Sabtu, 19 September 2009

Panas dan Pedas kepada yang berkenaan

Budaya kerja universiti patut diubah

TERLEBIH dahulu saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari maaf zahir dan batin kepada semua pembaca. Maafkan saya sekiranya ada kata-kata saya yang terkasar, kurang sedap dibaca dan menyinggung perasaan sesiapa saja.

Berita dua orang pensyarah universiti kita, UPM, didapati melakukan ciplak tentang sebuah buku bertajuk "Writing an Effective Resume" sungguh mengecewakan. Tidak hairanlah kalau ramai pelajar universiti hari ini dikatakan gemar "potong dan tampal" apabila dikehendaki menyiapkan projek kuliah.

Sudahlah kedudukan kita di kalangan universiti di dunia semakin jatuh, berita penciplak di kalangan tenaga pengajar universiti kita akan memburukkan lagi keadaan yang sudah buruk. Saya difahamkan di sebuah universiti yang baru, tenaga pengajar yang menciplak bahan ini menjadi-jadi.

Seorang pengarang akhbar terkenal di Malaysia mengatakan terjumpa suatu surat dalam bahasa Inggeris daripada Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan berkenaan H1N1 yang penuh dengan ejaan yang salah dan nahu yang tidak betul.

Apabila disampaikan kepada pengetahuan Ketua Pengarah itu sendiri barulah diperbetulkan. Semua orang tahu penggunaan bahasa Inggeris Tan Sri Ismail Merican itu ditahap terbaik dan surat itu telah dirangka oleh pegawai beliau. Itulah contoh tentang penguasaan bahasa mereka yang lulus universiti dan berpangkat pegawai.

Pengarang itu seterusnya mengatakan bagaimana pelajar yang mengikuti jurusan kewartawanan diajar oleh mereka yang tidak ada pengalaman dalam bidang kewartawanan langsung. Beliau mengatakan dari segi kedudukan universiti-universiti kita di kalangan universiti di dunia tidak ke mana. Walaupun asas menentukan kedudukan ini boleh dibahaskan, hakikatnya sama ada kita mengakui ada kemerosotan atau tidak.

Sekiranya diakui ada kemerosotan di universiti kita, sesuatu tindakan drastik perlu dilakukan. Suatu "overhaul" universiti-universiti kita perlu dilakukan. Pertama sekali dari segi kualiti tenaga pengajar.

Amalan sekarang ini ialah apa yang dikatakan amalan "inbreeding". Di kebanyakan universiti kita tenaga pengajar tiada pengalaman praktikal berbanding di negara-negara lain yang mana usaha dijalankan untuk menarik mereka yang berpengalaman walaupun secara separuh masa. Pelajar-pelajar pula dibebankan dengan jam kredit yang berat, dengan sendirinya meletakkan beban kepada tenaga pengajar.

Di salah sebuah universiti yang saya tahu secara purata tenaga pengajar mengajar sebanyak 15 sehingga 18 jam seminggu. Pada masa bilakah pensyarah-pensyarah ini mempunyai masa untuk melakukan penyelidikan dan kajian dan menerbitkan buku dan menulis artikel. Kata-kata hikmah di universiti-universiti terkenal di dunia ialah "Publish or Perish" (terbit atau disingkir) tetapi tidak di universiti-universiti kita.

Kenaikan pangkat lebih banyak bergantung kepada pertalian seseorang dengan seseorang, misalnya daripada Profesor Madya kepada Profesor. Banyak "ketakjuban organisasi" (organizational intrigue) berlaku di universiti-universiti sehinggakan orang yang layak tidak dapat kenaikan pangkat sebaliknya mereka yang "mengikut kata" yang untung. Cemburu dan dengki dan sikap perkauman sudah menjadi kelaziman.

Di salah sebuah universiti tempatan, seorang bekas ahli korporat yang banyak pengalaman industri pada mulanya dijanjikan jawatan Ketua Eksekutif sebuah syarikat induk milik universiti berkenaan. Disebabkan tentangan pegawai-pegawai atasan terhadap pelantikan beliau, perkara itu senyap begitu saja.

Ketua jabatan kepada sesuatu Fakulti di universiti lazimnya diketuai oleh Dekan yang dilantik - selalunya selama dua tahun. Apalah yang boleh seseorang itu lakukan dalam masa dua tahun? Kalau nasib dia baik jawatan dia akan disambung dua tahun lagi. Sambungan kali kedua itu akan meresahkan beberapa orang lagi yang juga tidak sabar menjawat jawatan tersebut.

Tetapi kalau naib canselor sampai tiga atau empat perbaharui kontrak pun tidak mengapa kerana dia bijak mengatur "strategi" dan mengambil hati orang-orang tertentu untuk kekal di jawatan itu. Apakah Indeks Prestasi Utama (KPI) yang digunakan untuk mewajarkan kenaikan pangkat atau penyambungan kontrak sesuatu jawatan?

