Selasa, 4 Oktober 2011

Hudud: Pas memerangkap UMNO/BN


ISU hudud Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan tentangan Karpal Singh daripada DAP adalah sandiwara politik yang cuba mengalihkan isu Mat Sabu yang banyak menjejas pengaruh pakatan pembangkang di mata awam.

Dalam masa sama, mereka ingin memerangkap UMNO/BN supaya terjebak di Parlimen Oktober ini sekiranya terdapat usul tergempar mengenai pindaan Perlembagaan yang membolehkan hudud dilaksanakan.
Dan yang lebih utama membuat justifikasi bahawa pengenalan Negara Berkebajikan adalah suatu muslihat melunakkan perjuangan negara Islam oleh ulama Pas dan menampilkan pengaruh kumpulan Edorgan atau Anwarinas dan Anwar Ibrahim tentang perlunya Pas terikat kepada dasar Buku Jingga. Dasar Buku Jingga tidak menyebut mengenai negara Islam apa lagi pelaksanaan hudud.

Oleh itu Pas mempunyai hujah sewaktu kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti bukanlah Pas tidak mahu hudud tetapi dihalang oleh Perlembagaan Persekutuan dan tidak disokong oleh UMNO/BN. Pas akan menyatakan dengan lantang nanti bahawa UMNO menolak hudud. Tapi kalau dibawa ke Parlimen pun mahukah DAP menyokongnya?

Mana mungkin hudud menjadi agenda Pas kerana dalam muafakat yang lebih besar di kalangan kepimpinan pakatan pembangkang, Dasar Buku Jingga tidak memasukkan perjuangan hudud baik di Kelantan dan negeri-negeri yang dikatakan bakal dikuasai oleh Pas dan pakatan pembangkang nanti. Intipati perjuangan Buku Jingga secara jelas tidak memperjuangkan Negara Islam apalagi hudud.

Isu ini secara jelas dipolitikkan oleh Pas untuk memenangi pengaruh paling tidak di Kelantan. Biasanya isu syurga-neraka, jahiliah-kafir dan hudud adalah senjata yang ampuh dalam politik akar umbi di Kelantan. Ternyata sekian lama ia amat berkesan untuk menambat hati orang Kelantan. UMNO yang dilihat sebagai kafir, taghut, jahiliah menjadi isu yang tidak pernah hilang dalam politik Kelantan.

Dengan Negara Kebajikan dan dasar Buku Jingga orang boleh persoalkan tentang Negara Islam dan hukuman hudud. Ia tidak tercatat langsung dalam dasar itu. Dengan menimbulkan isu hudud cara Pas di Kelantan sekarang dan ditolak oleh Parlimen dan UMNO/BN ia diharap menjadi modal utama kempen nantinya.

Mengapa dikatakan isu hudud ala Pas itu dipolitikkan. Umum mengetahui bahawa ulama dalam Pas mahukan hudud. Kenyataan Nik Aziz, Ketua Dewan Ulama, Harun Taib, Ketua Pemuda Nasrudin Hasan, Tuan Ibrahim Tuan Man adalah menyokong hudud sepenuhnya.

Dalam masa sama, Naib Presiden Pas Salehuddin Ayub, mengambil pendekatan lunak. Apakah ini suara daripada kumpulan Anwarinas yang tidak sekata dengan suara ulama. Ini membolehkan Anwar Ibrahim dalam kemelut yang berbangkit meyakinkan Karpal Singh dan DAP bahawa jika isu hudud dibawa ke Parlimen sekalipun, ia tidak akan diterima dan hasrat Karpal Singh untuk melihat hudud tidak dilaksanakan akan terjadi. Ini yang menyebabkan Karpal Singh tidak membantah dalam mesyuarat tersebut.

Abdul Hadi Awang suatu ketika dulu juara Negara Islam dan hudud nampaknya semacam tidak lagi menjadi jurucakap ulama yang mahukan negara Islam dan menerima Dasar Buku Jingga yang tidak memasukkan perjuangan negara Islam sebaliknya dalam Muktamar yang lalu mengemukakan konsep Negara Berkebajikan dan membuat hujah bahawa konsep Negara Islam tidak ada dalam al-Quran.

Ada orang mengatakan bahawa pengaruh ulama hanya tinggal 30 peratus dalam Pas. Kehadiran Hassan Ali menjadikannya serba tidak kena dan ketidakhadiran Ustaz Nasaruddin Mohd. Isa dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pas menimbulkan persoalan.

