuk pergi dari satu tempat ke satu tempat. Lebuh raya di negara ini merentasi dari utara ke selatan dan dari timur ke barat. Bagi pengurusan syarikat konsesi lebuh raya, mereka mungkin berasa terhina dengan pandangan serong yang cuba ditonjolkan setiap kali musim perayaan, seolah-olah lebuh raya yang dibina di hampir seluruh negara dengan kos ratusan juta ringgit, tidak memberi kesan kepada pergerakan rakyat. Dengan adanya lebuh raya, seseorang boleh bersarapan jam 9 pagi di Johor Bahru dan makan tengah hari pada jam 12 di Kuala Lumpur. Jika pada jam 10 di Kuala Terengganu, sejam kemudian mungkin sudah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA), Sepang. Mesyuarat jam 10 pagi di Pulau Pinang, jam 6 pagi masih berada di Kuala Lumpur. Perkhidmatan kereta api juga digunakan secara meluas untuk kemudahan pengangkutan rakyat bergerak dari sebuah negeri ke sebuah negeri selain bas dan teksi. Kira-kira 40 atau 50 tahun lalu, untuk pergi rombongan dari Ipoh ke Pulau Pinang, terpaksa bertolak jam 12 malam untuk sampai jam 8 pagi selepas melalui jalan raya yang bengkang-bengkok terutama di Bukit Berapit. Hari ini dari Ipoh ke Prai hanya memerlukan perjalanan sejam setengah.

Anak yang menuntut di Ireland tidak perlu menangis kerana tidak dapat berhari raya di kampung. Setiap hari, dia berbual secara bersemuka dengan keluarganya di Kuala Lumpur melalui skrin komputer menggunakan kemudahan internet. Mereka ketawa pada hari raya melihat wajah masing-masing, walaupun jarak mereka puluhan ribu kilometer.

Bagi mereka yang tidak mempunyai kemudahan seperti itu, mereka boleh membuat panggilan telefon selular pada setiap masa atau setidak-tidaknya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS). Apakah mereka perlu menangis sedangkan kemudahan komunikasi sudah merapatkan hubungan sesama manusia.

Kebetulan pada hari raya ini, sebuah filem lama, Bujang Lapok disiarkan oleh sebuah stesen televisyen. Dalam filem itu, Sudin (S Shamsudin) mengetuk botol sebagai isyarat untuk bertemu kekasihnya Eton (Zaiton). Begitu juta Eton akan mengetuk botol bila ada hal penting untuk bertemu Sudin. Hari ini, sudah tidak ada orang memberi isyarat seperti itu lagi. Hanya dengan menghantar SMS atau bercakap melalui telefon, mereka sudah berkomunikasi untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

Suasana dalam Bujang Lapok itu sudah tidak lagi praktikal hari ini. Jika ada orang yang masih mengetuk botol untuk bertemu kekasih, mereka adalah warisan 1950-an. Tetapi, pada waktu itu, pertemuan antara Sudin dan Eton di bawah pokok secara rahsia, mungkin menggamatkan suasana panggung wayang. Bila Sudin memegang tangan Eton, mungkin satu panggung menjadi sunyi sepi dan menarik nafas.

Bukan tidak boleh bersedih langsung pada hari yang mulia ini, tetapi cara dan suasananya perlulah melambangkan keadaan semasa. Adalah tidak wajar menyamakan keadaan 30 atau 40 tahun lalu dengan keadaan hari ini. Dulu perantau sukar pulang ke kampung kerana masalah komunikasi, jalan raya yang tidak sempurna atau tidak ada kenderaan sendiri. Hari ini, pelbagai kemudahan disediakan. Jika pun tidak dapat pulang berhari raya, ia mungkin disebabkan masalah tugas. Biasanya, selepas seminggu, giliran mereka pula pulang ke kampung, Walaupun hari raya sebenar sudah berlalu tetapi matlamat utama ialah untuk bertemu keluarga dipenuhi. Orang Melayu tidak boleh menjadi masyarakat yang terlalu emosional.

Isu hari ini ialah penyalahgunaan kemudahan pengangkutan untuk pulang berhari raya di kampung. Ramai antara orang yang terbunuh pada musim perayaan akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya. Jika pulang ke kampung boleh dilakukan setiap masa, mengapa perlu ghairah dan memandu hingga lupa daratan.

sumber: Berita Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...