Kita sudah sampai ke tahap terlalu banyak universiti. Banyak jurusan yang sama kecuali universiti khusus untuk sesuatu bidang seperti Multimedia, Telekom, Petronas. Disebabkan wujudnya universiti pengkhususan ini, mereka yang keluar daripada universiti lain yang bidangnya secucuk dengan bidang yang ditawarkan oleh universiti khusus, peluang mendapat kerja agak terhad.

Nampak macam ada ketidakpadanan antara permintaan dan bekalan. Universiti-universiti wajar mengamalkan konsep memenuhi keperluan industri dan negara, bukan kemampuan mengeluarkan lulusan apa jua bidang. Misalnya beribu-ribu siswazah dalam bidang Sumber Manusia yang keluar setiap tahun. Lepas lulus tak tahu hendak ke mana.

Perbincangan pemadanan antara keperluan industri dan kemampuan universiti-universiti ini perlu dilakukan supaya kurikulum boleh dibentuk mengikut kehendak industri. Mungkin sambutan daripada pihak swasta untuk berbincang agak dingin, pihak Kementerian berkenaan patut mengatur pertemuan dan perbincangan ini.

Saya pernah dijemput untuk menjadi ahli panel penasihat fakulti sebuah universiti bersama-sama beberapa orang tokoh korporat yang lain. Sekali saja kami bertemu iaitu untuk bergambar beramai-ramai selepas itu tidak ada langsung mesyuarat.

Begitu juga pelantikan selaku profesor adjung di dua universiti. Yang satu panggil dua kali yang satu lagi sekali. Langkah "hangat-hangat tahi ayam" ini memang merupakan suatu ciri kebiasaan terutama sekali kalau yang menjemput tidak lagi menjawat jawatan yang membolehkan beliau menjemput orang luar selaku ahli panel penasihat dan profesor jemputan.

Pengalaman peribadi saya selepas mula-mula berkhidmat diawal kerjaya saya selaku pensyarah dan dekan, kemudian menyertai sektor swasta hampir 30 tahun dan balik ke bidang akademik ialah pelajar-pelajar yang saya temui selepas 30 tahun, standard mereka lebih teruk daripada tahun-tahun 1970-an dulu. Ramai yang tidak mampu bertutur dan menulis dengan baik dalam bahasa Inggeris.

Dalam suatu ayat sepenuhnya atau apabila diberikan tugas dalam bahasa Inggeris dijawab dalam bahasa Melayu. Ada juga yang menggunakan bahasa SMS! Tidak kurang juga yang menciplak jawapan rakan mereka dan mengubah satu dua perkataan dengan sangkaan guru tidak tahu. Betapakah salah sangkaan mereka.

Saya tidak mahu mengatakan keadaan ini berlaku di semua universiti tetapi melihat daripada angka pengangguran di kalangan siswazah tentu kajian yang pernah dijalankan oleh Unit Perancang Ekonomi dalam tahun 2005 dulu tentang faktor-faktor yang menyebabkan ramai pelajar menganggur boleh dikaitkan.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

sumber: Utusan Malaysia

Khamis, 17 September 2009

F1 Malaysia ke tahap baru

BERMULA dengan penubuhan Proton pada 1985 dan Perodua pada 1993, sektor automotif negara terus melakar perkembangan yang membanggakan di peringkat antarabangsa.

Malaysia mencipta sejarah sebagai satu-satunya negara membangun yang mempunyai kemampuan kejuruteraan dan reka bentuk automotif sendiri.

Belum pun sedekad perkembangan industri itu di negara ini, iaitu dalam usia yang masih setahun jagung, Malaysia mencatat sejarah apabila terbabit secara langsung dalam sukan lumba kereta paling berprestij iaitu Perlumbaan Formula Satu (F1).

Ia dicapai hasil kerjasama dan penglibatan secara serius syarikat minyak dan gas negara iaitu Petronas dalam perlumbaan F1 dengan pasukan Sauber Engineering Switzerland (Sauber) pada 1995.

Sejak itu, perlumbaan F1 dan Malaysia bukan lagi sesuatu yang asing.

Malaysia menjadi negara ASEAN pertama yang memiliki litar F1 sendiri iaitu Litar Antarabangsa Sepang yang buat pertama kalinya menganjurkan Kejohanan Formula One Dunia bagi musim ke-50 pada Oktober 1999.

Malaysia juga pernah melahirkan pelumba F1 tempatan iaitu Alex Yoong yang berlumba untuk pasukan Minardi selain barisan pelumba pelapis seperti Fairoz Fauzi yang mencipta nama dalam sukan permotoran F3.