Yang jelas pengaruh Anwarinas semakin kuat. Dan apakah pengaruh ulama dalam Pas bakal terpinggir. Kalau begitu slogan "Membangun Bersama Ulama'" dan "Kami sokong Hudud "dalam perjuangan Pas bakal hilang kerana suara ulama yang inginkan Negara Islam dan hudud bakal tenggelam.

Kerajaan istiqamah dalam memperkasakan peraturan syariah dalam sistem perundangan syariah di Malaysia. Walaupun fokusnya banyak kepada Undang-undang Keluarga Islam dan muamalah/ekonomi tetapi ia suatu permulaan yang baik untuk memperkenalkan institusi berasaskan syariah dalam sistem perundangan, kewangan dan ekonomi negara.

Pengenalan sukuk (bon Islam) di tahap dunia, industri halal secara besar-besaran, memperkukuhkan bahagian syariah dan sistem latihan kewangan di Bank Negara adalah antara contoh bahawa usaha mengembalikan sistem ke arah yang berdasarkan syariah sedang berlaku. Bank Rakyat umpamanya adalah contoh bank Islam yang berkembang dan disertai ramai kalangan bukan Islam kerana keuntungan dan kestabilannya.

Tidakkah itu memberi gambaran bahawa maqasid syariah dalam ilmu, pendidikan, pentadbiran, muamalah, ekonomi dan sosial sedang berjalan sekian lama di Malaysia. Penubuhan Universiti Islam Malaysia (DiRaja) yang bakal berlangsung, Kolej Universiti Al Quran Malaysia yang sedang di teroka bakal mengukuhkan lagi UIAM, USIM dan lain-lain institusi pengajian tinggi Islam berstatus negeri.

Penghantaran pelajar-pelajar berpotensi ke seluruh dunia (termasuk anak-anak pembangkang) dan menyediakan tempat belajarnya dalam negara adalah dilakukan oleh kerajaan dan dianjurkan oleh Islam.
Membangunkan masyarakat baru di Felda dan Felcra, membangun Dasar Pertanian Negara dan Nelayan, membantu kelompok miskin dengan bantuan dan perumahan, membantu usahawan yang berpotensi dan memperkukuhkan latihan keusahawanan untuk generasi muda adalah dasar-dasar yang tidak bercanggah dengan Islam.

Banyak lagi kalau ingin disebut di sini yang menjadi pendekatan kerajaan dan UMNO yang sebahagian besarnya dimanfaatkan oleh ahli-ahli dan anak-anak ahli pembangkang. Apakah mereka rasa bersyukur dengan apa yang mereka terima dan membantu mengukuhkan lagi dasar-dasar Islam yang sedia terdapat.
Apa maksud Negara Islam Pas dan sekarang pula Negara Berkebajikannya. Apakah yang disebutkan sebahagiannya yang dilakukan oleh UMNO dan kerajaan tidak Islamik dan memberi fokus kepada kebajikan rakyat. Tidaklah salah gerakan Pas cuba mengukuh asas-asas rohaniah tetapi tuntutan sebenar yang harus Pas lakukan ialah membangun model alternatif untuk membangun sistem yang Islamik.

Apakah di Kelantan sejak puluhan tahun Pas memerintah masalah sosial sudah dapat diatasi. Apakah masalah air bersih sudah dapat dibekalkan. Apakah kegiatan-kegiatan ekonomi yang Islami sudah berkembang dan menjadi model yang boleh dicontohi dan diikuti oleh negeri-negeri lain di Malaysia.

Apakah Kelantan mempunyai program induk menyekat penghijrahan ramai warganya ke Lembah Klang dan tempat-tempat lain sedangkan orang Kelantan mempunyai potensi berniaga dan boleh digerakkan ke arah produktiviti yang tinggi. Apakah kadar kemiskinan dan pengangguran di Kelantan sudah dapat di atasi.

Apakah sudah ada dasar budaya, seni dan sukan yang Islami di Kelantan. Inilah antara isu-isu pokok sebagai prasyarat untuk mewujudkan negara Islam apalagi pelaksanaan hudud yang menjadi perintah Allah. Perlu ada iklim pembangunan dan perubahan yang kondusif supaya apabila dilaksanakan hudud ia menjadi pengukuh kepada sebuah sistem yang Islami.

sumber: Utusan Malaysia

Siapa selepas Zine El Abidine, Mubarak dan Gaddafi?


