Rabu, 29 Julai 2009

Sedihnyer.... aduhai

Musim terakhir BMW sertai Formula Satu

29/07/2009 5:42pm

BERLIN 29 Julai - Pembuat kereta Jerman, BMW hari ini mengumumkan untuk tidak lagi menyertai perlumbaan Formula Satu sebaik sahaja musim ini berakhir.

"Kumpulan BMW tidak akan meneruskan perlumbaan Formula Satu selepas berakhir musim 2009," kata pasukan itu dalam satu kenyataan.

Keputusan itu adalah hasil "strategik baru hala tuju perniagaan kami," kata pengerusi dan CEO BMW Norbert Reithofer.

"Ia sebagai langkah bagi kami menumpukan kepada pembangunan teknologi pemanduan yang baru dan projek-projek berkaitan ketahanan," kata kenyataan itu.

"BMW akan meneruskan aktiviti sukan permotoran yang lain."

Para pemandu BMW Nick Heidfeld dan Robert Kubica hanya memperoleh lapan mata di kalangan mereka musim ini dana meletakkan pasukan itu di tempat tercorot dalam kategori pengeluar.

Isnin, 27 Julai 2009

GP Hungary

Akhirnya Hamilton menang

BUDAPEST, Hungary - Pelumba McLaren, Lewis Hamilton mengecapi kembali nikmat sebagai juara apabila meraih kemenangan pertamanya musim ini pada Grand Prix Hungary, semalam.

Juara dunia dan bertahan itu menamatkan kemarau 11 perlumbaan tanpa kemenangan dan menaiki podium menerusi pemanduan cukup meyakinkan.

Tanpa pelumba Ferrari, Felipe Massa yang sering menjadi musuh ketatnya, Hamilton turut bernasib baik apabila dibantu insiden tayar depan kereta pelumba petak depan, Fernando Alonso yang tercabut di awal saingan.

Berbanding Massa yang retak tulang tengkorak selepas terlibat dalam kemalangan pada sesi kelayakan kelmarin, Alonso tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi terpaksa melupakan terus saingan.

Kali terakhir Hamilton muncul juara ialah pada GP China tahun lalu.

Berada di tempat kedua adalah rakan sepasukan Massa, Kimi Raikkonen manakala pelumba Red Bull, Mark Webber ketiga.

Kejayaan Webber menaiki podium itu membolehkannya kini berada di tempat kedua keseluruhan di belakang Jenson Button yang masih kekal sebagai pendahulu walaupun menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh, semalam.

Ia turut dibantu masalah enjin yang dihadapi rakan sepasukan Webber, Sebastien Vettel yang sebelum ini berada di belakang Button dalam kedudukan pelumba keseluruhan.

Mengulas kejayaannya, Hamilton berkata, dia sedih dengan nasib yang menimpa Massa walaupun gembira dengan kemenangan itu.

"Kami memang baik dan tanpanya, keadaan tidak sama ketika kami sama-sama bersaing. Saya harap dia cepat sembuh," kata Hamilton.

Button (70 mata) yang mewakil pasukan Brawn GP kini mendahului Webber (51.5) dengan 18.5 mata diikuti Vettel (47). - AP

Jumaat, 24 Julai 2009

Ingatan terutama kepada diri sendiri

Juruteknik ceroboh komputer pelanggan


SEBUAH kamera tersembunyi merakamkan imej seorang juruteknik cuba mendapatkan maklumat akaun bank yang menjadi pemilik komputer yang dihantar untuk dibaiki di sebuah kedai komputer di London.


LONDON - Pekerja-pekerja syarikat membaiki komputer didapati membuka sejumlah fail peribadi malah ada yang cuba menggodam akaun bank pelanggan, lapor sebuah akhbar

Dalam satu siasatan, wartawan televisyen Sky News menghantar sebuah komputer riba ke enam buah syarikat bagi membaiki komputer di sekitar London,

Komputer riba itu turut dipasang perisian yang mampu merekodkan aktiviti juruteknik yang membaikinya selain dilengkapi kamera tersembunyi.

Kejadian paling serius melibatkan syarikat Laptop Revival di Hammersmith.

Jurutera di syarikat tersebut, mendakwa komputer riba itu memerlukan papan induk yang berharga £130 (RM758).

Beberapa juruteknik lain cuba memasuki akaun bank Internet milik pelanggan dan mencuri sejumlah kata laluan.

Seorang lagi juruteknik cuba membuka fail dalam cakera keras termasuk gambar-gambar peribadi sebelum menyimpan satu salinan dalam cakera mudah alih.

Seorang juruteknik PC World di Brentford pula memberitahu wartawan penyiasat bahawa komputer itu memerlukan papan induk baru yang berharga £230 (RM1,340).