Penglibatan berterusan Malaysia dalam perlumbaan F1 pernah beberapa kali membawa kepada hasrat untuk menyaksikan sebuah pasukan F1 yang menggunakan kepakaran tempatan sepenuhnya.

Keyakinan itu juga berlandaskan kepada kejayaan kumpulan pertama jurutera tempatan Petronas menghasilkan enjin komersial prototaip Petronas E01.

Enjin ini dilahirkan melalui Sauber Petronas Engineering AG (SPE) yang ditubuhkan khusus untuk memajukan keupayaan teknikal dalam arena F1 dan kejuruteraan automotif komersial pasukan F1 Petronas-Sauber Red Bull pada 30 Mac 1996.

Ia dibangunkan dalam tempoh 16 bulan oleh sepasukan 15 jurutera Petronas daripada tiga kumpulan iaitu Reka Bentuk Bantuan Komputer (CAD), Kejuruteraan Bantuan Komputer (CAE) dan Pembangunan.

Itu adalah cerita 10 tahun yang lalu. Dengan perkembangan pesat teknologi kejuruteraan automotif negara, serta perpindahan teknologi hasil pelaburan Petronas, Malaysia hari ini mempunyai pasukan jurutera dan pereka automotif tempatan yang berkaliber. Malah, kita juga tidak kurang dengan pekerja-pekerja mahir yang setanding dengan syarikat pengeluar kenderaan terkemuka lain di dunia.

Justeru apabila Malaysia menerusi pasukan F1-1Malaysia menjadi pasukan ke-13 dalam F1, ia ibarat impian menjadi kenyataan.

Selepas kejayaan demi kejayaan dilakarkan oleh industri automotif negara, sewajarnya prestij sebagai pasukan F1 itu menjadi standard terbaru kepada keupayaan kejuruteraan dan reka bentuk automotif nasional.

Ia seolah-olah membawa industri automotif negara melangkah setapak lagi ke peringkat yang lebih tinggi dan semestinya disegani. Keyakinan itu sendiri membayangkan kepada dunia bahawa Malaysia mempunyai kemampuan dari segenap sudut untuk menjadi pesaing di litar lumba motor paling berprestij tersebut.

Dari satu sisi, ia membuka mata pemain di dalam industri automotif antarabangsa terhadap kepakaran kejuruteraan dan reka bentuk yang dimiliki negara.

Aspek pengembangan jenama seperti ini pastinya memberi banyak kelebihan kepada industri automotif negara termasuk membuka lebih banyak peluang pelaburan dalam bidang berkaitan.

Bagi pensyarah kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Hamdan Ahmad keputusan kerajaan itu merupakan langkah berani dalam melonjakkan industri automotif tempatan.

Sebagai pesaing baru dalam arena sukan tersebut, Malaysia menurut beliau, masih terlalu jauh untuk menandingi pasukan-pasukan F1 lain. Namun kesungguhan kerajaan menubuhkan pasukan F1 tempatan pertama itu menjadi langkah pertama untuk Malaysia turut muncul sebagai pasukan yang hebat satu hari nanti.

''Dari sudut kelengkapan seperti litar perlumbaan, kejuruteraan, kepakaran malah sehingga kepada pelumba, kita sudah ada. Jadi dengan sedikit masa, tidak mustahil pasukan F1 tempatan kita mampu mengharumkan nama negara," katanya.

Beliau menambah, pembabitan secara serius negara dalam sukan berprestij ini turut memberi peluang kepada syarikat tempatan mengembangkan jenama dengan lebih meluas. Kerjasama menerusi penajaan itu secara tidak langsung memberi pulangan yang besar kepada syarikat tersebut dalam jangka masa panjang.

Sesuatu yang pasti, keberanian kerajaan untuk menubuhkan pasukan F1 tempatan ini akan mencetus kepada lebih banyak revolusi dalam industri automotif negara pada masa-masa akan datang.

Tinggal sejauh mana lagi seluruh rakyat Malaysia memberi sokongan kepada usaha besar ini dalam mengangkat imej dan nama negara di persada dunia.

sumber: Utusan Malaysia

Promoter F1 1Malaysia tingkat pelaburan RM172 juta

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Promoter pasukan F1 1Malaysia akan membuat pelaburan awal sebanyak 10 juta pound (RM57.62 juta) sebelum dipertingkatkan kepada 30 juta pound (RM172.86 juta) dalam persediaannya menghadapi perlumbaan Formula Satu pada tahun depan.

Salah seorang promoter pasukan itu, Datuk Kamarudin Meranun berkata, pelaburan tersebut membabitkan deposit untuk enjin yang akan siap pada Januari depan sebelum diuji sebulan selepas itu.