SELEPAS kejatuhan Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali diikuti Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dalam pemberontakan rakyat, giliran siapakah selepas ini?

Asia Barat atau dunia Arab kini berhadapan dengan kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan dan pembaharuan politik setelah mendapat inspirasi daripada kebangkitan rakyat di Tunisia yang tercetus ekoran kematian remaja, seorang peniaga jalanan, Mohammed Bouazizi yang membakar dirinya pada 17 Disember lalu sebagai membantah kekasaran polis.

Insiden itu akhirnya mendorong rakyat Tunisia bangkit memberontak sehingga membawa kejatuhan Presiden Ben Ali yang memerintah Tunisia selama 23 tahun.

Pada masa sama, negara-negara Arab lain pula mengikuti perkembangan di rantau itu dengan penuh cemas setelah satu persatu pemimpin Arab berpengaruh seperti Mubarak dan Gaddafi tumbang akibat pemberontakan rakyat di negara mereka.

Sementara beberapa negara Arab lain mengambil langkah segera melaksanakan pembaharuan seperti di Maghribi yang bertindak meminda Perlembagaan dan Arab Saudi yang memberi kelonggaran kepada kaum wanita di negara itu.

Langkah itu dilaksanakan kerana bimbang kebangkitan rakyat di rantau itu akan merebak ke negara mereka pula.

Apakah perkembangan di dunia Arab sekarang benar-benar satu kebangkitan rakyat yang sudah lama dahagakan perubahan dan kebebasan?

Apakah teori domino yang pernah dilemparkan di Asia Tenggara kini beralih ke Asia Barat.
Teori domino pernah diaplikasi kepada rantau Asia Tenggara suatu masa dahulu ketika pengaruh komunis begitu ketara terutama dengan kejatuhan Kemboja dan Vietnam ke tangan komunis pada sekitar 1970-an.

Namun, teori domino itu kemudian ternyata tidak menjadi kenyataan dan kekal tinggal sebagai teori. Ia tidak lebih menjadi dongeng Amerika Syarikat (AS) untuk campur tangan dalam hal ehwal di Asia Tenggara dan bertapak di rantau ini.

Atau apakah senario yang sedang berlaku di rantau Asia Barat terutama di dunia Arab sekarang adalah sebahagian daripada mainan AS dan Barat bagi memperluaskan pengaruh mereka di rantau itu dan menjadikannya sebagai alasan untuk campur tangan dalam hal ehwal di rantau Arab.

Walau apa pun kemungkinannya, revolusi rakyat di Tunisia, Mesir dan Libya dilihat seolah-olah tidak ada hentinya apabila ia kini terus merebak ke Syria dan Yemen.

Setakat ini, nampaknya Presiden Basher al-Assad dari Syria dan Presiden Ali Abdullah Saleh dari Yemen dilihat begitu terdesak

sumber: Utusan Malaysia

Rakyat 'simpan' pengalaman dengan 'sesumpah politik'


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin tampil dengan komennya tentang gelagat penuh muslihat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bila bercakap tentang Anwar, sememangnya semua pihak mengakui ia tidak akan habis.
Acap kali Ketua Pembangkang itu bercakap lain kepada orang Melayu, cakap lain pula kepada orang Cina dan begitu juga apabila berinteraksi dengan kaum India.

Jika di depan orang Melayu, dialah 'paling Melayu' dan habis disilatnya bangsa lain. Di depan orang Cina pula, dialah 'Fong Sai Yuk' Malaysia yang berjuang demi bangsa Cina di Malaysia dan habis dikungfunya bangsa lain, terutamanya Melayu. Apabila tiba di depan bangsa India pula, dialah 'hero Tamil' paling hebat yang memperjuangkan bangsa India di Malaysia dan habis disilambamnya bangsa lain.

Tak habis di situ saja. Apabila ke Sabah dan Sarawak, Anwar meneruskan 'tarian talam bermuka-mukanya.' Banyak pengalaman yang 'disimpan' oleh orang Melayu, Cina dan India tentang tembelang Anwar.
Tidak perlulah pergi jauh. Semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak April lalu yang dibuat liputan oleh para petugas media termasuk penulis, gelagat Anwar seperti mana didedahkan Perdana Menteri begitu ketara helahnya.