Namun apabila ia diambil, hanya cip memori yang tidak rosak telah diganti.

terdapat sebuah kedai yang benar-benar jujur iaitu syarikat Pix 4 di Shepherd's Bush.

Syarikat itu memasukkan cip yang longgar dan ia dilakukan dengan percuma.

"Ini isu besar mengenai kepercayaan. Jika anda mahir dalam komputer maka anda tidak akan menyerahkannya untuk dibaiki. Mereka tahu semua itu," kata jurucakap Institut Piawaian Perdagangan, Richard Webb. - Agensi

- sumber Kosmo

Amalan bercanggah syariat

Timbul kemusykilan yang membawa kepada keraguan, adakah majlis menyalakan lilin bagi memperingati kematian Teoh Beng Hock di Ipoh, Jumaat minggu lalu yang turut disertai oleh Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai suatu upacara rasmi amalan bukan Islam atau sekadar amalan taaruf (perhubungan kemasyarakatan sahaja).

Apa pun dari sisi akidah Islam, sesungguhnya amalan memohon 'keampunan' bagi pihak bukan Islam itu jelas dilarang keras seperti mana firman Allah yang bermaksud: Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang yang beriman bersamanya untuk memohon keampunan bagi orang musyrik sekalipun kaum kerabat sendiri. (at-Taubah: 113)

Begitu juga amalan dalam upacara ibadat atau pemakaian alat rasmi agama lain seperti salib dan tali pinggang paderi, semuanya dilarang kepada umat Islam daripada memakai dan menirunya dengan rela hati dan berlapang dada.

Amalan upacara tersebut boleh dilakukan dengan bebas hanya dalam kalangan dan di kawasan mereka sahaja serta dilarang diamalkan oleh orang Islam terutama di negara yang agama rasminya ialah Islam seperti Malaysia.

Oleh demikian, dikira haram (salah) bagi umat Islam yang tahu dan sedar untuk mengikuti upacara tersebut, melainkan kerana terpaksa atau tanpa disedari.

Dalam hal ini, Allah berfirman yang bermaksud: Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab Allah) melainkan mereka yang dipaksa (melakukan kerja-kerja kekufuran tersebut), sedangkan hatinya masih tetap dengan iman, tetapi sesiapa yang lapang hatinya dengan kekufuran itu, maka atasnya kemurkaan Allah dan untuk mereka azab seksa yang amat besar.

(al-Nahl:106)

Berdasarkan andaian inilah boleh difahami mengenai penghormatan yang diberi oleh Rasulullah SAW kepada jenazah seorang Yahudi yang diusung lalu di hadapan baginda, lalu baginda bangun memberi penghormatan kepadanya.

Para sahabat bertanya, adakah penghormatan tersebut harus diberikan juga kepada jenazah orang Yahudi. Lalu baginda bersabda, "Bukankah dia juga manusia (hamba Allah)." Jadi kita harus menghormati dan menyayangi setiap kejadian Allah (hamba- Nya) semata-mata, bukan kerana fahaman atau anutan agamanya.

Umat Islam yang diakui sebaik-baik umat sepatutnya dapat menjadi contoh ikutan dan teladan yang baik terutama daripada kalangan mereka yang dilantik sebagai pemimpin untuk dicontohi oleh masyarakat.

Mereka harus menjaga diri masing-masing dan jangan sekali-kali terlibat dengan amalan yang boleh meragukan dan mengelirukan orang ramai. Sehubungan ini, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Tinggallah apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan."

Untuk peringatan umat Islam, Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita agar tidak hanyut dan menjadi 'pak turut' seperti mana sabda baginda yang bermaksud: "Jangan kamu jadi pak turut yang bersikap "aku bersama-sama orang ramai; kalau mereka baik, baiklah aku, kalau mereka tidak baik, aku juga tidak baik," malahan hendaklah kamu cekalkan hati kamu kalau orang ramai baik, "aku akan mengikut jejak mereka, "kalau mereka tidak baik, aku akan menjauhi kejahatan mereka." (Riwayat Tirmizi)

Biasanya kejadian tersebut dilakukan untuk mencari sokongan dan populariti. Bagaimanapun, kita harus sedar bahawa Rasulullah SAW pernah mengingatkan melalui hadis baginda yang bermaksud: Sesiapa yang menyebabkan kemurkaan Allah kerana hendak mengambil hati manusia nescaya dimurkai Allah ke atasnya dan menjadikan orang yang hendak diambil hatinya, menjadi marah kepadanya dan sesiapa yang menyebabkan keredaan Allah kerana menyebabkan kemarahan manusia kepadanya nescaya dia diredai Allah dan menjadikan hati orang yang marah kepadanya itu tadi bertukar menjadi sayang dan menyukainya. (Riwayat Tabrani)