''Selain pelaburan digunakan untuk mendapatkan enjin, ia juga digunakan untuk rekaan badan kereta dan menjalankan ujian termasuk segala kos operasi,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan pasukan F1 1Malaysia yang merupakan usaha sama kerajaan dan swasta negara ini bagi menyertai perlumbaan F1 mulai tahun depan.

Selain Kamarudin, tokoh korporat Datuk Seri Tony Fernandes dan SM Nasarudin SM Nasimuddin turut terlibat dalam inisiatif tersebut.

Menurut Kamarudin, sebagai pemegang saham awal pasukan itu, pihaknya mengalu-alukan individu atau syarikat milik kerajaan atau swasta tempatan yang ingin menyertai pasukan tersebut.

''Dengan sokongan dan galakan Perdana Menteri serta pihak Proton, Lotus, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Persatuan Permotoran Malaysia (MAMS) dan lain-lain, kami berbangga mengenainya (F1 1Malaysia) dan ketika ini terdapat peluang yang amat luas dalam F1.

''Kami merupakan promoter awal dan ideanya adalah menjalinkan perkongsian pintar antara sektor swasta dan syarikat milik kerajaan,'' ujarnya sambil memberitahu ia merupakan pelaburan individu dan bukannya AirAsia Bhd.

Kamarudin merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia manakala Fernandes pula adalah Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan tambang murah itu.

Ditanya mengenai pelaburan beliau dalam pasukan itu, Kamarudin berkata, sebagai pemilik pasukan, beliau melihat daripada aspek komersial seperti perkongsian liputan media, penajaan, penjualan barangan dan lain-lain lagi.

Tambah beliau, penyertaan swasta dalam pasukan F1 1Malaysia akan menyokong dan melengkap pelaburan yang dilakukan oleh kerajaan dalam industri automotif dan yang berkaitan dengannya pada masa lalu dan akan datang.

Katanya, Malaysia yang mempunyai kemudahan seperti Litar Antarabangsa Sepang selain mempunyai kereta nasional perlu mempunyai pelaburan sokongan dalam usaha memajukannya lagi dan dengan penyertaan dalam F1 akan dijadikan sebagai media pemasaran yang berkesan bagi negara dan Proton serta Lotus.

''Pelaburan yang dilakukan kerajaan sebelum ini adalah membina perkakasan (hardware), dan pembabitan kami pula merupakan platform bagi memajukannya lagi selain membina perisian (software) sokongan.

''Saya menaruh keyakinan terhadap perkara ini. Di AirAsia kami sentiasa berdepan berbagai cabaran tetapi dengan minat dan azam yang kuat berserta disiplin yang tinggi, insya-Allah kita dapat mengatasi cabaran yang datang.

Menurut beliau, selain itu, pembentukan pasukan tersebut juga akan menyediakan platform pembangunan insan seperti pemandu, jurutera dan universiti tempatan untuk meningkatkan kepakaran masing-masing dalam bidang yang diceburi.

Selasa, 15 September 2009

Lotus kembali beraksi di Formula 1

LONDON: Badan pentadbir Formula 1 hari ini menamakan Lotus sebagai pasukan ke-13 kejohanan tahun depan.

FIA berkata ia turut menerima permohonan pasukan BMW Sauber tetapi disebabkan BMW sudah mengumumkan penarikan sokongan pada 2010, wujud ketidaktentuan berhubung pemilikan pasukan itu.

Namun, BMW Sauber diberikan kedudukan ke-14 yang bermakna ia boleh mengisi sebarang kekosongan pada perlumbaan tahun depan.

Pasukan baru yang akan dikenali sebagai Lotus F1 Team itu adalah usaha sama Kerajaan Malaysia dan konsortium usahawan negara.

Ketua pasukan ialah Tony Fernandes manakala pengarah teknikal ialah Mike Gascoyne yang memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam Formula Satu.

Lotus juga sudah bersetuju dengan perjanjian enjin dengan Cosworthh

Pasukan itu akan pada mulanya ditempatkan di Norfolk, kira-kira 10 batu dari kilang Lotus Cars di Timur England.

Kemudahan reka bentuk, pengeluaran dan pusat teknikal akan dibina di Litar Perlumbaan Antarabangsa Sepang. - Reuters

Laluan tol percuma di Lebuhraya KL-Karak, LPT

KUALA LUMPUR: Pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) akan menikmati laluan tol percuma sempena Aidilfitri pada awal pagi Jumaat dan Khamis depan.

Tawaran itu adalah bagi perjalanan mulai jam 12 tengah malam hingga 5 pagi pada dua hari berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi MTD, Datuk Azmil Khalid, berkata kemudahan itu diberikan untuk menggalakan pegguna merancang perjalanan bagi mengelak kesesakan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...