Di sebuah restoran Cina yang dikelilingi beberapa kedai makan dan kopitiam di bandar Bintulu awal April lalu, Penasihat PKR itu seperti mana biasa dalam ceramahnya akan 'menyeronokkan pendengarnya' dengan seloka 'mengula-gulakan' hadirin. Tambah mengujakan lagi apabila katanya:

"Tuan-tuan, jika pembangkang dapat menguasai Putrajaya dalam masa 24 jam (pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti)...dalam masa 24 jam...dalam masa 24 jam (dengan aksi tangan dan menunduk di atas pentas) kita akan turunkan harga minyak," katanya.

Dalam bercakap isu kematian mendiang Teoh Beng Hock pula, kata Anwar, kononnya dia telah pergi menziarahi upacara pengkebumian mendiang tetapi 'orang UMNO ini tuduh saya rapat dengan orang Buddhist'.

Memang mana-mana orang pun apabila mendengar kenyataan ini pasti akan 'menyirap darah' mereka tetapi sesiapa pun yang mengenali hati budi orang Melayu, tidak akan percaya orang UMNO akan mendakwa sedemikian rupa. Manusia meskipun berlainan agama dan adat resamnya, perasaannya sama sahaja apabila mengulas tentang kematian - pasti berkongsi kesedihan. Tetapi malangnya Anwar terus 'membakar, membakar dan membakar perasaan orang Cina'.

Begitu juga apabila 'membakar' perasaan hadirin di Bintulu, Anwar bercakap lagi isu kematian seorang pegawai kastam. Dia mengutuk-gutuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai salah guna kuasa. Tetapi langsung tidak menyebut soal kewibawaan agensi itu yang membanteras penyalahgunaan dan penyelewengan di kalangan segelintir pegawai kastam sehingga berjaya menyelamatkan berbilion-bilion wang negara.

Itulah sebabnya Perdana Menteri kelmarin sekali lagi terpaksa mengingatkan rakyat termasuk komuniti Cina supaya berhati-hati dengan 'sesumpah politik' sebegini.

Masih ingatkah lagi dengan rancangan hendak menukar kerajaan yang sah pada 16 September 2008?
Pada satu majlis di Jakarta menjelang 16 September tahun berkenaan, Anwar dengan bangganya mencanangkan tarikh berkenaan untuk 'merehatkan' Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya tetap pada target saya, 16 September menjadi waktu untuk mengistirehatkan Badawi. Untuk itu, saya rileks sebentar sehari lompat ke Jakarta, berdiskusi dan bertemu dengan sahabat-sahabat saya di Indonesia," kata Anwar yang dipetik oleh wartawan akhbar republik itu. Namun semua maklum itu hanya impian dan pembohongannya sehingga hari ini.

Suatu ketika sebuah blog terkemuka Amerika, The New Ledger telah melondehkan lagi tembelang Anwar di luar negara. Artikel blog pronegara Uncle Sam itu telah menyokong kenyataan bahawa sememangnya
"Anwar adalah sesumpah".

The New Ledger mendedahkan betapa Anwar sebelum ini yang dalam 'pelarian' ke AS telah mewujudkan hubungan baik dengan tokoh-tokoh 'American Jews' (Yahudi Amerika) seperti Paul Wolfowitz dan Al Gore. Anwar benar-benar 'manis mulut' ketika itu. Begitulah akrabnya Anwar dan Yahudi. Tapi itu adalah ketika Anwar di luar negara. Apabila dia kembali ke Malaysia, sikapnya berubah menjadi sebaliknya.

Mungkin dia tahu bahawa budaya rakyat Malaysia yang tidak suka pada Israel (Yahudi). Maka Anwar terpaksalah bertukar 'wajah' seakan-akan anti-Yahudi dan Amerika. Ketidakpuasan hati mereka terhadap Anwar itu diterjemahkan oleh The New Ledger sebelum ini.

Ketika Anwar aktif bersama ABIM dahulu, dia dijangka menyertai Pas. Malah Anwar merupakan anak angkat kepada Allahyarham Yusof Rawa, seorang tokoh Pas yang terkenal.

Namun, apabila masuk UMNO atas undangan Tun Dr. Mahathir Mohamad, dia dikatakan 'memujuk' rakan-rakannya dalam ABIM dan Pas dengan mengatakan bahawa kemasukannya ke dalam UMNO adalah untuk 'memutihkan' UMNO.