Ada pun amalan upacara kemasyarakatan untuk merapatkan perhubungan dan mengeratkan perpaduan antara manusia sejagat, maka ia digalakkan. Ini berdasarkan firman-Nya bermaksud: Wahai manusia! Kami jadikan kamu daripada lelaki dan wanita dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak untuk kamu saling kenal-mengenal, sesungguhnya yang paling mulia daripada kamu ialah yang orang paling bertakwa daripada kalangan kamu. (al-Hujuraat: 13)

Dalam hubungan kerjasama dan kemasyarakatan dengan bukan Islam, tidak ada larangan agama mengenainya, malahan ia digalakkan berdasarkan firman-Nya yang bermaksud: Allah tidak melarang kamu terhadap orang kafir yang tidak memerangi kamu dalam agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halaman kamu untuk kamu berbuat baik kepada mereka dan berlaku adil kepada mereka. Sesungguhnya Allah kasih akan orang yang berlaku adil (saksama). (al-Mumtahanah: 8)

Apa yang dilarang itu hanyalah menyerah kesetiaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada mereka yang memerangi dan memusuhi umat Islam sebagai mana yang dijelaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: Sesungguhnya Allah melarang kamu terhadap bukan Islam yang memerangi kamu dalam agama dan telah mengusirkan kamu dari negara kamu, dan bekerjasama mengusir kamu untuk memberi kesetiaan dan kuasa kepada mereka. (al-Mumtahanah: 9)

Sesungguhnya, kita kadang kala meremehkan perilaku meragukan yang muncul daripada dalam diri kita demi mengejar sesuatu yang sama ada disedari atau tidak sebagai sesuatu yang sementara dan tidak kurang pula bersifat fatamorgana.

Demi memenuhi bisikan naluri, kita tergamak melakukan sesuatu yang 'membimbangkan' masyarakat, khususnya di kalangan orang Islam. Dan lebih parah jika kita sanggup 'membelakangkan' agama, semata-mata mengejar sesuatu yang entah apa-apa.

PENULIS ialah Pengurus Penyelidikan,
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

- sumber Utusan Malaysia

Kata Nizar pula

Nizar nafi hadiri upacara nyala lilin

IPOH 23 Julai - Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menafikan beliau menghadiri upacara menyalakan lilin bagi memperingati Teoh Beng Hock di sini pada Jumaat lalu dan mendakwa Utusan Malaysia menyiarkan laporan yang salah.

Sebaliknya, bekas Menteri Besar Perak itu menegaskan, beliau hanya menghadiri sidang akhbar mengenai majlis menyalakan lilin anjuran DAP.

Ekoran itu, katanya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib memberikan komen atas laporan berita yang salah.

''Dia (Harun) baca Utusan Malaysia yang lapor tidak betul, jadi dia komen atas laporan yang salah. Dengar betul-betul, saya tidak kata dia buat komen yang salah tetapi buat komen atas laporan yang salah.

''Saya tidak hadir upacara pemasangan lilin itu tetapi saya cuma hadir sidang akhbar mengenai pemasangan lilin itu dan gambar yang disiarkan adalah semasa sidang akhbar tersebut di pejabat DAP," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohammad Nizar mengulas kenyataan Harun bahawa beliau tidak sepatutnya hadir pada majlis tersebut kerana sifatnya yang meragukan seperti laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini.

Selain kenyataan Harun, Utusan Malaysia turut menyiarkan gambar Mohammad Nizar berdiri di sebelah Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham sambil memegang lilin.

Malah kata Harun, Pas sendiri telah membuat garis panduan bahawa majlis-majlis yang meragukan tidak harus dihadiri para pemimpin serta ahli parti itu.

Pada masa sama, Harussani pula menyifatkan tindakan memegang lilin oleh masyarakat Islam sebagai tanda memprotes dan mengingati orang mati adalah haram di sisi agama kerana ia menyerupai ajaran Kristian.

Mengulas lanjut, Mohammad Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, beliau tidak menyalahkan Harun, Zambry mahupun Harussani kerana membuat komen terhadapnya itu.

''Bukan salah Zambry, Mufti Perak, Dewan Ulama Pas dan bukan salah sesiapa pun yang membuat komen kerana Utusan Malaysia buat laporan fitnah.

''Saya cuma kasihan kepada mereka kerana membuat komen atas laporan berita yang tidak betul," katanya.

Mohammad Nizar berkata, pemberita yang melaporkan berita salah itu membuat fitnah besar dan beliau akan menuntutnya semasa di akhirat.

- sumber Utusan Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...