Pada UMNO pula, Anwar menyatakan bahawa dia memasuki UMNO adalah kerana percaya pada perjuangan UMNO yang memartabatkan Islam, Melayu dan Malaysia.

Gelagat 'sesumpah' Anwar pernah diingatkan oleh bekas Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik ketika berucap di Jalan Padang Tembak, Air Itam, Pulau Pinang pada 2008.

"Anwar ini macam sesumpah, boleh tukar warna di depan sesiapa juga. Nanti, bila kita bangkit daripada tidur, negara sudah jadi hancur...dia tidak hairan (itu semua), hanya untuk capai dia punya objektif," kata Keng Yaik.

Bercakap tentang Anwar dan muslihatnya, ia memang tidak akan habis, apa lagi ketika ura-ura kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-13 dalam tempoh terdekat ini.

Kelmarin, Perdana Menteri mengulanginya sekali lagi - hanya untuk memastikan rakyat terus berwaspada kerana 'sesumpah' seperti mana sifatnya licik 'menangguk di air keruh'.

sumber: Utusan Malaysia

Ahad, 2 Oktober 2011

Krisis Greece ancam dunia


Rakyat Greece membakar salinan notis cukai kecemasan kerana marah dengan keadaaan ekonomi negara itu yang semakin meruncing.


GREECE terjerumus ke dalam kancah kemelut ekonomi Eropah dan mungkin boleh mengheret dunia ke alam kemelesetan. Bagaimana boleh terjadi sedemikian dan kenapa Kesatuan Eropah (EU) lemah menangani masalah ini? Pilihan yang terbuka kepada Greece tidak banyak dan semuanya ada implikasi serius.
Kalau masalah Greece tidak diselesaikan, ekonomi Eropah boleh merudum dan tentunya Malaysia juga terasa tempiasnya.
Greece terperangkap dalam putaran ganas kemuflisan, daya saing dan kediri rendah serta kemerosotan ekonomi semakin mendalam. Masalah ini berpunca daripada pengurusan ekonomi lemah, rasuah dan perbelanjaan boros sehingga hutang negara mencecah 113 peratus. Defisit perbelanjaan kerajaan pula 13.6 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2009. Hutang negara ini dijangka naik sehingga 200 peratus dari KDNK tidak lama lagi. Kedudukan kewangan sektor awam menjadi genting sehingga pendapatan kerajaan (dari cukai dan hasil sebagainya) tidak cukup untuk membayar gaji kakitangan awam!
Hutang gergasi Greece sebanyak AS$400 billion telah dibiayai oleh bank-bank Perancis, United Kingdom, Amerika Syarikat (AS), Jerman dan bank-bank tempatannya sendiri melalui terbitan (penjualan) bon kerajaan Greece. Selalunya, bon kerajaan amat dipercayai dan dianggap tidak berisiko tinggi kerana kerajaan mempunyai keupayaan kewangan kukuh untuk membayar hutangnya.
Kebimbangan tentang keutuhan bon kerajaan mula muncul apabila Dubai yang dianggap kaya raya tidak dapat membayar hutangnya dan terpaksa minta pertolongan Abu Dhabi. Oleh kerana jumlah hutang terlalu besar dan pendapatan kerajaan kecil akibat pertumbuhan ekonomi rendah berikutan kelemahan ekonomi Eropah, ramai khuatir bahawa Greece akan default dan gagal membayar hutang bonnya. Jika ini berlaku, maka sistem kewangan dunia yang sudah lemah kerana baru sahaja dilanda teruk krisis kewangan global 2008/09, akan runtuh kerana bank-bank mengalami kerugian besar dan masyarakat umum hilang keyakinan yang boleh membawa kepada bank run. Jika bank muflis, kerajaan terpaksa mengambil alih dan dana besar diperlukan untuk memulihkan bank berkenaan.
Jika Greece tidak dapat membayar hutangnya, terdapat kebimbangan bahawa Itali, Portugal, Ireland dan Sepanyol yang juga mempunyai beban hutang besar mungkin akan gagal membayar hutang. Akhirnya, bank-bank utama Eropah yang memegang bon Greece dan negara-negara ini akan jadi muflis dan seterusnya membawa kepada kemusnahan sistem perbankan Eropah dan boleh jadi dunia juga. Oleh itu, Greece mesti diselamatkan bagi kebaikan semua pihak.
Cara EU dan IMF menyelamatkan Greece adalah dengan memberi pinjaman bagi membiayai operasi sektor awam dan untuk membayar hutang kerajaan Greece. Justeru, pada Mei 2010 EU dan IMF bersetuju menyediakan pakej penyelamat sebanyak €110 billion. Walaupun komitmen pinjaman diberi, keyakinan terhadap ekonomi dan sistem kewangan EU terus diragui. Pada Februari 2011 Menteri Kewangan EU telah menubuhkan Tabung Stabiliti Eropah bernilai €400 billion. Pinjaman pertama kepada Greece ternyata tidak cukup. EU terpaksa memberi talian hayat kepada Greece dengan pakej penyelamat kedua sebanyak €109 bilion pada Julai 2011.
Jimat cermat
Pinjaman ini diberi dengan syarat Greece melaksanakan langkah jimat cermat dan meningkatkan pendapatan kerajaan. Gaji dan pencen kakitangan awam dipotong, cukai dinaikkan, cukai baru diperkenalkan dan banyak projek diswastakan. Rakyat Greece menganggap langkah mengikat tali perut ini keterlaluan sehingga menyebabkan kesusahan amat sangat. Pekerja pengangkutan awam, pemandu teksi, kakitangan awam, guru dan pengawal trafik udara bertindak mogok. Ramai merusuh dan menunjukkan kemarahan dengan merosakkan harta awam.
Pinjaman yang diterima dan langkah jimat cermat ini tidak membuahkan sepenuhnya hasil yang dijangkakan. Pihak memberi pinjam iaitu EU dan IMF berpendapat program penjimatan tidak dilaksanakan dengan berkesan dan tidak mengikut jadual. Mereka mendesak wang pinjaman akan hanya diberi jika langkah penjimatan dan peningkatan pendapatan dijalankan dengan tegas dan cepat. Kerajaan Perdana Menteri George Papandreou tentunya sukar mematuhi desakan ini kerana program penjimatan menerima tentangan hebat daripada rakyat.
Akibatnya, ekonomi Greece terus meleset kerana pasaran tidak yakin bahawa ekonomi akan pulih. Bank-bank yang memegang bon kerajaan Greece mahukan bayaran dibuat segera. Rakyat negara yang memberi pinjaman terutamanya Jerman juga menentang kerana tidak mahu kerajaan mereka menggunakan dana awam untuk membantu negara lain walaupun ia ahli EU. Rakyat Jerman marah kerana wang dari titik peluh mereka digunakan untuk menyelamatkan negara lain yang boros berbelanja. Dana pinjaman Jerman untuk Greece perlu diluluskan oleh Parlimen negara itu. Canselor Angela Merkel terpaksa bertungkus lumus memujuk Parlimen Jerman untuk meluluskan usul tersebut.
Suasana di Greece memang muram. KDNK tahun ini dijangka menguncup sebanyak 6.3 peratus dan tahun depan (2012) akan terus menurun sebanyak 5.9 peratus. Kadar pengangguran akan melonjak kepada 17 peratus.
Apakah opsyen yang ada bagi Kerajaan Greece? Jawabnya tidak banyak. Menteri Kewangan Greece Evangelos Venizelos merungut bahawa negaranya telah “diugut dan dihina” serta menjadi “korban” ketidakcekapan EU. Manakala rakyat Greece pula menuduh kerajaan mereka menyerahkan kuasa mentadbir dan maruah negara kepada EU. IMF dan bank-bank mengenakan syarat-syarat yang tidak boleh diterima. Contohnya, sekarang ini rakyat Greece yang berpendapatan hanya RM20,000 setahun atau RM1,700 sebulan terpaksa membayar cukai pendapatan.
Opsyen pertama adalah bagi Greece melaksanakan langkah penjimatan lebih berkesan dan menerima syarat pinjaman tambahan yang perit terutamanya menaikkan cukai. Dengan ini, Greece boleh terus mendapat pinjaman dan boleh membayar hutangnya. Tetapi, opsyen ini boleh menyebabkan ekonomi Greece meleset lebih teruk kerana tidak ada program untuk mengembangkan ekonomi seperti pakej rangsangan melalui perbelanjaan sektor awam. Jika ini berlaku, pemulihan mengambil masa lama. Yang selamat adalah bank-bank memegang bon kerajaan Greece.
Opsyen kedua adalah Greece tidak membayar hutangnya iaitu default dan keluar dari EU. Setengah ahli ekonomi seperti Prof. Nouriel Roubini mencadangkan ini sebagai opsyen terbaik. Jika begitu, Greece dapat menurun kadar mata wangnya yang boleh meningkatkan eksport, menjalankan program rangsangan ekonomi dan meningkatkan daya saing. Apabila ekonomi berkembang, pendapatan kerajaan akan pulih dan hutang dapat dikurangkan.
Jika pilihan ini diambil, keyakinan terhadap ekonomi dan bank EU akan hancur sepenuhnya dan bank yang terdedah kepada hutang di EU akan muflis. Mata wang Euro juga mungkin akan berpecah kerana pasaran tidak mahu lagi memegang Euro. Ekonomi seluruh EU akan meleset, kecuali negara yang kukuh seperti Jerman.
Hutang
Opsyen ketiga ialah pengeluaran bon baru oleh kumpulan institusi kewangan antarabangsa untuk menggantikan bon kerajaan Greece. Opsyen ini telah diambil untuk menyelesaikan masalah hutang Argentina pada tahun 1990-an. Bon baru yang dinamakan “Brady Bond” dikeluarkan oleh Amerika Syarikat untuk menggantikan bon Argentina. “Brady Bond” adalah sempena nama Setiausaha Kewangan AS masa itu. Tetapi opsyen ini tidak boleh dibuat kerana ekonomi Greece lemah dan tidak boleh berkembang untuk membayar bon baru ini.
Penyelesaian masalah hutang Greece bukan hanya terletak di bahu negara itu sahaja. Ia memerlukan penyelesaian serantau (EU) dan masyarakat antarabangsa kerana dana yang diperlukan adalah amat besar. Menurut Pengarah Urusan IMF yang baru, Christine Lagarde, walaupun implementasi pakej penjimatan penting, pemulihan ekonomi hanya boleh dicapai jika hutang dikurangkan. Memang, punca masalah ini adalah keborosan kerajaan Greece tetapi bank-bank juga tidak boleh terlepas tanggungjawabnya. Mereka begitu ghairah memberi pinjaman tanpa meneliti risiko yang terlibat. Oleh itu, bank-bank perlu berkongsi kerugian dan mesti menerima jumlah pembayaran balik pinjaman yang lebih kecil.
Satu pengajaran penting dari pengalaman Greece ialah menyelesaikan hutang melalui pinjaman dari punca luar bukanlah satu penyelesaian kekal. Ekonomi sesebuah negara hanya boleh pulih dan terus maju jika ia ada daya saing dan asas mantap. Tanpa pertumbuhan ekonomi, masalah hutang negara akan datang semula. Dayang saing yang berasaskan produktiviti dan kadar mata wang yang realistik serta fleksibel penting untuk pertumbuhan ekonomi.
EU pula tidak boleh berlengah dan perlu menjalankan langkah pemulihan dengan segera dan tegas. Perbalahan dan ketidaktentuan akan membuatkan pasaran gusar dan hilang keyakinan. Progam baru untuk membantu bagi ahli-ahli EU yang bermasalah perlu diwujudkan dengan segera dan jumlah bantuan yang diperlukan mesti dibuat secara betul berasaskan maklumat tepat. Langkah pantas perlu diambil kerana jika tidak pelabur akan mengalihkan dana mereka keluar kepada pelaburan di tempat lain yang dianggap lebih selamat. EU juga perlu ada sumber secukupnya jika bank-bank mereka memerlukan suntikan dana dan penambahan modal terutamanya bagi kerajaan Itali dan Sepanyol yang kedudukannya tidak begitu mantap.
Krisis di Eropah ini menampakkan satu perubahan baru yang penting. Kali ini AS tidak mampu mengambil peranan sebagai penyelamat kerana ekonominya sendiri bermasalah. Sebaliknya, dunia beralih kepada kuasa baru iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) sebagai penyelamat baru. Setakat ini, BRICS masih lihat dan tunggu. Jika mereka menjadi penyelamat, ini merupakan fenomena unik kerana negara sedang membangun membantu negara maju. Yang jelas BRICS semakin berpengaruh di persada dunia. BRICS ada dana yang besar, pertumbuhan ekonomi tinggi, daya saing yang kuat, sumber yang banyak dan pasaran besar. BRICS juga berjaya mengharungi krisis global dengan baik dan ekonomi mereka pulih dengan cepat.
Secara kesimpulan, krisis hutang Greece bukan masalah negara itu sahaja. Dunia akan terjejas secara langsung dan tidak langsung apabila krisis di Greece menular ke negara lain dan kemelesetan merebak ke seluruh dunia.

Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin
ialah Ketua Eksekutif
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia
.

sumber: Utusan Malaysia

Ahad, 7 Ogos 2011

'Saya rela dipecat'





KUALA LUMPUR 6 Ogos - Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali, yang tidak disenangi oleh anggota Exco yang lain atas ketegasannya mengenai soal Islam, menegaskan beliau sanggup dipecat demi kepentingan akidah ummah.
Katanya: "Saya sanggup melakukan apa sahaja termasuk menerima kenyataan jika saya diminta melepaskan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri dan apa-apa jawatan sekali pun demi memperjuangkan apa yang saya yakin dapat membantu umat Islam, khususnya di negeri Selangor."
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas entri terbaru blog Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin (http://zul4kulim.blogspot.com) bertajuk Genggam Bara Api!
Zulkifli dalam tulisannya yakin Dr. Hasan akan digugurkan daripada jawatan Exco Kerajaan Selangor ekoran tindakannya menyokong Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu sebuah gereja Methodist yang dikatakan menjalankan kegiatan dakwah terhadap orang Islam di Damansara Utama baru-baru ini.
Beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas sebelum ini turut membid as Dr.Hasan yang mempertahankan tindakan JAIS itu.
Malahan seorang pemimpin Pas menganggap kenyataan Dr.Hasan dalam isu berkenaan tidak mewakili parti itu.
Mengulas lanjut, Dr. Hasan menegaskan, beliau telah memperjuangkan isu mengenai umat Islam di Selangor sejak dulu lagi, terutamanya berhubung isu penjualan arak di Shah Alam.
"Saya tidak mahu menyentuh isu gereja itu kerana mematuhi arahan tutup mulut (gag order) oleh Menteri Besar. Tapi saya hanya menjawab mengenai soalan saudara berhubung persoalan yang ditimbulkan oleh YB Zul mengenai nasib saya itu.
"Jika sesiapa pun yang percayakan kepada soal keharmonian beragama, maka soal kesucian agama Islam tidak boleh diganggu-gugat sama sekali dan itulah yang saya perjuangkan, adakah itu salah?" katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengikut rekod terdahulu, Dr. Hasan pernah diberi amaran oleh Jawatankuasa Disiplin Pas kerana membangkitkan mengenai soal penjualan arak di Shah Alam.
Tindakan itu diambil kerana Pas tidak mahu hubungannya dengan parti-parti dalam pakatan pembangkang, terutamanya DAP, terjejas ekoran pendedahan Dr. Hasan itu.
Dalam Muktamar Pas baru-baru ini Dr. Hasan gagal mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden kerana tidak mendapat sokongan daripada puak-puak Erdogan yang didokong oleh Anwar Ibrahim.
Ekoran kekalahan itu, Dr. Hasan turut digugurkan sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor.
Mingguan Malaysia difahamkan Pas Pusat dijangka bermesyuarat esok dan soal mengenai tindakan terbaru Dr. Hasan dalam soal gereja itu dijangka turut dibincangkan.
Difahamkan Dr. Hasan sering menerima tekanan daripada anggota-anggota Exco bukan Islam DAP dan PKR, jika soal-soal mengenai Islam disentuh.
Sebagai rekod selain Dr.Hasan terdapat sembilan lagi yang menduduki jawatan Exco Kerajaan Selangor iaitu Teresa Kok (DAP), Yaakob Sapari (PKR), Rodziah Ismail (PKR), Dr. Xavier Jayakumar (PKR), Dr. Halimah Ali (Pas), Iskandar Abdul Samad (Pas), Ronnie Liu (DAP), Elizabeth Wong (PKR) dan Ean Yong Hian Wah (DAP).
Dalam semua Exco itu, dikatakan Teresa Kok, Dr. Xavier, Ronnie Liu dan Elizabeth Wong adalah antara mereka yang sering menentang Dr. Hasan.
Dalam pilihan raya umum 2008, pakatan pembangkang merampas Selangor daripada Barisan Nasional setelah memenangi 36 daripada 56 kerusi. DAP mendapat 13 kerusi, PKR 15 dan Pas lapan kerusi.

sumber: Utusan Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...